Isnin, 26 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (5)


Arc De Triomphe De Letoile


Dari Stesen Charles de Gaulle Etoile kami tiba di mercu tanda kedua yang popular di Paris iaitu Arc De Triomphe De Letoile. Tidak jauh dari kawasan ini ialah laluan membeli belah ternama di Paris iaitu Avenue Des Champs Elysees. Aku tidak menduga monumen  Arc De Triomphe De Letoile begitu besar dan tinggi. Sebesar sebuah bangunan. Ia terletak  di tengah Place Charles de Gaulle sebuah persimpangan  yang amat sibuk. Kami meninjau terlebih dahulu bagaimana untuk ke sana. Dengan melintas jalan  adalah mustahil kerana kenderaan yang berpusing di situ tidak putus langsung. Suasana di atas jalan tersebut amat sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan. Tidak kelihatan pula sesiapa pun yang melintas untuk ke sana.

Sambil berdiri kami melihat kesibukan persekitaran. Ada pertunjukan tarian anak-anak muda disamping jualan kecil-kecilan dari pendatang. Suasana laluan pula begitu sibuk dengan pelbagai kenderaan termasuk Tuk tuk Paris, sejenis pengangkutan menyerupai motosikal yang popular di Indonesia. Terdapat juga kenderaan seperti beca tetapi basikalnya sangat canggih. Ramai juga pelancong yang menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan untuk disewa bagi menikmati keindahan Paris. Walau bagaimana pun basikal di Paris lebih cantik dan moden. Binaan bangunan di Paris agak berbeza dari di London kerana bangunannya lebih cantik, besar dan kukuh. Puas berfikir cara untuk ke Arc De Triomphe De Letoile yang sudah berada di depan mata.                  

Perut pula minta diisi, terutama aku yang memang tidak mampu menahan lapar. Dari pagi kami berjalan, terasa tenaga semakin berkurang dan keletihan. Kawasan ini amat luas dan penuh dengan bangunan pelbagai jenis.  Kami ambil salah satu laluan kedai untuk mencari makanan halal tetapi tidak pula kelihatan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan di McDonald. Di Paris McDonald dilatari warna hijau tulisan kuning tidak seperti di Malaysia latar merah tulisan kuning. Kami hanya mengisi perut dengan kentang goreng dan jus bagi mendapatkan tenaga seterusnya. Mujur Saffura, anak yang tidak cerewet. Kami sempat terserempak dengan beberapa orang rakyat Malaysia dan sudah pasti kami tidak bertegur sapa. Agak mudah mengenali warga Malaysia melalui  cara mereka menggunakan tudung jika wanita Muslim.



Tidak tertahan untuk ke tandas kami cuba menggunakan tandas awam yang sangat canggih terletak berdekatan Mc Donald. Mempunyai binaan yang moden terletak di laluan yang agak sibuk. Kami meninjau keadaan luar tandas untuk mencari bagaimana membuka pintu tandas tersebut. Binaan tandas tersebut mirip sebuah kapal angkasa dengan butang-butang komputer untuk ditekan. Tiba-tiba pintu tandas terbuka setelah kami menyentuh suiz yang ada beberapa kali. Aku  dan Saffura melangkah masuk ke dalam tandas yang luas seperti sebuag bilik tetapi gagal untuk menutup pintunya. Kelihatan mangkuk tandas sedang dibersihkan secara automatik. Kecewa, kami pun ingin melangkah keluar. Tiba-tiba seorang lelaki berusia datang menolong kami.  Terdapat  lampu berlainan warna di bahagian pintu masuk tandas mengikut fungsinya. Apabila warna hijau muncul baru boleh ditekan untuk masuk ke dalamnya. Gunakan warna merah untuk menutup pintunya. Tandas yang luas boleh diisi melebihi 10 orang itu mengandungi mangkuk tandas, cermin muka dan paip air. Selepas menggunakan tandas secara automatik mangkuk tandas itu akan dibersihkan sendiri. Untuk membasuh tangan pun ada caranya. Mulanya kita letakkan tangan di bawah paip,kemudian sabun akan dikeluarkan terlebih dahulu. Kemudian air dan udara untuk mengering. Setelah pengguna keluar tandas akan dikemaskinikan dan lampu akan berwarna biru sehingga selesai. Pintu tidak akan dibuka selagi lampu tidak berwarna hijau. Semasa kami melangkah keluar kelihatan suamiku sedang memberi penerangan kepada dua orang remaja yang turut teruja untuk menggunakan tandas awam yang canggih itu. Ahhh..macam-macam ada.


Kami meneruskan perjalanan untuk ke  Arc De Triomphe De Letoile.  Kami meninjau keadaan sekeliling dan puas berfikir bagaimana untuk ke sana. Ia berada di tengah-tengah bulatan dilingkungi lebih dari 6 simpang yang merupakan jalan-jalan utama yang akan melalui bulatan tersebut. Adalah mustahil untuk melintas di jalan yang amat sibuk itu. Bukan itu sahaja , jalannya juga begitu besar.  Kami berdiri seketika untuk melihat keadaan yang sibuk di bawah panas matahari. Kami mencuba jalan bawah tanah yakni jalan yang kami mula-mula masuk tadi. Hati mulai terasa sakit namun azam untuk mencari jalan ke sana masih kuat. Akhirnya kami menjumpai laluan bawah tanah untuk ke sana. Terpegun kerana laluannya begitu besar dan moden walau di buat di bawah tanah. Di sini juga kelihatan ramai pendatang asing menjual pelbagai barangan cenderahati dan permainan. Kami menyertai ribuan pengunjung lain untuk melihat Arc De Triomphe De Letoile dari dekat.

Arc De Triomphe De Letoile merupakan sebuah tugu peringatan. Gerbang kemenangan ini memberi penghormatan kepada mereka yang berjuang untuk Perancis khususnya di zaman Napoleon. Bangunan tersebut dipenuhi dengan pelbagai ukiran berbentuk manusia.  Turut ditulis nama-nama mereka yang terkorban dalam peperangan. Terdapat lif untuk dinaiki ke bahagian atas bangunan tersebut. Orang ramai beratur dalam barisan yang sangat panjang untuk mengambil peluang melihat pemandangan dari atas tugu tersebut. Kami tidak boleh melakukannya memandangkan kami sudah kesuntukan masa. Kami sekadar mengelilingi tugu yang amat besar itu untuk melihat kawasan sekitarnya. Suasana jalan raya masih terlalu sibuk dengan pelbagai kenderaan muncul dari pelbagai simpang.



Kelihatan Avenue Des Champs Elysees yang terkenal dengan syurga membeli belah barangan berjenama dan mahal. Dari jauh dapat di lihat dengan jelas butik Cartier. Pasti kami tidak akan mencuci mata di sana. Kedudukan monumen ini yang agak tinggi membolehkan kami melihat bangunan Grand Palais dari jauh. Kami begitu  teruja untuk ke sana.


.






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...