Jumaat, 29 Januari 2016

Dapurku D'Riyadh(122) - Cupcake Redvelvet


Sudah lama aku  ingin membuat kek yang cantik ini tapi terasa macam susah aje. Resepi popular ini memang mudah diperolehi melalui buku-buku resepi dan juga ditayang di Fb. Akhirnya resepi yang dikongsi oleh rakan-rakan Fb menjadi pilihanku. Resepi ini agak mudah dengan sukatan yang sesuai untuk mereka yang mahu mencubanya buat pertama kali. Menghasilkan 12 biji cupcake yang comel dan sedap. Resepi asal rasanya milik Azlita kerana ada nama Ita di dalamnya. Menariknya kek ini ialah penggunaan cuka dan baking soda yang menghasilkan karbon dioksida, menjadikannya lebih gebu dan ringan secara semulajadi. Kek ini juga tidak terlalu manis seperti yang pernah aku beli di kedai. 
Oleh kerana banyak bahan yang perlu disediakan, aku membahagikannya kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah untuk diikuti. Sebaiknya sediakan kesemua bahan A sehingga D sebelum mula memukul mentega dan gula.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2

Untuk Menyediakan cupcake
Bahan A
1 1/4 cawan tepung gandum
1/2 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil garam
Ayak kesemua bahan di atas di dalam sebuah mangkuk.
Ketepikan.

Bahan B
1 sudu besar serbuk koko
1 sudu besar pewarna merah
Sedikit air
Satukan kesemuanya di dalam sebuah mangkuk kecil.Kacau
rata sehingga menjadi paste.

Bahan C -Buttermilk
1/2 cawan susu segar
1/2 sudu besar jus lemon
Campurkan keduanya di dalam sebuah bekas.

Bahan D
1/2 sudu kecil cuka masakan
1/2 sudu kecil baking soda

Bahan E.
57 gram mentega tanpa garam
3/4 cawan gula halus/kastor
1 biji telur
1/2 sudu esen vanila

Cara Membuatnya:
1.Panaskan oven pada suhu 175 C.
2.Pukul mentega dan gula dengan menggunakan
   mixer sehingga lembut dan ringan.
3.Masukkan telur dan pukul lagi sehingga sebati.
4.Masukkan esen vanila dan Bahan B dan pukul
   sehingga rata.
5.Masukkan Bahan A(tepung)berselang seli 
   dengan Bahan C(buttermilk) Mulakan dengan 
   tepung dan diakhiri dengan tepung (tepung,susu,
   tepung,susu dan tepung).Kacau.
6.Masukkan Bahan D ke dalam adunan dan gaul
   sempurna dengan spatula.
7.Masukkan ke dalam loyang pembakar/ bekas
   cupcake. Bakar sehingga masak. 
8.Sejukkan dan hias dengan cream cheese topping.

Cream Cheese Topping
250 gm cream cheese
4 sudu besar butter
1/3 cawan gula icing(diayak)
1 sudu kecil jus lemon

Cara Membuatnya:
1.Pukul cream cheese sehingga kembang.
2.Masukkan bahan-bahan lain dan pukul
   lagi dengan mixer sehingga lembut dan
   gebu.
4.Hiaskan cupcake dengan cream cheese.
3.Ambil sedikit potongan kek untuk 
   dihancurkan dan ditabur pada kek.



Cubalah...

Isnin, 25 Januari 2016

Dapurku D'Riyadh (121) - Kibbeh Daging.


Kibbeh atau juga disebut kebbah merupakan sejenis makanan Arab yang sedap bagi aku. Kibbeh dan samosa merupakan hidangan permulaan sementara menanti hidangan nasi atau kebab. Mempunyai inti yang diperbuat dari daging, ayam atau cheese. Pertama kali aku merasainya ialah ketika menghadiri jamuan makan tengahari di tengah padang pasir anjuran pihak universiti di mana suamiku bekerja. Aku tidak pasti akan nama makanan tersebut yang aku rasa agak mewah rasanya. Sehingga aku ternampak gambarnya ketika menjamu selera di Restoran Al-Romansiah. Aku pun membuat pesanan untuk memastikan ianya adalah kuih yang pernah aku makan. Baru aku tahu namanya. Kibber juga dijual dalam bentuk sejuk beku di kebanyakan mall di sini.

SAR3 sebiji. Ada inti di dalamnya.
Untuk menyediakan kibbeh kita perlu bahan khas bernama bulgur yang akan dijadikan kulitnya. Mujur ianya banyak dijual di mall atau hypermarket di Riyadh. Aku pun mula mencari resepi di blog2 untuk mengetahui cara menyediakannya.  Seperti biasa lah aku akan memilih resepi yang agak mudah untuk mencubanya. Aku buat sedikit dahulu, hanya 11 biji sahaja.

Bulgur dari Turki
Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2:

Bahan Untuk kulit
3/4 cawan bulgur 
1/4 cawan daging yang dikisar halus
1 sudu kecil all spice/arabic spice/serbuk kari
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk jintan putih
1 biji bawang besar dipotong besar

Caranya
1.Rendam bulghur di dalam air sejuk selama 30 minit.
   Toskan dan perah (guna kain) supaya semua air 
   disingkirkan. Boleh juga ditekan dengan sudu 
   di dalam penapis untuk buang  air yang berlebihan.
2.Masukkan bulghur ke dalam food processor
   bersama semua bahan lain seperti di atas kecuali 
   daging.  Mesin sehingga halus dan sebati.
3.Masukkan ke dalam sebuah mangkuk.Masukkan 
   daging dan gaul sehingga rata dan membentuk doh. 
   Tutup dan simpan di dalam peti sejuk selama 
   30 minit.


Bahan untuk inti
3/4 cawan daging dikisar halus
1 biji bawang besar didadu kecil
1-2 ulas bawang putih (dikisar)
Garam secukup rasa
2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil all spice/Arabic spice/serbuk kari
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1/4 cawan pine nuts(aku tak letak)
2 sudu besar minyak zaitun/minyak
Minyak untuk menggoreng
Sedikit serbuk daun pudina kering/parsley.

Caranya
1.Panaskan minyak zaitun di dalam sebuah kuali. Masukkan
   bawang besar.Kacau sehingga sedikit perang. Masukkan
   bawang putih, garam, lada hitam, all spice dan cumin.Kacau.
2.Masukkan pine nuts dan daging. Kacau  sehingga masak.
   Angkat dari api dan masukkan daun pudina kering  dan
   kacau.Biarkan sejuk.




Cara Membentuk kibbeh:
1.Ambil bahagian kulit sebesar sebiji telur. Bentukkan bulat
  dan dibuatkan lubang untuk dimasukkan inti. 
2.Bentukkan seperti yang dikehendaki. Jika susah untuk
   membentuknya, basahkan tangan dengan air sejuk
  ( air dari peti sejuk).
3.Goreng di dalam minyak yang banyak sehingga 
   perang/masak





Sedap dimakan begitu sahaja, boleh juga dimakan
bersama  sos.



Sabtu, 23 Januari 2016

Travelog : Lambaian Qatar (1)

Doha...kami datang.


Qatar terletak di bahagian pantai timur Arab Saudi. Qatar, Kuwait, UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Oman merupakan enam buah Negara Arab di Teluk Parsi yang membentuk Dewan Kerjasama Teluk atau GCC (Gulf Cooperation Council).Negara-negara ini kaya dengan sumber minyak lalu rakyatnya juga terkenal dengan kekayaan mereka. Malah Qatar diberi pengiktirafan sebagai negara terkaya di dunia dengan hasil keluaran dalam kasar tertinggi di dunia. Penduduk Qatar tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana taraf kehidupan yang tinggi. Memiliki simpanan gas asli ketiga terbesar di dunia dan simpanan  minyaknya pula melebihi 25 bilion tong. Qatar semakin dikenali di dalam industri pelancongan apalagi setelah mendapat hak untuk menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia pada tahun 2022.

Hasrat untuk berkunjung ke Qatar sudah dirancang sejak setahun lalu. Namun ianya tidak kesampaian apabila musibah melanda. Kereta kami dilanggar ketika sedang di dalam perjalanan untuk mendapatkan permit membawa kereta ke sana. Alhamdulillah dengan izin Allah tertunai sudah hasrat untuk menjejaki bumi yang terkenal sebagai tempat tinggal Presiden Persatuan Ulama Sedunia iaitu Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi. Perantauan selama 5 hari empat malam sememangnya tidak mencukupi untuk menjelajah setiap inci bumi Qatar. Namun sebahagian besar wilayahnya mampu kami jejaki. Suamiku terus menguruskan beberapa perkara yang perlu dibuat untuk ke Qatar sebaik sahaja diberitahu tarikh bermulanya cuti sempena berakhirnya semester pertama universiti. Dua perkara terpenting ialah memohon re-entry visa dan mendapatkan surat kebenaran membawa kereta ke luar dari Arab Saudi. Surat kebenaran dari pihak Toyota diperlukan kerana kereta tersebut masih lagi di dalam pinjaman dengan pihak Toyota. Pihak Toyota memberikan surat kebenaran tersebut setelah mendapat kelulusan dari pihak polis.


Kedudukan Qatar di kalangan negara-negara Arab
 (Gambar dari Google)

Aku dan Saffura tidak berani untuk merasa gembira selagi dua perkara tersebut belum selesai. Hanya doa kami panjangkan kepada Allah agar peristiwa tahun lepas tidak berulang. Kami juga tidak mahu bercerita kepada rakan-rakan yang lain mengenai percutian kami kali ini selagi tidak melihat sendiri surat tersebut. Akhirnya permohonan re-entry visa kami perolehi dengan bayaran SAR200 seorang. Permit membawa kereta pula diberi 5 hari sebelum tarikh pemergian kami. Aku begitu bersemangat dan membuat persediaan awal dengan menyediakan beberapa jenis lauk pauk untuk disejuk bekukan dan dibawa ke sana. Walaupun Qatar menawarkan banyak makanan halal namun aku pasti makanannya lebih kurang seperti yang terdapat di Riyadh. Pasti kami akan cepat merasa jemu menjamah makanan Arab setiap hari.

Pada 12/1/2016 kami memulakan perjalanan apabila jam hampir ke pukul 6.30 pagi. Di musim winter, masuk waktu solat Subuh sekitar pukul 5.15 pagi jadi agak lewat untuk kami memulakan perjalanan. Di musim summer pula kebiasaannya waktu Solat Subuh lebih awal, sekitar pukul 3.30 pagi. Jika di musim summer kami akan keluar bermusafir lebih awal, biasanya pada pukul 5 pagi. Semua aktiviti di Arab Saudi amat bergantung kepada musim. Jarak Riyadh ke Doha, Qatar sekitar 600 km mengikut peta yang memerlukan perjalanan berkereta selama 5-6 jam. Kami mengambil jalan yang sama ketika ke Hofuf  bulan lepas.


Dari lebuh raya Riyadh - Damman, ambil simpang ke kiri di Sa'ad.

Selepas simpang  di Sa'ad, kita akan melihat pemandangan
memukau  iaitu red sand dunes yang begitu luas terbentang. 

Papan tanda menunjukkan jarak perjalanan yang
bakal dilalui.

Selepas red sand dunes, kelihatan unta-unta bebas
bergerak di kiri dan kanan jalan. Bilangannya memang 
banyak namun ada yang mengawalnya.
Tiba-tiba hujan...Alhamdulillah.

Perlahankan kereta....unta hendak melintas jalan

Ada yang tertinggal pulak!


Selepas Khurais pula, kawasan padang pasir diliputi
paip-paip besar yang menyalurkan minyak.
 Tahulah kita kini menghampiri
Empty Quaters atau Rub' al Khali.
Kawasan minyak
Empty Quater atau Rub'al Khali adalah salah satu gurun terluas di dunia. Ukurannya mencapai 650,000 km persegi yang melibatkan 4 negara iaitu Arab Saudi, Yaman, Oman dan UAE. Padang pasirnya begitu luas melebihi keluaran negara Perancis sedangkan gunung-gunung pasirnya ada yang lebih tinggi dari Menara Eiffel. Rab' al Khali juga memiliki dataran garam yang cukup luas. Ianya cukup luas sehingga terasa tidak berhujung. Tanahnya memiliki simpanan minyak yang banyak dan sudah pun ditemui. Fenomena aneh Sungai Pasir di Padang Pasir Empty Quater yang menjadi viral di FB suatu ketika dahulu melonjakkan lagi nama kawasan ini. Iklim di kawasan ini tersangat kering dengan suhu siang hari mencapai 55 C. Sukar untuk melakukan perjalanan di kawasan ini menjadikannya sepi dan kosong tidak berpenghuni. 


Kawasan Empty Quater
(Gambar dari Google)
Dah sampai di Hofuf tapi tak singgah.

Perjalanan dari Hofuf ke Salwa membawa kita melalui kawasan Empty Quater. Kelihatan sand dunes atau bukit-bukit pasir yang luas di kiri kanan jalan. Berbagai bentuk bukit pasir kelihatan namun kebanyakan pasirnya berwarna putih kekadang kuning cair. Bersyukur kepada Allah kerana aku berpeluang melihat keindahan padang pasir sepanjang perjalanan ini. Sememangnya ianya tidak pernah menjemukan. Suatu ketika kawasan padang pasir kelihatan tidak berpenghujung dan berpenghuni terutama di kawasan bukit-bukit pasir yang halus. Lebih kurang 50 km lagi untuk ke Salwa, kelihatan pekan-pekan kecil di sepanjang perjalanan seperti Tamani, Fardani dan sebagainya. Kebanyakan penduduknya terlibat dengan penternakan binatang seperti kambing dan unta.

Sand dunes kelihatan sepanjang perjalanan Hofuf - Salwa

Apabila terlihat gerai-gerai menjual karpet dan
 bantal untuk"majlis", kita sudah sampai di Salwa. 
Sempadan Arab Saudi-Qatar.

Pantai Salwa kelihatan dari lebuh raya.
Pekan kecil Salwa - terdapat sebuah
bulatan  yang mempunyai 3 simpang.
Pilih aje lah ..mahu ke mana.



Menghampiri kawasan kastam yang terletak di Salwa. Bulan
lepas kami hanya mampu bergambar di kawasan sempadan ini.
Kini Qatar melambai-lambai.

Kami tiba di kompleks kastam di Salwa pada pukul 11.40 pagi. Walaupun terasa lapar kami tahan dahulu kerana terasa agak risau untuk berhadapan dengan pengalaman kali pertama melepasi sempadan negara dari Arab Saudi. Kereta tidak banyak lebih kurang 6-7 buah kereta sahaja di hadapan kami yang sedang berbaris menunggu giliran untuk berurusan di kaunter. Suamiku menyerahkan pasport pemandu sahaja bersama dokumen kebenaran membawa kereta. Suamiku menerima sehelai kertas bersaiz kecil yang ditulis di dalam bahasa Arab. Kami meneruskan perjalanan ke kaunter 2 di mana kesemua pasport dan resit kecil tadi diserahkan. Dokumen kebenaran membawa kereta tidak perlu lagi ditunjukkan. Kereta diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang larangan seperti artifak bernilai dan sebagainya. Akhir sekali kami berhenti di kaunter terakhir di mana pasport kami disemak dan resit kecil tadi diambil. Kami begitu bersyukur kerana segala urusan berjalan lancar dengan mengambil masa selama 13 minit. Urusan di kaunter tetap diteruskan walaupun masuk waktu Solat Zohor.

Perjalanan dari kawasan kastam Arab Saudi ke kawasan
kastam Qatar. Jaraknya adalah 8-9 km.

Pintu gerbang untuk memasuki kawasan kastam Qatar

Di kawasan kastam terdapat beberapa kemudahan seperti bank, kedai, restoran, masjid dan tandas. Kelihatan kereta beratur menunggu giliran untuk memasuki negara Qatar. Kami tidak pasti mahu ke mana, yang pasti kami perlu mendapatkan visa untuk masuk ke  negara tersebut. Kelihatan bangunan di sebelah kira dan tertulis perkataan visa. Suamiku meletakkan kereta di sebelah kiri dan berjalan kaki ke bangunan tersebut. Lebih kurang lima belas minit, suamiku kembali bersama visa yang diperolehinya dengan bayaran SAR100 seorang. 

Bangunan, tempat untuk mendapatkan visa.
Kemudian urusan mendapatkan permit kereta untuk ke Qatar dan pembayaran insuran bernilai SAR112.
Urusan selesai pada pukul 12.30 tengahari.

Kaunter pemeriksaan kereta untuk masuk ke Qatar.

Poin pemeriksaan terakhir.


Sudah berada di bumi Qatar.
Singgah di R&R yang terdapat berhampiran kawasan kastam
yang bernamaBu Samra. Stesen Minyak Woqod 
mendominasi stesen minyak di Qatar seperti 
Sasco di Arab Saudi.
Masjid yang terdapat di R&R

Lebuh Raya Qatar kelihatan baru dan cantik dengan 4 lorong. Pemandangan di kiri kanan jalan sedikit berbeza di mana bentuk muka bumi yang luas agak rata. Tidak terdapat kawasan berbukit langsung. Dipenuhi kawasan berbatu yang kecil, tanahnya tidak berpasir seperti yang biasa dilihat di Arab Saudi. Pokok-pokok juga agak payah untuk dilihat terutamanya pokok Akasia. Terlalu sedikit tumbuhan hijau yang hidup di bumi ini. Kelihatan juga laut yang membiru dari jauh di sebelah kiri lebuh raya namun ianya semakin menghilang. Tiang lampu kelihatan sepanjang jalan begitu juga dengan 2 jenis kamera untuk mengambil gambar kereta yang melebihi had laju. Menariknya terdapat papan-papan tanda amaran bagi sesiapa yang berhasrat untuk membuang sampah di atas lebuh raya.  Mungkin kamera yang satu lagi memainkan peranan untuk mengambil gambar sipembuang sampah di atas lebuh raya.

Ianya amat mengembirakan kami kerana begitu terasa jalan-jalan di Qatar lebih bersih dan terjaga. Kami cuba mencari tempat yang sesuai untuk berhenti bagi menikmati makan tengahari yang aku masak pagi tadi. Tidak kelihatan langsung kenderaan berhenti di tepi jalan seperti yang kita biasa lihat di Arab Saudi. Tidak ada taman, kawasan perumahan atau deretan kawasan R&R. Setelah 45 km perjalanan baru kami dapat melihat rumah dan khemah, itu pun dalam jarak yang agak jauh. Kami tidak mempunyai pilihan selain meneruskan perjalanan sehingga ke Doha.

Jalan yang cantik sesuai dengan status negara terkaya di dunia.








Rabu, 20 Januari 2016

Dapurku D'Riyadh (120) - Butter Melt Cake



Sudah lama aku simpan resepi ini yang di 'share' oleh kawan2 di FB , sampai dah tak ingat siapa pemiliknya. Nampak macam gebu aje, jadi aku pun cuba buat.  Memang gebu dan sedap, satu hari dah habis sebiji kek dimakan oleh kami bertiga.Puas hati betul.
Lebih seronok bila aku dan Saffura bergilir-gilir mengambil gambar kek yang telah dipotong untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Puas untuk memilih gambar yang mana paling menarik.


Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2
5 biji telur gred A 
1 cawan butter dicairkan
1/2 cawan gula kaster
1/2 cawan susu pekat
1 cawan self raising flour*
1 cawan tepung gandum *
(aku guna tepung gandum aje)
2 sudu kecil  baking powder*
Bahan * diayak bersama-sama
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil perisa strawberi
Pewarna kuning dan merah.

Cara Membuatnya
1. Putar sehingga kembang telur dan gula.( mcm meringue)
2.Masukkan butter, susu pekat, esen vanila dan bahan *.
3.Masukkan sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga 
   sekata.
4.Bahagi adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian
   masukkan perisa vanila dan pewarna kuning. Satu
   bahagian lagi masukkan perisa strawberi dan pewarna 
   merah.
5.Masukkan ke dalam loyang yang disapu mentega atau 
   dilapik dengan baking paper. Masukkan adunan selang 
   seli sehingga habis.
6.Bakar pada suhu 160 C selama 1 jam (sehingga masak).
   Sebaiknya oven dipanaskan dahulu selama 20 atau 
   30 minit.
7.Selepas masak, keluarkan kek dari loyang dan 
   terbalikkan kek untuk mengelak kek dari mendap. 
   Sejukkan di atas redai.

# Boleh ganti dengan
Perisa vanila & Perisa Pandan (hijau)
Perisa Strawberi & Perisa Pandan
Cappucino & Coklat dll.





Ehmmm ....cantik dan sedap.


Dapurku D'Riyadh(119) - Biskut Kacang



Selama dua minggu sekolah-sekolah di Arab Saudi bercuti sempena berakhirnya semester pertama persekolahan bagi sekolah-sekolah milik kerajaan dan sekolah antara bangsa. Cuti bermakna lebih banyak makanan perlu disediakan untuk dijadikan kudapan sepanjang hari. Lebih-lebih lagi di waktu cuaca yang sejuk begini, perut sentiasa minta diisi.

Sudah lama aku ingin membuat Biskut Kacang terutama semenjak tinggal di Riyadh. Aku pernah membuatnya  lama dahulu ketika tinggal di kuaters Stesen Satelit Bumi, Lendu di Alor Gajah Melaka. Ketika itu ianya lebih popular dengan nama Biskut Mazola kerana menggunakan minyak jagung berjenama Mazola untuk menyediakannya. Resepi ini aku ambil dari Blog Dapur Tanpa Sempadan. Rasanya sedap sangat.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2
1 cawan tepung gandum*
1/4 sudu kecil baking powder*
Bahan * diayak bersama
3/4 cawan kacang tanah, dibakar, dibuang kulit dan dikisar halus.
1/2 sudu kecil esen vanila
1/2 cawan gula halus
Secubit garam
1 biji telur (kuning sahaja)
Minyak jagung secukupnya (anggaran 1/2 cawan)
Kuning telur untuk disapu
Kacang tanah untuk hiasan

Cara membuatnya:
1.Satukan tepung gandum, kacang kisar, gula halus, garam,
   esen vanila dan kuning telur ke dalam sebuah bekas. 
   Gaul hingga semua rata.
2.Tuang minyak tanah sedikit demi sedikit sambil digaul
   adunan tadi hingga menjadi doh yang boleh dikepal.
3.Bentukkan bulat-bulat dan susun dalam dulang pembakar 
   yang dilenser dengan sedikit minyak. 
   Hias dengan kacang tanah dan tekan sedikit.Sapu dengan 
   kuning telur.
Siap dibentuk dan dihias
4.Bakar dalam oven pada suhu 175 C selama 20 - 30 minit.


Siap dimasak...boleh dimakan. Satu adunan dapat
lebih kurang 30 biji biskut.

Ahad, 10 Januari 2016

Dapurku D'Riyadh (118) - Mi Goreng Mamak



Aduhai asyik teringat mi goreng mamak semenjak dua menjak ni. Masalah utama ialah untuk mendapatkan mi kuning. Nak buat sendiri aku tidak ada mesinnya, untuk beli malulah pula hanya sekadar sekilo dua. Hasrat untuk menggoreng mi ala mamak tersimpan begitu sahaja hingga terlupa...

Satu hari aku dan beberapa keluarga dijemput makan Nasi Kerabu di rumah sahabat kami, Pn Hjh Wan Salisa yang terletak di Umm al Hamam, Riyadh. Turut dihidangkan ialah mi goreng.
Lina  : Pandai Kak Wan buat mi kuning.
Aku  : Wan ada mesin...boleh lah buat mi kuning.
Wan : Itu bukan mi kuning...spageti tu.
Lina & Aku : Haaa....sebiji macam mi kuning.
Wan : Haha....tertipu.
Aku : Macam mana buat Wan?
Wan :Kak Jee masukkan sedikit serbuk kunyit semasa 
         merebus spageti tu. Jadilah mi kuning.
         Saya pun kawan yang beritahu.

Untuk menggoreng mi mamak pula,  blog dan Youtube menjadi rujukan. Pelbagai resepi ada. Aku pula tidak suka resepi yang menyusahkan. Biar mudah tetapi sedap. Aku mencuba sendiri  kaedah menyediakan mi goreng mamak ini. Walau bagaimana pun aku mengambil petua dari Chef Hanieliza yang memasukkan sedikit serbuk rempah kari untuk lebih memberi aura mamak ke dalam mi yang digoreng. Betul...rasanya memang sedap. Kebetulan tauge yang aku semai tiga hari lepas baru aku tuai, apa lagi bermulalah projek mi goreng mamak . Keluargaku ternyata begitu hepii dapat makan mi goreng mamak dua hari berturut-turut.


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Mi Goreng Mamak
Bahan2
1/3 bungkus spageti (3 orang makan)
1 sudu kecil serbuk kunyit
200 g daging dihiris nipis
2 biji telur (lebih pun tak apa)
2 biji kentang direbus,dibuang kulit dan dihiris
3 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil serbuk rempah kari ayam Jenama Adabi
1/2 biji bawang besar  dihiris
1/2 bawang besar*
4 ulas bawang putih*
bahan * dikisar halus
2-3 sudu besar sos tomato/cili
2-3 sudu besar kicap manis (ikut selera)
Minyak masak
Garam
1 mangkuk tauge
Sedikit daun bawang
Fish cake/cucur udang/tauhu ( tak letak)


Bahan2 yang diperlukan.

Cara Membuatnya:
1.Panaskan air di dalam sebuah periuk. Masukkan garam, 
   sedikit minyak dan serbuk kunyit. Masukkan pula 
   spageti dan masak sehingga lembut. 
2.Panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan
   bawang yang dihiris. Goreng sehingga kuning dan
   masukkan bahan kisar. Kacau sehingga  berbau wangi.
3.Masukkan cili kisar, serbuk rempah dan kacau.
   Masukkan daging dan air supaya daging masak dan lembut.
4.Masukkan tauge, mee, kentang rebus, sos, kicap dan kacau
   sekejap.
5.Buatkan lubang di bahagian tengah dan masukkan telur,
   biar sehingga telur mula mengeras dan kacau sehingga
   telur rata.


6.Akhir sekali masukkan daun bawang dan tutup api.
   Mee goreng mamak elok dimakan panas2.



7.Boleh dihidangkan.


Perah air limau atau lemon ....lagi sedap rasanya.

Tanpa hiasan pun licin juga...



Travelog : Jom Pi UK (10)


London.. Memang Best!

1/11/1996 (Jumaat)

Breakfast dihantar ke bilik dengan sebuah dulang berisi roti, jem dan 2 cawan teh. Kami ke Buckingham Palace, kelihatan beberapa orang Malaysia yang turut berada di sekitar kediaman Queen Elizabeth itu. Orang memang ramai, terdiri dari pelbagai bangsa seluruh dunia. Kami tidak berada lama di situ dan bergerak pula ke Green Park dan Hyde Park. Ketika keluar dari kawasan tersebut kami bertembung dengan Pengawal Berkuda yang sedang di dalam perjalanan untuk bertukar giliran bertugas di Buckingham Palace. Kami turut bersama dengan pelancong lain berdiri di tepi jalan melihat pergerakan mereka menuju ke istana sehingga hilang dari pandangan.


Pintu Pagar Buckingham Palace

Destinasi seterusnya ialah Harrods Knightsbridge, sebuah gedung membeli belah mewah yang terkenal di London. Aku memang berhasrat untuk ke Harrods kerana ada yang mengirim barang untuk dibeli. Oleh kerana terlalu luas kami memilih untuk ke bahagian yang tertentu sahaja. Tumpuan utama aku ialah di bahagian Foods untuk membeli Harrods Tea yang dikirim rakan. Aku membeli 6 tin kecil Harrods Tea dengan pelbagai perisa buah-buahan. Seronok rasanya apabila bekas teh yang dibeli dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik berkualiti berwarna hijau yang begitu cantik sekali. Coklat dengan berbagai rupa bentuk, saiz dan warna kelihatan begitu sedap  diletakkan di dalam almari bercermin.


Ketika di bahagian hiasan yang diperbuat dari kaca, crystal dan porselain kami memaksa diri berjalan dengan lebih berhati-hati. Melihat tag harga yang begitu mahal membuatkan kami menjuahkan diri dari barang-barang tersebut. Sekadar melihat dari jauh. Aku sempat lagi membeli beberapa barang untuk kenangan sebelum melangkah keluar. 

Kami singgah pula di Oxfort Street, kawasan membeli belah yang terkenal di London. Seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Orang memang ramai, berjalan dengan cepat menuju ke kedai pilihan masing-masing. Aku pula masih tidak dapat membuat keputusan untuk memilih kasut yang ingin dibeli. Beberapa buah kedai aku masuk dan keluar begitu sahaja sedangkan orang lain kelihatan sudah sarat dengan pelbagai beg di tangan masing-masing. 

Pada sebelah petangnya kami ke Tower Bridge serta The Tower of London dan berjalan di sekitarnya. Aku sempat membeli hadiah untuk keluarga sebagai kenangan. Kami menaiki feri di Tower Pier  untuk menyusuri Sungai Thames pada pukul 3.00 petang. Feri dua tingkat dan tidak berbumbung di tingkat atasnya begitu selesa untuk dinaiki. Terdapat seorang pemandu pelancong yang memberi penerangan berkaitan tempat-tempat penting yang dilalui. Penerangan yang diberi begitu bersahaja, sesekali lawaknya menghiburkan kami. Sepanjang pelayaran, kami melepasi beberapa buah jambatan selain Tower Bridge. Pelayaran kami berakhir di Westminster Pier.


Sudut paling sesuai untuk bergambar berlatarkan Tower Bridge

The Tower of London

Discover The Thames

2/11/1996 (Sabtu)

Hari terakhir di London. Kami ke Oxfort Street sekali lagi untuk membeli beberapa barang yang belum dijumpai.  Akhirnya aku dapat membeli sepasang kasut berjenama Clark setelah puas memilih yang berkenan di hati. Kami berada di Oxfort Street sehingga tengahari dan terus ke Malaysia Hall untuk makan tengahari. Kami ke Victoria Station pula untuk mengambil beg-beg yang kami tinggalkan di situ. Kami terus menaiki coach untuk ke Heathrow Airport dengan masa perjalanan lebih kurang 1 jam. Di Terminal 3 kami terus mendaftar masuk, Alhamdulillah kami tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan walaupun berat beg-beg yang kami bawa melebihi had yang dibenarkan.



Aku menghabiskan mata wang England yang masih berbaki di kawasan membeli belah di sekitar tempat menunggu untuk berlepas. Urusan untuk masuk ke dalam perut kapal terbang begitu ketat di mana kami terpaksa melalui pelbagai proses. Akhirnya kami berada di tempat duduk kapal terbang Malaysia Airlines , atau MAS. Lega rasanya berada di kalangan bangsa sendiri setelah lebih dua minggu berada di bumi asing. Tidak sabar untuk menikmati hidangan makan malam yang bakal disediakan. Akhirnya kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antara bangsa Subang pada pukul 6.00 petang setelah 12 jam 30 minit berada di udara. Alhamdulillah berakhir sudah kembara kami mengelilingi dunia dalam tempoh dua minggu.



-Akan Datang Jom Pi UK Part 2-



London Underground menanti.




Sabtu, 9 Januari 2016

Travelog : Jom Pi UK (9)


Hasrat Tertangguh di Dover 

31/10/1996 (Khamis)

Hujan turun dengan agak lebat di awal pagi menyebabkan kami tertidur dengan lebih lama. Kami berkunjung ke sebuah banglo besar milik Salam seperti yang dipesan malam tadi. Banglo tersebut terletak di hadapan hotel di mana kami tinggal. Salam merupakan anak jati England. Berkulit putih, berambut perang dan tinggi lampai orangnya. Alhamdulillah Salam diberi hidayah oleh Allah kembali kepada agama fitrah. Suamiku berkenalan dengan Salam di Malaysia sewaktu Salam melawat ke Malaysia yang begitu dekat di hatinya. Banglo besar tersebut telah bertukar status menjadi rumah untuk warga emas. Jadi Salam bekerja sepenuh masa di rumah tersebut dan dia memang kelihatan sibuk sepanjang masa kami berada di situ. 

Dikenali sebagai Amsterdam House, ianya menawarkan tempat tinggal untuk warga emas yang berumur melebihi 65 tahun. Rumah tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Bilik-bilik yang ditawarkan berupa single rooms, double rooms dan en suite rooms bergantung kepada kemampuan masing-masing agaknya. Terdapat juga ruang rehat yang luas dan selesa serta taman yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bungaan. Pekerja-pekerja juga kelihatan peramah dan sentiasa membantu penghuni di situ. Sempat kami dihidangkan dengan teh yang menyegarkan. Ramai di antara penghuni di situ yang menegur kami sambil memberi senyuman. Ada penghuni yang sedang berehat di ruang tamu manakala yang lainnya berada di bilik masing-masing. Kami menunggu kedatangan Salam yang sedang bertugas dengan penuh kesabaran.



Tempat tinggal warga emas yang kian diminati
dan diiktiraf/dibantu kerajaan.

Semalam kami sudah berkunjung ke rumah ini  dan mendengar kisah Salam. Kami begitu terharu dan bersyukur apabila diberitahu Emak Salam  turut memeluk Islam sebulan sebelum emaknya meninggal dunia dan dikebumikan di Petaling Jaya. Agak lama juga mereka tinggal di Cherating sebelum emaknya melafazkan syahadah. Terbaru abang Salam juga turut mengikut jejak mereka berdua. Salam begitu berminat untuk tinggal di Malaysia dan sempat bertanya kepada suamiku beberapa perkara berkaitan dengan peluang perniagaan di Malaysia.

Kami dibawa oleh Salam ke sebuah banglo lagi yang terletak bersebelahan dengan Amsterdam House. Rumah tersebut baru dibeli untuk dijadikan masjid dengan nama Maria Mosque. Rumah tersebut juga begitu besar dan luas. Ruang tamunya begitu selesa. Kami dihidangkan dengan makanan yang agak berat dan mengenyangkan. Namun rasanya begitu lazat dan aku amat mengemarinya. Kentang putar, karot, brokoli dan kekacang...habis sepinggan.

Salam menghantar kami ke Ashford International Railway Station bagi membolehkan kami menaiki Eurostar untuk ke Paris. Salam tidak dapat menunggu kami kerana mempunyai tugas yang harus dilaksanakan. Kami mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Salam atas layanan yang diberikan. Dengan harapan akan bertemu lagi di masa akan datang. Kami berpisah dan sehingga sekarang kami belum mendengar berita tentang Salam. Didoakan Salam terus komited di dalam Islam. 

Kami terus ke kaunter tiket untuk mengetahui harga tiket dan masa perjalanan untuk ke Paris. Harga tiket terlalu mahal buat kami ketika itu sekitar RM800 seorang. Terdapat tawaran harga yang lebih rendah tetapi kami perlu berada di Paris sehingga hari Ahad. Sedangkan tarikh penerbangan kami untuk pulang ke Malaysia ialah pada hari Sabtu. Hampir setengah jam kami berbincang, akhirnya rancangan untuk ke Paris terpaksa dibatalkan. Entah kenapa aku agak degil dengan menolak cadangan suamiku untuk ke Calais yang juga terletak di Perancis. Sekurang-kurangnya aku sudah sampai ke Benua Eropah.

Suamiku : Kita pergi ke Calais, dekat sikit.
Aku       : Tak mahu
Suamiku:  Doalah....ada rezeki kita pergi.
Aku      :  Bila la tu??




Akhirnya kami menaiki keretapi untuk kembali ke London dan tiba di Charing Cross Station pada pukul 3.00 petang. Aku tidak dapat tidur sepanjang perjalanan lalu menikmati pemandangan indah. Ladang, kambing biri-biri, pokok epal dan pokok oren kelihatan dari jauh. Kami ke Information Center, Victoria Station  untuk mendapatkan bantuan bagi mencari hotel untuk malam tersebut. Akhirnya B&B, London House di Paddington menjadi pilihan kami dengan harga 45 paun semalam. Terletak berhampiran dengan kawasan kediaman memudahkan kami mencari kedai untuk makan malam. Akhirnya kami ke sebuah kedai Pakistan dengan nasi beriani menjadi hidangan. Kedai tersebut juga menawarkan perkhidmatan telefon dengan harga yang agak  murah jadi aku mengambil peluang menelefon ayahku di tanah air. Dalam keadaan mengantuk ayahku melayan perbualanku. Lebih mendengar dari bertanya....aku tidak pasti ayah aku sedar atau pun tidak kerana ketika itu jam menunjukkan pukul 6.00 waktu tempatan sedang di Malaysia sudah pukul 2.00 pagi. Entah mengapa aku begitu bangga dan gembira berada di London.


Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...