Isnin, 31 Ogos 2015

Dapurku D'Riyadh : Ronda2 Cari Makan (Malaysia)


Kesempatan berada di tanah air kami gunakan untuk nikmati hidangan yang menjadi kegemaran kami. Terdapat juga penemuan baru misalnya kedai nasi kerabu yang terletak di PKNS, Shah Alam dan Restoran Zam Zam di Kuantan. 


Nasi Kerabu Udang Galah di PKNS Shah Alam

Kebab di Restoran Zam Zam, Kuantan. Rasa setanding
dengan Kebab di kedai Turki Di Riyadh dengan rotinya
yang lembut. Cuma kurang dari segi salad.
 Seterusnya kedai yang biasa kami kunjungi.  

Nasi Dagang Ikan Tongkol di  Belanga , Mid Valley.

Restoran Saba yang sangat diminati - tetap dicari.

Pekena Nasi Biryani di Restoran Insaf. Terasa lapar ketika
membeli belah sekitar Jalan TAR.

Tomyam putih di Ana Ikan Bakar Petai, Kuantan.

Ikan Bakar Petai di Ana Ikan Bakar Perai
Cucur Udang di Alor Gajah , Melaka. Puluhan tahun
sudah....rasa tetap sama.

Sesuatu yang menarik perhatian di mana kelihatan semakin banyak restoran bercirikan masakan khas Cina Muslim. Misalnya di BTHO kami sempat merasa masakan di Hj Sharin Low Grand Restaurant. Aku  juga sempat dibawa oleh rakan lama Pn Hjh Norlailah makan-makan di HOMST di Prima Saujana, Kajang. Layanannya baik dan cepat, makanannya sedap dan harga agak berpatutan. Sayang sekali aku terlupa untuk mengambil gambar.

Travelog : Oh! Riyadh (59)-Kembali Ke Riyadh


Kembali Ke Riyadh


Tempoh balik kampung selama 6 minggu berlalu dengan begitu pantas sekali. Kami lebih banyak menghabiskan masa di kampung berbanding di rumah sendiri. Hasrat rakan sekolah untuk berkunjung ke rumah bagi menikmati nasi Arab tidak mampu aku tunaikan. Sebenarnya aku agak malas untuk mengemas dapur pada tahun ini memandangkan kami tidak lama berada di Malaysia. Pengalaman tahun lepas menjadikan aku agak serik kerana kepenatan walau pun hati gembira menerima kedatangan tetamu yang tidaklah begitu ramai. Sempat berkunjung ke rumah sahabat seperti Pn Hjh Afifah, Dato' Dr Suriyakhatun dan Pn Hjh Faridah sempena hari raya. Juga menziarahi Tn Hj Jailani dan Pn Hjh Rosnani di malam terakhir di Kuala Lumpur. Aku juga dikunjungi oleh bekas pelajar di waktu pagi sebelum terbang pada malamnya. Mujurlah mereka datang membawa murtabak Singapura sebagai buah tangan yang kemudian menjadi hidangan untuk mereka sendiri. Alhamdulillah mereka sudah mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran dan Nurafiqah akan melanjutkan pelajarannya di England.

Bersama sahabat dan penasihat kesihatan,
 Dato' Dr Suriya
Group Haji 1435H bertamu di rumah Pn Hjh Afifah (Kak Afi) di Seremban 2
Dari kiriAsma', Dr Zu, Dr Syarifah, Kak Afi, Dr Azlinor dan mertua Dr Syarifah.
Di rumah sepupu sebelah suami di Pulau Pinang
Pak Uda masih gigih untuk menyiapkan PhD, di rumahnya
di Lumut, Perak.
Ex- students yang sentiasa ceria dan menghiburkan Nurafiqah,
Nurul Syakinah, Nur hamizah, Sharifah Nurulafina dan Nur Shafikah.
Sempat hadir ke majlis kesyukuran jiran, Kak Pah
atas kelahiran cucu sulung.

Sempat berkelah dan mandi manda di Teluk Kemang,
Port Dickson.


Sayang, aku kerap kali terlupa untuk merakam gambar buat kenangan pada setiap pertemuan kerana asyik bercerita. Ada yang berhasrat untuk berkunjung ke rumah kami di Riyadh sementara kami masih di sini. Haha ..kami hanya ketawa panjang sedang yang bertanya merasa kecewa. Arab Saudi bukanlah negara yang mudah untuk dimasuki seperti negara-negara lain di dunia. Tidak ada istilah melancong ke Arab Saudi. Yang ada hanya visa untuk bekerja (atau mesyuarat) dan menunaikan ibadah haji atau umrah dan ziarah ke Madinah. Bagi pekerja yang tinggal di Arab Saudi dibenarkan memohon visa lawatan untuk keluarga terdekat seperti ibubapa,isteri dan anak-anak sahaja.

Seperti tahun lalu, aku mengemas sebaik mungkin rumah yang bakal ditinggalkan lagi untuk tempoh masa setahun. Hanya kepada Allah kami memohon supaya rumah kami dilindungi dari sebarang mara bahaya. Untuk jiran terdekat juga aku meminta jasa baik untuk melihat keadaan rumah kami.

Sempat merasa buah pisang yang tumbuh subur di belakang
rumah walau pun tiada penghuni setahun lamanya.
Aloe vera juga kekal subur. Aku sempat
membawa anaknya ke Riyadh.

Penerbangan ke Abu Dhabi  memakan masa selama 6 jam 30 minit dengan Etihad yang menduduki tempat ke enam dalam senarai syarikat penerbangan terbaik dunia pada tahun 2015. [1. Qatar Airways, 2.Singapore Airlines, 3.Cathay Pasific, 4. Turkish Airlines, 5.Emirates, 6.Etihad,7. All Nippon, 8.Garuda, 9. EVA dan 10. Qantas]. Kami dilayan dengan ramah dan sopan oleh paramugari yang kebanyakannya berwajah Eropah. Kami juga diberi souvenir , yang amat jarang dilakukan oleh syarikat penerbangan lain ketika ini. Ianya mengingatkan aku kepada syarikat penerbangan negara, MAS di zaman kegemilangannya sekitar tahun 1990an. Ketika itu peluang menaiki kapal terbang untuk keluar negara merupakan peluang keemasan bagi sesiapa sahaja. Banyak barang keperluan seperti stokin, toiletries, buku catatan dan pen yang akan diberikan sewaktu penerbangan. Makanan juga begitu  mewah dan sedap. Kali terakhir menaiki MAS adalah pada tahun 1999 untuk ke Brisbane, Australia. Kini dengan kehadiran begitu banyak syarikat penerbangan...Everyone Can Fly.

Dari Abu Dhabi pula memerlukan masa 1 jam 15 minit untuk tiba ke Riyadh dengan Air Seycelles. Kami tiba pada pukul 3.00 pagi waktu tempatan.







                                                                                                                              zias/riyadh/15
















Rabu, 26 Ogos 2015

Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung(45) - Kari Daging


Rakan Saffura bernama Maisarah meminta aku menyediakan nasi Arab untuknya apabila pulang bercuti di Malaysia. Aku menjemput Maisarah ke rumahku di bulan Syawal yang masih hangat dengan suasana berhari raya.
Saffura dan Maisarah

Aku turut menjemput jiranku Su dan keluarga yang begitu berjasa mengambil berat hal ehwal rumahku sepanjang ketiadaan kami. Dalam kesibukan, aku tidak sempat mengambil gambar Su dan keluarga. Aku menyediakan Nasi Kabsah ayam bakar dan kari daging untuk dimakan dengan ketupat pulut. Ketupat daun palas bersama kacang ini disediakan oleh emak semasa hari raya, aku tidak merebusnya dan menyimpannya di ruang sejuk beku. Hampir sebulan lamanya , rasa sedap masih ada. Aku memang suka ketupat pulut yang dicampur dengan kacang, tidak kiralah dibalut dengan daun palas atau daun pisang.

Hanya perlu dikukus sahaja


Bismillahirrahmanirrahim

Kari Daging

Bahan2:

250 g daging
2 -3 biji kentang
1 bungkus kecil serbuk rempah daging jenama Adabi
1/4 biji kelapa(ambil santan)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
11/2 inci halia
1 batang serai 
sehelai daun pandan
daun kari (jika suka)
Penumis
Minyak masak secukupnya
Garam

Cara Membuatnya:
1.Daging dan kentang dipotong ikut saiz yang sesuai.
2.1 biji bawang besar,bawang putih dan 1 inci halia dikisar.
3.1 biji bawang besar dan 1/2 inci halia dihiris nipis.
4.Panaskan minyak dan masukkan penumis.Masukkan pula
   bawang besar yang dihiris bersama halia. Goreng sehingga
   kekuningan.Masukkan daun kari jika suka.
5.Masukkan serbuk kari daging, kacau sebentar supaya semua
   bercampur dengan minyak. Masukkan 1/2 cawan air. Kacau
   sehingga pecah minyak dan warna kemerahan.
6.Masukkan daging dan daun pandan dan masak sehingga daging
   hampir lembut.
7.Masukkan santan, kentang dan serai. Masak sehingga daging 
   dan kentang lembut. Masukkan garam dan perlahankan api.
   Masak sehingga agak pekat .

Kari daging sesuai dimakan dengan ketupat palas

Cara balut ketupat palas dari fb- letak dulu .







Selasa, 25 Ogos 2015

Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung (44) - Soto


Meraikan kawan Saffura yang bernama AisyahtulMardiyah bersama keluarga yang berkunjung ke rumah sempena hari raya. Haha, sahabatku, Shehana Anwar yang sedang bercuti di kampung halamannya di Sri Lanka ketawa apabila aku menyatakan aku sedang sibuk beraya. Beraya di Malaysia memakan masa selama sebulan....seronoknya. Sepanjang Syawal terutama di hujung minggu jemputan yang dikenali sebagai "Rumah Terbuka" berlangsung sehingga terlajak di bulan berikutnya. Entah datang dari mana budaya ini namun inilah masa untuk bertemu dan beramah mesra. Resepi soto ini aku ambil dari buku resepi yang telah lama aku beli. Kaedah menyediakan kuah kicap cili padi aku ambil dari seorang rakan ketika di Sekolah Menengah Vokasional Alor Gajah(kini Kolej Vokasional Dato' Mohd Zin)

Masih beraya.


Bismillahirrahmanirrahim

Kuah Soto
Bahan2:
1/2 ekor ayam
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 batang serai
2 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
2 inci halia
1 bungkus rempah sup jenama Adabi
Penumis
1/4 biji kelapa
Minyak dan garam

Cara Membuatnya:
1.Ayam dibersihkan dan dipotong dua.
2.Lengkuas, bawang merah,bawang putih,kunyit,halia dan serai dikisar.
3.Gaul bahan kisar dengan rempah sup.
4. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan penumis diikuti 
    dengan bahan kisar.Masukkan air jika perlu dan kacau sehingga
    naik baunya dan masukkan santan,ayam dan air secukupnya.
5.Masak sehingga ayam masak. Keluarkan ayam untuk disiat isinya.
   Masak kuah menggunakan api perlahan sehingga agak pekat.

Bergedil kentang
Bahan2:
100 g daging dihiris kecil/dikisar
500 g kentang
2 sudu besar bawang goreng
sedikit lada sulah
sedikit garam
daun sup dan daun bawang dihiris nipis
Telur secukupnya.
Minyak

Cara Membuatnya:
1.Kentang dipotong kecil dan digoreng sampai empuk.Sejukkan.
2.Kentang yang sudah masak dilenyek lumat. 
3.Masukkan daging,daun bawang,garam,lada dan daun bawang
   dan daun sup. Gaul semuanya sehingga sebati dan bentukkan.
4. Panaskan minyak dalam kuali. Celupkan bergedil ke dalam telur 
    yang sudah dipukul bersama sedikit garam. Goreng sehingga kuning
    keemasan.

Kuah Kicap Cili Padi
Bahan2:
2 sudu besar Cili padi
4-5 ulas bawang putih
Kicap Manis dan Kicap Masin
Sedikit minyak masak
Limau nipis/Lemon

Cara membuatnya
1.Goreng cili padi dan bawang putih goreng dalam sedikit minyak.
   Sekejap aje.
2.Kisar keduanya. Campurkan dengan kicap secukup rasa
3.Perahkan asam limau.

Pilihan: So'on(jangan basuh) digoreng dalam minyak yang banyak 
            sehingga kembang dan angkat.

Boleh dihidang bersama nasi impit/meehoon/mee.Dihias dengan isi ayam,
bergedil, so'on , daun bawang,daun sup dan kacang tanah (jika suka).

Banyak kerja untuk menyediakannya,,,tapi sedap.




Selasa, 11 Ogos 2015

Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung (43) - Ikan Bakar Sambal Petai


Petai menjadi kegemaran kami sekeluarga. Kebetulan bercuti di kampung kali ini bertepatan dengan musim petai. Semasa bercuti di Kuantan kami menikmati masakan ikan bakar petai di Ana Ikan Bakar Petai.

"Mama pun boleh buat masakan macam ini. Senang aje kan. Buat sambal petai lepas itu letak dalam ikan."
 Saffura memberi idea ketika aku sedang sibuk membuang daun pisang yang digunakan sebagai alas menutup  ikan bakar yang dipesan.
"Betul juga tu, nanti mama cuba buat." Jawabku sambil terus mengambil isi ikan bersama petai dengan rasa  tidak sabar untuk merasainya."Ehmmm...sedap."

Ikan Bakar Petai di Kedai Ana Ikan bakar Petai
Satu hari kakakku Pn Hjh Aishah bersama anaknya, Wan Suhana sekeluarga datang beraya ke rumahku. Aku menyediakan ikan bakar sambal petai  untuk makan tengah hari. Hasilnya memang sedap dan aku pun mula menyimpan stok petai untuk dibawa pulang ke Riyadh nanti. Sekeping petai berharga 8.00 rial di Riyadh, itu pun sudah kekuningan kulitnya. 

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Ikan Bakar Sambal Petai

2 Ikan Siakap yang dibelah tengah.
Petai (ikut suka)
1 mangkuk cili kisar
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Air asam jawa
Garam 
Gula
Sedikit kunyit serbuk
Daun pisang
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1. 1 biji bawang besar dan bawang putih dikisar. 1 biji bawang besar dihiris nipis.
2. Panaskan minyak dan masukkan bawang hiris, goreng hingga kekuningan.
    Masukkan bawang kisar dan kacau sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar , garam dan sedikit gula dan kacau sehingga garing.
4. Masukkan air asam jawa secukupnya diikuti dengan petai dan masak sehingga pekat.
5. Ikan dibersihkan dan di lumur dengan garam dan kunyit.


6. Letakkan sedikit minyak di atas daun pisang dan letakkan ikan.
7. Letakkan sambal petai di atas ikan dan tutupkan dengan daun pisang.


8. Bakar di atas kuali atau frying pan sehingga ikan masak.



Sedia untuk dimakan, tidak perlu  air asam
 atau sambal kicap.
                                                                     


Isnin, 10 Ogos 2015

Travelog : Oh! Riyadh (58)- Cuti-cuti Kuantan


 Cuti-cuti Kuantan

Dalam kesibukan meraikan bulan Syawal, kami sempat berkunjung ke Kuantan. Pengalaman menetap di Kuantan selama hampir dua tahun menjadikan bandar Kuantan begitu dekat di  hati kami. Pada tahun 1995 aku berpindah dari Sekolah Menengah Vokasional Alor Gajah Melaka ke Sekolah Menengah Vokasional Kuantan, Pahang kerana mengikut suami. Masih basah di ingatan di mana aku hanya memerlukan masa sekitar lima minit sahaja untuk tiba di sekolah setiap pagi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sekolahku Pn Maimon yang telah membuka peluang kepada kami untuk membeli rumah di Indera Mahkota. Kami bercuti sambil melihat rumah yang baru dicat semula dengan bantuan Pn Faizah, jiran yang sangat baik hati.
Sungai Kuantan -banyak perubahan di sini.
Kali ini kami tinggal di MS Garden yang begitu popular satu masa dahulu. MS Garden kini dimiliki oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Restoran dan ruang makan mempunyai tanda halal yang menyakinkan. Seperti biasa biliknya begitu luas dan selesa, ianya menjadi pilihan kerana begitu hampir dengan kawasan membeli belah. Kami meluangkan masa dengan bersiar-siar sekitar Bandar Kuantan, melihat dua rumah sewa yang pernah kami tinggal. Sewa di Bandar Kuantan agak mahal ketika itu sehingga mendorong kami membeli rumah di sana. Stesen Satelit Bumi di Beserah juga kami jenguk dari jauh lalu singgah di gerai durian untuk menikmati buah-buah durian yang dijual di situ. 

Bilik 107 - MS Garden
Durian kampung di Beserah, Musang King pun ada.
Bandar Kuantan terkenal dengan pelbagai restoran yang kami gemari. Malangnya Restoran Patani dan Restoran Nara Tomyam sudah ditutup. Kami ke Tanjung Lumpur yang ternyata begitu banyak perubahannya lalu makan di Restoran Ana Ikan Bakar Petai. Pertama kali makan di sana beberapa tahun lalu dan kini restoran tersebut mempunyai tiga buah kedai. Ikan Bakar Petai menjadi pilihan kami bersama tomyam dan tidak lupa pembuka selera iaitu keropok lekor dan sata. Pantai Gelora, Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam kami kunjungi seterusnya mahu ke Sungai Ular. Kesesakan jalan raya di Gebeng yang diakibatkan oleh lori mengangkut tanah membatalkan hasrat kami. Sayang sekali Kuantan kini dicemari dengan masalah perlombongan bauksit dan kelihatan jalan raya terutama sekitar Bukit Goh dan Gebeng dipenuhi tanah berwarna merah. Lalu aku pun membeli keropok dan ikan kering yang dijual di tepi jalan sepanjang perjalanan dari Balok ke Beserah.
Pantai Balok, semakin terbiar tidak terjaga

Kedai Ana Ikan Bakar Petai - macam-macam ada
Sata buat pembuka selera.
Sempat menikmati hidangan kebab di Restoran Zam Zam
Keesokannya seharian kami membeli belah beberapa keperluan seperti pakaian di Parkson kerana ianya menawarkan harga yang murah. Lagi pula suasananya tidak begitu sesak seperti di Kuala Lumpur. Tiga hari dua malam berada di Kuantan cukup menyeronokkan. Dalam perjalanan pulang tanpa dirancang kami singgah ke kawasan peranginan Bukit Tinggi yang menyaksikan beberapa perubahan. Kami membayar harga tiket untuk masuk sebanyak RM13.00 seorang dan melihat-lihat sekitar                  dan aku mahu ke Japanase Village. Kali ketiga berkunjung ke sini baru aku berpeluang melihatnya. Terletak di puncak bukit namun aku mahu juga ke sana walaupun terpaksa menaiki 80 anak tangga.
"Tak ada lif ke?'' Aku bertanya seorang lelaki berbangsa Cina yang bertugas di situ.
"Tak ade la...exercise ma," jawabnya sambil ketawa.
Selepas menaiki tangga kami terpaksa menapak menaiki puncak bukit untuk sampai ke rumah contoh. Segala rasa penat hilang apabila menyaksikan keindahan yang terdapat di situ. Walaupun sudah dimakan usia namun keadaannya masih mengagumkan terutama hiasan taman airnya. Berbaloi dapat menghirup udara segar tanpa pencemaran. Kami ditawarkan pengalaman untuk memakai kimono dan menikmati minuman teh gaya Jepun dengan bayaran sebanyak RM20.00. Kami menolaknya kerana ianya memerlukan masa yang agak lama lalu kami hanya dibenarkan melihat rumah tersebut dari luar sahaja. Kehijauan hutan, bunyi air, ikan yang berenang, rumah Jepun yang comel dan bunga-bunga hutan yang asli serta wangi terasa mahu berada lebih lama di situ. 


Pintu masuk  Colmar Tropicale
Bangunan bersebelahan Colmar Tropicale yang
 dijadikan hotel
Tangga untuk naik ke Japanese Village
Dah sampai.
Contoh rumah Jepun di dalam hutan Malaysia
Sesuai untuk terapi minda
Cantik
Hijau dan menyegarkan mata yang memandang


                                                                                                                                                zias/kl/15

Sabtu, 8 Ogos 2015

Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung (42): Asam Rebus Keladi



Di Penang, kami panggil asam pedas jadi Asam Pedas Keladi. Di Melaka asam pedasnya pekat jika cair dipanggil asam rebus. Kekadang orang Melaka keliru juga dengan beberapa istilah dari Utara. Aku diberi sayur keladi oleh Pn Faridah, adik kepada kakak iparku. Setiap kali aku berkunjung di rumah mereka, pasti sayur keladi diberi tanpa diminta. Minatku terhadap sayur keladi memang diketahui semenjak zaman muda lagi. Jika aku ke rumah mereka di Kampung Sungai Burung, Tanjung Piandang, Perak, sayur keladi, kelapa muda dan pisang memenuhi bonet keretaku. Aku juga diberi satu bekas berisi asam pedas keladi yang siap dimasak. Seminggu kemudian aku mencuba resepi sendiri untuk memasak sayur keladi tersebut ketika beraya di Melaka. Sedapnya dimakan begitu sahaja.

Tali air dan Sawah padi sekitar Kg Sungai Burung


Keluarga abangku.

Bismillahirrahmanirrahim.

Resepi Asam Rebus Keladi.

3- 4 batang keladi bersama ubi
2-3 sudu cili kering kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3- 4 biji cili padi
Sedikit ikan bilis
Asam keping
Sebatang serai diketuk.
Daun kesum
Garam 

Cara Membuatnya:
1.Pastikan tangan kering ketika memotong batang keladi dan ubinya.
    (boleh juga pakai sarung tangan untuk elak rasa gatal)
2.Masukkan keladi yang dipotong ke dalam air. Rendam lebih kurang 
   20 minit. Lepas itu direbus bersama sekeping asam keping dan
   sedikit garam sehingga masak.
3.Bawang putih, bawang besar, ikan bilis dan cili padi ditumbuk halus.
4.Masukkan bahan kisar, asam keping (ikut rasa), serai, daun kesum, 
   sayur keladi yang sudah dimasak, garam dan air secukupnya ke dalam
   sebuah periuk. Masak di atas api sehingga mendidih. Perlahankan api
   dan renehkan sehingga agak pekat.

Sayur keladi direndam selepas dipotong


Dah siap 







Dapurku D'Riyadh Edisi Balik Kampung (41) : Kuih Seri Muka



Di Riyadh, Kuih Seri Muka yang disediakan Kak Afi memang menjadi kesukaan kami, Geng Haji 1435H. Ramai yang mencubanya namun aku tidak berpeluang berbuat demikian kerana periuk kukus milikku agak kecil. Aku mengambil kesempatan mencuba resepi yang diberi Kak Afi ketika bercuti di Malaysia. Aku membuat sedikit penambahan dengan memasukkan sedikit serbuk kulit kayu manis bagi menambahkan aroma kuih tersebut. Emak saudaraku , Teh yang memberi petua tersebut ketika, kami sama-sama menyediakan kuih Pulut Sekaya Bakar. Resepinya hampir sama cuma kita perlu membakar kuih tersebut. Dengan sukatan adunan yang diberikan oleh Kak Afi dapatlah aku mengingati kembali bagaimana menyediakan Kuih Seri Muka yang sedap.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahagian Pulut

2 cawan pulut susu- direndam selama kira-kira 2 jam.
Santan  secukupnya (sama paras dengan pulut)
Garam.
Sehelai daun pandan.

Cara Membuatnya:

1. Kukus pulut bersama santan,garam dan daun pandan
    di dalam loyang.Sesekali kacau dan masak sehingga
    pulut lembut.
2. Tekan pulut yang sudah masak supayan padat.
   
Bahagian atas.

2 cawan santan pekat
4 biji telur
1/2 cawan tepung gandum
5-7 helai daun pandan
Pewarna hijau(ikut warna yang diingini)
Sedikit serbuk kulit kayu manis
1 cawan gula

1. Kisar daun pandan bersama sedikit air untuk
    mendapatkan airnya. Tapis.
2. Masukkan santan, air daun pandan, tepung
    gandum, serbuk kulit kayu manis dan  telur.
    Kisar sehingga sebati.Tapis.
3. Masak adunan tadi bersama gula dan pewarna
    hijau. Guna api sederhana dan kacau sentiasa
    sehingga pekat. Jangan sampai berketul.
4. Tuang di atas bekas yang mengandungi pulut
    tadi. Kukus sehingga masak. Potong setelah sejuk.












Ramadan Mubarak 1445H/2024M

BismillahirRahmanirRahim   Assalamualaikum. Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan ber...