BismillahirRahmanirRahim
Hujung minggu lepas berpeluang pulang ke kampung. Rezeki ada durian sesat di kebun durian Almarhum Ayahanda. Aku yang sudah sekian lama berhasrat untuk mencuba resepi seri muka durian mengambil peluang yang ada. Kebetulan rata-rata saudara di kampung tidak pernah merasainya.
Setelah melihat beberapa resepi di blog dan Fb, aku tidak begitu yakin mampu menghasilkan seri muka yang sedap dan cantik. Rasa malas pula walaupun kebanyakan bahan mentah sudah ada di dapur dan pulut sudah direndam. Mahu tidak mahu aku memaksa diri untuk mencuba dengan berpandukan resepi seri muka yang sedia ada di dalam blog ini. Hanya aku menambah isi durian sahaja.
Hasilnya memang amat membanggakan. Semua yang berpeluang merasa kuih seri muka durian begitu bahagia sekali. Syukur Alhamdulillah kerana aku mampu hasilkan resepi sendiri. Cubalah memang tidak rugi untuk membuatnya sedap rasanya memang cun.
Resepi Kuih Seri Muka Durian
Bahan2:
Bahagian bawah (pulut)
2 cawan pulut susu direndam dengan air 4 jam dan ditoskan
Santan sederhana pekat yang dicampur dengan sedikit garam
Bahagian atas (kepala)
2 cawan santan pekat
3 biji telur
1/2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula putih
1 cawan isi durian
Sedikit garam
Pewarna kuning secukupnya
Cara Membuatnya:
1.Masukkan pulut ke dalam loyang yang dialas dengan daun pisang atau plastik
2.Masukkan santan sehingga sama paras dengan pulut, jika lebih sedikit pun boleh,
3.Kukus sehingga pulut masak. Keluarkan dari pengukus dan tekan pulut dengan
sudu atau senduk supaya padat. Ketepikan.
4.Kisar tepung bersama santan pekat, dan telur sehingga sebati dan tapis.
5.Kisar isi durian bersama adunan (4) sehingga halus.
6.Masukkan adunan ke dalam sebuah kuali atau periuk. Masukkan gula, garam
dan pewarna. Panaskan sambil dikacau adunan sehingga pekat.
7.Tuangkan ke dalam loyang yang berisi pulut. Kukus selama 30 minit atau sehingga
masak.
8.Biarkan beberapa jam supaya betul-betul sejuk untuk mudah memotongnya.
Cantik sehingga tidak percaya ianya menjadi sebab itu dicucuk beberapa kali ...hahaha |
Sekali buat 2 loyang daaa. |
Suasana kampung yang menyegarkan |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan