BismillahirRahmanirRahim
19 Julai 2023 (Rabu)
Jam 8:00 pagi kami dah menaiki grab untuk ke Stesen Keretapi Bukit Mertajam.
Biar awai, tak kalut.
Terus ambil tiket komuter ke Alor Setar pukul 8:40 pagi. Tiket berharga RM6.40 untuk dewasa, separuh harga untuk wargamas dan OKU.
Untung juga bawa wargamas berjalan ni, dapat separuh harga...hihi.
Suasana dalam komuter lebih kurang MRT, selesa. Namun penumpangnya agak peramah dan saling tegur menegur. Rombongan kami yang ramai menguasai suasana.
"Nak pi mana ramai-ramai ni?" Tegur salah seorang penumpang yang duduk sebaris dengan saya. Dia ditemani cucunya.
"Langkawi." Jawabku sambil senyum.
"Beg besaq ni, macam ringan je. Nampak macam meloncat, mesti kosong." Dia meneka.
"Pandai teka, betoi. Ni beg spare untuk beli barang nanti." Tak sangka pula saya, ada yang perasan.
1 jam tempoh perjalanan tak terasa lama kerana ada sahaja isu yang nak dibualkan.
Coach komuter ini kami yang punya. |
Sembang apa tu, Kakcik dan Kak Milah. |
Tu dia beg. |
Abang Mat dan anak menakan Cikgu Mohd Ameer menjemput kami dengan dua kenderaan untuk ke rumahnya di Kuala Kedah.
Sebaik sampai, kami dijamu dengan buah nangka dan durian. Kak Milah dan Kak Aishah membantu Kak Yang untuk menyediakan makan tengahari.
"Ni duit shopping Pak Jang bagi." Kak Aishah menghulurkan beberapa keping wang kertas RM50 kepada setiap ahli rombongan kecuali saya.
Semua yang menerimanya tersengih sampai ke telinga.
Alhamdulillah ada abang yang begitu pemurah dan sentiasa ambil berat akan hal kami adik beradik. Terima kasih abang.
Terima kasih juga Cikgu Mohd Ameer yang meluangkan masa menjemput kami di KTM.
'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang
kamu dustakan'
Lebih kurang jam 12:45 kami dihantar pula ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk belayar jam 1:00 tengahari.
Kami terus menaiki feri yang sudah sedia menanti.
"Waah besar juga feri ni." Saya merasa lega melihatnya sambil mengambil gambar untuk dihantar kepada En. Suami.
Setelah semua ahli rombongan duduk di tempat masing-masing, saya meninjau situasi dalam feri. Ada 3 tingkat semuanya, namun tiada ruang untuk kita melihat persekitaran sewaktu pelayaran.
Yang tak best tu, hanya satu kerusi sahaja untuk ahli rombongan kami duduk di tepi tingkap. Keutamaan diberi kepada Fitri.
Sedikit kecewa kerana tak boleh nak ambil gambar nanti.
Kat Jeti Kuala Kedah. |
Jom naik feri |
Feri besar, 3 tingkat. |
Dalam feri. |
Fitri, Kak Aishah dan Kak Milah. |
Cuaca tidak begitu baik, tiada hujan namun pukulan ombak agak kasar dan terasa juga goncangannya. Masing2 hanya mampu berdoa agar selamat sampai.
Ada yang takut termuntah, dahlah plastik tak bawa. Ubat tahan muntah pun tak makan. Seronok sangat sampai tak ingat.
Pun begitu sempat pula saya melelapkan mata dengan agak nyeyak juga. Hanya pemandangan lautan di sekeliling kami serta ombak yang memukul badan feri.
Kelihatan deretan pulau-pulau pelbagai saiz menandakan kami semakin hampir dengan destinasi. Mendung kelabu menghiasi langit dengan titik-titik hujan gerimis, menghampiri Jeti Kuah.
Sebaik turun dari feri, saya menghubungi ejen kereta yang bernama En Khairul. Saya diminta olehnya menunggu di Restoran Hamid.
Sepanjang laluan kami disapa dengan ejen-ejen kereta sewa untuk menawarkan khidmat mereka. Saya sekadar gelengkan kepala sambil mencari di mana restoran tersebut.
Sebaik sampai, En Khairul mendekati kami dan saya memperkenalkan diri.
"Macamana harga? Bagi RM100 dah la." Saya bertanya, dengan pantas Kak Aishah turut berkata harga yang sama. Sebelum ni RM120.00.
"Okey, takpa saya bagi RM90.00 naa. Sehari je kan?" Balas En. Khairul.
"Puan boleh hantar bila-bila masa saja esok."Sambungnya lagi.
"Alhamdulillah, terima kasih." Cepat-cepat Kak Aishah menyampuk.
"Esok feri kami pukul 1:00." Respon saya.
Kami dibawa ke kereta yang sudah sedia menanti. Semua ahli rombongan dah tak sabar nak menjelajah Langkawi.
"Puan bubuh minyak dulu, takut tak cukup minyak nak ke hotel di Pantai Cenang." Pesan En Khairul sambil menyerahkan kunci kereta dan peta Pulau Langkawi.
Kebiasaannya jika di luar negara, minyak kereta diisi penuh. Penyewa akan memulangkan kereta dengan mengisi minyak yang penuh juga.
Saffura menjadi co-pilot untuk membantu saya memandu ke hotel yang memakan masa 45 minit untuk sampai.
Terasa lama juga untuk ke Pantai Cenang. Melalui kawasan yang masih dipenuhi hutan yang menyegarkan. Sesekali pemandangan laut yang membiru kelihatan dari kejauhan.
"Kita solat jamak qasar Zohor dan Asar kemudian kita pi makan." Pesanku kepada ahli rombongan sebaik selesai urusan di kaunter.
Alhamdulillah, RM300.00 untuk duit hotel juga diberi oleh Abang Mat. Semoga murah rezekimu abangku.
Sri Embun Resort ni kelihatan masih baru jadi suasana biliknya begitu selesa. Dilengkapi kemudahan seperti hotel 3 bintang.
Gambar sewaktu dah check out kat hotel. |
Satu bilik muat 4 orang. |
Dengan Google saya dan Saffura mencari tempat yang sesuai untuk makan. Akhirnya kami memilih untuk ke Restoran Singgah Selalu KakTon sebab ada Pasembor.
Kami melalui kawasan kampung dan sawah padi. Sebaik duduk, hujan turun dengan lebatnya. Masing-masing memesan apa yang diingini.
Saya meminta dua pinggan pasembor untuk dihidangkan terlebih dahulu kerana dah lapar.
Ada yang pesan mihun sup, mi rebus, tomyam, nasi goreng, mi goreng basah dan kuetiau kungfu.
Semuanya berharga RM75.00 termasuk minuman.
Pasembor Langkawi. |
Mi Rebus |
Kereta sewa kami. |
Usai makan, hujan pun berhenti.
Ke mana kita lepas ni?
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan