Ahad, 30 April 2017

Rasa Dapurku (220) - Kacang Pool/Foul



BismillahirRahmanirRahim




Salam Syaaban. Semoga kita dikurniakan umur dan kesihatan, untuk terus berada di bulan yang begitu hampir dengan bulan yang dinanti iaitu Bulan Ramadhan. Ya Allah temukan kami dengan bulan Ramadhan pada tahun ini, semoga ianya adalah yang terbaik. Kali ini aku mahu berkongsi sejenis makanan yang amat popular di negara Arab. Makanan pilihan untuk sarapan pagi ini begitu diminati ramai di Arab Saudi dan ianya dijual setiap hari. Aku tidak pernah membeli di kedai, tetapi tidak pernah melepaskan peluang menikmatinya ketika bersarapan pagi di hotel. Terutama hotel  di sekitar Mekah dan Madinah yang menyediakan hidangan Kacang Pool yang sungguh enak untuk dimakan bersama roti. Namun aku lebih suka makan begitu sahaja.

Kacang Foul, kegemaranku setiap kali ke Mekah/Madinah.
Mangkuk khas untuk mengisinya.

Sepanjang tinggal di sana aku tidak pernah menyediakannya kerana lebih baik beli sahaja. Setelah kembali ke tanah air teringin pula untuk menyediakannya sendiri untuk dimakan sendiri. Ini kerana hidangan ini tidak diminati oleh ahli keluarga yang lain. Aku merisik resepi dari rakan setugas Pn Azzah yang kerap membawanya ke tempat kerja untuk dimakan bersama. Resepi yang dibuat sesuai dengan selera dan tekak orang Melayu.


Resepi Kacang Pool/Foul
Bahan2:
1 tin Kacang Pool/Foul
1/4 cawan daging kisar jenama Ramly
1 sudu besar minyak sapi/masak
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil rempah biryani
Garam secukupnya(jika perlu)

Bahan untuk dimakan bersama/ditabur 
Sedikit daun bawang dan daun ketumbar yang dihiris halus
Cili merah/hijau dihiris
Minyak zaitun
Buah zaitun jeruk
Telur mata atau telur rebus
Tomato dihiris
Bawang besar dihiris
Serbuk Jintan putih (kegemaran orang Arab)

Cara Membuatnya:
1.Hancurkan kacang dengan menggunakan garpu sehingga hancur.
   Aku lebih suka tinggalkan sedikit yang bersaiz kasar

Kacang Pool yang boleh dibeli di kedai menjual barangan masakan
Arab seperti di Berkat Madinah, Kajang  atau Ampang.
Luna adalah jenama popular di Arab Saudi.


Kacang Pool yang terdapat di dalam tin

Dihancurkan

2.Panaskan minyak sapi di dalam kuali dan masukkan daging. Kacau dan biarkan 
   sehingga daging masak. 
3.Masukkan rempah biryani, serbuk cili dan kacang. Kacau sehingga masak dan rata,
   tambah air jika terlalu pekat.

Siap untuk dimakan, 

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (8) - Lokasi Pencetus Perang Dunia Pertama

 Lokasi Pencetus Perang Dunia Pertama


Latin Bridge. Tempat berlakunya pembunuhan Franz Ferdinand pada 28 Jun 1914 yang menjadi pencetus Perang Dunia
Pertama.


Sabtu, 22 April 2017

Rasa Dapurku (219) - Ikan Cencaru Sumbat Kelapa




 BismillahirRahmanirRahim




Ikan Cencaru amat sesuai dimasak belah belakang yang diisi dengan sambal atau kelapa. Sajian yang akan menjadi pilihan jika aku  makan tengahari di kantin sekolah atau di kedai makan. Seekor tidak cukup rasanya untuk diratah begitu sahaja. Paling sedap jika diisi dengan sambal kelapa yang pedas dan berlemak. Aku agak ragu untuk memasaknya kerana merasakan sukar untuk membelah ikan dari sebelah belakang. Namun setelah mencubanya, terasa senang sangat membelah belakang ikan rupanya. Hanya dengan menggunakan pisau yang agak tajam, begitu mudah sekali membelah belakang ikan tersebut. Hasilnya memang sedap.

Resepi Ikan Cencaru Sumbat Kelapa
Bahan2:
4 ekor ikan Cencaru yang sederhana besar,dibersihkan dan
 dibelah belakang dan dilumur dengan garam dan kunyit.
3 helai daun kunyit
3 helai daun pandan

Isi Kelapa
1/2 biji kelapa parut
3 batang serai *
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
5-8 biji cili padi*
3 biji cili merah / 1 sudu besar cili kisar*
1 sudu teh serbuk kunyit/ kunyit hidup*
Semua bahan *  dikisar
Garam dan gula
Sedikit minyak masak.
1 helai daun kunyit dihiris halus(pilihan)

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bahan kisar dan
   goreng sehingga garing/naik bau.
2.Masukkan garam, gula, dan kelapa parut. Kacau sehingga rata
   dan agak kering.
3.Masukkan hirisan daun kunyit dan padamkan api.Sejukkan.



4. Sumbatkan kelapa yang telah dimasak ke dalam ikan Cencaru sehingga
    penuh. Ikatkan bahagian yang diisi kelapa dengan daun pandan dan daun
    kunyit.
5.Goreng atau bakar sehingga ikan masak.



Siap untuk digoreng.


Jumaat, 14 April 2017

Rasa Dapurku (Edisi Khas) - Pertandingan Memasak

Pertandingan Memasak


Tema ala-ala Arab.


29 Mac 2017 telah mencatat sejarah dalam hidupku. Pertama kali aku mencuba nasib di dalam pertandingan memasak anjuran kolej, tempat aku bertugas. Keputusan untuk turut bertanding diminta dalam masa tidak sampai 24 jam. Kasihan aku melihat rakan penganjur yang tidak jemu memujuk rakan guru masuk bertanding. Akhirnya aku memujuk Pn NorShafina untuk bersamaku, walaupun beliau agak keberatan untuk menyertainya. Setelah dipujuk, akhirnya beliau bersetuju. Perbincangan dibuat akhirnya kami bersetuju untuk menyediakan Kuih Cara Berlauk dan Kuih Cara Manis.

Syarat pertandingan untuk layak menang. Mesti menggunakan santan yang diberi
dan masak di dewan kolej.


Pertandingan bermula - adunan  kuih cara sedang disediakan.


Langkah memasak bermula.

Pn Saimah antara yang begitu berminat melihat kami sibuk di dapur.



Alhamdulillah acuan yang baru dibeli tidak meragam.

Giliran kuih cara manis pula. Acuan lama yang masih berjasa.
Bos matematik, Pn Aslina turut memberi sokongan kepada kami.


Lega rasanya apabila sudah mendapat hasil. Cuba letak udang pula.


Hasil masakan pertama.


Kumpulan sebelah kami, Pn Kasmini dan Pn Norhibah. Semua peserta begitu sibuk.


Pn NorShafina yang begitu kreatif .

Kunjungan rakan-rakan begitu bermakna. Penguat semangat.
Penganjur, Pn Nasuha memastikan segalanya berjalan lancar.
Tiba masa untuk menghidang. Segala barang diselongkar dan dibawa.


Bersedia untuk diadili pada bila-bila masa sahaja.


Berdebar menanti kunjungan para pengadil.


Bergambar buat kenangan.

3 sahabat pengadil sudah tiba. Layan.


Semoga sedap dan berkhasiat untuk dimakan.


Macam sedap aje. Diharap puan-puan pengadil betul-betul adil dalam membuat keputusan.


Jiran sebelah dengan Resepi Pulut Mangga. Pn Azzah pun turut sama.

Kumpulan Pn Liyana dan Cik Anis

Ini kumpulan Pn Aminah dan Cik Nur Syahida dengan resepi Bubur Kacang.

Setelah 5 hari baru keputusan diberi, sewaktu majlis penyampaian hadiah di perhimpunan kolej. Alhamdulillah kami menjadi juara. Baru aku tahu banyak aspek yang perlu diambil kira sebagai peserta. Namun ianya memberi pengalaman yang sungguh bermakna dalam  memberi kekuatan untuk lebih yakin ketika berhadapan dengan orang ramai ketika memasak. Sokongan rakan-rakan sangat bernilai dan memberi impak yang besar. Seronok pula rasanya.


Bergambar selepas selesai majlis penyampaian hadiah.
Tahniah!


Sabtu, 1 April 2017

Rasa Dapurku (218 ) - Masak Singgang Ikan Parang


BismillahirRahmanirRahim



Masak Singgang ada dua jenis, dimasak tanpa minyak atau ditumis dengan sedikit minyak. Singgang Ikan Parang ini menggunakan resepi dari Melaka, milik keluarga. Aku suka masakan ini terutama kuahnya, enak dihirup panas-panas semasa dimakan bersama nasi.

Resepi Singgang Ikan Parang
Bahan2:
3 keping ikan parang yang dibersihkan
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu kecil jintan manis
1/2 inci lengkuas(pilihan)
Sedikit kunyit hidup
1 batang serai diketuk
1 biji cili merah dibelah dua
1 helai daun kunyit
Sedikit air asam (ikut rasa sendiri)
Garam
Sedikit minyak masak

Cara Membuatnya:
1. Tumbuk jintan manis, kunyit, bawang besar , bawang kecil dan halia sederhana halus
    menggunakan lesung batu. 
    *Atau tumbuk jintan manis dan kunyit . Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris 
      nipis.
2. Panaskan minyak di dalam sebuah periuk. Masukkan bahan yang ditumbuk dan kacau
    sehingga hampir garing.(atau bahan yang dihiris). Masukkan juga serai.
3.Masukkan air asam diikuti dengan garam dan lengkuas, biarkan mendidih.
4.Masukkan ikan, cili merah dan daun kunyit dan biarkan ianya masak menggunakan  
   api yang perlahan.
5.Tutup api setelah semua rasa menepati selera anda.




Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...