Rabu, 29 April 2015

Travelog : Oh ! Riyadh - Selamat Tinggal SMTKL


Selamat Tinggal  SMTKL

Mei 2013

Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur merupakan sekolah ke empat aku bertugas semenjak 1997. Tujuh belas tahun berada di sekolah elit ini pasti terlalu banyak peristiwa suka dan duka. Ramai kawan-kawan yang bersama denganku suatu ketika dahulu sudah berpindah, bersara awal atau bersara wajib. Sekarang aku dikelilingi dengan rakan setugas yang kebanyakannya masih muda belaka. Namun masih ada rakan setugasku yang masih setia berada di sekolah ini untuk meneruskan kerjaya masing-masing. Terlalu lama bekerja di persekiratan yang sama dan tugasan yang rutin kerap kali menjemukan aku. Dua kali aku memohon untuk berpindah sekolah bagi memaksimumkan kerjayaku namun tidak berjaya.



Terlalu banyak perbezaan pelaksanaan tugas seorang guru pada masa sekarang berbanding di awal penyertaanku sebagai seorang guru lebih dua puluh tahun yang lalu. Tumpuan seorang guru di zaman mencabar ini terlalu bersifat memenuhi pelbagai tuntutan dari banyak pihak. Peranan sebenar untuk mendidik generasi akan datang secara holistik bagi menghasilkan generasi seimbang tinggal angan-angan sahaja. Akhirnya produk yang terhasil laksana robot, sekadar mengikut manual yang tersedia seiring dengan keperluan untuk mencapai status negara maju.




"Aiiya .... nak cari makan pun susah," keluh Pn Ho, rakan setugasku  lama  dahulu apabila kami diberi pelbagai arahan tambahan yang tak pernah bernoktah. Pn Ho merupakan Ketua Panitia Kimia pada masa itu dan kini bertugas di Melaka


Berhadapan dengan tugasan pengkeranian yang tidak pernah berkurang pasti melemaskan. Yang terbaru segala-galanya perlu diisi secara online dan penilaian berasaskan sekolah. Masalahnya, kerap kali berlaku kesesakan pada sistem yang menyebabkan guru-guru terpaksa berjaga sehingga larut malam untuk memasukkan data yang diperlukan. Tiba masa untuk aku berehat buat seketika.


Permohonan cuti tanpa gaji aku mengejutkan Pengetua namun dia tidak mempunyai pilihan kerana aku akan mengikut suami ke luar negara. Aku merasa terlalu gembira kerana ini adalah kami pertama aku akan bercuti panjang setelah begitu penat bekerja selama 24 tahun. Aku memohon cuti bermula pada bulan September  2013. Kebanyakan pelajar aku agak sedih mendengar berita tersebut terutama bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.



"Cik gu kenapa la cikgu nak bercuti? Saya baru minat nak belajar kimia,"soal Hazim yang baru mula mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran.
” Boleh ke saya dapat A dalam kimia cik gu?” soal Hamani pula yang merupakan pelajar harapanku untuk meraih A dalam subjek kimia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti.
"Ingat kejayaan seseorang tidak bergantung kepada orang lain apatah lagi pada seorang guru. Ramai guru-guru kimia lain yang akan membantu awak." setiap hujah mereka dengan mudah aku patahkan.

Hampir setiap hari aku dihujani dengan pelbagai soalan juga rintihan apabila pelajar-pelajar datang ke mejaku di bilik guru.  Kedudukan mejaku yang berada di laluan utama bilik guru memudahkan sesiapa saja singgah untuk berbual denganku.



Berita pemohonan cutiku sejuk secara tiba-tiba apabila berita yang lebih panas muncul. Pengetua yang sedia ada akan dipindahkan ke sekolah lain dalam tempoh masa yang singkat. Seluruh warga sekolah begitu teruja dengan berita tersebut. Berita itu menambahkan lagi sensasi perpindahan Penolong Kanan Pentadbiran yang baru dipindahkan dua bulan sebelumnya.





"Saya ingat Pn Fauziah yang akan pindah,  rupanya saya dulu yang kena pindah," ucap Pn Pengetua ketika aku bersalaman dengannya. Majlis perpisahan diadakan untuknya di Hotel Berjaya Times Square.
"Ialah puan kita hanya merancang," balasku dengan rasa agak lucu.

Seminggu kemudian Pengetua baru memulakan tugasnya di sekolah kami. Beliau adalah Pengetua ke tujuh bagiku di sekolah ini.

Majlis perpisahan diadakan oleh Kelab Guru dan Staf yang dipengerusikan oleh Pn Marina untukku sebelum aku mula bercuti. Aku tidak dapat menahan sebak di dada ketika diminta memberi ucapan perpisahan. Hanya pemohonan maaf saja yang mampu aku sampaikan kepada rakan-rakan setugas yang kebanyakannya begitu baik hati. Aku menggunakan peluang yang diberikan kerana belum pasti aku akan dapat kembali mengajar di sekolah ini. Tempoh masa bercuti yang panjang memerlukan guru lain  untuk menggantikan aku bagi meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada. Nasi Arab istimewa yang disediakan oleh suami Pn Rosnani menjadi menu utama jamuan tersebut. Pengetua juga memberi ucapan di dalam majlis yang diadakan di ruang rehat bilik guru itu. Jam tangan berjenama Bonia yang dihadiahkan pasti akan mengingatkan aku kepada  seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.



.

Kalau ada sumur di padang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi








Nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman dan Islam, 
adalah memiliki sahabat yang soleh 
[Umar Al-Khattab ra]





                                                     

                                                                                                                                               zias/riyadh/15













Selasa, 28 April 2015

Dapurku D'Riyadh (1) - Cucur Jagung



Masak dan masak merupakan pekerjaan utama aku di Riyadh. Tidak ada kedai untuk membeli makanan Malaysia di sini. Dek terlalu kerap memasak, aku memerlukan pelbagai resepi supaya tidak jemu untuk dinikmati. Namun kebanyakan resepi tidak begitu diingati kerana kadang kala sudah lama tidak memasaknya. Kehadiran blog yang memaparkan pelbagai jenis masakan menjadi rujukan aku. Tetapi ada juga yang tidak menjadi atau tidak sesuai dengan selera keluarga. Kekadang puas buku catitan dibuka untuk mencari resepi namun mengambil masa yang lama untuk dijumpai. Tulisan sendiri pun kekadang tidak boleh dibaca, ditambah pula gangguan tompok-tompok hiasan bahan masakan yang terlekat bersama. Lantas aku terfikir untuk menulis resepi-resepi yang biasa aku sediakan untuk memudahkan kerjaku di dalam blogku. Lebih mengujakan jika ada yang sudi menggunakan resepiku, pasti pahala dapat diraih. Juga sebagai panduan Saffura apabila dewasa nanti begitu juga dengan anak-anak saudara atau rakan –rakan yang terkadang ada bertanya.

Cucur jagung begitu istimewa untukku kerana ianya hasil ciptaanku sendiri. Kawasan Hulu Langat merupakan tempat untuk aku mendapatkan jagung yang segar dan aku akan membeli sehingga sepuluh butir. Aku akan memastikan sebahagian dariya diguna untuk membuat cucur jagung. Di Riyadh, jagung mudah dibeli di kebanyakan kedai. Rahsia untuk mendapatkan cucur jagung yang sedap terletak kepada kuantiti air yang digunakan.  Dari pengalamanku  , pastikan air yang dicampur tidak terlalu berlebihan kerana jika tepung ditambah selepas air biasanya adunan akan menghasilkan cucur yang agak keras dan liat.

BismillahirrahmaaNirrahim

Bahan:
1 cawan jagung segar (dihiris dari batang jagung)
1 cawan tepung gandum
1 biji bawang besar (dibelah dua dan dihiris nipis)
1 biji cili merah (dihiris nipis)
Daun bawang dan daun ketumbar/sup ( dihiris halus)
Udang segar(dibuang kulit) atau ikan bilis(yang kecil -dibelah dua)
Secubit serbuk kunyit (pilihan)
Air secukupnya
Garam secukupnya

Cara:
1.Masukkan tepung ke dalam bekas yang sesuaai. Tambahkan air sedikit demi sedikit 
   sambil dikacau  dengan sudu. 
2.Masukkan garam dan kunyit secukup rasa.
3.Bancuhan hendaklah tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
4.Masukkan jagung,bawang besar, cili merah, daun bawang,daun ketumbar 
  dan udang/ikan bilis.
5.Kacau sehingga rata kesemuanya.
6.Panaskan minyak dan masukkan adunan tadi ke dalam minyak menggunakan sudu.
7.Goreng sambil dikacau sehingga keperangan
8.Jangan terlalu garing kerana hasilnya akan menjadi agak keras. 
   Angkat dan toskan di atas kertas serap minyak.
9.Boleh dimakan bersama  sos,kicap atau dimakan begitu sahaja.



Walaupun rupa tidak menawan tapi rasanya sedap











Ahad, 26 April 2015

Travelog: Syurga Di Wajah Queenstown (1)


New Zealand Village, Yamaguchi

Agak lama aku memerhatikan Saffura yang asyik melambung blok kayu berbentuk kiub yang tertulis nombor dan juga tulisan dalam bahasa Jepun itu. Objek hiasan yang menunjukkan tarikh dan hari itu sangat  digemari oleh Saffura sejak kecil lagi. Tidak tertahan melihat gelagatnya aku terus menegur.
"Saffura, jangan main benda hiasan tu. Nanti rosak, jauh tahu mama beli tu." Saffura hanya tersengih dan  terus bermain dengan blok kayu tersebut seolah-olah bermain batu selambat.
Tidak berpuas hati dengan sikap Saffura yang masih tidak mengendahkan laranganku, aku bergerak menuju ke ruang tamu. Apabila melihat aku mula mengorak langkah ke arahnya, Saffura terus bangun dan meluru ke arahku sambil bertanya. "Mama beli mainan ini di New Zealand ke? Mama kata mama tak pernah pergi ke New Zealand, siapa bagi ini mama?"
Suaranya yang manja menghilangkan keinginanku  untuk terus memarahinya, lantas mengambil objek tersebut sambil berkata, "Ini bukan alat permainan sayang. Ini adalah sejenis hiasan merangkap kalendar. Tengok ni, New Zealand Village  Yamaguchi, Japan. Mama beli di Jepun, bukan di New Zealand."
Jawapan tersebut mengundang soalan lain pula dari Saffura, "Kenapa dekat Jepun ada nama New Zealand pulak?"

        Aku mengimbau kembali kenangan melawat sebuah taman tema yang diberi nama New Zealand Village, Yamaguchi hampir dua puluh tahun lalu. Ketika itu aku bercuti untuk mengikuti suami menjalani kursus di Yamaguchi, Jepun.

Kami dibawa oleh dua orang pelajar Malaysia yang sedang belajar di Universiti Yamaguchi untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Yamaguchi. Taman tema yang agak luas itu mempunyai beberapa tarikan seperti kawasan menternak kambing biri-biri di mana pengunjung boleh mendekati kambing biri-biri yang terletak di dalam kandang yang luas dan berpagar. Terdapat juga sebuah tasik yang mempunyai permainan bot air yang terdiri dari pelbagai rupa bentuk seperti angsa dan kapal terbang. Permainan inilah yang menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak yang berkunjung ke sana. Mercu tandanya adalah sebuah bangunan berciri Eropah yang memiliki bumbung berwarna merah jambu.

Untuk tidak mengecewakan pertanyaan Saffura aku menerangkan kepadanya, "Mungkin orang Jepun begitu mengkagumi keindahan New Zealand lalu dibina taman tema yang menyerupai suasana di New Zealand. Sebab itu diberi nama New Zealand Village," dengan harapan Saffura yang baru berusia 10 tahun itu boleh memahaminya.
          "Kawan Saffura, Aishah pernah tinggal di Australia dan melancong ke New Zealand. Aishah kata New Zealand sangat cantik,  Saffura pun berangan-angan nak ke New Zealand." Saffura menukar tajuk setelah mendapat sedikit kefahaman dariku.
Sambil menyusun kembali alat hiasan tersebut  di dalam almari khas di bawah tangga ruang tamu rumah aku berkata, "Memang ayah ada merancang untuk ke New Zealand, tapi penerbangan murah Air Asia dah memberhentikan penerbangan ke sana. Jadi kita kena bersabar sikit. Kita kumpul duit dulu, harga tiket kapal terbang untuk ke New Zealand mahal sikit."
Sambil menganggukkan kepala Saffura akur dengan penerangan yang aku berikan. Kemudian Saffura bertanya kembali, "Mama, cuti sekolah kali ini kita nak bercuti ke mana mama?"

Aku menutup kembali pintu cermin almari yang sarat dengan pelbagai hiasan dari luar negara yang pernah aku lawati. Kebanyakan barang yang aku beli adalah kecil dan murah sahaja. Sekadar sebagai ingatan bukan untuk bermewah. Aku memberi perhatian semula kepada Saffura setelah merasa puas menyusun barang-barang di dalam almari tersebut.
"Entahlah, memang mama ada ajak ayah pergi ke luar negara tetapi ayah susah nak dapat cuti, mungkin yang dekat saja. Ayah ada kata nak pergi Australia."
Belum sempat aku menghabiskan ayat tersebut, Saffura melompat-lompat sambil menarik kedua belah tangan aku lalu berkata, "Yeye, Saffura memang nak ke Australia sebab ada kanggaru dan koala."
"Yalah, tapi mama dah pergi Australia, dua kali dah," aku tersenyum melihat telatah  Saffura. 
          Sambil melepaskan tanganku, Saffura menambah, "Alah, Saffura selalu berdoa untuk pergi ke Australia seperti Aishah, okay la mama."

Aku tidak mempunyai pilihan lalu menjawab, "Tengok la, mama nak ajak ayah pergi ke Christchurch dari  Melbourne. Tunggulah ya, ayah masih mencari tiket murah, sabar lah."

Hasratku untuk ke New Zealand memang sudah lama tersimpan di hati namun terpaksa dipendamkan sahaja memandangkan kos untuk ke sana begitu tinggi. Pakej melancong yang ditawarkan oleh pelbagai agen pelancongan begitu mahal dan tidak semua agen pelancongan menawarkan pakej untuk pergi ke sana. Hanya agen pelancongan yang popular sahaja yang menawarkan pakej seumpama itu. Harga serendah RM7,000.00 seorang untuk percutian selama 6 hari dan 5 malam sudah pasti membuatkan golongan berpendapatan sederhana seperti keluargakuku  berfikir dua kali sebelum pergi. Kami turut meninjau harga tiket kapal terbang di Matta Fair 2012 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra namun harganya juga agak tinggi. Syarikat penerbangan seperti  Malaysia Airlines  menawarkan tambang berharga RM3000.00 ke atas untuk penerbangan pergi dan balik ke Auckland, New Zealand.

Harga tiket penerbangan menjadi lebih tinggi jika tarikh yang dipilih adalah bertepatan dengan waktu cuti  persekolahan. Waktu terbaik untuk ke New Zealand adalah pada musim bunga dan musim panas kerana tempoh masa siangnya yang panjang.  Musim tersebut jatuh pada bulan November dan Disember bersamaan dengan cuti persekolahan pada hujung tahun. Negara New Zealand dan Australia memiliki 4 musim namun waktunya bertentangan dengan negara beriklim yang sama di sebelah utara. Jadi ketika negara-negara di Kutub Utara mengalami musim sejuk, negara-negara di Kutub Selatan pula sedang mengalami musim panas.

Keghairahan Saffura untuk ke Australia membuatkanku dan suamiku memikirkan cara lain untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah. Akhirnya kami mengambil tiket penerbangan ke Melbourne menggunakan Air Asia. Manakala untuk penerbangan dari Melbourne ke Christchurch, kami menaiki Jetstar. 


New Zealand terkenal dengan  jutaan kambing biri-biri 















Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...