Isnin, 24 Oktober 2016

Travelog : Oh!Riyadh (130) - Ziarah Sekitar Madinah


Ziarah Sekitar Madinah

Hari terakhir di Madinah, kami menghabiskan sisa-sisa masa yang ada untuk melawat sekitar Kota Madinah. Sepanjang tiga tahun berhijrah di Arab Saudi, kami berpeluang beberapa kali ziarah ke Kota Madinah. Kerap kali kami ke Kota Madinah pada hujung minggu, jadi kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkunjung berziarah ke tempat lain selain dari Masjid Nabawi. Kebiasaannya kami bertolak dari Riyadh pada waktu petang pada hari Khamis dan sampai ke Kota Madinah pada hari Jumaat sebelum masuk waktu Solat Jumaat. Kami kembali semula ke Riyadh pada tengahari esoknya iaitu Hari Sabtu selepas mendaftar keluar dari hotel pada pukul 12.00 tengahari. Biasanya kami tiba di rumah sekitar pukul 9.00 malam

Disebabkan kali ini merupakan ziarah terakhir kami ke Kota Madinah, sebelum kembali ke tanah air. Kami mahu mengambil peluang untuk ziarah sebanyak mungkin tempat-tempat yang mampu membawa ingatan kami kepada perjuangan Rasulullah SAW yang terletak di sekitar kota suci ini. Ada tempat yang sudah kami kunjungi dan masih berbaki beberapa tempat lagi. Kami menelusuri jalan-jalan penuh bersejarah dan ada kalanya memasuki jalan-jalan yang lebih luas. Di satu laluan, terlihat beberapa binaan yang menjadi bukti kewujudan Kerajaan Uthmaniyyah di Kota Madinah pada suatu ketika dahulu.

Pintu gerbang

Masjid yang menyerlahkan binaan dari Turki



Kami mahu melihat Prince Mohammad bin Abdulaziz International Airport, Madinah yang membawa jemaah haji dan umrah dari serata dunia ke Madinah.  Kami tidak berkesempatan menggunakan lapangan terbang ini sepanjang kami di Riyadh. Semasa di dalam perjalanan, kami juga berkesempatan melihat bangunan . Stesen keretapi laju ini akan menghubungkan Madinah dengan Mekah yang dikatakan hanya memerlukan masa sekitar 90 minit untuk sampai. Keretapi laju yang dikenali sebagai keretapi Haramain ini akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2017. Dua kota suci yang sejauh 400 kilometer ini biasanya mengambil masa lima hingga enam jam dengan kereta atau bas.

Stesen keretapi laju Madinah yang masih lagi di dalam pembinaan.

Sempadan tanah haram boleh dilihat dengan jelas di sekitar kota ini.


Hampir dengan lapangan terbang
Menghampiri lapangan terbang Madinah

Bangunan utama lapangan terbang Madinah

Saiznya tidak terlalu besar


Lewat petang, kami ke kawasan peninggalan perang Khandaq. Terkejut kami apabila melihat suasana persekitarannya yang cantik. Masjid Khandaq juga kelihatan seolah masih baru dengan warna serba putih. Masjid Khandaq diberi sentuhan baru dengan pelbagai kemudahan sekitarnya termasuk kedai untuk membeli pelbagai barangan keluaran Madinah. Suasana agak meriah dengan orang ramai yang berkunjung ke situ.


Masjid Khandaq


Khandaq bererti parit dari segi bahasa. Dalam sejarah Islam yang dimaksud Khandaq adalah peristiwa penggalian parit pertahanan sehubungan dengan peristiwa pengepungan Kota Madinah oleh kafir Quraisy bersama sekutu-sekutunya dari Yahudi Bani Nadhir dan lain-lainnya. Apabila Rasulullah SAW mendengar berita kafir Quraisy bersama sekutu-sekutunya akan menyerang Kota Madinah, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para shabat-sahabatnya, bagaimana cara menghadapi serangan tersebut.

Sahabat Rasulullah SAW , Salman Al Farisi memberikan cadangan supaya Rasulullah SAW membuat benteng pertahanan berupa parit. Usul tersebut diterima oleh Rasulullah SAW. Maka digali parit pertahanan tersebut di bawaah pimpinan Rasulullah SAW sendiri. Peristiwa tersebut berlaku pada Bulan Syawal tahu ke lima Hijrah. Peninggalan perang Khandaq yang ada sekarang hanya berupa lima pos yang dahulunya berjumlah tujuh.

Sekitar Masjid Khandaq

Tinggalan sejarah.

Petang semakin berakhir saat kami tiba di Bir Ali, tempat Miqat di Madinah. Miqat ini terletak di dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah. Di sinilah para jemaah haji dan umrah berniat dan berihram untuk menunaikan haji atau umrah. Suasana agak sunyi, lebih ramai bilangan peniaga berbanding dengan pembeli di sekitar kawasan masjid yang kebiasaannya begitu sibuk. Kami singgah sebentar untuk membeli beberapa barang yang agak murah seperti selipar dan beg galas yang kecil. Sekejap sahaja kami berada di sini, sekadar ziarah dan mengambil gambar buat kenangan.


Sepi terasa
Barang sahaja yang ada, peniaga entah di mana

Jom beli!

Menara yang terkenal di Masjid Bir Ali.


Malam terakhir di Masjid Nabawi.




zias/cheras/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...