New
Zealand Village, Yamaguchi
Agak lama aku memerhatikan Saffura yang asyik
melambung blok kayu berbentuk kiub yang tertulis nombor dan juga tulisan dalam
bahasa Jepun itu. Objek hiasan yang menunjukkan tarikh dan hari itu sangat digemari oleh Saffura sejak kecil lagi. Tidak
tertahan melihat gelagatnya aku terus menegur.
"Saffura, jangan main benda hiasan
tu. Nanti rosak, jauh tahu mama beli tu." Saffura hanya tersengih dan terus bermain dengan blok kayu tersebut seolah-olah
bermain batu selambat.
Tidak berpuas hati dengan sikap Saffura
yang masih tidak mengendahkan laranganku, aku bergerak menuju ke ruang tamu.
Apabila melihat aku mula mengorak langkah ke arahnya, Saffura terus bangun dan
meluru ke arahku sambil bertanya. "Mama beli mainan ini di New Zealand ke?
Mama kata mama tak pernah pergi ke New Zealand, siapa bagi ini mama?"
Suaranya yang manja menghilangkan
keinginanku untuk terus memarahinya,
lantas mengambil objek tersebut sambil berkata, "Ini bukan alat permainan sayang.
Ini adalah sejenis hiasan merangkap kalendar. Tengok ni, New Zealand
Village Yamaguchi, Japan. Mama beli di
Jepun, bukan di New Zealand."
Jawapan tersebut mengundang soalan lain
pula dari Saffura, "Kenapa dekat Jepun ada nama New Zealand pulak?"
Aku mengimbau kembali kenangan melawat sebuah
taman tema yang diberi nama New Zealand Village, Yamaguchi hampir dua puluh
tahun lalu. Ketika itu aku bercuti untuk mengikuti suami menjalani kursus di
Yamaguchi, Jepun.
Kami dibawa oleh dua orang pelajar
Malaysia yang sedang belajar di Universiti Yamaguchi untuk bersiar-siar di sekitar
Bandar Yamaguchi. Taman tema yang agak luas itu mempunyai beberapa tarikan
seperti kawasan menternak kambing biri-biri di mana pengunjung boleh mendekati kambing
biri-biri yang terletak di dalam kandang yang luas dan berpagar. Terdapat juga
sebuah tasik yang mempunyai permainan bot air yang terdiri dari pelbagai rupa
bentuk seperti angsa dan kapal terbang. Permainan inilah yang menjadi daya
tarikan kepada kanak-kanak yang berkunjung ke sana. Mercu tandanya adalah
sebuah bangunan berciri Eropah yang memiliki bumbung berwarna merah jambu.
Untuk tidak mengecewakan pertanyaan
Saffura aku menerangkan kepadanya, "Mungkin orang Jepun begitu mengkagumi
keindahan New Zealand lalu dibina taman tema yang menyerupai suasana di New
Zealand. Sebab itu diberi nama New Zealand Village," dengan harapan
Saffura yang baru berusia 10 tahun itu boleh memahaminya.
"Kawan Saffura, Aishah pernah tinggal di
Australia dan melancong ke New Zealand. Aishah kata New Zealand sangat cantik, Saffura pun berangan-angan nak ke New
Zealand." Saffura menukar tajuk setelah mendapat sedikit kefahaman dariku.
Sambil menyusun kembali alat hiasan
tersebut di dalam almari khas di bawah
tangga ruang tamu rumah aku berkata, "Memang ayah ada merancang untuk ke
New Zealand, tapi penerbangan murah Air Asia dah memberhentikan penerbangan ke
sana. Jadi kita kena bersabar sikit. Kita kumpul duit dulu, harga tiket kapal
terbang untuk ke New Zealand mahal sikit."
Sambil menganggukkan kepala Saffura akur dengan
penerangan yang aku berikan. Kemudian Saffura bertanya kembali, "Mama,
cuti sekolah kali ini kita nak bercuti ke mana mama?"
Aku menutup kembali pintu cermin almari
yang sarat dengan pelbagai hiasan dari luar negara yang pernah aku lawati.
Kebanyakan barang yang aku beli adalah kecil dan murah sahaja. Sekadar sebagai
ingatan bukan untuk bermewah. Aku memberi perhatian semula kepada Saffura
setelah merasa puas menyusun barang-barang di dalam almari tersebut.
"Entahlah, memang mama ada ajak ayah
pergi ke luar negara tetapi ayah susah nak dapat cuti, mungkin yang dekat saja.
Ayah ada kata nak pergi Australia."
Belum sempat aku menghabiskan ayat
tersebut, Saffura melompat-lompat sambil menarik kedua belah tangan aku
lalu berkata, "Yeye, Saffura memang nak ke Australia sebab ada kanggaru
dan koala."
"Yalah, tapi mama dah pergi Australia,
dua kali dah," aku tersenyum melihat telatah Saffura.
Sambil melepaskan tanganku, Saffura menambah,
"Alah, Saffura selalu berdoa untuk pergi ke Australia seperti Aishah, okay
la mama."
Aku tidak mempunyai pilihan lalu menjawab,
"Tengok la, mama nak ajak ayah pergi ke Christchurch dari Melbourne. Tunggulah
ya, ayah masih mencari tiket murah, sabar lah."
Hasratku untuk ke New Zealand memang sudah
lama tersimpan di hati namun terpaksa dipendamkan sahaja memandangkan kos untuk
ke sana begitu tinggi. Pakej melancong yang ditawarkan oleh pelbagai agen
pelancongan begitu mahal dan tidak semua agen pelancongan menawarkan pakej
untuk pergi ke sana. Hanya agen pelancongan yang popular sahaja yang menawarkan
pakej seumpama itu. Harga serendah RM7,000.00 seorang untuk percutian selama 6
hari dan 5 malam sudah pasti membuatkan golongan berpendapatan sederhana seperti
keluargakuku berfikir dua kali sebelum pergi. Kami turut meninjau harga
tiket kapal terbang di Matta Fair 2012 yang berlangsung di Pusat Dagangan
Dunia Putra namun harganya juga agak tinggi. Syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines menawarkan tambang berharga RM3000.00 ke atas
untuk penerbangan pergi dan balik ke Auckland, New Zealand.
Harga tiket penerbangan menjadi lebih
tinggi jika tarikh yang dipilih adalah bertepatan dengan waktu cuti persekolahan. Waktu terbaik untuk ke New
Zealand adalah pada musim bunga dan musim panas kerana tempoh masa siangnya
yang panjang. Musim tersebut jatuh pada
bulan November dan Disember bersamaan dengan cuti persekolahan pada hujung
tahun. Negara New Zealand dan Australia memiliki 4 musim namun waktunya
bertentangan dengan negara beriklim yang sama di sebelah utara. Jadi ketika
negara-negara di Kutub Utara mengalami musim sejuk, negara-negara di Kutub
Selatan pula sedang mengalami musim panas.
Keghairahan Saffura untuk ke Australia
membuatkanku dan suamiku memikirkan cara lain untuk mendapatkan tiket penerbangan
yang murah. Akhirnya kami mengambil tiket penerbangan ke Melbourne menggunakan Air
Asia. Manakala untuk penerbangan dari Melbourne ke Christchurch, kami menaiki
Jetstar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan