Selasa, 29 Mei 2018

Rasa Dapurku (276) - Apam Kampung



BismillahirRahmanirRahim




Meniti pertengahan bulan Ramadhan, terasa masa berlalu terlalu pantas. Semoga kita semua terus kuat dan bersemangat untuk  meraih pengampunan daripada Allah SWT. Amalan istighfar amat digalakkan di samping amalan-amalan lain seperti berwuduk juga menghadiri majlis-majlis ilmu. Ya Allah berikanlah kepada kami keikhlasan untuk beribadat sebagai tanda syukur akan nikmat yang Engkau diberikan. Amiin.

Resepi kali ini diambil dari FB Aneka Resepi. Sudah lama ingin mencuba kuih tradisi ini, sekali buat menjadi....sukanya.


Resepi Apam Gula Merah
Bahan2:
3 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan air 
1/2 cawan air suam
1/2 paket yis kering
1 sudu kecil gula
1 helai daun pandan

Cara Membuatnya:
1.Masak gula merah dan gula putih bersama air serta daun pandan.
2.Masak sehingga semuanya larut.Tapis dan sejukkan.
3.Masukkan yis dan gula ke dalam air suam. Kacau dan biarkan
   sehingga yis berbuih.
4.Masukkan tepung gandum ke dalam bekas yang sesuai/agak besar. Campurkan
   air gula dan yis. Kacau dengan whisk sehingga semuanya sebati, tiada ketul-ketul.
5.Perap selama 3 jam di dalam bekas tertutup.
6.Sapu loyang dengan minyak. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama
   20 - 25 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api besar.
7.Selepas masak, boleh dipotong dan gaul dengan kelapa.



Besar juga hasilnya...puas makan.

Isnin, 28 Mei 2018

Rasa Dapurku (275) - Kaswi Pandan Gedik



BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah kerana dengan izinNya, sudah berlalu 10 hari pertama ramadhan. Hari-hari yang diturunkan rahmat dari Allah kepada manusia. Kini kita sedang melalui fasa kedua  bulan ramadhan yakni fasa 10 hari pertengahan ramadhan. Saat ini Allah banyak memberi maghrifah atau ampunan. Waktu untuk kita meminta ampun atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Ayuh kita memohon agar semua dosa-dosa kita dimaafkan dan taubat diterima.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi kuih yang sedap untuk berbuka puasa. Resepi yang aku ubah suai sedikit setelah dua kali mencuba. Bagusnya resepi ini kerana menghasilkan bilangan kuih kaswi yang sesuai untuk keluarga kecil. Labih kurang 12 - 15 bekas, bergantung kepada saiz acuan. Aku menggunakan acuan kecil supaya lebih cepat masak dan tidak perlu tunggu lama untuk menyejukkannya.


Resepi Kaswi Pandan Gedik
Bahan2:
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung beras
1 sudu besar tepung ubi
1/2 cawan gula pasir
2 cawan air daun pandan (guna 4-5 helai daun pandan dan dimesin dengan air: 
hasilnya mesti jadi 2 cawan)
4 sudu besar air kapur
Setitik pewarna hijau
Kelapa putih dicampur sedikit garam.

Cara Membuatnya:
1.Campurkan tepung gandum, tepung beras, tepung ubi dan gula di dalam
   sebuah bekas yang sesuai.
2.Masukkan air daun pandan sambil dikacau perlahan sehingga semuanya
   sebati dan tidak berketul. 
3.Masukkan pula air kapur dan  pewarna. Kacau dan tapis.
4.Sapu sedikit minyak pada acuan dan tuang adunan di dalam acuan.
5.Kukus sehingga masak. Biarkan sejuk baru dikeluarkan dari acuan.
6.Gaul dengan kelapa yang dicampur garam.




Sabtu, 26 Mei 2018

Rasa Dapurku (274) - Ayam Pandan



BismillahirRahmanirRahim.




Salam Ramadhan Al Mubarak. Lamanya aku tidak menulis, sibuk betul rasanya. Ditambah dengan "mood' pilihan raya, segalanya tertangguh. Tanda hitam di kuku masih kelihatan, bukti telah melaksanakan tanggung jawab sebagai pengundi.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi yang sedap iaitu Ayam Pandan. Resepi ini istimewa kerana ianya dibalut dengan daun pandan. Wangi sangat aromanya apabila ianya sedang digoreng. Sesuai sangat untuk hidangan berbuka puasa. Resepi diambil dari FB Koleksi Resepi. Jom cuba.

Namun habislah daun pandan aku yang ditanam di belakang rumah...huhu.

Resepi Ayam Pandan
Bahan2:
1/2 ekor ayam dibersihkan dan dipotong sederhana kecil
1/2 biji bawang besar*
1/2 inci halia*
1/2 inci kunyit*
1/2 inci lengkuas*
2 batang serai*
1 sudu kecil ketumbar*
1 sudu kecil  jintan manis*
15 biji cili padi*
2 sudu besar santan pekat - tak letak
1 sudu besar madu
Garam
Daun pandan
Lidi

Cara Membuatnya:
1.Kisar semua bahan yang bertanda *.
2.Gaul bahan kisar bersama dengan ayam, garam dan madu.
3.Balut daun ayam dengan daun pandan. Pandai-pandai le asal
   boleh dibalut. Untuk memudahkan kerja guna daun pandan
   yang panjang.
4.Cucuk bungkusan ayam dengan lidi supaya ayam kekal di dalam
   daun dan kemas.


Siap dibalut
5.Goreng ayam pandan dengan api sederhana sehingga masak atau
   berwarna perang.Angkat.
*Lebihan bahan kisar boleh disimpan untuk masakan lain.


Enak dimakan begitu sahaja



Selasa, 1 Mei 2018

Rasa Dapurku (273) - Bihun Goreng Singapura



BismillahirRahmanirRahim




15 Syabaan 1439H bersamaan dengan 1 Mei 2018 pun muncul. Semoga kita terus berbuat kebaikan dan memperbanyakan amal soleh sebagai persediaan menghadapi kedatangan bulan Ramadhan yang mulia.

Kali ini aku ingin berkongsi resepi Bihun Goreng Singapura. Bihun goreng yang berwarna putih penuh dengan sayuran pelbagai warna. Ianya begitu sedap dan boleh dimakan begitu sahaja. Kenapa dipanggil Bihun Singapura?Tak jumpa pula di google, kenapa dipanggil begitu. Lupakan saja, yang penting ianya sedap. Lebih sedap jika bihun yang digunakan tidak banyak kerenah, mudah lembut.


Resepi Bihun Goreng Singapura
Bahan2:
1/2 bungkus bihun - direndam selama 1 jam
1/2 mangkuk isi ayam yang dipotong dadu
2 biji telur
1 tangkai sawi
1/2 batang karot
1 biji cili merah
1/4 biji kubis bulat
3-4 jagung muda
3 ulas bawang putih -dikisar
1/2 biji bawang besar - dikisar
5-7 biji cili padi - dikisar
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
Garam
Air secukupnya
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Pecahkan telur di dalam sebuah mangkuk dan pukul supaya rata.
2.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali, masukkan telur dan kacau sehingga masak
   menjadi telur hancur.Angkat dan ketepikan.
3.Masukkan minyak ke dalam kuali tadi, masukkan bawang putih, diikuti dengan bawang
   besar dan cili padi.Kacau sehingga berbau wangi.
4.Masukkan ayam, lada putih dan lada hitam. Kacau sehingga ayam hampir masak. Masukkan
   karot,cili,jagung dan air.Masukkan garam dan biarkan mendidih.
5.Masukkan bihun dan sayuran yang lain. Kacau sehingga bihun masak dan lembut.Masukkan
   telur dan kacau sehingga rata.Tutup api.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...