Khamis, 28 September 2017

Rasa Dapurku (252) - Pulut Durian



BismillahirRahmanirRahim


Lama sungguh tidak menjamah makanan popular orang utara nih. Durian sangat enak dimakan bersama nasi atau pulut. Berkuahkan santan yang dicampur dengan garam dan gula buat menambah kelazatan. Nasi atau pulut kemudiannya digaul bersama kemudian dimasukkan ke dalam mulut. Saat mengunyah, amat terasa nikmatnya. Alhamdulillah semenjak kecil kami dijamu dengan durian dari kebun sendiri. Ianya milik Almarhum Ayahanda dan Almarhumah Bonda. Mereka berdua bersusah payah mengusahakan sendiri kebun durian yang terletak di atas bukit yang agak tinggi. Semuanya diusahakan demi anak-anak, cucu-cucu dan generasi yang seterusnya. Almarhumah Bonda tidak pernah merasai keenakan buah durian dari usahanya itu. Tinggallah Almarhum Ayahanda meneruskan impian Almarhumah Bonda. Setiap kali musim durian Almarhum Ayahanda akan mengangkut berbakul buah durian seorang diri dari kebun durian. Tidak pernah mengeluh!Masih terbayang di ruang mata, timbunan buah durian di ruang dapur. Aku akan memilih sendiri buah durian yang disukai lalu membukany sendiri. Aku gemar buah yang bersaiz kecil tetapi isinya lemak dan manis rasanya. Sedapnya. Ya Allah, Gandakan pahala buat Almarhumah Bonda juga buat Almarhum Ayahanda tercinta. Al- Fatihah.

Kini buah durian boleh dibeli sepanjang tahun, seolah tidak lagi bermusim. Kebetulan ada sedikit pulut yang berbaki. Apa lagi .... senang sangat membuatnya.

Resepi Pulut Durian
Bahan2
1 cawan beras pulut, direndam
Santan sederhana pekat secukupnya, ditambah garam
Gula secukupnya
Buah durian.

Cara Membuatnya:
1.Kukus pulut sehingga masak.
2.Hidangkan bersama durian, santan dan gula.

Memang tak cukup!Nak lagi!
Haah....ini cara nak makan.Gaul semuanya dahulu.
Sedap sehingga menjilat jari!

Travelog : Sesejuk Bosnia & Heregovina (18) - Jom Ski!
















Khamis, 21 September 2017

Rasa Dapurku (251) - Ayam Black Pepper


BismillahirRahmanirRahim




Resepi ini diambil dari K.Nor@SecubitGaram. Cepat disediakan dan sedap dimakan. Ianya sesuai sebagai ganti masakan ayam yang ringkas seperti ayam masak kunyit, ayam masak paprik atau ayam masak kicap. Sangat berguna di saat kesuntukan masa untuk memasak.

Resepi Ayam Black  Pepper
Bahan2:
1 mangkuk isi ayam yang dipotong dalam saiz sederhana
3 sudu besar sos blackpepper
2 sudu besar sos tiram (tak letak)
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk kunyit
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia dihiris halus
Cili padi secukupnya (ikut selera)
1/2 biji lada benggala hijau @ capsicum
1/2 biji lada benggala merah @ capsicum
1 tangkai daun bawang
Minyak masak

Cara Membuatnya:
1.Ayam digaul bersama garam dan kunyit.Perapkan.
2.Goreng ayam sehingga masak tetapi tidak garing.Keluarkan dan ketepikan.
3.Tinggalkan minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam tadi secukupnya
   di dalam kuali. Setelah panas masukkan bawang putih dan halia, goreng sehingga
   wangi.
4.Masukkan  bawang besar dan kacau sehingga hampir layu.
5.Masukkan sos blackpepper dan serbuk lada hitam.Kacau sehingga wangi.
6.Masukkan ayam  dan lada benggala hijau dan merah kacau rata. Masukkan air jika
   perlu. Perisakan dengan garam. Tutup api setelah sayur masak.


Rasa Dapurku (250) - Tempe Goreng Kicap


BismillahirRahmanirRahim



Aku tidak pernah mencuba Nasi Ambeng yang  terkenal di kalangan masyarakat Jawa. Belum sampai seru kot!! Satu hari nanti aku mahu juga merasainya. InshaAllah. Kira-kira sebulan yang lepas, aku berpeluang merasa sejenis lauk yang dikatakan menjadi sebahagian dari lauk pauk Nasi Ambeng iaitu
Sambal Goreng Jawa. Dipanggil sambal tetapi berwarna hitam dan tidak pedas. Sedap sangat sehingga aku mampu meratah begitu sahaja tanpa nasi. Rupanya memang tidak memikat langsung namun rasanya wow!Ruginya kerana tidak pernah mencubanya selama ini.

Puas juga mencari resepi yang sesuai di blog, kebanyakan berjawa-jawa sangat. Akhirnya aku mencuba resepi sendiri yang lebih mudah tetapi sedap. Sayang sekali stok kicap hampir habis jadi warnanya tidak segelap sambal goreng jawa yang aku pernah  makan. 

Resepi Tempe Goreng Kicap
Bahan2:
3 bungkus tempe -dipotong serong dan digoreng  jangan sampai terlalu garing.
3 keping tauhu -  digoreng kemudian dipotong
2 bungkus perut tauhu ( fucuk - panggilan orang utara) direndam dan dipotong
1 bungkus Soohon - direndam
1 biji bawang besar dihiris nipis
4 ulas bawang putih ditumbuk/dikisar
1 biji cili merah- dihiris
1 biji cili hijau - dihiris
Minyak masak 
1/2 cawan kicap lemak manis Cap Kipas Udang
Garam secukupnya.

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam kuali, masukkan bawang putih dan kacau sehingga
   berbau wangi.
2.Masukkan bawang besar dan goreng sehingga hampir layu.
3.Masukkan cili merah dan cili hijau dan goreng sekejap. Masukkan garam.
4.Masukkan kicap, kemudian tempe, tauhu, fucuk dan soohoon. Jika kering
   masukkan sedikit air. Kacau sehingga semuanya masak dan sebati.Biarkan
   sehingga kering dengan menggunakan api yang perlahan.Siap!




Rasa Dapurku (249) - Ikan Celup Tepung (ICT)


 BismillahirRahmanirRahim


Cicah dengan kicap pun sodap.

Ikan Celup Tepung mengimbau kenangan ketika bermukim selama 2 tahun di Kuantan, Pahang. Pemilik Kantin di Sekolah Vokasional Kuantan (kini Kolej Vokasional Kuantan) kerap menyediakan Ikan Celup Tepung buat sarapan pagi bersama nasi kerabu. Semestinya aku tidak pernah  terlepas peluang untuk menikmatinya. Ehmmm sedapnya. 

Teringin pula. untuk mencuba sendiri, kebetulan ada Ikan Kembung yang segar. Resepi ini diambil dari Blog Celoteh Mama Lutfi. Disebabkan tepung yang dibancuh agak banyak, aku turut mencelup udang, brokoli, kentang dan bunga kobis. 

Resepi Ikan Celup Tepung
Bahan2
1/2 cawan tepung beras
1 biji telur
3/4 gelas air
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
Secubit kapur makan
Ikan, udang, Brokoli, Bunga Kubis, Kentang
Minyak masak secukupnya.

Cara Membuatnya:
1.Masukkan serbuk kunyit, garam, kapur dan air di dalam sebuah bekas
   dan kacau sehingga semuanya larut.
2.Campurkan telur dan tepung beras di dalam bekas yang lain. Tambahkan
   air campuran (1)  sedikit demi sedikit  sambil  dikacau. Teruskan sehingga
   mendapat adunan yang sesuai. Bila dicelup adunan tersebut melekat.
3.Panaskan minyak di dalam sebuah kuali. Celupkan ikan dan goreng sehingga
   agak garing dan masak. Ulang sehingga selesai.
4.Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan sos. 




Isnin, 4 September 2017

Rasa Dapurku (248) - Acar Ikan Tenggiri



BismillahirRahmanirRahim




Sesekali masak ikan dan sayur 2 in 1. Kali ini aku menyediakan resepi yang agak mudah kerana kesuntukan masa bagi menyediakan juadah makan tengahari. Sedap pula rasanya dan boleh diratah begitu sahaja tanpa nasi.

Resepi Acar Ikan Tenggiri
Bahan2:
3 keping ikan Tenggiri digaul dengan garam dan kunyit  lalu digoreng garing.
1 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
3 biji cili merah*
4 biji cili api*
5 biji buah keras*
Kisar halus bahan* di atas.
1/2 biji bawang besar dihiris nipis
1 - 2 biji bawnag besar dibelah 4
Cili merah dan cili hijau dibelah 2
2 sudu besar air asam jawa atau cuka
1 biji karot 
1 biji timun
2 sudu besar gula
Timun dan karot dipotong memanjang dan sama saiz. Digaul bersama gula dan biarkan.
Garam dan minyak mask secukupnya.


Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bawang yang dihiris. Goreng sehingga
    garing dan wangi.
2.Masukkan bahan yang dikisar, kacau sehingga masak dan wangi.
3.Perisakan dengan garam dan ais asam jawa atau cuka.
4.Masukkan timun, karot dan ikan. Akhir sekali bawang besar dan cili yang dibelah.



Rasa Dapurku (247) - Chicken Shawarma


BismillahirRahmanirRahim




Sewaktu menunaikan haji pada tahun 1994, Shawarma menjadi kegemaranku. Pada waktu itu aku ingatkan ianya kebab. Sehingga aku berpeluang bermukim di Riyadh, baru aku tahu beza antara shawarma dan kebab. Shawarma merupakan makanan yang sangat popular di Arab Saudi, nampak ringkas namun sedap dan mengenyangkan. Harganya juga agak murah jadi tidak perlu bersusah payah iuntuk membuatnya.

Kini baru terasa untuk membuat sendiri shawarma. Aku membeli beberapa barang keperluan di Berkat Madinah yang terletak di Sungai Chua, Kajang. Seperti yogurt dan Tahini. Yogurt Arab agak kental dan tidak cair seperti yogurt biasa. Yogurt diperlukan untuk membuat inti dan sos shawarma. Tahini yang diperbuat dari bijan. Diperlukan juga untuk membuat sos shawarma. Aku gantikan roti Arab dengan Tortilla Wraps. Sudah lama tidak menjamah shawarma, sedap pulak aihh.

Resepi Chicken Shawarma
(untuk 4 keping shawarma)
Bahan Inti
1 mangkuk isi ayam (1/2 kg)
3 sudu besar yogurt
1/2 sudu besar bawang putih dan halia kisar
1/2 sudu besar jus lemon
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu besar garam masala
1 sudu kecil serbuk cili 
1 sudu teh garam

1.Semua bahan digaul dan perap sekurang-kurangnya 1/2 jam.
2.Panaskan 2 sudu besar minyak zaitun dalam kuali. Masukkan
   bahan yang diperap dan masak sehingga kering.

Bahan sos 
4 sudu besar Tahini paste
2 sudu besar mayonis ( mayonis bawang putih)
2 sudu besar yogurt
1/4 sudu teh garam
Tahini dari Turki
Gaul kesemua bahan di atas tambah  sedikit air jika terlalu pekat.
Sejukkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 15 minit

Bahan lain
4 keping roti tortilla/roti Arab
Timun dihiris nipis
Tomato dihiris
Daun Salad 
Kubis (tak letak)
Kentang goreng  (tak letak)

Sos cili (pilihan)

Panaskan sekejap atas kuali leper, jangan lama nanti keras susah gulung.

Cara Membuatnya:
Gaul kesemua inti bersama sayuran yang dipotong. Letakkan dalam roti, taburkan sos tahini
dan sos cili kemudian gulung.

Atau
Letakkan inti kemudian sayur. Taburkan tahini dan sos cili. lepas itu gulungkan.



Ahad, 3 September 2017

Rasa Dapurku (246) - Kek Kukus Buah


BismillahirRahmanirRahim






Ied Mubarak 1438H, taqabballahu minna waminkum dari saya. Salam AidilAdha.
Resepi kali ini diberi oleh Pn Norbayani, rakan sekerja.
"Kak Jee try resepi kek kukus buah ni. Suami saya selalu buat dan senang katanya." Kata Pn Norbayani sambil menyerahkan sehelai kertas A4 yang siap tertulis resepi Kek Buah Kukus. Rasanya sudah lebih dari sebulan aku menerima resepi tersebut. Semua bahan yang diperlukan sudah lama dibeli namun periuk kukus yang ada di dapur agak kecil. Sedang resepi yang diberi menghasilkan kek buah yang agak besar.

Sehari sebelum Hari Raya Haji aku kuatkan semangat untuk mencuba. Hanya menggunakan separuh adunan dari resepi yang diberikan. Alhamdulillah hasilnya memang sedap. Menjadi hidangan di hari raya. Resepi di bawah menggunakan sukatan asal namun diubah sedikti cara membuatnya supaya lebih mudah untuk disediakan.

Resepi Kek Kukus Buah
Bahan A
300 gram gula pasir
1/2 cawan air

Panaskan gula di dalam sebuah periuk sehingga cair dan perang.
Tutup api. Masukkan air dan kacau sehingga semua larut. Biarkan.

Bahan B
600 gram tepung gandum
375 gram mixfruit
2 sudu kecil bikarbonat soda
Semua bahan digaul sehingga mesra

Bahan C
300 gram gula halus
340 gram butter 
5 biji telur

2 sudu teh esen vanila
2 susu teh esen oren

Aliminium foil dan tape secukupnya
Loyang pembakar

Cara Membuatnya:
1.Gula halus dan butter dipukul sehingga kembang. Masukkan telur satu persatu
   dan pukul.
2.Masukkan Bahan B ke dalam butter ( Bahan C) sedikit demi sedikit sambil dikacau.
   Kacau sehingga mesra. Masukkan esen vanila dan esen oren. Masukkan Bahan A
   dan kacau sehingga sebati.
3.Masukkan ke dalam loyang dan tutup dengan aluminium foil (2 lapis) dan lilitkan
   dengan tape supaya air tak masuk.
4.Kukus selama 4 jam dengan api yang sangat kecil. Pastikan kuantiti air mencukupi
   supaya tidak perlu menambah air lagi.

Bungkus dengan aluminium foil.




Potong selepas disejukkan... sedap sebab tidak terlalu manis.

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...