Jumaat, 8 Januari 2016

Travelog: Jom Pi UK (8)

Madame Tussaud's , London



30/10/1996 (Rabu)

Kami mengambil keputusan untuk meletakkan beg-beg kami yang agak banyak itu di Victoria Station. Ini bagi memudahkan pergerakan kami. Hanya sebuah beg sahaja yang akan kami bawa nanti. Kami meninggalkan hotel dengan menaiki teksi ke Victoria Station. Pemandu teksi tersebut merupakan seorang warganegara Iraq yang memiliki B.Sc.Engineering. Beliau begitu peramah, suamiku berbual rancak sepanjang perjalanan. Kebanyakan pemandu teksi di London adalah dari negara luar seperti Pakistan, India, Afganistan, China dan sebagainya.

Tambah kapsyen
Kami meninggalkan beg-beg kami di tempat khas dengan bayaran 5 paun untuk satu hari. Kami juga sempat membeli tiket untuk masuk ke Madame Tussaud's di Information Centre. Jadi kami tidak perlu beratur panjang untuk membeli tiket di sana. Kami terus masuk ke dalam bangunan Madame Tussaud's dan menaiki lif ke dewan pameran. Kelihatan bintang-bintang terkenal dunia dalam pelbagai bidang seperti bidang sukan, pelawak dan sebagainya. Kemudian pameran berkaitan bagaimana patung-patung lilin diperbuat. Patung-patung yang dibuat begitu real sehingga sukar untuk membezakannya. Juga sejarah mengenai Madame Tussaud's, orang yang bertanggungjawab mengumpulkan lukisan-lukisan dan sejarah terutamanya bagi keluarga diraja. Di bahagian ini juga diletakkan replika berdasarkan sekeping gambar berkaitan Napoleon Bonarparte.


Kami menaiki tangga ke bahagian seterusnya dan sampai ke bahagian artis-artis popular seperti Elvis, Maddona dan sebagainya berlatar belakang muzik. Orang ramai berpusu-pusu untuk mengambil gambar bersama artis kesayangan masing-masing. Kami tidak mahu berada lama di kawasan ini kerana ianya begitu sesak sekali. Di tingkat atas seterusnyanya mengandungi koleksi patung-patung pemimpin dunia sama ada pemimpin negara atau pemimpin agama. Hampir kesemua pemimpin negara Barat  seperti Presiden Amerika Syarikat, Rusia dan Perdana Menteri Australia, New Zealand dan sebagainya diberi ruang untuk berada di situ. Pemimpin-pemimpin negara Arab juga turut serta termasuk  Muamamr Ghadaffi dan Anwar Sadat. Aku sempat bergambar dengan Benazir Butto manakala suamiku pula mahu bergambar dengan John Major. Di suatu penjuru tidak jauh dari situ ialah ahli keluarga Di Raja England iaitu Queen Elizabeth dan keluarga terdekatnya. Namun patung Lady Diana diletakkan dalam posisi yang agak terpisah dari yang lain.


Bahagian yang paling menarik ialah di bahagian bawah bangunan. Kami terpaksa bergerak dengan amat perlahan kerana orang terlalu ramai di sini. Suasana terasa sesak dan gelap pula. Rupa-rupanya ianya adalah Replika Penjara di zaman gelap dahulu. Dipamerkan bagaimana keadaan penjara ketika itu juga bagaimana banduan-banduan dihukum dengan berbagai cara. Termasuk direndam di dalam air yang sangat sejuk, disalai dan diputar. Keadaannya begitu menyeramkan, mengerikan serta menyedihkan. Juga suasana penjara bawah tanah yang sempit dan gelap. Cara memancung pun ditunjukkan disertai dengan bunyi yang mendebarkan. Begitu juga dengan cara seseorang pesalah dihukum gantung cukup menyeksakan. Di saat ia dijatuhkan hukuman sehingga debaran ke tali gantung serta jeritan ketika digantung. Saat itu aku terbayang bagaimana Mujahid Islam seperti Syed Qutb digantung di Mesir. cara penyiksaan yang diberikan jelas bertujuan untuk menyiksa tanpa peri kemanusiaan dan bertamadun. Sayang sekali semua yang terdapat di sini tidak boleh diambil gambar.

Bahagian terakhir ialah City Tour by London Taxi. Kami menaiki replika teksi London untuk menghayati perkembangan kemajuan yang dilalui Kota London yang berlaku sejak beberapa abad yang lalu sehingga ke saat ini. Akhirnya kami singgah ke kedai cenderahati untuk membeli barang yang sesuai sebagai kenangan.

Petangnya sekitar pukul 2.30 petang kami menaiki bas untuk ke Dover. Dover merupakan bumi hijau bagi England yang terkenal dengan hasil tanaman dan ladang yang luas. Jadi sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang cukup indah. Kawasan berbukit dengan ladang yang luas, haiwan ternakan bertaburan di padang menghijau juga tanaman makanan harian seperti gandum dan kentang kelihatan. Kami melalui daerah Canterbury di saat murid-murid sekolah sibuk pulang dari sekolah. Bandar Canterbury kelihatan cantik dan bersih. Kami tiba di Dover pada pukul 4.30 petang dan terus ke hotel yang sudah ditempah oleh kenalan suamiku yang akan kami temui nanti.



Pada malamnya kami dibawa bersiar-siar di Istana Dover yang terletak berhampiran laut. Ianya merupakan sebuah Castle yang dibina lebih dari 2000 tahun. Malangnya kami hanya mampu sampai di pintu masuk sahaja kerana ianya sudah ditutup. Castle ini penting pada zaman dahulu kerana ianya merupakan tempat perlindungan bagi berhadapan dengan negara Eropah lain. Ini disebabkan Dover merupakan pintu masuk antara England dengan Eropah. Kawasan Castle begitu luas. Kawasan sekelilingnya terdapat terusan dan dibawahnya pula dibina penjara. Jika kami datang di waktu siang mungkin lebih jelas pemandangannya. Kami juga dibawa sekitar kawasan peranginan berhampiran dengan pelabuhan feri terbesar di dunia. Kami berada di tempat yang agak tinggi jadi kami dapat melihat kawasan pelabuhan dengan begitu jelas. Ianya menghubungkan antara England dengan Eropah. Dari kejauhan dapat dilihat dengan jelas Bandar Calais yang terletak di bumi Perancis. Suasana di pelabuhan agak sibuk dengan feri yang masih lagi beroperasi. Hatiku berbunga kerana esok kami akan ke Paris.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...