Khamis, 15 Oktober 2015

Travelog : Oh!Riyadh (68)-Madain Saleh

Madain Saleh



Madain Saleh terletak kira-kira 22 km dari Pekan Al Ula. Dikenali juga sebagai Al Hijr (bukit berpasir). Madain Saleh ialah bandar kaum Tsamud, kaum yang diutus Allah SWT seorang Rasul yang sebangsa mereka iaitu Nabi Saleh as.

Madain Saleh di lihat dari jalan raya


Pintu Masuk - Permit masuk boleh didapati di hotel tapi
ada masanya cukup dengan menunjukkan iqamah.

Kelebihan kaum Tsamud ialah ilmu mereka di dalam pembinaan rumah. Mereka menebuk bukit berbatu menjadi rumah mereka.

Firman Allah  SWT yang bermaksud

"Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah" [Al Quran, Surah al- Fajr ayat 9]

Persekitaran kawasan Madain Saleh
Penuh pasir dan bukit berbatu

Bukit batu dijadikan rumah/ kubur

Bahagian dalam 

Kaum Tsamud mendustakan Nabi Saleh as. Mereka menyakiti Nabi Saleh. Lebih malang lagi mereka menyembelih unta mukjizat Nabi Saleh as.

Firman Allah SWT yang bermaksud

"Dan kepada Kaum Tsamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Saleh ia berkata:' Wahai kaumku!Sembahlah kamu akan Allah!Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bumi(tanah), serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu minta ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya. Mereka menjawab dengan berkata:' Wahai Saleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap di kalangan kami (untuk memimpin kami) patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami?Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya." [Al Quran, Surah Hud ayat 61-62]

"Saleh berkata:'Hai kaumku, bagaimana pikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan diberi-Nya aku rahmat (kenabian) dari-Nya, maka siapakah yang akan menolong aku dari(azab) Allah jika aku mendurhakai-Nya. Sebab itu kamu tidak menambah apa pun kepadaku selain daripada kerugian'. Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarlah dia mencari makan dibumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya(kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya. Mereka kemudiannya  menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: 'Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari, tempoh yang demikian itu, ialah satu janji yang tidak dapat didustakan. Maka tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Saleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhammu, Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa"
[Al Quran, Surah Hud ayat 63-66]

Hanya kubur
Kubur yang tidak sempat disiapkan

Kubur yang pelbagai saiz


Juga tidak sempat disiapkan


Ukiran dipintu
Kaum Tsamud memilih untuk tidak beriman kepada Allah SWT lalu mereka dihancukan oleh Allah SWT dengan petir yang meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud

"Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Mereka punah ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah!Sesungguhnya kaum Tsamud itu kufurkan Tuhan mereka.Ketahuilah!Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Tsamud." [Al Quran, Surah Hud ayat 67-68]

"Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan 
 mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah)" 
 [Al Quran Surah, As-Syams ayat 14]

Seluruh bangsa tersebut dihapuskan Allah. Azab yang dikenakan kepada mereka adalah azab yang belum pernah berlaku sebelumnya. 

Firman Allah  SWT yang bermaksud 

"Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta(kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan." [Al Quran, Surah Fussilat ayat 17]

"Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa."
[Al Quran, Surah al-Haaqah ayat 5]

"Dan demi sesungguhnya penduduk 'Al-Hijr' telah mendustakan Rasul-rasul.Dan Kami telah berikan tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama Rasul Kami) dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya), Dan mereka memahat sebahagaian gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, pada waktu pagi. Maka apa yang telah mereka usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikitpun.' [Al Quran, Surah Al Hijr Ayat 80-84]

Tempat menerima tetamu.

Ada juga ukiran-ukiran pelbagai bentuk

Kelihatan daerah  menghijau dari Al Diwan

Setelah kaum ini dibinasakan, maka datanglah kaum Anbat (Nabateans)  yang berpusat di Petra, Jordan menduduki  Madain Saleh. Mereka memahat batu batan untuk pelbagai tujuan.

Madain Saleh terdiri dari tiga bahagian utama. Pertama, untuk tinggal. Kedua, untuk sembahan. Ketiga, untuk pengkebumian. Tiga puluh empat dari makam diukir dengan tulisan dan tiga puluh satu pula diberi tarikh yang jelas. Tarikh kesemua makam tersebut, kecuali satu adalah di antara 1 Sebelum Masehi dan 75 Sesudah Masehi.Menghairankan ada makam yang tidak sempat disiapkan. Ia berlaku selepas tahun 75 Sesudah Masehi. Penghentian pembinaan makam yang secara tiba-tiba merupakan suatu misteri. Beberapa makam ditinggalkan dalam keadaan separuh siap seolah-olah ada sesuatu yang berlaku secara mengejut.



Ketika menziarah tempat laknat seperti ini, kita hendaklah sentiasa istigfar, berzikir meminta pertolongan dari Allah. Iktibar yang perlu kita ambil ialah mereka yang hebat teknologi pada ketika itu pun boleh dihancurkan oleh Allah. Penuhkan jiwa dengan rasa taqwa dan hati yang ingin mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku. Kaum yang pernah dilaknat menjadi iktibar kita hingga hari kiamat. Oleh itu menziarah tempat seperti ini bukan untuk suka-suka dan bergembira. Kita perlu merenung dan mengambil iktibar darinya. Kami mohon keampunan dari Allah. Astagfirullahalazim .Kisah mereka termaktub di dalam Al Quran dan sisa-sisa yang mereka tinggalkan masih boleh dilihat sehingga kini. Semoga kita semua diperihara Allah dari kehinaan dan kemusnahan yang sedemikian rupa akibat rasa sombong dan ingkar. Ya Allah berilah kami taufik dan hidayahMu.Peliharalah kami supaya sentiasa hidup dan mati di dalam iman.

Sejarah Keretapi Hijaz

Di bahagian hadapan pintu masuk ke Madain Saleh, terdapat Muzium Keretapi Hijaz. Muzium ini memaparkan sejarah kewujudan keretapi yang menghubungkan Damascus di Syria dengan Al Madinah Al Munawarah. Hasil usaha Sultan Abdul Hamid  untuk memodenkan sistem pengangkutan dan komunikasi Kerajaan Uthmaniyah. Bermula pada September 1900.

Muzium berhawa dingin yang lengkap dengan informasi dan
bahan bersejarah.


Gambar stesen keretapi di bandar-bandar yang
dilalui. Keretapi tiba di stesen Al Madinah
pada 22 Ogos 1908. Stesen di Madinah masih wujud.
Laluan keretapi antara Al Ula dan Haddiya
Replika stesen keretapi dibina semula. Lengkap dengan bangunan
yang menawarkan pelbagai kemudahan seperti kedai, hotel,
hospital dan ruang menunggu(seperti keadaan asal)


Madain Saleh dan Al Ula turut menjadi laluan
keretapi Hijaz
Di dalam muzium
Di luar muzium

Malangnya Keretapi Hijaz tidak bertahan lama apabila Perang Dunia Pertama meletus sekitar 1914-1918. Penjajah British telah memusnahkan sebahagian besar laluan keretapi dari Amman ke Madinah. Jambatan, peralatan dan kebanyakan stesen dimusnahkan melalui peranan T.E. Lawrence. Selepas perang, usaha dibuat untuk memulihkannya dan beroperasi semula pada tahun 1919. Namun pada tahun 1925 usaha dihentikan akibat kekurangan bahan dan kemahiran teknikal. British dan Perancis yang menguasai sebahagian besar negara-negara Timur Tengah juga memainkan peranan untuk mengagalkan usaha tersebut sekitar tahun 1928.



Daerah ini juga begitu subur. Penuh dengan pokok-pokok kurma, ladang rumput,gandum dan sebagainya.

Di sebalik rimbunan pepohon kurma, tersembunyi kawasan penanaman
rumput yang menghijau

Kelihatan alat menyiram air yang boleh bergerak sendiri. Alat ini banyak
kelihatan di New Zealand dan kini aku melihatnya di Arab Saudi.

Luas terbentang - rumput ditanam untuk kegunaan binatang ternakan.

Rumput dibentuk sebegini dan dijual kepada para penternak kambing,
unta dan sebagainya.



                                                                                                                                    zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...