|
Kampung Nelayan di Pulau Indah. |
Cuti sempena Hari Deepavali selama 5 hari agak panjang. Setelah puas berada di rumah, akhirnya kami mengambil keputusan untuk keluar melihat pantai sekitar Negeri Selangor. Kami bersetuju untuk ke Pulau Indah untuk berkelah di tepi pantai.
Perjalanan melalui lebuh raya Kesas memerlukan masa lebih kurang sejam. Jambatan menghubungkan kawasan tanah besar dengan pulau tersebut. Jalan tidak begitu elok dan kereta kami bersaing dengan lori trailer yang panjang. Kami meneruskan perjalanan, hanya tanah kosong dan kilang-kilang. Di penghujung jalan yang berakhir dengan laluan tol untuk ke Pelabuhan Westport.
|
Pelabuhan Westport, Klang. |
Kami berpatah balik dan masuk ke jalan yang tertulis Marina Pulau Indah. Kawasan kampung yang dilalui penuh dengan kebun ladang sawit, tidak terasa seperti berada di sebuah pulau. Akhirnya kami tiba di sebuah perkampungan nelayan namun meneruskan perjalanan untuk mencari kawasan pantai. Jalan yang dilalui agak sempit dan kiri kanan dipenuhi lalang. Marina Pulau Indah yang dicari ditutup pagarnya. Jalan semakin teruk ditambah dengan cuaca yang agak mendung. Kami berpatah balik dan singgah di jeti tadi.
|
Jeti kecil |
|
Syurga buat peminat memancing dan tauke pasir. |
Kami diberitahu ada kawasan pantai di penghujung Pulau Indah tapi agak jauh. Tidak berapa seronok berada di pulau tersebut, kami mengambil keputusan untuk ke Pantai Morib yang terletak di Banting. Lebuh raya Lembah Klang Selatan menghubungkan Pulau Indah melalui Pulau Carey ke Banting.
|
Henti sekejap kerana hujan lebat di Mansion 1969 Cafe - cafe di dalam bas. |
Pantai Morib agak popular satu ketika dahulu, banyak kemudahan di sekitar pantainya seperti masjid, kedai makan dan hotel.
|
Hujan lebat di Pantai Morib |
|
Ada sejarah di kawasan ini |
Pantai Morib kami tinggalkan ketika hujan masih turun untuk menuju ke Bagan Lalang. Sempat singgah di kawasan pantai yang indah di Tanjung Sepat.
Di Batu Laut, kami singgah di jeti nelayan yang terletak berhampiran jalan raya utama.
|
Hujan lagi |
|
Bot yang aktif ke laut |
|
Bot nelayan |
Tidak jauh dari Batu Laut ada kawasan rehat berhampiran laut namun kawasan sekitarnya tidak begitu meriah. Kami singgah sekejap untuk melihat pantai yang indah di sekitarnya. Hujan sudah berhenti, hanya rintik-rintik sahaja.
|
Sekitar Gold Coast Morib Resort |
Ini pula Pantai Cunang, kawasan sekitarnya dikendalikan oleh penduduk orang asli yang tinggal di situ. Terdapat beberapa kemudahan di sekitarnya yang sesuai untuk dijadikan kawasan berkelah buat keluarga atau rakan-rakan.
|
Ada sejenis daun untuk tujuan perubatan di sekitarnya |
Dari Banting ke Bagan Lalang lebih kurang 44 kilometer. Lebih sepuluh tahun tidak ke sini, agak banyak perubahan yang boleh dilihat. Lebih-lebih lagi sudah siap terbentang Avani Sepang Goldcoast Resort. Pantai Kampung Bagan Lalang dipenuhi orang ramai dengan pelbagai aktiviti terutama mandi laut. Gerai makan juga tidak kurang banyaknya. Suasana agak cerah di bagan lalang berbanding di Banting.
|
Avani Sepang Goldcoast Resort |
Perut pun terasa lapar, aku mahu mencuba ikan bakar di sini. Walaupun harga makanan agak mahal, Restoran Terapung H.M Sri Bagan menyediakan ruang duduk yang selesa dengan pemandangan yang indah. Bersih dan sedap masakannya.
|
Ikan Jenahak yang segar tapi air asamnya kurang mengancam. |
Puas juga tengok pantai sekitar Selangor dalam masa setengah hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan