Khamis, 29 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (6)

Penyeluk Saku Di Paris!

Agak sukar mencari hentian  Metro untuk ke Grand Palais. Akhirnya kami tersadai di sebuah pusat membeli belah , Le Palais Des Congres.  Nyata  kami  tersilap  pilih  Palais kali ini. Kami  keluar dan melihat keadaan sekeliling  ternyata  kami  sudah sesat. Ada hikmahnya juga kami tersesat  di sini  kerana  kami boleh berehat sebentar  sambil  menunaikan  Solat Qasar dan Solat Jamak bagi Solat Zohor dan Asar. Kami masuk semula ke dalam pusat membeli belah yang  tidak ramai pengunjung ketika itu. Maklumlah  musim  panas ramai yang mengambil  kesempatan berjemur  di bawah  terik  matahari. Berbanding kita  yang  akan  mencari  kawasan berhawa   dingin  jika  cuaca  panas. Susun  atur   kedai  kelihatan  amat  berlainan  konsepnya. Moden  dan menarik, sekali pandang kita ternyata ianya pilihan orang berada. 




Kami  mencari  tandas  awam  juga  tempat  yang  sesuai   untuk   menunaikan solat.  Pastinya tiada  surau di sediakan di sini  namun  kewajipan  harus  ditunaikan. Kami  mengambil  keputusan  untuk  menunaikan solat di dalam  salah  sebuah  kedai  makanan  yang  terdapat  di situ.  Kami  memilih  sebuah  kafe  yang  menjual makanan  ringan dan  juga tidak ramai orang di dalamnya. Kelihatan juga  susun  atur  meja yang agak sesuai untuk kami jadikan tempat menunaikan solat.  Jarak  antara  tandas  awam  dengan  kedai tersebut agak jauh namun kami terpaksa juga akur dengan keadaan yang sebegitu. Kami memesan fruit tart bersaiz  besar dan muffin coklat  serta air mineral  sebagai syarat  untuk  menggunakan kemudahan tempat duduk di situ. Jumlah yang  perlu   dibayar   ialah  sebanyak 7 Euro. Kami   merasa   agak  selesa  memandangkan juru jual adalah seorang anak gadis berbangsa Asia dan agak peramah. 

Kami memilih meja  paling hujung, berhampiran  dinding bangunan  kedai. Suamiku menunaikan solat terlebih dahulu kerana beliau sudah pun ke tandas dan berwuduk. Aku dan Saffura menjamu selera sambil menunggu giliran menunaikan solat. Ketika  menunggu suamiku  bersolat, baru  aku  sedar bahawa dinding berhampiran tempat duduk kami  ada  pintu  untuk  ke tandas.  Itu  pun  setelah  aku melihat  sepasang  suami  isteri  yang sudah berusia menggunakan token untuk membuka  pintu  tandas tersebut. Tandas tersebut  disediakan khas untuk  pelanggan  yang  menggunakan  kafe tersebut.  Alhamdulillah urusan untuk mengambil wuduk pastinya menjadi  lebih mudah. Selepas mereka keluar dari tandas aku terus ke juruwang cafĂ© tersebut untuk meminta token penggunaan tandas. Dengan  senyum  mesra  dia  menyerahkan  token  bersaiz syiling 20 sen. Aku dan Saffura  terus  masuk  ke tandas  tersebut  dengan penuh  rasa kegirangan. Tandasnya  agak  luas, bersih dan mempunyai hiasan. Terdapat  ruang  membasuh  tangan  manakala  mangkuk  tandas lelaki  dan  perempuan diasingkan. Saya  menutup  terus  pintu  tersebut  bagi memudahkan  kami  mengambil wuduk. Apabila pintu ditutup  rapat  memang  tidak  terasa  suasana  di luar, begitu  juga ketika  di luar  kita tidak teras ada tandas kerana tidak  ada langsung  bau  yang tidak  menenangkan. Suamiku  yang  sudah  selesai menunaikan solat mengambil sedikit masa untuk melelapkan mata sementara menunggu kami selesai menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta.

Dalam perjalanan ke stesen Metro kami disapa oleh dua orang anak gadis yang amat peramah. Mereka berdua bertanya kepada suamiku bagaimana hendak membaca peta metro yang ada di tangan salah seorang dari mereka. Mereka berbual dalam Bahasa Inggeris dengan fasih. Suamiku pula tanpa rasa ragu-ragu mahu membantu lalu menunjukkan kepakaranya kepada mereka berdua. Untuk tidak menghalang laluan orang ramai, kami bergerak ke tepi  di laluan jalan menuju ke metro. Pelbagai pertanyaan diajukan berkaitan dengan peta metro tersebut. Aku yang tidak begitu memahaminya boring menanti perbincangan mereka. Mereka mengaku dari negara Itali walaupun suamiku berulang kali  menyangkalnya dan dengan yakin meneka bahawa mereka dari negara Sepanyol berdasarkan loghat bahasa mereka. Tanpa rasa jemu suamiku terus membantu mereka, ternyata mereka masih tidak faham juga. Tiba-tiba mereka berkata sesuatu kepada Saffura yang sentiasa berdiri di sebelah ayahnya.

Setelah mereka pergi barulah kami menyedari taktik menipu yang cuba digunakan kepada kami. Salah seorang dari mereka cuba membuka zip beg kecil  yang berada di pinggang suamiku.
"Ayah!Kakak berdua tadi tu nak cuti dompet ayah tahu tak!" Saffura bersuara separuh menjerit."Sebab itu kita peluk ayah tadi."Sambung Saffura lagi.
Suamiku membelek beg yang terikat di pinggangnya."Haah...memang terbuka sikit ni.Alhamdulillah pandai anak ayah." Suamiku menarik nafas lega.
"Ayah terlupa di Paris ini  memang banyak penyeluk saku." Suamiku seolah baru tersedar.
"Patutlah mereka macam marah dekat Saffura tadi."Aku pula menambah dengan rasa kesal kerana tidak memberi perhatian kepada mereka. Mungkin kami sudah keletihan lalu hilang tumpuan.

Kami bersyukur kepada Allah kerana tiada kejadian buruk berlaku maklumlah di dalam beg kecil yang diikat pada pinggang suamiku itu amat berharga. Di dalamnya bukan sekadar mengandungi wang tunai bahkan juga yang paling bernilai ialah pasport antara bangsa milik kami bertiga. Bayangkan jika kesemuanya hilang tentunya percutian kali ini penuh dengan duka dan rancangan untuk ke Istanbul mungkin bermasalah. Suamiku mengucapkan terima kasih kepada Saffura kerana kebijaksanaannya yang telah menyelamatkan kami semua dengan izin Allah. Suamiku terus member peringatan akan pentingnya kami mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w sepanjang masa seperti doa dan tidak meninggalkan solat. Ini supaya kembara kita mendapat pelindungan dan keredhaan Allah s.w.t.  Memang banyak kejadian kehilangan dompet di Kota Paris ini yang telah kami dengar dari kawan-kawan atau tulisan di blog. Tidak disangka pula gadis-gadis cantik turut terlibat untuk melakukannya.


 Sekitar bangunan Le Palais Des Congres.

Isnin, 26 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (5)


Arc De Triomphe De Letoile


Dari Stesen Charles de Gaulle Etoile kami tiba di mercu tanda kedua yang popular di Paris iaitu Arc De Triomphe De Letoile. Tidak jauh dari kawasan ini ialah laluan membeli belah ternama di Paris iaitu Avenue Des Champs Elysees. Aku tidak menduga monumen  Arc De Triomphe De Letoile begitu besar dan tinggi. Sebesar sebuah bangunan. Ia terletak  di tengah Place Charles de Gaulle sebuah persimpangan  yang amat sibuk. Kami meninjau terlebih dahulu bagaimana untuk ke sana. Dengan melintas jalan  adalah mustahil kerana kenderaan yang berpusing di situ tidak putus langsung. Suasana di atas jalan tersebut amat sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan. Tidak kelihatan pula sesiapa pun yang melintas untuk ke sana.

Sambil berdiri kami melihat kesibukan persekitaran. Ada pertunjukan tarian anak-anak muda disamping jualan kecil-kecilan dari pendatang. Suasana laluan pula begitu sibuk dengan pelbagai kenderaan termasuk Tuk tuk Paris, sejenis pengangkutan menyerupai motosikal yang popular di Indonesia. Terdapat juga kenderaan seperti beca tetapi basikalnya sangat canggih. Ramai juga pelancong yang menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan untuk disewa bagi menikmati keindahan Paris. Walau bagaimana pun basikal di Paris lebih cantik dan moden. Binaan bangunan di Paris agak berbeza dari di London kerana bangunannya lebih cantik, besar dan kukuh. Puas berfikir cara untuk ke Arc De Triomphe De Letoile yang sudah berada di depan mata.                  

Perut pula minta diisi, terutama aku yang memang tidak mampu menahan lapar. Dari pagi kami berjalan, terasa tenaga semakin berkurang dan keletihan. Kawasan ini amat luas dan penuh dengan bangunan pelbagai jenis.  Kami ambil salah satu laluan kedai untuk mencari makanan halal tetapi tidak pula kelihatan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan di McDonald. Di Paris McDonald dilatari warna hijau tulisan kuning tidak seperti di Malaysia latar merah tulisan kuning. Kami hanya mengisi perut dengan kentang goreng dan jus bagi mendapatkan tenaga seterusnya. Mujur Saffura, anak yang tidak cerewet. Kami sempat terserempak dengan beberapa orang rakyat Malaysia dan sudah pasti kami tidak bertegur sapa. Agak mudah mengenali warga Malaysia melalui  cara mereka menggunakan tudung jika wanita Muslim.



Tidak tertahan untuk ke tandas kami cuba menggunakan tandas awam yang sangat canggih terletak berdekatan Mc Donald. Mempunyai binaan yang moden terletak di laluan yang agak sibuk. Kami meninjau keadaan luar tandas untuk mencari bagaimana membuka pintu tandas tersebut. Binaan tandas tersebut mirip sebuah kapal angkasa dengan butang-butang komputer untuk ditekan. Tiba-tiba pintu tandas terbuka setelah kami menyentuh suiz yang ada beberapa kali. Aku  dan Saffura melangkah masuk ke dalam tandas yang luas seperti sebuag bilik tetapi gagal untuk menutup pintunya. Kelihatan mangkuk tandas sedang dibersihkan secara automatik. Kecewa, kami pun ingin melangkah keluar. Tiba-tiba seorang lelaki berusia datang menolong kami.  Terdapat  lampu berlainan warna di bahagian pintu masuk tandas mengikut fungsinya. Apabila warna hijau muncul baru boleh ditekan untuk masuk ke dalamnya. Gunakan warna merah untuk menutup pintunya. Tandas yang luas boleh diisi melebihi 10 orang itu mengandungi mangkuk tandas, cermin muka dan paip air. Selepas menggunakan tandas secara automatik mangkuk tandas itu akan dibersihkan sendiri. Untuk membasuh tangan pun ada caranya. Mulanya kita letakkan tangan di bawah paip,kemudian sabun akan dikeluarkan terlebih dahulu. Kemudian air dan udara untuk mengering. Setelah pengguna keluar tandas akan dikemaskinikan dan lampu akan berwarna biru sehingga selesai. Pintu tidak akan dibuka selagi lampu tidak berwarna hijau. Semasa kami melangkah keluar kelihatan suamiku sedang memberi penerangan kepada dua orang remaja yang turut teruja untuk menggunakan tandas awam yang canggih itu. Ahhh..macam-macam ada.


Kami meneruskan perjalanan untuk ke  Arc De Triomphe De Letoile.  Kami meninjau keadaan sekeliling dan puas berfikir bagaimana untuk ke sana. Ia berada di tengah-tengah bulatan dilingkungi lebih dari 6 simpang yang merupakan jalan-jalan utama yang akan melalui bulatan tersebut. Adalah mustahil untuk melintas di jalan yang amat sibuk itu. Bukan itu sahaja , jalannya juga begitu besar.  Kami berdiri seketika untuk melihat keadaan yang sibuk di bawah panas matahari. Kami mencuba jalan bawah tanah yakni jalan yang kami mula-mula masuk tadi. Hati mulai terasa sakit namun azam untuk mencari jalan ke sana masih kuat. Akhirnya kami menjumpai laluan bawah tanah untuk ke sana. Terpegun kerana laluannya begitu besar dan moden walau di buat di bawah tanah. Di sini juga kelihatan ramai pendatang asing menjual pelbagai barangan cenderahati dan permainan. Kami menyertai ribuan pengunjung lain untuk melihat Arc De Triomphe De Letoile dari dekat.

Arc De Triomphe De Letoile merupakan sebuah tugu peringatan. Gerbang kemenangan ini memberi penghormatan kepada mereka yang berjuang untuk Perancis khususnya di zaman Napoleon. Bangunan tersebut dipenuhi dengan pelbagai ukiran berbentuk manusia.  Turut ditulis nama-nama mereka yang terkorban dalam peperangan. Terdapat lif untuk dinaiki ke bahagian atas bangunan tersebut. Orang ramai beratur dalam barisan yang sangat panjang untuk mengambil peluang melihat pemandangan dari atas tugu tersebut. Kami tidak boleh melakukannya memandangkan kami sudah kesuntukan masa. Kami sekadar mengelilingi tugu yang amat besar itu untuk melihat kawasan sekitarnya. Suasana jalan raya masih terlalu sibuk dengan pelbagai kenderaan muncul dari pelbagai simpang.



Kelihatan Avenue Des Champs Elysees yang terkenal dengan syurga membeli belah barangan berjenama dan mahal. Dari jauh dapat di lihat dengan jelas butik Cartier. Pasti kami tidak akan mencuci mata di sana. Kedudukan monumen ini yang agak tinggi membolehkan kami melihat bangunan Grand Palais dari jauh. Kami begitu  teruja untuk ke sana.


.






















Dapurku D'Riyadh (63) - Kuih Lapis



Siti Zaleha memberi link http://myresipi.com/top/detail/2845 berkaitan resepi Kuih Lapis kepada aku.
"Kak resepi kuih lapis ni mabeles." tulis Siti Zaleha.
Kebetula stok serbuk santan masih ada selepas aku membuat resepi Laksa Johor. Melihat kepada resepinya yang memang mudah, aku mahu mencubanya. Puas aku mencari pewarna bewarna pink di Tamimi Market lalu aku gunakan sahaja pewarna yang sedia ada. Aku ubahsuai sedikit resepinya namun hasilnya  memang sedap, lembut dan boleh dibuka setiap lapisnya satu persatu.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Kuih Lapis
Bahan2:
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula
1 sudu teh garam
1 cawan serbuk santan
1 sudu teh minyak masak
4 cawan air
Pewarna.

Cara Membuatnya:
1. Masukkan tepung beras, tepung gandum,gula,
    santan,garam dan air ke dalam blender. Blend
    sehingga semuanya larut dan adunan sekata.
    (Jika blender kecil masukkan separuh dahulu
    air, masukkan  adunan ke dalam bekas besar
    dan masukkan lagi separuh air dan kacau)
    Panaskan air di dalam kukusan.
2. Bahagi adunan kepada dua bahagian.Masukkan
    pewarna kuning dalam satu bahagian dan pewarna
    hijau dalam satu bahagian yang lain. Kacau
    supaya sekata.
3. Sapu loyang dengan minyak.Masukkan 1 cawan
    adunan bewarna kuning dan kukus selama 5 minit.
4. Masukkan pula 1 cawan adunan hijau dan kukus
    selama 4-5 minit. Ulang sehingga selesai. (6 lapisan)
5. Lapisan terakhir bewarna hijau dikukus selama 20
    minit. Selepas masak, keluarkan dari kukus dan
    biar sejuk. Potong setelah sejuk. Gunakan benang
    untuk mendapat potongan yang cantik.


Buat minum petang.




Travelog : Oh!Riyadh (72)- Bazar Malaysia Riyadh


Bazar Malaysia Riyadh



Program yang dinantikan oleh warga Malaysia yang tinggal di Riyadh. Satu-satunya program yang berjaya dilaksanakan pada tahun ini. Ianya memberi peluang kepada rakyat Malaysia bertemu pada 23 Oktober 2015. Promosi turut diadakan di Fb seperti di Ibu2 Riyadh dan Warung kak Yus Riyadh. WhatsApp Group Haji 1435 : Al Jameela turut rancak berbual berkaitan dengan  program ini. Lebih menyeronokkan kerana terdapat beberapa orang rakan di dalam group kami yang turut terlibat dalam jualan. Kak Yah, Yus dan Nor merupakan pakar memasak, begitu sibuk menjelang hari jualan. Muna, rakan kami dari Amerika Syarikat yang tinggal berhampiran dengan Kedutaan Malaysia turut mahu hadir. Namun dihalang oleh rakan-rakan yang terlibat kerana program ini hanya untuk warga Malaysia sahaja.

"Pukul 10 pagi baru buka gerai." Pn Zailah mengingatkan kami.
"Jom Kak Jee, kita pergi awal sebelum pukul sepuluh." Wan Salisa mengingatkan aku.
"Sebelum pukul 10 pagi, kami nak tunggu depan pagar kedutaan ." Kata Dr Rosmah.

Pengalaman dua tahun lepas  masih di dalam ingatan. Kami tiba hampir pukul 12.00 tengahari. Tidak banyak gerai yang ada, makanan pula hampir habis. Akhirnya kami mencari makanan di kedai ketika di dalam perjalanan pulang ke rumah. Namun pada tahun ini, terasa begitu meriah sekali. Apatah lagi dengan kehadiran duta yang baru, setelah hampir dua tahun ketiadaan duta di Riyadh. Kemeriahan dan kepuasan yang diperoleh dari program ini terus diperkatakan selepas ianya berakhir. Biar gambar-gambar sahaja yang berbicara.

Dalam perjalanan ke Bazar - Ribut pasir melanda 
Pagar  Pejabat Kedutaan Malaysia di Diplomatic Quater
Mendaftar diri, dapat bunga telur, bendera Malaysia  dan tiket tertulis no. 124
Aktiviti jual beli sudah bermula
Ruang makan, sebelah surau.

Makan sambil mendengar ucapan Duta Malaysia
di Riyadh.

Duta Malaysia 

Tazkirah turut disampaikan
Kak Yah sibuk melayan pembeli - Nasi lemak rendang daging dan macam2
Kek Lapis pelbagai warna dan rasa - dari Pn Nor
Letak aje terus licin. Mujur aku order awal 4 kontena,
kalau tak melepas.(SR25)
Satay pun ada - 4 cucuk Sr10

Mee goreng mamak, panas-panas, cendol dll dari Pn Faeda(tauke mee dan
kuey taw basah)

Nasi kerabu, mee rebus, pulut kuning
(SR25)

Ikan Tilapia Bakar

Laksa Johor

Laksa Utara

Sila pilih - lawa teko
Popia basah dan karipap frozen  Pn Emy
Pelbagai aktiviti menarik perhatian kanak-kanak

Silat pun ada
Meriah
Mak ayah pun suka

Pelbagai jubah, tudung,telekung turut dijual.
Tukang jahit popular di Riyadh , Pn Rosnani turut meniaga.
Pilihan ramai

Pn Yuslida dan keluarga, empunya Warung Kak Yus Riyadh

Dah merasa nasi kerabu Kak Yus kita (SR30)

Yang berminat mahu order 

Yong tau fu yang sangat sedap - masih teringat (SR25)

Pn Yan  dan Yong Tau fu. Sebelahnya adalah gerai
jualan amal untuk rakyat Syria oleh Chempaka Sari.
Beli sakan sedaraku ini - Pn Wan Salisa
Lepak2 - kekenyangan, gembira dapur tak berasap hari ini

Gembira juga
Paling happy Siti Zaleha yang bertuah dapat hamper.
 *Gambar kebanyakannya diambil dari Fb dan WhatsApp 
Jururawat pelbagai bangsa kelihatan begitu ramai ke Bazar Malaysia. Di tangan masing-masing sarat dengan pelbagai bungkusan terutamanya makanan. Ada yang dimakan dan ada yang mahu dibawa pulang. Rakan-rakan yang bertugas dan tidak dapat hadir, pasti turut berkirim makanan kegemaran. Bazar kali ini menawarkan hampir kesemua makanan kegemaran rakyat Malaysia. Pertemuan ini juga membuka ruang seluas-luasnya untuk warga Malaysia terus rapat dengan kenalan yang sedia ada. Juga berkenalan dengan rakan senegara yang terdiri dari pelbagai bangsa.

Aku rasa agak terharu melihat kaum Cina dan India yang turut menikmati makanan kegemaran Malaysia dengan begitu berselera sekali. Terserlah kerinduan pada keenakan makanan negara sendiri. Begitu sebati rupanya makanan tersebut dengan mereka. Amat rugilah bagi pihak yang masih mahu mengambil kesempatan memainkan isu perkauman atas apa juga alasan. Lebih malang bagi mereka yang mencadangkan supaya kaum bukan Melayu ini dihantar pulang ke negara masing-masing. Hanya disebabkan berlainan pendapat atau fahaman politik. Bila kejauhan begini , terasa ada hubungan yang tidak dapat diluahkan sesama saudara senegara dari pelbagai bangsa walau pun tidak bertegur sapa. Kita tahu bila dan bagaimana hidayah untuk mereka akan menjelma. Mudah-mudahan kita semua menjadi penarik mereka kepada Islam melalui akhlak kita.


Firman Allah SWT yang bermaksud

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui"[Al Quran Surah Ar Rum ayat 22]

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesunggunya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal" [Al Quran Surah Al Hujurat ayat 13]



                                                                                                       zias/riyadh/15


***Ada gambar yang  diambil dari Fb atau WhatsApp warga Malaysia di Riyadh











Khamis, 22 Oktober 2015

Dapurku D'Riyadh (62) - Laksa Johor Mudah



Aku memang suka makan laksa Johor. Tidak lengkap sambutan hari raya Aidilfitri rasanya jika tidak merasainya. Pn Hjh Muhaiya dan Pn Hjh Faridah sangat memahami kegemaran aku ini. Mereka berdua adalah seniorku di Universiti Sains Malaysia. Kami masih rapat setelah hampir 30 tahun bersahabat. Dari Pn Hjh Muhaiya aku pelajari bagaimana menyediakan santan kelapa yang pekat untuk dibuat Laksa Johor. Masih terasa susahnya memerah kelapa ketika itu. Pn Hjh Faridah pula menunjukkan cara bagaimana menghiris timun, ianya cukup istimewa.
Timun di Riyadh, kecil saiznya dan murah harganya.
Saiz yang kecil, sukar menghiris lebih nipis
Memang susah untuk menyediakan Laksa Johor. Memang aku tidak pernah membuat Laksa Johor di Malaysia. Santan yang pekat, kerisik yang segar, ikan yang sesuai, pelbagai daun dan sambal belacannya. Pasti sukar untuk mendapat selengkapnya bahan tersebut. Mujur Pn Hjh Faridah mencadangkan kepada aku supaya menggunakan perencah rendang untuk memudahkan kerja. Akhirnya aku berjaya menyediakannya dengan mudah dan rasanya pun sedap. Tq Kak Farid.


Turut mengandungi kerisik di dalamnya.
Aku juga telah berjaya menanam sendiri pokok tauge, khas untuk dimakan bersama Laksa Johor.Hanya 3 hari sahaja diperlukan untuk pokok tauge membesar.
Guna periuk aje...senang untuk ditutup rapat.

Rendam kacang hijau 8-10 jam.Masukkan dalam bekas
berlubang.Letakkan dalam periuk dan tutup. Siram
selalu selama 2-3 hari. jangan panjang sangat.

Keluarkan dari bekas dan buang ekornya. Sama rasa
macam dibeli.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Laksa Johor Mudah
Bahan2:
1 kg Ikan Kembung (direbus,i sinya dikisar,air diambil)
2 sudu besar rempah kari ayam jenama Adabi
2 sudu serbuk cili/cili kisar
1 pek Perencah Rendang Jenama Adabi
(Jika tidak guna perencah rendang,tambah dengan
3 batang serai, 1 inci serai dan 1 inci lengkuas
yang dikisar halus bersama bawang besar dan
bawang putih)
1 biji bawang besar
5 biji bawang putih
2 sudu kerisik
2 mangkuk santan pekat( aku guna
santan serbuk)
2 batang serai
1/2  batang bunga kantan(dipotong 4)
Minyak untuk menumis
Garam
Asam keping(jika suka)
Sedikit Udang segar/udang kering yang dikisar
(aku tak letak)
1 bungkus spageti

Cara Membuatnya:
1. Kisar bawang besar dan bawang putih.
2.Panaskan minyak di dalam periuk dan masukkan
   serai. Masukkan pula bawang yang dikisar.Kacau.
3.Masukkan rempah,serbuk cili dan perencah rendang.
   Goreng sehingga  garing/pecah minyak. Masukkan
   garam.
4.Masukkan isi ikan yang dikisar bersama air rebusan 
   ikan. Masukkan santan, kerisik dan bunga kantan.Kacau.

Rupa bunga kantan setelah 2 bulan.Guna separuh aje.

5.Biarkan mendidih. Perlahankan api.
   Masak sehingga kuah menjadi pekat.

Kuahnya semakin pekat - aromanya memang best
Rebus spageti di dalam air yang ditambah garam dan
sedikit minyak.
1.       
Cadangan Bahan Tabur:

Ini aje yang ada.

Timun
Bawang yang dihiris nipis
Daun kesum(tiada) dan bunga kantan yang dihiris nipis
Tauge
Kacang panjang yang dipotongkecil(tiada)
Sambal belacan(ganti dengan hirisan cili hijau yang pedas)
Limau nipis (ganti dengan lemon)
Daun Selasih (tiada)

Jom makan. Tanpa sambal tapi terangkat juga.
Kalau ada sambal belacan... lagi sedap.






Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...