Selasa, 27 September 2016

Rasa Dapurku (196) : Kari Daging Campur Biji Cempedak



BismillahirRahmanirRahim

Cempedak goreng memang sedap dimakan, dua hari berturut-turut kami jadikan ia sebagai menu sarapan pagi. Untunglah balik kampung untuk beraya sempena Hari Raya Korban baru-baru ini sebab musim buah-buahan berada di penghujungnya. Rambutan, cempedak dan duku ada sahaja di dapur. Pokok cempedak milik emak saudaraku, Cu Minah terletak berhampiran rumahku. Setiap kali pulang ke kampung dapatlah kami merasanya apabila sepupuku memberinya kepada kami. Teringat pula betapa sedapnya biji cempedak yang direbus untuk dimakan. Itulah makanan ringan di zaman kanak-kanak kami yang belum mengenal Twisties atau Potato chips atau kerepek goreng.  Apa lagi aku pun menyimpan biji-biji cempedak yang telah dimakan. Dibasuh dan direndam.


Hari Raya Aidil Adha yang kedua, daging korban mula diterima. Aku pun mencuba resepi yang sudah lama tidak aku temui iaitu Kari Daging bercampur biji cempedak. Kebetulan kakak dan adik emak  yang aku panggil Mak Long  dan Mak Ndak berkunjung ke rumah. Aku pun bertanya bagaimana untuk mengendalikan biji cempedak untuk dimasak bersama daging. Biji cempedak tersebut sebagai ganti kentang pada zaman dahulu, kata Mak Ndak.

Awas.Walaupun sedap, ramai yang tidak berani untuk makan biji cempedak kerana tidak tahan menanggung serangan angin yang luar biasa. Nasiblah....

Resepi Kari Daging Campur Biji Cempedak
Bahan2:
500 gram daging
3-4 sudu besar rempah kari daging jenama Adabi
2 tangkai daun kari
1 helai daun pandan
1 batang serai
1 biji bawang besar *
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan * dikisar
1 biji bawang besar dihiris nipis
Penumis
Garam 
Minyak masak
1/2 biji kelapa diambil santannya
1 mangkuk biji cempedak
Biji cempedak
Cara Membuatnya:
1.Biji cempedak direndam beberapa jam supaya mudah masak.
   Masak bersama sedikit garam sehingga gebu,  sejukkan dan 
   buang kulitnya.

Biji cempedak selepas dibuang kulitnya

2.Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan daun kari dan 
   penumis. Masukkan pula bawang besar yang dihiris.Kacau
   sehingga bawang garing.

Aku memang suka masak menggunakan kuali untuk memasak.
3.Masukkan bahan kisar dan kacau sehingga wangi. Masukkan
   rempah,kacau sekejap dan masukkan 1/4 cawan air. Biarkan
   sehingga pecah minyak sambil dikacau.
4.Masukkan daging, daun pandan dan serai dan biarkan sehingga 
   daging lembut. Tambah garam.
5.Masukkan santan dan biarkan mendidih, masukkan biji cempedak.
6.Perlahankan api dan biarkan sehingga kuah agak pekat.



Sedap...

Ahad, 25 September 2016

Travelog: Oh!Riyadh (127) - Pokok Kurma Ajwa di Madinah



Syukur kepada Illahi kerana berpeluang berziarah ke Madinah sebelum kami pulang ke tanah air. Nikmat menunaikan solat berjemaah di Masjid Nabawi sukar untuk dinyatakan. Bagi mereka yang belum berpeluang ziarah ke Madinah, tanamkan azam untuk ke bumi indah ini. Tetamu Allah yang berkunjung ke Madinah tidak begitu ramai seperti kebiasaanya, banyak ruang kosong di dalam masjid yang tidak diisi ketika solat. Warga Arab Saudi juga tidak begitu ramai walaupun sekolah masih bercuti sehingga Bulan September. Mungkin mereka bercuti di luar negara seperti kebiasaannya, maklum cuti yang cukup panjang membolehkan mereka bercuti ke luar negara berulang kali. Namun, ramai juga yang selesa bersolat di dataran masjid, rata-rata mereka terdiri dari golongan yang berusia dan uzur juga ibu-ibu yang membawa bersama anak-anak kecil. Kami duduk iktikaf sekejap di dalam masjid selepas Solat Subuh. Ketika keluar, suasana mulai terang dan payung besar mula berkembang. 

Mentari mulai terbit, payung pun mula berkembang.


Payung pun kembang sepenuhnya

Di dalam perjalanan pulang ke hotel, kami singgah di sebuah mini market yang biasanya terdapat di bangunan setiap hotel sekitar Masjid Nabawi. Kami membeli makanan yang sesuai untuk sarapan pagi memandangkan kami ini kami tidak mengambil pakej breakfast di hotel.


Pelbagai jenis roti dijual, Roti Kurma antara yang aku minati

Kami berziarah ke Masjid Quba. Ramai tetamu yang kebanyakannya dari luar Arab Saudi di dalam masjid yang turut menunaikan solat sunat.

Ternampak satu lagi mercu tanda di Kota Madinah

Kelihatan menara Masjid Quba dari jauh....

Masjid Quba adalah masjid yang pertama dibangunkan Rasulullah SAW  ketika dalam perjalanan hijrah menuju ke Madinah. Masjid Quba yang ada pada masa ini telah direnovasi dan diperluaskan oleh Kerajaan Arab Saudi. Masjid Quba memiliki keutamaannya yang tertentu. Antaranya.

1.Firman Allah yang bermaksud

        "Jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya
         Masjid (Quba' yang  Engkau bina Wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas
         dasar  taqwa mulanya(wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. 
          Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) 
          membersihkan (mensucikan) dirinya;  dan Allah mengasihi orang-orang yang 
           membersihkan diri mereka (zahir dan batin)"
           [Al Quran, Surah Al Taubah ayat  108 ]

2.Orang yang bersolat di situ mendapat pahala seperti mengerjakan umrah sebagaimana sabda Rasululullah      SAW yang bermaksud

        Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa telah 
         bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian 
         mendatangi Masjid Quba lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama
         dengan pahala umrah". [Riwayat Ibn Majah]

3.Rasulullah SAW suka mengunjungi Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dan Rasulullah SAW bersolat          Dhuha dalamnya. Selain Solat Tahiyatul Masjid, kita juga digalakkan melakukan Solat Dhuha ketika              berada di Masjid Quba.

        Dari Ibn Umar r.a, Rasulullah SAW pernah mengunjungi MAsjid Quba pada setiap 
        hari Sabtu, samada berjalan kaki ataupun berkenderaan.Dan Ibn Umar r.a juga 
        melakukannya seperti itu. [HR Bukhari]

Masjid Quba


 Ke ruang solat lelaki




Pintu masuk ke ruang solat Muslimah



Pemandangan sekitar Masjid Quba

Di bahagian laluan bawah Masjid Quba terdapat kedai yang menjual pelbagai  barang-barang keperluan dan cenderahati. Turut dijual makanan Arab dan minuman. Pun begitu gerai-gerai kecil berdekatan kawasan parkir dan laluan untuk ke masjid kebanyakannya ditutup. Hanya beberapa buah gerai yang menjual rempah ratus, daun-daun kering dan sebagainya dibuka. Lebih ramai yang menjual rotab yakni kurma yang masih kuning dan belum masak kering. Kanak-kanak turut sama menjual rotab dan Kurma Ajwa yang masih segar.
Selepas merasa Kurma Ajwa , aku terus membelinya sebanyak 2 kilogram. Tidak pernah aku merasa Kurma Ajwa yang sebegitu lembut dan sedap. 

Musim kurma masak....murah2 , hanya 10 rial sekotak.


Ajwa yang masih segara, 40 rial 1 kilogram.

Sekitar Masjid Quba, terdapat banyak ladang-ladang kurma. Kebanyakan kurma di Madinah masak lebih awal.

Dari MAsjid Quba , kami bergerak dengan kereta menuju ke Kilang Mencetak Al Quran. Di dalam perjalanan kelihatan Kingdom Palace yang terletak di Jabal Habsyi di sebelah kiri jalan raya yang kami lalui. Kilang mencetak Al Quran terletak di sebelah kanan selepas dari bukit tersebut. Jalan yang sama juga pernah kami lalui di dalam perjalanan dari Tabuk ke Madinah. Malangnya kilang yang tidak memiliki sebarang papan tanda itu sudah ditutup. Suamiku diberitahu bahawa kilang tersebut dibuka pada pukul 8.00 pagi sehingga 11.30 pagi  sahaja. Maklumat tersebut ketahui ketika suamiku pergi bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk kilang tersebut. Mengambil gambar dilarang sama sekali di sekitar kawasan kilang.


Istana di atas bukit

Kompleks Kingdom Palace

Perut terasa lapar, lagi pula jam sudah menghampiri pukul 1.00 tengahari. Kami mencari tempat yang sesuai untuk makan tengahari malangnya tidak berjumpa pula yang berkenan dihati. Kami berpusing sekitar Kota Madinah sehingga ternampak  mall yang agak besar, kami pun masuk ke kawasan parkir mall tersebut. Inilah pertama kali kami berkunjung ke mall ketika berada di Kota Madinah. Agak sukar untuk mendapatkan ruang kosong bagi meletakkan kereta kami. Kebanyakan ruang parkir yang luas itu diisi dengan kereta pelbagai jenama dan saiz. Kami terpaksa bersaing dengan kereta-kereta milik warga tempatan yang kebanyakannya dipandu oleh para remaja.



Kebanyakan kedai-kedai yang berada di dalam mall tersebut masih ditutup. Kami ke tingkat paling atas di mana terletaknya food court. Suasana agak padat dan sesak dengan orang ramai terutamanya remaja. Ketika kami melalui ruang makan 'single' berlaku sedikit pergaduhan di kalangan remaja lelaki. Hampir berlaku adegan tumbuk menumbuk di antara mereka. Kelihatan seorang remaja perempuan menarik tangan salah seorang dari remaja yang sedang bertengkar. Orang ramai berkerumun di tempat kejadian, lelaki dewasa kelihatan meleraikan pergaduhan tersebut. Ruang makan 'single' dipenuhi orang, sukar untuk melihat meja yag masih kosong. Pelbagai gaya anak-anak remaja Madinah boleh dilihat sama ada dari segi pakaian atau sikap masing-masing. Ramai yang berpakaian kasual tanpa jubah putih seperti kebiasaannya.


Ruang makan untuk 'family'


Tomyam udang bersantan  dan nasi serta satu lauk 33 rial.
 Di ruang makan 'family' suasana lebih tenang, kami makan dan berehat di situ.

Restoran di atas kapal yang menjadi daya tarikan
di Al Rashid Mega Mall
Restoran atas kapal masih ditutup

Selepas makan kami ke Masjid Nabawi. Buat pertama kali kami masuk ke ruang parkir yang terdapat di bawah Masjid Nabawi menggunakan laluan berhampiran Perkuburan Baqi. Luas betul kawasan parkir tersebut dan tidak banyak kenderaan di dalamnya. Pintu masuk ke Masjid Nabawi diasingkan untuk 'single' dan 'family'. Kami menaiki eskalator untuk ke Masjid Nabawi melalui Pintu 1, betul-betul di hadapan Kubah Hijau. Agak jauh juga aku dan Saffura berjalan kaki untuk ke dalam Masjid Nabawi. Pintu 7, 8 dan 9 pula sesuai untuk ke Anwar Movenpick Hotel. Pintu-pintu tersebut berada di dalam bangunan yang sama dengan tandas awam di sekitar Masjid Nabawi.


Ke tempat parkir kereta .

Kawasan parkir kereta untuk 'family'
Bayaran 2 rial untuk 2 jam. Bayar sewaktu hendak keluar.

Petangnya kami bersiar-siar sekitar Jabal Uhud. Kami melihat dari jauh kawasan peperangan yang pernah berlaku di situ. Sekadar mahu memastikan sama ada masjid yang sudah lama dibina di situ sudah siap ke belum. Masjid tersebut masih lagi di dalam pembinaan. Seperti biasa kawasan sekitar berlakunya peperangan Uhud dikunjungi ramai. Kami meneruskan perjalanan menyelusuri kawasan berhampiran bukit-bukit yang pejal yang tiada penghujungnya. Pokok-pokok kurma menjulang tinggi, buah-buah kurma yang bertangkai sudah berwarna kuning. Asyik sungguh kami melihat pokok-pokok kurma yang dikepung oleh pagar yang pelbagai saiz.
Pokok-pokok kurma di mana-mana


Petanda kawasan Jabal Uhud yang boleh dilihat dari jauh.

Kami meneruskan perjalanan sehingga ternampak kawasan seperti tasik dari jauh. Kami nekad aje dan terus mendekati kawasan tersebut. MashaAllah, kami begitu teruja melihat kawasan tasik yang luas dengan air yang banyak tatkala di musim panas yang membakar. Kami tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebanyak yang boleh. Begitulah gelagat kami jika berjumpa kawasan berair sepanjang tinggal  di ArabSaudi.


Tasik di tengah padang pasir

Entah dari mana punca air ini.

Mengkagumkan...Maha Suci Allah

Tidak pasti di mana dan apa nama tempat ini

Tasik yang lebih besar di sebelahnya

Cuaca panas tidak dihiraukan...seronok menikmati pemandangan.

Ketika kami mahu menaiki kereta selepas puas bergambar, suamiku ditegur oleh seorang pekerja dari kebun kurma yang berhampiran dengan tempat kami meletakkan kereta. Pekerja berbangsa Pakistan tersebut juga sedang menuju ke keretanya untuk meninggalkan kawasan tersebut. Beliau mempelawa  kami untuk singgah di kebun kurma yang begitu hampir dengan kami. Kebetulan pintu pagar kebun kurma tersebut terbuka luas, situasi yang agak jarang berlaku di sini. Kami pun masuk ke dalam kereta dan suamiku memandu kereta perlahan memasuki kawasan kebun kurma yang agak sunyi itu. Seronok betul kami melihat pokok-pokok kurma yang pelbagai saiz dipenuhi buah kurma yang berwarna kuning dari dekat.

Terdapat beberapa kebun kurma berdekatan tasik

Tiba-tiba kereta kami ditahan oleh seorang pekerja. Kami akur dan suamiku memberhentikan kereta. Kami tidak memahami apa yang dituturnya namun suamiku dapat meneka seolah pekerja tersebut takut dimarahi oleh majikannya dengan kedatangan kami di situ. Kami keluar dari kereta dan dengan cepat aku bertanya kepadanya, yang mana satu pokok kurma Ajwa. Sememangnya aku teringin betul untuk melihat pokok kurma yang terkenal itu.


Kawasan kebun kurma

Buah kurma yang berkualiti akan dibungkus gitu..Yang ini tak pasti Kurma Sukari ke Safawi.
Ada pokok besar dan ada pokok kecil tetapi  semua sudah mulai  berbuah


Rotab. Antara buah kurma yang tidak dibalut.Dapat lihat dengan jelas


Pekerja tersebut membawa kami ke salah satu pokok kurma yang berada di kebun tersebut, tidak jauh dari tempat kami meletakkan kereta. Beliau menghampiri pokok tersebut, kelihatan buah kurma yang bertangkai dibalut sepenuhnya. Pastinya kami tidak dapat melihat buah yang telah dibalut. Namun buah yang tidak dibalut kelihatan tidak begitu cantik .

Berbeza sekali antara buah yang dibalut dengan buah yang terdedah. Aku mendekati
pokok kurma Ajwa

Pekerja tersebut sedang membuka bungkusan buah kurma Ajwa tersebut untuk kami melihatnya.
Beliau juga mencari buah kurma yang masak untuk diberi kepadaku

Kurma Ajwa yang sedang masak....macam buah anggur

Inilah buah kurma yang diambil oleh pekerja tadi. Cukup buat  aku berbuka puasa sunat hari ini.
Tidak disangka buah kurma Ajwa begitu cantik warnanya sebelum ianya kering dan berubah
menjadi hitam.

Selepas melihat pokok kurma Ajwa, kami terus mengucapkan terima kasih kepada pekerja tersebut. Lalu segera meninggalkan kawasan kebun kurma. Tidak puas, kami berpusing-pusing di kawasan sekitar tasik tersebut. Kebanyakan kebun kurma lain, pagarnya tertutup dengan tembok yang agak tinggi. Terdapat beberapa Istirahah untuk disewa. Kami meninggalkan kawasan tersebut setelah pasti tiada tempat yang boleh disinggah lagi. Sempat ambil gambar kawasan sekitarnya di dalam perjalanan pulang ke hotel.



Sebuah lagi ladang kurma yang agak luas

Hotel tempat kami tinggal sepanjang berada di Madinah.

Seperti biasa jika kami berada di Madinah, kami akan berkunjung ke Kedai Makanan Indonesia.Dari Masjid Nabawi, ambil Gate 16 dan jalan terus sehingga Hotel Grand Mercure. Kelihatan papan tanda yang besar di bangunan selepas hotel tersebut. Terdapat nasi putih dan pelbagai lauk pauk Indonesia di samping makanan Arab. Paling diminati ramaidi restoran ini ialah ayam bakar dan ayam goreng.

Tempat duduk selesa. Orang selalu ramai terutama selepas solat.









Bakso 8 rial semangkuk

zias/Cheras/16

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...