Isnin, 30 November 2015

Dapurku D'Riyadh (88) - Hummus


Hidangan yang berasal dari Mesir ini begitu terkenal di Timur Tengah. Ianya dijual di kebanyakan kedai makan di Riyadh termasuk kedai makanan segera seperti Kudu dan Al Baik. Hummus juga dengan  mudah dapat dibeli dari Mall atau Market yang memyediakannya setiap hari. Ada masanya ianya dipromosikan bersama roti Arab yang dipotong kecil. Hummus juga dijual di dalam bekas dan mudah dibeli. Namun ada masanya hummus yang dijual agak masin seperti yang pernah aku beli dari Tamimi Market. Hanya aku seorang sahaja yang suka makan Hummus begitu sahaja tanpa roti. 
Untuk menyediakannya amat mudah, hanya memerlukan kacang kuda yang direbus, dimesin halus dan dicampur dengan tahini (pes bijan-cara sediakan tahini: bijan disangai dan dimesin sehingga halus dan dicampur minyak zaitun dan kisar lagi sehingga hasilkan pes yang dikehendaki -  1 cawan bijan : 2/3 sudu minyak zaitun ), minyak zaitun, bawang putih dan jus lemon. Jika suka boleh ditambah serbuk jintan manis namun ianya boleh diubahsuaikan mengikut selera masing-masing.


Biasanya hummus dihidang bersama pembuka selera
lain di restoran makanan Arab.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Hummus
Bahan2:
1 mangkuk kecil kacang kuda (direndam 10-12 jam
dan direbus sehingga lembut)
1 sudu besar tahini (takde pun takpe)
1 sudu besar minyak zaitun
1 biji bawang putih (tak letak pun takpa)
1 sudu besar lemon (nak lebih pun takpa)
Garam
Air secukupnya.
Sedikit serbuk jintan manis(jika suka)


Cara Membuatnya:
1.Kacang kuda yang telah direbus dikisar dalam food processor 
   sehingga hancur(bersama bawang putih)
2.Masukkan minyak zaitun, tahini, garam dan jus lemon. Kisar lagi.
3.Masukkan air sedikit demi sedikit sambil terus dikisar.
4.Kisar sehingga halus dengan kepekatan yang dikehendaki.
   (Agak lama juga untuk dapat tekstur yang halus)
5.Keluarkan dan boleh dihidangkan.





Boleh ditambah minyak zaitun ketika mahu makan (jika suka).

Dapurku D'Riyadh (87) - Kuih Tepung Gomak


Namanya entah dari mana asalnya. Bunyi tak best tapi kuih ini adalah kegemaranku. Di mana jumpa aku mesti beli. Tapi dengan syarat inti kelapa di dalamnya. Tahun lepas aku pernah membuatnya walau pun susah aku paksa diri juga. Aku goreng sendiri kacang hijau yang dibuang kulitnya kemudian mesin. Harum bau kacang hijau yang dimesin tidak dapat digambarkan. Namun hasilnya tidak begitu cantik kerana tepung kacang hijau yang dihasilkan agak kasar.
Tepung kacang hijau yang berbaki selepas aku menyediakan kuih koleh kacang memberi idea untuk aku membuat kuih Tepung Gomak sekali lagi. Kebetulan inti kelapa masih ada, jadi aku pun terus membuatnya buat hidangan berbuka puasa. Mudah sangat menyediakannya seperti membuat Kuih Buah Melaka
Puasa di waktu musim winter memang tidak terasa kerana waktu Maghrib sekitar pukul 5.00 petang.

Tepung kacang hijau dibawa dari Malaysia (1/2 kg je)

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kuih Tepung Gomak
Bahan2:
Tepung beras pulut
Sedikit garam
Air secukupnya
Inti kelapa
Tepung Kacang hijau

Cara Membuatnya.
1.Campurkan tepung dan garam. Masukkan air sedikit
   demi sedikit sehingga terbentuk doh. Jangan terlalu keras.
2.Anggarkan saiz yang dikehendaki, leperkan dan masukkan
   inti kelapa dan bulatkan.

3.Masak air sehingga mendidih di dalam sebuah periuk kecil. Masukkan kuih
   ke dalam air mendidih dan biarkan sehingga masak (terapung). Tapiskan
   untuk menyingkirkan air.
 



4.Tekan kuih supaya menjadi leper dan gaulkan dengan tepung kacang hijau
   sehingga terkena ke seluruh permukaan kuih.Ulang sehingga selesai.





Sedapnye




Dapurku D'Riyadh (86)- Okonomiyaki


Akhirnya aku berjaya juga mencapai hasrat untuk menyediakan sejenis masakan Jepun yang popular iaitu Okonomiyaki atau lempeng kobis. Kebetulan aku sudah pun membeli sayur kobis sebagai persediaan, andai aku mahu menyediakannya. Bagus juga program  World Culture Day Al Alameen School 2015 yang mendedahkan warga sekolah dan ahli keluarga kepada budaya sesebuah negara. Walau pun aku pernah ke Jepun namun keinginan untuk menikmati makanan di sana agak terbatas dengan persoalan status makanan tersebut.

Terputus idea apakah hidangan sayur yang akan aku hidangkan sebagai menu hidangan tengahari bersama ayam masak karahi. Kebetulan hujan yang turun selama dua hari berturut-turut memberi idea untuk aku mencuba sesuatu yang sesuai untuk suasana yang agak sejuk. 

Cubaan kali pertama aku berjaya, rupa bentuk okonomiyaki yang saling tak tumpah seperti telur dadar menarik perhatian suamiku. Selama 6 bulan suamiku tinggal di Jepun, tidak ada satu pun makanan Jepun yang disebutnya. Tapi  tidak untuk Okonomiyaki, dia mula meminatinya tapi dengan syarat tiada sos okonomiyaki atasnya.

Kali kedua, aku membuat Okonomiyaki dengan sebahagian besarnya merujuk kepada resepi yang diberikan NurFarhana, rakan sekelas Saffura. Aku ubah suai sedikit resepinya dan aku membuat dua biji keping Okonomiyaki. Satu darinya aku tambah dengan crabstick dan curahan sos cili sos,sos  BBQ  dan mayonis. Satu lagi hanya mengandungi bahan asas iaitu kobis, kentang dan telur sahaja.
Hidangan Okonomiyaki ini sangat sesuai juga untuk dimakan di waktu petang, lebih-lebih lagi ketika hujan sebab aromanya sangatlah enak.

Bismillahirrahmanirrahim 

Resepi Okonomiyaki
Bahan2:
1/5 biji sayur kobis - dihiris 
1 biji kentang disagat(boleh ganti dengan keledek)
Sedikit hirisan bawang besar(pilihan)
Udang/daging/ayam (dihiris nipis-pilihan)
2-3  batang crabstick
1 sudu teh baking powder
2-3 sudu besar tepung gandum
2 biji telur(dipukul)
Air secukupnya
Garam

Cara Membuatnya:
1. Campurkan kobis dan kentang ke dalam sebuah bekas.

2. Masukkan telur, tepung, garam  dan baking powder.Masukkan air 
    sedikit demi sedikit,  jangan terlalu cair  macam lempeng atau jemput-jemput.
    Akhir sekali masukkan crabstick/udang.


3.Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan adunan tadi sehingga 
   kelihatan gelembung udara/ agak-agak sudah  masak di bahagian bawahnya. 






4.Terbalikkan dan biarkan sehingga masak/kekuningan (macam warna telur dadar)




5.Angkat dan hidangkan.



Resepi sos (pilihan)
6 sudu besar sos tomato
2 sudu besar kicap
2 sudu sos Worcestershire
Campurkan semuanya.


Dihias dengan sos cili, sos BBQ dan mayonis.
Boleh tabur Seaweed jika suka.

Khamis, 26 November 2015

Travelog : Oh! Riyadh (78)-Hujan Di Riyadh

Hujan Di Riyadh

Selepas Jeddah, Mekah dan Madinah ditimpa hujan lebat, minggu ini giliran Riyadh dan kawasan sebelah Timur Arab Saudi pula. Musim hujan menandakan bermulanya Winter setelah lebih seminggu kami menikmati cuaca yang sungguh nyaman. Seperti biasa sekolah dan universiti ditutup sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku perkara yang tidak diingini. Hujan yang agak lebat bermula pada tengah malam sehingga pagi hari Selasa esoknya seperti yang dijangkakan. Aku pula yang sudah terlelap lebih awal terjaga di tengah malam dan tidak boleh melelapkan mata lagi. Lalu aku menjadi pemerhati hujan yang turun bersama aliran air yang agak deras di jalan raya yang terletak di depan apartmentku. Ternyata warga Riyadh juga tidak tidur malam dan kenderaan tidak berhenti melalui kawasan rumahku sehingga ke pagi. Mungkin ada yang meraikannya setelah diumumkan cuti keesokannya.

Hari Rabu, hujan turun sepanjang hari sehingga ke lewat petang. Sekolah terus bersambung cuti dan dibuka semula pada hari Ahad (29/11/15). Saffura agak boring duduk di dalam rumah lalu kami berdua bersiar-siar sekitar kawasan perumahan kami. Ianya tidak pernah dibuat sebelum ini. Cuaca yang sejuk 17 C, agak menyegarkan untuk kami berjalan kaki melihat persekitaran sambil mengambil gambar dan mencuci mata melihat mewahnya rumah-rumah jiran Arab Saudi  yang tidak kami kenali.

Perkampungan universiti

Apartment kami dari tepi.
Suka tengok air yang bertakung

Hasil tadahan air hujan selama 2 hari di jalan raya
Di depan rumahku - binaan sedang dibuat untuk menanam
pokok. Tidak lama lagi menghijaulah.
Deretan villa yang sedang dibina di depan rumahku
Jalan raya di depan rumahku - dijangka akan menjadi
jalan utama

Sejuk2

Masjid terdekat - selang 3 blok dari aparment kami


 Gambar-gambar Villa di bahagian belakang apartment kami.
Dua villa bersaiz besar







Rumah yang sama dari segi bentuk dan saiz adalah biasa.



Akhirnya berjalan ke kedai buat pertama kali,
 Kedai paling dekat dengan rumah.

Kawasan persekitaran  berhampiran Pandati
Banyak  kedai lagi nun di sana.

Menerima beberapa gambar kejadian banjir sekitar Riyadh dari FB. Namun tidak seteruk banjir pada tahun 2013. Alhamdulillah tiada kehilangan nyawa setakat ini.


Di Riyadh

Di Buraidah pula (300+km dari Riyadh)
ditimpa hujan batu.



                                                                                                                              zias/riyadh/15


Dapurku D'Riyadh (85) - Lamb Karahi Vs Nasi Hujan Panas


Kejayaan menghasilkan masakan Chicken Karahi menambah  semangat untuk  mencuba Lamb Karahi pula. Mana tidaknya rasanya memang sedap, tiada kuah tersisa semuanya licin. Mulanya aku mahu gandingkan masakan yang bermaksud "Kuali" ini (dalam bahasa Hindi) dengan Nasi Pulao yang juga popular dari Pakistan. Namun di saat akhir aku memilih Nasi Hujan Panas. Sesuai dengan suasana hujan yang sudah dua hari melanda Riyadh. Sebenarnya aku kurang berminat dengan Nasi Hujan Panas yang selalu dihidangkan di majlis kenduri kahwin di tanah air. Baruku tahu mudah sangat untuk menyediakannya.Ternyata aku pula yang terlebih makan nasi kali ini. Gabungan antara Lamb Karahi dan Nasi Hujan Panas memang hebat. Resepi Lamb Karahi asal yang asal memang pedas, aku buat ubah suai sedikit supaya tidak terlalu pedas.

Daging lamb yang segar.


Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Lamb Karahi
Bahan2:
800 g daging lamb
1-2 biji bawang besar dihiris halus
3-4 biji tomato dipotong(boleh ganti dengan tomato paste)
1-2 inci halia
5 biji bawang putih
(halia dan bawang putih dikisar halus)
1/2 cawan yogurt
1 sudu besar serbuk cili (boleh lebihkan)*
1/2 sudu besar serbuk ketumbar*
1/2 sudu besar serbuk jintan putih*
1/2 sudu besar serbuk kunyit*
2 helai daun Bay*
3/4 cawan minyak masak
Daun ketumbar dihiris 
3-4 biji cili hijau (aku letak 1 biji sahaja)
Garam

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam periuk, masukkan halia dan
   bawang putih yang dikisar.Kacau sehingga hampir kuning.
2.Masukkan lamb dan kacau sehingga rata.Masukkan bawang
   dan tomato.Kacau sehingga sedikit layu.Tutup periuk .
3.Masukkan bahan bertanda *. Kacau supaya rata.Biarkan sekejap.
   Masukkan pula yogurt , kacau dan biar sehingga lamb lembut dan
   semuanya hancur menjadi kuah


4.Apabila semuanya hancur, masukkan daun ketumbar dan cili hijau.
   Masukkan garam dan masak lagi.
5.Jika mahu berkuah, boleh sehingga begini.
6.Perlahankan api dan biar sehingga pekat.



Sudah siap lauknya.
Resepi Nasi Hujan Panas
Bahan2:
2 cawan beras basmati (basuh, rendam 30 minit dan toskan)
6 cawan air
Sedikit halia dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
4 jenis penumis
1 sudu besar  minyak sapi
1 sudu besar mentega
1 sudu besar minyak zaitun
1 batang serai/ sehelai daun pandan
Garam
Sedikit kismis
Pewarna merah, hijau dan kuning

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam periuk.Masukkan penumis.
2.Masukkan bawang dan goreng sehingga kekuningan.
   Masukkan bawang putih dan halia.Kacau hingga garing.
3.Masukkan beras dan kacau 1-2 minit.
4.Masukkan air, serai@ daun pandan dan garam.Masak
   sehingga nasi kering.
5.Buat lubang dan masukkan warna-warna yang disukai.
   ke dalam lubang yang disediakan
  Taburkan kismis. Buka api perlahan dan biar 10-15 minit.

6. Selepas masak boleh digaulkan supaya bercampur warnanya.
Nasi Hujan Panas pun dah siap

Jom makan.

Sedap2

Isnin, 23 November 2015

Dapurku D'Riyadh (84) -Bubur Pulut HItam


Bubur pulut hitam memang sedap. Aku amat gemar memakannya tetapi aku agak cerewet sedikit berkaitan dengan jenis beras pulut hitam yang digunakan. Jika di Malaysia aku hanya akan memasak dan makan jika beras pulut hitam yang digunakan adalah benar-benar asli. Tidak dicampur dengan beras dan warnanya betul-betul hitam. Biasanya aku memesannya dari Pekan Rabu, Alor Setar. Ianya memang benar-benar tulen. Walaupun aku jenis yang tidak terlalu memilih bab makanan tetapi dalam hal bubur pulut hitam aku memang memilih.Aku sanggup tidak menjamahnya jika kelihatan bubur pulut hitam tersebut pecah-pecah dan ada campuran berwarna putih. 

Satu hari aku ternampak beras pulut hitam di Toko Indonesia, aduhai sukanya aku. Kenangan ketika menjamah bubur pulut hitam sewaktu sarapan pagi di sebuah hotel di Kota Jakarta. Bubur pulut hitam yang disediakan pekat dan dicurahkan dengan susu segar sewaktu hendak memakannya. Semenjak itu aku tidak lagi menggunakan santan pekat yang dicampur dengan sedikit garam jika mahu makan bubur pulut hitam. Susu menjadi pilihan untuk lebih menyihatkan.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Bubur Pulut Hitam
Bahan2
1 cawan pulut hitam
(dibasuh dan direndam 5 jam ke atas)
Gula pasir
Santan pekat yang dicampur dengan sedikit garam
(gunakan air masak untuk memerah kelapa)
Atau Susu segar (ganti santan)
Air secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Masak pulut hitam bersama air rendamannya yang berwarna
   ungu pekat sehingga lembut. Jangan risau kerana pulut hitam
   asli tidak akan pecah walau pun lama merebusnya.
2.Masukkan gula secukupnya dan masak sehingga pekat.
3.Masukkan susu atau santan ketika mahu memakannya.
4.Jika mahu senang boleh dimasukkan terus santan kelapa ke dalam
   pulut hitam yang sudah dimasak. Kacau sehingga agak pekat.
   Boleh dimakan terus.


Bubur pulut hitam yang pekat

Ditambah susu segar @ santan pekat

Kacau rata sebelum memakannya

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...