Isnin, 19 Oktober 2015

Travelog: Oh!Riyadh (70)-Aidiladha di Al Madinah Al Munawarah


Aidiladha di Al Madinah Al Munawarah

Al Madinah Harmony Hotel terletak di tepi jalan berhampiran kawasan parkir awam di seberang jalan. Tempahan dibuat dari 21/9/2015 hingga 24/9/2015. Ketika itu tarikh wukuf di Arafah belum ditentukan lagi oleh pihak Arab Saudi. Tempahan yang tidak boleh dibatalkan itu berharga SR2100 untuk tripel room selama tiga malam. Terletak bersebelahan Concorde Hotel dan Hayatt Hotel. Harga hotel memang mahal sewaktu cuti musim haji kerana Madinah menjadi tumpuan untuk meraikan Aidiladha. Anwar Movenpick menawarkan SR5000++ untuk tempoh yang sama. Ini adalah kali pertama kami menyambut Aidiladha di Madinah. Pada keesokan paginya sewaktu subuh, suasana tidak sibuk seperti kebiasaannya. Tiada jualan di pintu pagar No. 23 yang menjadi laluan kami untuk ke Masjid Nabawi. Kebiasaannya kawasan sekitar laluan ke hotel dipenuhi dengan peniaga kecil-kecilan yang membentangkan kain untuk berniaga atau menyorong kereta sorong menjaja buah-buahan, coklat, kurma dan sebagainya. Kebanyakan kedai-kedai ditutup, berlainan sungguh suasananya.

Jalan raya sekitar hotel tidak sebuk seperti biasa
Kawasan parkir awam, seberang jalan ke hotel

al Madinah Harmony Hotel

Luas dan selesa

Suasana di luar Masjid Nabawi pada 8 Dzulhijjah 1436H

Hari wukuf pada musim haji 1436H adalah pada hari Rabu, 23/9/2015 dan hari raya Aidiladha pada 24/9/2015. Kami bertiga mengambil kesempatan berpuasa pada 9 Dzulhijjah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

"Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu" [HR Muslim No.1162]

Pihak hotel turut menyediakan sahur di awal pagi dan kami turut bersahur pada pukul 3.30 pagi. Pelbagai juadah disediakan seperti untuk sarapan pagi. Ramai yang bersahur termasuk kanak-kanak turut  sama menyertai ibubapa masing-masing. Keesokannya kebanyakan kedai makan ditutup termasuk KFC dan kedai makanan segera sekitar Masjid Nabawi. Tetamu semakin ramai tiba di Madinah, kebanyakannya warga Arab Saudi. Kami keluar ke Masjid untuk solat Zohor dan terus berada di sana untuk berbuka puasa di Masjid Nabawi. Selepas solat Asar, orang ramai mula memasuki ruang solat di dalam Masjid Nabawi. Ruang kosong semakin berkurang. Aktiviti membawa masuk makanan untuk berbuka puasa bermula. Troli-troli  sarat berisi roti, kurma, air minuman dan yogurt ditolak oleh penduduk tempatan dan diletakkan di sudut-sudut tertentu.

Orang Madinah terkenal dengan kemurahan hati
mereka. Melayan tetamu di Masjid Nabawi
berbuka puasa. Persediaan bermula.
Di sekitar tempat duduk aku pula, terdapat sekumpulan warga tempatan yang sudah berusia mula tiba secara berkumpulan atau sendirian. Masing-masing berpelukan sesama sendiri dan duduk berdekatan. Di tangan mereka terdapat pelbagai barang makanan juga tidak ketinggalan flash/ termos air panas. Mereka seolah mengenal rapat antara satu sama lain. Tempat duduk Aku dan Saffura yang berhampiran dengan tiang turut dipilih untuk meletakkan pelbagai jenis makanan.  Hamparan yang diperbuat dari plastik nipis dibentangkan selepas Solat Asar. Petugas atau golongan sukarela mula menyusun makanan di atasnya. Kami disuruh duduk megelilingi hamparan tersebut. Suasananya tidak ubah seperti ketika berbuka puasa di bulan Ramadhan bahkan lebih sesak lagi. Inilah suasana yang memikat jiwa dan terasa kemeriahannya.

Aku dan Saffura turut menerima roti yang enak ini.
Pelbagai jenis roti dihidangkan. Memang tak mampu
dihabiskan. Kurma pula tidak terhingga banyaknya.
Kebanyakannya jemaah mulai sibuk berdoa selepas waktu Asar sehingga masuk waktu Maghrib kerana ianya adalah waktu mustajab untuk berdoa. Kami menyertai tetamu Allah di Padang Arafah dan seluruh dunia memohon sebanyak kebaikan untuk kehidupan dunia dan akhirat. Sehingga saat akhir aku tidak bertemu dengan rempah yang kebiasaannya diberi untuk dimakan bersama dengan yogurt dan roti. Tempoh makan ketika berbuka puasa memang singkat, sekitar 10 minit. Petugas kemudiannya mengangkat hamparan tersebut bersama dengan isinya yang berbaki. Solat Maghrib diteruskan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah" [HR Tirmidzi no.3585. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa hadis ini hasan]

Suasana di luar Masjid Nabawi selepas berbuka puasa
Hari Wukuf di Arafah.

Kami ke Masjid Nabawi seawal pukul 3.30 pagi keesokan harinya, 10 Dzulhijjah. Ini untuk memastikan kami mendapat tempat untuk solat hari raya Aidiladha. Solat  Sunat Hari Raya diadakan setengah jam selepas Solat Subuh sekitar pukul 6.30 pagi. Orang ramai memenuhi setiap ruang solat Masjid Nabawi yang kebanyakannya berpakaian cantik dan istimewa walau pun berwarna hitam. Usai solat, kami bersarapan pagi di hotel. Pastilah tiada ketupat, rendang dan sebagainya. Uhhh....namun hati begitu puas dapat berada di Masjid Nabawi. Satu dalam jutaan yang mendapat peluang sebegini. Alhamdulillah. Suasana sekitar Masjid Nabawi padat dengan orang ramai. Kanak-kanak dengan pakaian yang serba cantik berlarian ke sana ke mari. Di tangan mereka kelihatan pelbagai hadiah pemberian seperti gula-gula, coklat dan makanan ringan yang dibungkus di dalam pelbagai bentuk.

Suasana kawasan luar Masjid Nabawi selepas Solat Aidiladha.





Sekitar kawasan luar Masjid Nabawi selepas Solat
Aidiladha

Selepas waktu zohor pada Aidiladha di Masjid Nabawi

Seluruh kawasan di hadapan pintu masuk 23, terutama sekitar Hotel Hilton pula dipenuhi dengan golongan anak-anak muda. Mereka berpakaian kasual , tidak kelihatan jubah putih seperti biasa. Mereka berkumpul dengan pelbagai aktiviti seperti minum minuman ringan , berbual dan sebagainya. Terasa sungguh meriah sekali. Suasana meriah bersambung pada malamnya dan keesokan harinya.

Mercu tanda popular berdekatan Masjid Nabawi


Sarapan pagi di Aidiladha

Sarapan pagi di Aidiladha

Sarapan tengahari di Aidiladha

Sarapan malam di Aidiladha . Ini order dari Hotel...
sedapnya.
Kami mengambil keputusan untuk bermalam satu malam lagi dan mencari hotel yang berdekatan dengan hotel yang sedang kami duduki. Sofaraa Al Huda Hotel menjadi pilihan dengan harga SR549.0 semalam tanpabreakfast. Pertama kali kami diraikan dengan coklat dan kad. mengucapkan selamat datang dari pihak pengurusan hotel. Coklat diletakkan di atas katil. Kebiasaanya hotel 5 bintang menyediakan buah-buahan kepada tetamunya. Turut meraikan hari raya di Madinah dan sempat kami temui ialah Pn Hjh Salisa, Pn Hjh Roslina, Pn Hjh NurAzlin dan Muna. Rakan sekerja suamiku yang berbagsa Arab Jordan dan Mesir juga turut berada di Madinah.

Suasana di lobi hotel yang unik dan menarik
Coklat istimewa



Lebih selesa
Aku dan Saffura juga berpeluang memasuki Raudhah. Suasana agak berlainan kerana kebanyakannya yang datang menziarah adalah warga tempatan. Aku dapati mereka lebih tertib dan sabar berbanding dengan yang lain. Mereka juga tidak berebut untuk solat di ruang Raudhah seperti kebiasaannya yang terjadi pada bangsa lain.
Ramai yang mula meninggalkan Madinah.
Tidak ramai di Masjid Nabawi
Kemeriahan masih terasa - masih ramai berkelah
di sekitar Masjid Nabawi pada malam 12 Dzulhijjah



Tengahari 25/9/2015 kami meninggalkan Madinah dengan harapan akan berkunjung lagi ke sini. Kami   menuju ke destinasi seterusnya iaitu Buraidah yang jaraknya 500 km dari Madinah. Kota Madinah kini bersiap sedia menanti kehadiran jemaah haji yang akan berziarah ke Madinah selepas selesai ibadah haji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...