Rabu, 19 Oktober 2016

Rasa Dapurku (197) : Hati Lembu Masak Kicap


BismillahirRahmanirRahim


Hati Lembu Masak Kicap

Di Riyadh, aku paling suka menonton rancangan televisyen yang berkaitan dengan aktiviti memasak. Terdapat beberapa saluran   yang hanya menayangkan aktiviti memasak dari chef terkenal sepanjang hari. Memang seronok melihat chef-chef tersebut menunjukkan bagaimana menghidangkan pelbagai resepi masakan Arab dan Barat. Seingat aku terdapat sehingga melebihi lima siaran khas berkaitan memasak sahaja. Ianya bukan sesuatu yang menghairankan kerana pihak majikan telah menyediakan kemudahan siaran televisyen berbayar dari pelbagai kabel atau satelit yang ada di Arab Saudi. Kami juga berpeluang menikmati siaran dari negara-negara sekitar Arab Saudi seperti Mesir, Jordan, Lebanon, Tunisia, Libya, Algeria, Syria, Iraq, Iran, Sudan, Turki dan GCC (Kuwait, Qatar, Oman, Bahrain , Abu Dhabi dan Dubai). Namun yang menjadi pilihanku ialah siaran masakan dari CBS Sofra dari Mesir. Kerap juga masakan yang menggunakan hati lembu ditunjukkan, rupanya masakan bersumberkan hati lembu begitu digemari oleh masyarakat Arab.

Resepi berkaitan dengan hati lembu memang sedap namun bagi golongan yang sudah agak berusia, ianya selalu cuba dielakkan. Sudah lama sebenarnya aku tidak merasai masakan hati lembu sehingga pada hari sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini. Emak membawa balik pelbagai anggota lembu yang telah dikorbankan untuk dirasai oleh ahli keluarga. Segalanya serba sedikit disamping daging turut diberikan tulang, hati dan paru. Disebabkan ianya hasil dari ibadah korban, aku pun berfikiran positif lalu memasaknya. Moga ianya menjadi penawar, bukan faktor yang akan menyebabkan paras kolesterol meningkat. Masakan ini agak ringkas namun sedap sangat.

Resepi Hati Lembu Masak Kicap.
Bahan2:
200 gram hati lembu segar
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * ditumbuk halus
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 batang serai dibelah dua
1 sudu besar serbuk rempah kari daging
1 biji cili merah dihiris nipis
3-4 biji cili padi dibelah dua
1 biji bawang besar dihiris
Sedikit daun bawang dan daun sup/ketumbar
Sedikit penumis
Sedikit air asam jawa
Minyak masak
Garam secukupnya
Kicap manis secukupnya
Sedikit air

Hati lembu mentah

Cara membuatnya:
1.Hati lembu dipotong nipis dan digaul bersama bahan yang
   ditumbuk, kunyit dan garam. Biarkan selama 30 minit.
2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali dan masukkan hati lembu
   yang diperap, goreng sehingga hampir masak.
3.Masukkan serbuk rempah kari, penumis dan serai. 
   Kacau sekejap dan masukkan sedikit air.
4.Masukkan  kicap, air asam jawa, cili merah dan cili  padi.
5.Perisakan dengan garam jika perlu dan akhir sekali 
   masukkan bawang besar. Biarkan berkuah sedikit, jangan
   terlalu kering.
6.Masukkan daun bawang dan daun sup, lalu tutup api.

Sedapnya dimakan bersama nasi putih yang masih panas.


Selasa, 18 Oktober 2016

Travelog : Oh! Riyadh (129) - Tiba Juga di Yanbu

Tiba Juga Di Yanbu




Kami meneruskan perjalanan ke Yanbu yang masih berbaki lebih kurang 76 kilometer dari Badar. Jauh pula terasa perjalanan yang sedang kami lalui. Kawasan gurun yang kering kami rentasi tanpa menghiraukan panahan sang mentari yang terik dan panas.


Pemandangan sekitar lebuh raya

Akhirnya kami ternampak dari jauh, binaan yang menandakan aktiviti berkaitan dengan minyak petroleum. Seperti bandar berkembar Yanbu iaitu Jubail, kedua-duanya  dikenali sebagai pusat penghasilan minyak mentah dan industri berkaitan dengan hasil minyak. Jadi banyak kawasan industri berkaitan petroleum semakin hampir dengan daerahYanbu.














Yanbu merupakan bandar kedua terbesar selepas Jeddah yang terletak  di pinggir Laut Merah. Jarak Yanbu dari Jeddah adalah sekitar 300 kilometer. Yanbu adalah pelabuhan utama bagi daerah Madinah. Terbahagi kepada tiga kawasan utama iaitu Yanbu Al Balad (kawasan bandar), Yanbu Al-Nakhal ( kawasan luar bandar) dan Yanbu Al-Sina'iya (kawasan industri)

Mercu tanda menyambut kehadiran pelancong ke Yanbu

Taman dengan pokok memenuhi laluan setibanya di Yanbu


Kami mencari tempat makan yang sesuai untuk mengisi perut yang sudah terasa lapar. Sebelumnya sempat aku berangan-angan untuk mencuba makanan laut di Yanbu, maklumlah Yanbu terletak berhampiran laut. Tidak banyak kedai makan yang menarik perhatian kami, akhirnya KUDU juga menjadi pilihan. Selepas makan kami mencari kawasan pantai . Terletak agak jauh dari kawasan bandar dengan pantainya begitu panjang.


Laut Merah pun kelihatan

Bot di tengah bulatan
Terdapat resort percutian di sepanjang pantai di samping villa-villa untuk disewa. Binaan bangunan baru juga begitu pesat dijalankan sepanjang pantai.


Antara resort yang sempat kami singgah 

Pantai dan gurun terletak berhampiran


Luas dan lapang


Aktiviti pembinaan banyak dilakukan


Marina pun ada

Villa untuk disewa

Perahu kecil  ...sendirian

Kapal besar pun turut kelihatan... sedang belayar


Puas juga melihat laut yang luas terbentang sehingga terasa mengantuk akibat cuaca yang panas. Kami mengambil keputusan untuk berehat dan tidur sebentar sebelum kembali ke Kota Madinah. Kami singgah di sebuah taman yang agak luas tetapi tidak ramai yang kelihatan berada di situ. Ianya adalah situasi biasa kerana selepas Solat Zohor, kebanyakan penduduk  berehat di rumah. Selepas waktu  Solat Asar dan pada waktu malam barulah kawasan sebegini dipenuhi orang ramai.

Pohon kurma melambai-lambai ditiup angin laut

Padang permainan kanak-kanak sunyi sepi




Selepas menghilangkan mengantuk kami meneruskan perjalanan mencari tempat-tempat yang menarik untuk disinggah. Sebenarnya kami masih tercari-cari apa yang menarik di Yanbu.

Puas melepas rindu pada laut


Kami melewati satu lagi kawasan berhampiran pantai. Kelihatan kawasan parkir kereta yang luas dan anak-anak muda bersama kereta masing-masing. Terdapat banyak bot-bot persendirian yang berselerak di situ. Aku dan Saffura mendekati pantai tersebut. Terdapat papan tanda yang melarang aktiviti berenang di situ. Ramai anak-anak muda lelaki sedang melepak di sekitarnya. Setelah menyedari tiada kaum wanita di situ, kami berdua pun cepat-cepat beredar.


Cantik juga

Sempat ambil gambar pokok kurma yang dijadikan hiasan

Terasa agak puas melihat pantai dan laut membiru, kami pun mula bergerak meninggalkan Yanbu selepas waktu Solat Asar. Kami melalui pelabuhan yang hanya mampu dilihat dari jauh.

Sebahagian dari Pelabuhan Yanbu

Tangki Air YAnbu

Akhir sekali kami singgah di sebuah taman yang amat luas, sebahagian darinya masih di dalam pembinaan. Dilengkapi dengan surau, tandas awam dan kiosk menjual makanan. Terdapat beberapa orang pekerja sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitarnya. Kami meletakkan kereta di kawasan berhampiran dengan tebing tinggi untuk melihat pemandangan dari situ. Selepas bergambar kami pun kembali ke kereta dan meneruskan perjalanan pulang.

Lapang aje

Cantik juga pemandangan di sini.
Pokok kelapa kelihatan di sepanjang jalan berhampiran taman tersebut.

Satu lagi haisan di Yanbu

Selamat tinggal Yanbu

Persimpangan ke Badar

Gunung pasir di Badar

Pekan-pekan kecil sepanjang perjalanan

Gunung tinggi memasak bumi

Perkampungan kecil di pinggir bukit

Menjamu mata melihat kawasan pergunungan sepanjang perjalanan

Pelbagai rupa bentuk gunung ganang

Simpang ke Kota Madinah.




zias/cheras/2016

Isnin, 10 Oktober 2016

Travelog : Oh! Riyadh (128) - Medan Perang Badar? Silap Lokasi!


Medan Perang Badar? Silap Lokasi!




Hari ini (7 Syawal 1437H) kami ke Yanbu, sudah lama kami merancang untuk ke Yanbu dari Madinah. Namun tidak berpeluang untuk ke sana kerana merasakan ianya tidak begitu jauh dari Madinah. Beberapa kali kami menangguhkan hasrat tersebut kerana merasakan ianya dekat.  Sehinggalah zairah terakhir kami ke Madinah semasa menetap di Arab Saudi. Yanbu terletak tidak jauh dari Kota Madinah iaitu sekitar 200 kilometer. Kali ini kami agak lama berada di Madinah, peluang yang tidak boleh kami lepaskan untuk ke Yanbu. Seawal 7.00 pagi, kami sudah memulakan perjalanan.


Suasana di tepi lebuh raya berdekatan Kota Madinah. Pelbagai jenis buah dan sayur ada dijual.

Walau masih pagi, suasana mula meriah.

Kami singgah Badr dan Yanbu.

Lebuh raya Madinah - Yanbu kelihatan masih baru. Ianya  luas, cantik dan selesa. Aku dan suamiku bersetuju bahawa lebuh raya yang sedang kami lalui ketika itu adalah yang terbaik di Arab Saudi. Ianya berdasarkan pengalaman kami yang sudah merentasi lebuh raya untuk ke Hail, Taif, Al Baha, Kuwait, Qatar, Jeddah, Tabuk, Madain Salleh dan Al Khobar. Namun tiada kawasan rehat di sepanjang perjalanan sehingga ke Badr. Hanya gunung ganang yang kelihatan di sepanjang lebuh raya. Sesekali kelihatan perkampungan yang terpencil dikepung kawasan bergunung. Tidak ketinggalan unta dan kambing yang sentiasa tunduk mencari sesuatu untuk dimakan.

Lebuh raya luas namun kenderaan tidak begitu banyak

Kampung-kampung kecil

Kemana hendak dituju?


Hanya gunung-ganang yang kelihatan sehingga kami hampir dengan Bandar bernama Badr, ternampak gunung padang pasir berwarna kemerahan dari jauh. Badr atau Badar mengingatkan aku kepada Perang Badar yang menjadi sejarah penting dalam Sirah Rasulullah SAW. Sememangnya kami berhasrat untuk singgah di sini, untuk melihat sendiri Medan Perang Badar.


Gunung padang pasir

Susur keluar ke Bandar Badar

Ada aktiviti di sekitar padang pasir.

Satu-satunya tempat rehat sepanjang perjalanan. 

Padang pasir kelihatan di Badar

Sesuai untuk aktiviti lasak.

Menghampiri  Badr

Bandar Badar

Tiba di Bandar Badr, kami mencari lokasi Perang Badr dengan menggunakan bantuan dari GPS. Kami mengikut sahaja arahan yang diberikan. Kami melalui kawasan kebun kurma yang subur walaupun keadaan tanah di sekitarnya agak berbatu dan berpasir. 


Buah kurma sudah mulai menguning

Subur dengan pepohon kurma

Bentuk bumi sekitar Bandar Badr

Sebuag rumah yang terpencil

Semakin hampir dengan kawasan yang dicari

Semakin berdebar rasa di hati....
Jalan kecil yang sunyi

GPS menyatakan di sini.
Kami pun berhenti di sini dan keluar melihat suasana sekitar.
Suhu melebihi 40 C....memang panas!
Kawasan kediaman tidak jauh dari tempat yang dikatakan
Medan Perang Badr.

Tiada sebarang tanda yang menunjukkan ianya kawasan di mana berlakunya Perang Badar. Tiada kuburan, dan tiada bekas perigi kelihatan. Hanya kawasan lapang. Pun begitu kami terus merakam beberapa gambar buat kenangan. Huhuhu....misi yang gagal. Walaupun gagal ke lokasi sebenar, aku tetap bersyukur kerana diberi peluang berada di tempat yang terkenal di dalam Sejarah Islam. Aku dapat merasakan kesukaran generasi pilihan Allah dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Badar terletak agak jauh dari Madinah dan suasana sepanjang perjalanan perlu melalui gunung ganang yang penuh dengan batu-batu pejal. Melihat gambar-gambar sahaja sudah cukup membuktikan betapa perjuangan yang dilalui mereka cukup mencabar. Moga Allah memberi kekuatan kepada diri ini untuk memberi sumbangan bagi meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh para syuhada yang terkubur di sini.


Bukit-bukit berbatu yang lebih rendah

Sunyi dan sepi sahaja


Tanda-tanda tempat ini dikunjungi


Cuaca yang panas menghalang kami untuk lebih lama di sini.


Perang Badar adalah perang pertama antara umat Islam melawan musuh-musuhnya. Terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Rasulullah SAW telah memberi semangat kepada Muslimin untuk menghadang khalifah suku Quraish yang akan kembali ke Mekah dari Syam. Muslimin keluar dengan 300 lebih tentera tidak ada niat untuk menghadapi khalifah dagang yang hanya terdiri dari 40 lelaki, tidak berniat untuk menyerang tetapi hanya untuk menunjuk kekuatan terhadap mereka. Khalifah dagang itu berjaya melepaskan diri tetapi Abu Sufyan telah menghantar pesan kepada kaumnya, Suku Quraish untuk datang dan menyelamatkannya.

Kaum Quraish maju dengan pasukan besar yang terdiri dari 1000 orang lelaki bersama pelbagai persedian perang seperti pakaian perang, kuda, unta dan makanan yang mencukupi untuk beberapa hari. Kafir Quraish ingin menjadikan peperangan ini sebagai kemenangan bagi mereka yang akan meletakkan rasa takut di dalam hati seluruh kaum bangsa Arab. Mereka hendak menghancurkan Muslimin dan mendapatkan keagungan dan kehebatan.

Rasulullah SAW mengumpulkan para sahabatnya untuk mengadakan musyawarah.Sahabat Muhajirin dan Ansar menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dengan Rasululullah SAW. PAsukan Muslimin bergerak maju dan kemudian berhenti sejenak di tempat yang berdekatan dengan Badar(tempat paling dekat ke Madinah yang berada di utara Mekah). Seorang sahabat bernama Al-Hubab bin Mundhir ra, bertanya kepada Rasulullah SAW, "Apakah Allah mewahyukan kepadamu untuk memilih tempat ini atau ianya strategi perang hasil keputusan musyawarah?" Rasulullah SAW bersabda, " Ini adalah hasil strategi perang dan keputusan musyawarah". Al -Hubab telah mengusulkan kembali kepada Rasulullah SAW agar pasukan muslimin sebaiknya bermarkas lebih ke selatan tempat paling dekat dengan sumbe air, kemudian membuat kolam persediaan air untuk mereka dan menghancurkan sumber air yang lain sehingga menghalang orang kafir Quraish dari mendapatkan  air. Rasulullah SAW menyetujui usulan tersebut dan melaksanakannya.

Rasulullah SAW telag menghabiskan sepanjang-panjang malam dengan berdoa dan beribadah walaupun baginda SAW mengetahui bahawa Allah Taa'la telah menjanjikan kemenangan.

Sebahagian dari kisah Perang Badar yang diambil dari azharjaafar.blogspot.my

Sebenarnya kami ada ternampak papan tanda berkaitan tempat berlakunya Perang Badar. Malangnya jalan tersebut tidak kami temui. Sememangnya agak sukar untuk mencari kedudukan sebenar tempat berkaitan sejarah Islam di Arab Saudi. Ada hikmah di sebalik kegagalan kami untuk sampai ke tempat tersebut. Mungkin ada rezeki buat kami untuk berkunjung  ke sana sekali lagi. In Shaa Allah.


Papan tanda yang kami lihat namun tidak jumpa lokasinya.





zias/Cheras/2016





Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

  BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah, semalam berakhir PBAKL 2026 setelah berlangsung selama 10 hari. Banyak kisah menarik yang dikongsi...