Selasa, 20 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (3)


Eiffel Tower

Dari stesen bas ke laluan yang bersambung dengan Metro, sistem pengangkutan bawah tanah. Walau pun masih pagi orang ramai sudah mula berpusu-pusu menuju ke kaunter untuk membeli tiket bagi menaiki Metro. Kami dilayan dengan baik oleh petugas yang berbangsa kulit hitam, Alhamdulillah. Sebelum ini banyak yang didengari bagaimana tidak mesranya orang Perancis dalam melayani pelancong luar. Kami sempat bertanya bagaimana mahu ke Paris dan seterusnya diberi pamplet peta laluan Metro. Ianya menghubungkan destinasi utama yang menjadi pilihan pelancong. Kami membayar  untuk ke Zon 1 dan 2 sahaja memandangkan masa kami hanya sehari. Kanak-kanak tidak pula dikenakan bayaran untuk menggunakan perkhidmatan Metro. Berbeza dengan di London di mana kanak-kanak perlu membayar separuh tambang orang dewasa untuk menaiki Tube. Tube di London dan Metro di Paris kedua-duanya adalah sistem kenderaan awam yang amat berkesan dan kebanyakan laluannya adalah di bawah tanah.

Metro Paris
Walaupun tidak dikenakan bayaran kanak-kanak masih diberi tiket untuk memasuki kawasan Metro. Pengguna  Metro juga hanya memerlukan tiket untuk masuk sahaja jadi tiket boleh dibuang selepas penumpang menaiki Metro. Keadaan ini agak berbeza jika kita menggunakan Tube di London atau LRT di Kuala Lumpur di mana kita perlu menyimpan tiket untuk keluar. Terdapat palang yang terbuka apabila kita memasukkan tiket ke dalam mesin yang disediakan bersama pintu tinggi akan terbuka bersama. Dua lapisan disediakan iaitu palang dan pintu tinggi untuk mengelakkan penumpang dari melompat memasuki Metro tanpa bayaran. Memang menjadi perwatakan anak-anak muda yang suka mencuba , kami sempat melihat aksi di mana beberapa anak muda mencuri masuk ke dalam kawasan Metro walaupun di halang dengan pintu tinggi. Keadaan ini tidak berlaku di London kerana tiket diperlukan untuk masuk dan keluar, lagi pula petugas-petugas di stesen Tube di London memang sentiasa ada di sekitarnya. Ini bagi memastikan perkhidmatan Tube berjalan lancar.

Perkataan Perancis pertama yang kami pelajari ialah ‘Sortei’ yang bermaksud keluar. Kelihatan suasana persekitaran dan dalaman Metro lebih baharu berbanding di London. Walaupun masih pagi terdapat ramai orang menggunakan Metro untuk ke mana sahaja, jadi kami terpaksa berdiri agak lama sebelum sampai ke destinasi. Aku berpeluang melihat wanita-wanita Perancis yang agak bergaya dari segi penampilan diri. Benarlah seperti cerita kawan-kawan yang pernah melancong atau tinggal di Perancis.Walaupun agak tua tetapi pakaian mereka agak eksklusif sesuai dengan jolokan dunia, Paris sebagai Kota fesyen. Sampai ke stesen yang di cari, kami dengan rasa tidak sabar terus mencari laluan keluar ke Eiffel Tower. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan pengalaman suami yang sudah dua kali melancong ke Paris pada zaman belajar sekitar 1990an.
Sekitar Stesen Metro Ecole Militaire

Sampai di luar langit kelihatan amat terang dan panas mula terasa.  Dari sini kami berjalan terus tanpa melintasi jalan, melalui bangunan-bangunan cantik yang sedikit berbeza dari London terutama binaan bumbung bangunan. Kami mengintai Eiffel Tower dari kejauhan dengan rasa tidak sabar yang amat sangat. Akhirnya kami tiba ke sebuah bangunan tersergam indah di sebelah kiri iaitu mana kala sebelah kanan pula kelihatan Eiffel Tower berdiri dengan gagah sekali. Keterujaan kami diganggu oleh seorang lelaki berkulit hitam yang menawarkan pelbagai barangan untuk dijual termasuk keychain, rekplika Eiffel Tower dan scaf dengan harga yang murah. Kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu membuatkan kami sedikit terkejut tetapi mata kami lebih  tertumpu kepada Eiffel Tower. Aku menolak lembut pelawaannya untuk membeli barangan tersebut. Suamiku tersenyum lebar dan memandang kearah aku sambil berkata ‘Tada...Eiffel Tower”. Berakhirlah penantian aku selama 15 tahun untuk melihat Eiffel Tower . Suamiku begitu lega kerana sudah menunaikan janjinya padaku.


Eiffel Tower berdiri megah. Satu-satunya objek tinggi terpaku di situ. Didepannya terdapat padang hijau seluas masa memandang. Pemandangan yang sama jika kita berdiri di depan Capitol Hall di Washington D.C. Terdapat satu binaan bercermin yang tertulis pelbagai bahasa mewakili negara-negara seluruh dunia seperti bahasa Arab, China, India dan sebagainya. Kami terus disapa lagi oleh penjual jalanan. Yang mengejutkan Aku ialah peminta sedekah bertauliah kerana memiliki surat rasmi untuk memohon bantuan. Saya tidak pasti apa bangsanya wanita tersebut tetapi yang jelasnya beliau seorang Islam.

Menara Eifel dilihat dari Champ-de-Mars

"Waduh di negara maju seperti Perancis juga ada peminta sedekah dan orang Islam pula." Aku berbisik sendiri kebingungan. Aku hanya mampu memyedekahkan senyuman dan terus berlalu maklumlah wang yang ada masih dalam volume yang besar jadi agak sukar untuk memberi. Kami terus berlari untuk melihat Eiffel Tower dari jarak yang lebih dekat sambil tidak melepaskan peluang bergambar tidak berhenti-henti. Rasa panas mula menggigit tubuh badan yang masih lagi dibaluti jaket musim luruh. Semasa bertolak dari London suhu adalah  sekitar 12 C. Di Paris suhu musim panasnya agak tinggi berbanding London. Langit biru kelihatan amat terang menambahkan keindahan latar belakang Eiffel Tower, memang cantik dan indah.Tidak hairanlah mengapa mercu tanda ini menjadi pujaan ramai untuk dilawati.


Sedikit demi sedikit kami kian menghampiri bangunan Eiffel Tower, sepanjang laluan tiada aktiviti lain melainkan bergambar. Semua pengunjung berbilang bangsa menuju ke Eiffel Tower sambil bergambar. Suasana terasa begitu meriah,  masing-masing memberi senyuman sebaik mungkin untuk dirakamkan buat dijadikan bukti Paris sudah dijejaki. Deretan pepohon hijau di kedua-dua belah laluan ke Eiffel Tower menambahkan lagi kekaguman pengunjung terhadap legenda Eiffel Tower. Eiffel Tower kelihatan gagah kerana  ia bangunan paling tinggi di situ, apabila makin dekat kehebatannya kian terserlah ditambah warnanya yang kemerahan seperti warna kuprum. Kami tiba di tapak Eiffel Tower yang begitu besar dan kelihatan orang semakin ramai mengunjungi Eiffel Tower. Pelbagai rupa dan rumpun bangsa manusia berpusu-pusu untuk menikmati keindahan Eiffel Tower yang menjadikan mercu tanda Kota Paris. Sesuai dengan gelaran tersohor iaitu kota paling romantik di dunia.


Pelbagai gelagat manusia yang ada di persekitaran Eiffel Tower. Majoriti dari mereka beratur dalam barisan panjang bagi menunggu giliran menaiki Eiffel Tower. Tidak kelihatan di mana barisan panjang tersebut berakhir. Ramai juga yang terus mengambil gambar, duduk di bangku yang disediakan di tapak kaki Eiffel Tower. Ada yang berehat-rehat sambil menikmati cuaca musim panas sambil menghayati keindahan pelbagai warna bunga ros yang mekar di taman sekitar Eiffel Tower.  Kami berkira-kira untuk turut beratur bagi menaiki Eiffel Tower. Namun membatalkannya. Kami meninjau di kawasan persekitaran untuk membeli cenderahati untuk dibawa pulang. Terdapat sebuah kedai menjual cenderahati di laluan untuk menaiki Eiffel Tower tetapi barangannya tidak terlalu banyak pilihan. Walau pun harga yang terpapar agak mahal saya tetap membeli  beberapa barang memandangkan kami tidak pasti adakah kami akan terjumpa kedai lagi. Tidak banyak kedai menjual cenderahati di situ. Kami berehat melepaskan penat sambil menjamah minuman dan makanan ringan yang kami bawa bersama bagi mengalas perut disalah sebuah bangku yang disediakan. Aku merenung binaan Eiffel Tower dari dekat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...