BismillahirRahmanirRahim
Resepi kali ini agak lain sikit. Banyak kali aku diberitahu betapa sedapnya pucuk daun pokok kacang botol yang dibuat sayur. Agak unik bunyinya, maklumlah jika kacang botol digoreng buat sayur biasa aje dilihat. Hanya generasi berusia 70an ke atas yang tahu, ianya menjadi pilihan di zaman sukarnya mereka membeli sayur di pasar. Sayur di belakang rumah menjadi santapan.
Mengindahkan pemandangan ketika memasak. |
Tergerak untuk mencuba apabila pokok kacang botol yang ditanam di belakang rumah belum mahu berbunga. Daunnya sudah memenuhi pagar yang menjadi paranya. Aku mula mencari pucuknya dan nekad untuk mencuba.
Kebetulan ada baki keledek yang direbus untuk dibuat cucuq badak. Tidak rugi percubaan kali ini kerana rasa sayur pucuk kacang botol memang sedap. Lebih sedap daripada sayur kangkung. Andai lambat pokok kacang botol aku ini berbuah, ianya tidak lagi mendatangkan masalah. Makan sayur pucuknya pun berbaloi.
Ambil pucuknya yang masih lembut. |
Resepi Sayur Pucuk Kacang Botol Sama Keledek
Bahan2:
1 mangkuk besar pucuk kacang botol
1 cawan keledek yang dikukus/rebus
3- 4 ulas bawang putih - dikisar/ditumbuk
2 ulas bawang merah*
1 sudu besar ikan bilis*
Bahan * ditumbuk/dikisar bersama
1 biji cili merah dihiris
Garam
Sedikit minyak
1/2 cawan air
Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bawang putih. Goreng sehingga kekuningan atau
naik bau.
2.Masukkan bahan yang ditumbuk, cili dan garam.Kacau sehingga garing sedikit dan masukkan
air.
3.Masukkan keledek dan biarkan kuah pekat sedikit. Masukkan pucuk kacang botol dan kacau
sehingga masak/layu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan