Selasa, 29 April 2025

Memori Hari Raya Aidilfitri 1446H/2025M

BismillahirRahmanirRahim





Syawal tahun ini sudah pun berlalu dua hari lepas, namun sambutannya masih berlangsung di ibu kota. Aktiviti open house dan ziarah masih berjalan, situasi yang sudah menjadi amalan warga kota saban tahun. Janganlah marah! Inilah masanya untuk mereka bersilaturrahim setelah memberi tumpuan sepenuh masa mencari rezeki.

Tak sempat nak ucap selamat hari raya buat pengunjung blog Memory Ziasaf tahun ini. Mohon maaf ya, jadi saya ambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit memori sempena hari raya tahun ini yang pada saya tidak begitu meriah seperti biasa.

Saffura memulakan internnya sebagai pelengkap untuk ijazah Pengurusan Perniagaan di TH Travel seminggu sebelum hari raya. Jadi dia tidak mendapat cuti tambahan, hanya hari Isnin dan Selasa sahaja. Mujur juga tahun ini kena giliran beraya di Melaka jadi lega sedikit untuk balik ke sana.

Kali ini kami duduk di Kings Green Hotel yang terletak di tengah bandar Melaka, untuk dua bilik selama dua malam dengan harga RM600.00 ++.  Biliknya sesuai untuk dua orang namun agak selesa dengan kawasan parkir yang disediakan. 

Malam raya, kami hanya duduk di bilik hotel sambil menikmati pemandangan percikan bunga api yang dapat dilihat dari jauh. Meriah sungguh suasananya, puluhan percikan bunga api yang cantik memenuhi angkasa. Pertama kali jugalah saya tidak sibuk dengan membuat persiapan hari raya seperti menyediakan juadah dan mengemas rumah. Relaks je, best!

Jam 7:00 pagi, kami sudah bertolak ke Masjid Al- Azim untuk solat sunat hari raya. Sudah lama tidak ke masjid negeri ini. Sewaktu sampai, ruang solat masih kosong, menghampir jam 8:30 pagi dah penuh. Pertama kali merasa solat bersama orang besar negeri, TYT negeri dan Menteri Besar hadir sama diiringi isteri masing-masing.



Usai solat kami terus ke rumah saudara Hj Hedzir dan Puan Mastura. Dapatlah merasa juadah di pagi hari raya. Hasrat untuk berkunjung ke rumah ipar-ipar yang tinggal di Melaka tidak kesampaian kerana mereka juga sibuk berhari raya di rumah saudara masing-masing. Kecewa juga! Suami mengajak kami ke rumah sepupunya di Sungai Rambai, sekali lagi kami hampa kerana kerana mereka tiada di rumah. Dua rumah pulak tu!

 



Dalam perjalanan balik ke hotel, kami teringat kenalan yang berkenalan ketika trip ke Turkiye tahun 2022. Cikgu Hj Adnan dan isterinya Hjh Asiah yang tinggal di Jasin. Untuk tidak hampa lagi, suamiku menelefon terlebih dahulu. Alhamdulillah mereka berada di rumah, dapatlah kami singgah.




Malamnya, kami sudah kelaparan sedangkan belum ada jualan atau kedai makan yang dibuka.

"Kita makan kat AEON Mall, ada banyak kedai kat situ. Selalunya buka je." Saffura memberi cadangan.

Terkejut betul apabila kami sampai berhampiran bangunan, ruang parkir padat dengan kereta. Tak sangka betul! 

"Ramainya, semua masih lagi pakai baju raya. Semua dah lapar la ni." Aku memberi komen.

Kedai The Chicken Rice menjadi pilihan kami. Ini kali kedua kami masuk di kedai ini, kali pertama sewaktu di Singapura, lama dah.

Awal pagi Selasa, kami sudah bersiap untuk kembali ke rumah kerana takut jem. Kebetulan hotel terletak tidak jauh daripada sekolah pertama saya bertugas. Jadi kami singgah sebentar untuk bergambar. Saya di sekolah ini pada tahun 1989 sehingga 1991, banyak kenangannya.




Selesai kisah hari raya. Di bulan Syawal juga banyak kenduri kahwin, salah satunya rumah sepupu saya di Gemenceh (5 Inilah peluang untuk bertemu saudara mara yang tidak boleh dilepaskan. Perjalanan memerlukan masa lebih kurang 2 jam, jadi dapatlah kami menerima jemputan tersebut. Seronok jumpa Makcik, isteri kepada almarhum adik ayah yang kami panggil Pakcik Din. Sihat dia di usia lewat 70an. Banyak kenangan dengan Makcik kerana waktu itu, saya dan kakak Azizah tinggal dengan Tok. Rumah Makcik dan Tok tak jauh jadi Makcik selalu mengusik saya.

"Kecik-kecik mengangis je," usik Makcik yang masih mengenali dan ingat nama saya.

Suami dan abang Norsiah bernama Jefri.

Paling kanan, suami Norsiah.

Dengan Makcik

Sedap kuih ros ni.

Dengan Makcik dan Jefri

Dengan Norsiah dan Makcik


Hari lahir Saffura pun jatuh di bulan Syawal. Kami sambut di Arah Cafe yang terletak tidak jauh dari rumah. Maklumlah dia balik pun dah lewat petang. Bagus tempat ni, ada privacy tapi mahal sikit harga menunya tapi saya puas hati dapat makan Laksa Johor untuk raya tahun ni.






13 April, anak-anak almarhum Abdul Razak, abang saya sudi beraya di rumah kami. Muhaimin yang bekerja sebagi EOB di syarikat penerbangan dan abangnya Shafie yang bekerja di TH Travel. Terasa amat bermakna raya tahun ini dengan kehadiran mereka, maklumlah kami tak sempat balik beraya di kampung.


Isteri Shafie, Roshidayu dan tiga puteri mereka.


Isteri Mihaimin, Nur Farah dan dua puteri mereka.


Pada 19 April, kami ke Ipoh pula untuk jemputan kenduri kahwin anak Puan Asmah. Jemputan seawal bulan Oktober 2023, dah berjanji mesti ditepati. Puan Asmah ini teman sebilik Saffura sewaktu trip ke Balkan. Kami menginap di apartmen di ICC, Ipoh, selesa dengan dua bilik dan terletak di tengah bandar lama Ipoh. RM400.00 semalam.





Hadir sama Puan Lina


Keluarga Puan Lina

Pengantin


Sebelah petang pula kami diraikan oleh Dr Umi Kalthum dan suaminya di Pakeeza, Ipoh. Menikmati hidangan India Utara yang lazat.




Sempat beli buku terbaharu beliau.

Alhamdulillah dengan nikmat dan rezeki daripada Allah SWT. Moga kita semua dipanjangkan usia, bertemu lagi dengan Ramadan dan Syawal tahun hadapan. Aamiin,

Selasa, 18 Mac 2025

Salam Nuzul Al-Quran


BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah, hari ini kita menyambut Nuzul al-Quran. Peristiwa turunnya wahyu pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.  Peristiwa ini terjadi pada malam 17 Ramadan yang kemudian diperingati sebagai awal dari turunnya al-Quran dan permulaan risalah kenabian.

Kebiasaannya dalam kalangan masyarakat kita, setiap individu mahu mengkhatam bacaan al-Quran pada hari bersejarah ini. Tidak hairanlah majlis tadarus menjadi tumpuan untuk mencapai hasrat tersebut. Sesuai dengan bulan al-Quran, Ramadan menjadi tumpuan kita untuk membaca sebanyak yang boleh. Moga kita mendapat ganjarannya nanti, insya-Allah.

Minggu lepas saya mendengar dari Radio IKIM tentang doa yang dianjurkan untuk kita membaca sebanyak yang mungkin sepanjang bulan Ramadan. Yang saya ingat doa tersebut mengandungi syahadah, istifar, permohonan untuk masuk syurga dan dijauhi azab api neraka. Lepas itu saya sudah ingat doanya namun tidak selengkap yang saya dengari.

Kebetulan sewaktu taskirah Ramadan beberapa hari lepas Ustaz Zul Al-Baghdadi ada memberi doa yang sama namun ada sedikit penambahan dengan permohonan maaf di akhir doa. Ustaz ulang beberapa kali namun saya tidak dapat menangkapnya. Mujurlah saya mengenali ustaz yang merupakan guru al-Quran saya. Tanpa membuang masa, saya terus meminta doa tersebut dalam bentuk tulisan agar mudah dihafal. Saya kongsikan doa tersebut di sini.

Jom perbanyakkan doa di bulan Ramadan yang masih berbaki ini. Semoga Allah SWT menerima amalan dan doa kita serta menemukan kita dengan malam laylatul qadar, insya-Allah.

 

Jumaat, 14 Mac 2025

Salam Ramadan 1446H/2025

 

BismillahirRahmanirRahim




Assalamualaikum.

Mohon maaf buat semua sahabat yang berkunjung ke blog Memoryziasaf atas kelewatan saya mengemaskini berita terkini di sini. Sedar-sedar sudahpun hampir separuh bulan Ramadan dan sudah berada di bulan Mac 2025.

Moga belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat datang tahun 2025 dan Ramadan Mubarak 2025.

Harapan saya, semuanya sihat-sihat belaka dalam menghayati madrasah Ramadan tahun ini. Didoakan agar Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.


Salam sayang.

Ulasan Buku Autumn D'Hunza Pakistan

 Terima kasih Cikgu Irwan Shah dari Sabah.