Jumaat, 2 Disember 2016

Rasa Dapurku (208) - Nasi Kabsah Ayam Buat Jamuan.

BismillahirRahmanirRahim.

Kali ini aku mahu berkongsi resepi Nasi Kabsah Ayam yang aku masak setelah kembali menetap di Malaysia. Mudah untuk membeli bahan-bahan untuk memasak makanan Arab di Malaysia kerana sudah banyak kedai khas untuk menjual pelbagai barangan yang diimport dari negara Timur Tengah. Di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Kedai Berkat Madinah yang terletak di Ampang dan Sungai Chua, Kajang menjadi tumpuan ramai. Setelah ke sana, aku dapati banyak barangan yang ditawarkan. Semuanya ada termasuk bahan-bahan mentah seperti daging kambing segar dan sayur-sayuran. Bakhlava dan roti pun ada. memang seronok ke sana. Aku juga suka membeli yogurt di situ kerana yogurtnya sama seperti yang dijual di Riyadh.


Hidangan Nasi Kabsah di SMK Bandar Sungai Long


Sebahagian dari rakan-rakan setugas di SMK BB Sungai Long....tak sabar nak makan.
Lim, Muja, Liza dan Liza, Noraini, Huda dan Syam. Seronok dapat bertugas bersama.
Baru-baru ini aku menyediakan Nasi Kabsah Ayam untuk rakan-rakan kolej dan juga rakan-rakan yang bersamaku bertugas sebagai Pengawas peperiksaan SPM di SMK Bandar Baru Bangi. Mulanya aku menjamu rakan-rakan Pengawas SPM yang seramai 9 orang namun aku masak lebih iaitu untuk 20 orang makan. Termasuk untuk jiran sebelah rumahku. Selang beberapa hari kemudian aku masak pula untuk rakan-rakan kolej yang berada di bilik guru seramai 40 orang. 

Hidangan untuk rakan di Kolej pula.

Oleh kerana ramai yang berminat untuk mendapatkan resepinya maka aku kongsikan sekali lagi resepi tersebut. Ada yang mahu menempah Nasi Kabsah dari dapurku, malangnya aku agak keberatan. Diharapkan resepi ini dapat membantu mereka yang berminat untuk menyediakannya. Aku menggunakan serbuk rempah Chef Ammar yang aku rasa memang sedap . Warnanya yang kemerahan membuatkan aku tidak perlu  meletakkan pes tomato di dalamnya.

Bahan  untuk Nasi Kabsah. Serbuk Pewarna Saffron,
 Serbuk rempah Kabsah, Saffron Asli (mahal ni) dan limau kering.
Limau kering adalah penting bagi Nasi Kabsah.

Resepi Nasi Kabsah ( untuk 20 orang)
Bahan2:
1 1/2 atau 2 ekor ayam (ikut saiz) dipotong dan dibersihkan.
7 cawan (1 kg) beras basmati @ beras Nasi Arab dibasuh dan direndam selama 30 minit
3-4 biji bawang besar (didadu)
2 inci halia*
10 biji bawang putih*
bahan * dikisar
7 sudu besar serbuk rempah Kabsah
3-5 helai Daun Bay (ikut saiz)
3-5 biji cili hijau
4 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak zaitun/masak
4 jenis penumis, lebihkan buah pelaga
3 biji limau kering
Pewarna Za'faran @ Saffron @ pewarna kuning
Kismis/gajus yang telag dibakar atau goreng(pilihan)

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak zaitun di dalam sebuah periuk yang sesuai.
   Masukkan penumis dan 2 biji bawang besar yang didadu. 
   Kacau sehingga naik bau. 
2.Masukkan halia dan bawang putih, kacau sebentar. Masukkan
   rempah Kabsah, kacau sekejap dan masukkan air secukupnya.
   Kacau dan masukkan daun Bay dan garam, biar mendidih.
3.Masukkan ayam dan pastikan ayam tenggelam (air cukup)
4.Biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya, gunakan api yang
   sederhana.
5.Keluarkan ayam dari air rebusan dan ketepikan.



Ayam sedang dimasak

Menyediakan Nasi Kabsah

1. Panaskan 2 sudu minyak sapi di dalam sebuah periuk yang sesuai.
    (Boleh juga guna kuali kemudian pindahkan ke dalam periuk)
2. Masukkan bawang besar yang didadu dan goreng sehingga hampir garing.
3. Masukkan beras dan goreng sehingga rata (sekejap sahaja)

Goreng beras
4. Masukkan 10 1/2 cawan air rebusan ayam. (1 cawan beras: 1 1/2 cawan air)
    masukkan bersama semua bahan lain seperti daun Bay dan penumis.Masukkan
    ayam yang direbus tadi.
5. Masukkan limau kering. Perisakan dengan garam. Masak sehingga air kering.
6. Letakkan pewarna Saffron ( campurkan dengan sedikit air) atau Saffron yang
    direndam bersama sedikit air). Masukkan cili hijau.
    Letakkan juga 2 sudu besar minyak sapi.
7. Tutup periuk dengan penutup yang sesuai  ( rapat) dan biarkan sehingga nasi masak 
    sepenuhnya. Gunakan api paling kecil. (dalam 30 minit).
    Letakkan  2 sudu besar minyak sapi setelah nasi masak dan tutup periuk kemudian \
    tutup api.
8. Masukkan kismis dan gajus ketika menghidangkannya.

Setelah masak

Gaulkan perlahan-lahan supaya warna rata ke semua bahagian


Salata @ Sambal Nasi Arab

7-8 biji buah tomato yang ranum
10 biji cili padi
4-5 biji cili merah
1/4 biji bawang besar
2 tangkai daun ketumbar/ pudina
1/2 biji air lemon
Garam

Kisar semua  menggunakan food processor (tanpa air)
sehingga semuanya hancur dan halus.
Kena buat banyak kerana ramai yang minat.
Salad

3 biji buah timun didadu
Daun Salad dihiris
3 biji buah tomato didadu
Hirisan bawang(pilihan) dihiris
Hirisan lemon(pilihan) dihiris

Gaulkan semuanya di dalam sebuah bekas kecuali hirisan lemon.



Orang Malaysia kurang gemar hirisan lemon.
                         

Boleh dihidang bersama spageti yang direbus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ronda-ronda Cari Makan Balkan.

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah dengan izin Allah kami bertiga berpeluang menjelajah ke negara Balkan selama 12 Hari 9 malam bertarik...