Sabtu, 17 Oktober 2015

Travelog : Oh!Riyadh (69)-Rehlah - Tabuk


Rehlah - Tabuk

Tabuk tempat  berlakunya Perang Tabuk. Sirah Rasulullah s.a.w yang kita hayati sedari kecil pasti mengungkapkan kisah perang yang sangat terkenal ini. Banyak iktibar yang boleh diambil dari peristiwa ini. Berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijrah (630M) dan merupakan perang terakhir Rasulullah s.a.w. Ianya terjadi apabila sampai berita kepada Rasulullah s.a.w bahawa Raja Romawi akan menyerang Madinah  dengan tentera yang besar melalui Syam. 

Perang ini membuktikan siapa orang-orang yang benar-benar taat kepada Allah dan RasulNya. Yang memiliki keimanan yang tinggi yang rela menginfaqkan harta dan jiwa di jalan Allah. Redha Allah dan Rasul atau kebun-kebun kurma yang tengah berbuah atau rumah-rumah tempat berteduh yang nyaman.

Jarak yang jauh iaitu 700- 800 km di antara Madinah dan Tabuk pasti menjadi ujian. Musim panas yang sangat panas, dilanda kemarau, kebun-kebun kurma sedang masak ranum yang menjadi sumber rezeki untuk setahun juga rasa bimbang untuk meninggalkan keluarga. Semuanya mengundang perasaan berbelah bagi mungkin timbul kerana pengorbanan besar sangat diperlukan. Akhirnya semua bersedia meninggalkan kota Madinah kecuali kaum munafik, orang yang  uzur, wanita, anak-anak kecil dan sahabat yang tidak mendapat tunggangan dan tiga sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Ka'ab bin Malik, Mararah al Rabi' dan Hilal bin Umaiyah.

Firman Allah  SWT yang bermaksud

"Mereka kembali, sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana sedih tidak memperoleh apa yang akan mereka infakkan." [Al Quran Surah At Taubah  ayat 92]

Sahabat berlumba-lumba sedekah, Uthman bin Affan ra memberi 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. AbdulRahman bin Auf  ra memberi 200 uqiyah (1 uqiyah = 40 dirham), Abu Bakar  ra memberi seluruh hartanya manakala Umar ra memberi separuh hartanya. Al Abbas ra, Talhah ra, Sa'd bin Ubadah ra, Muhammad bin Maslamah ra dan 'Asim bin Adi ra turut memberi mengikut kemampuan masing-masing. Orang ramai turut menyumbang walaupun sedikit seperti 1/2 atau 1 kilogram buah kurma. Kalangan wanita turut memberi barang perhiasan kepunyaan mereka untuk mencukupkan keperluan persediaan menghadapi peperangan ini. Semua mahu menyumbang kecuali golongan munafik.

Firman Allah SWT yang bermaksud


" (Orang-orang munafik itu) yaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya, maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih." [Al Quran Surah At Taubah ayat 79]


Banyak harta disedekahkan untuk perang, kerana jumlah pasukan yang sangat besar yaitu 30,000 orang. Kekurangan kenderaan sehingga terdapat 18 orang menunggang seekor unta secara bergilir sepanjang perjalanan.Dalam perjalanan ke Tabuk, orang Islam diuji dengan kekurangan air dan cuaca yang terlalu panas.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w seperti Sina' bin 'Urfutah ra dan Ali bin Abu Talib ra diminta tinggal di Madinah untuk menjaga Madinah dan keluarga Rasulullah s.a.w.

Kami bertiga bertolak meninggalkan Al Ula pada pukul 3.00 petang. Kami rasa teruja kerana mahu menjejaki perjalanan yang pernah Rasulullah s.a.w tempuhi. Mengikut peta yang kami google, jarak antara Al Ula ke Tabuk adalah sejauh 280 km. Namun setelah berada di atas jalan raya kami dapati jarak di papan tanda sepanjang jalan tersebut menunjukkan jarak sejauh 480 km. Kami meneruskan juga perjalanan kami walaupun kami terpaksa berdepan dengan kegelapan malam.

Selepas persimpangan Madinah, Tabuk dan Al ula.
Semasa aku menulis entri ini , aku sempat membuat rujukan berkaitan dengan Perang Tabuk dan aku terjumpa kisah perjalanan Rasulullah s.a.w yang belum pernah aku baca. Rasa agak kesal namun apakan daya ianya sudah berlaku. Hanya kepada Allah kami memohon supaya dijauhkan dari sebarang musibah.

Rujukan

On their way to Tabuk, the army of Islam passed by Al-Hijr - which was the native land of Thamud who cut out(huge) rocks in the valley:that is Al Qura Valley of today.

They watered from its well but later Allah Messenger sa.w told them not to drink of the water,nor perform the ablution with it. The dough the made, he asked them to feed their camels with. He forbade them to eat anything whatsoever of it. As an alternative, he told them to water from that well which Prophet Salih's she-camel used to water from.

On the authority of Ibn Umar ra: Upon passing by Al-Hijr the Prophet s.a.w said:
Do not enter the houses of those who erred themselves lest what had happened to them would afflict you, but if you had to do such a thing, let it be associated with weeping."
Then he raised his head up and accelerated his strides till he passed the valley out."
[Sahih Al-Bukhari 2/637]


Page 501


Sepanjang perjalanan kami melalui padang pasir yang luas. Kebanyakannya agak berbatu dan tidak berpenghuni. Sesekali kelihatan wadi-wadi yang kecil. Kawasan rehat pun payah untuk ditemui. Bilangan kenderaan pula tidak banyak namun terdapat kenderaan berat seperti lori yang besar. Kelihatan juga deretan bas yang membawa jemaah haji bergerak melawan arus dengan laluan kami. Lebuh raya yang luas terasa agak kosong. 

Lebuh raya ini agak berlainan sedikit kerana, kenderaan
boleh membuat u-turn sepanjang lebuh raya. Tiada
pagar di tengah lebuh raya atau di kiri kanannya.
Akhirnya kami tiba di sebuah bandar yang agak besar bernama Tayma. Mercu tanda seperti menara kawalan trafik di lapangan terbang menarik perhatian kami. Kemudian kami bertemu dengan bulatan besar yang menunjuk arah ke Tabuk. Tayma merupakan bandar bersejarah dan pernah diduduki oleh kaum Yahudi pada zaman dahulu. Kami perlu mengambil jalan nombor sembilan untuk ke Tabuk.

Selepas  Bandar Tayma meneruskan perjalanan
ke Tabuk. Kiri dan kanan adalah taman yang
luas dan menghijau
Melepasi Tayma, kami terus berada di atas lebuh raya walau pun hari semakin gelap. Suasana begitu gelap, hanya lampu dari kenderaan menerangi jalan. Tiada bulan atau bintang di dada langit. Juga tiada cahaya lampu di kiri dan kanan lebuh raya. Suasana begitu gelap, kami pasti tiada rumah di sekitarnya. Kira-kira 130 km untuk sampai ke Tabuk, kami sudah keletihan. Aku merasa agak lega apabila melihat ada cahaya lampu berwarna oren di hadapan, bergemerlapan. Kami semakin hampir dengan sebuah pekan. Pekan berada agak jauh dari laluan kami namun ada kawasan taman dan sebuah masjid yang diterangi dengan lampu neon. Suasana terang benderang. Kami bertiga tidur di dalam kereta untuk menghilangkan rasa letih dan mengantuk setelah berada di dalam kereta  hampir 5 jam. Kami tidur begitu nyenyak sehingga pukul 11.00 malam. Rasa panas mengejutkan kami dari tidur.

Tidak dapat aku bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w bersama 30,000 umat Islam meredah padang pasir yang penuh dengan batu-batu dan pasir-pasir sepanjang perjalanan. Di bawah terik panas matahari menaiki unta atau kuda dan ada yang berjalan kaki secara bergilir-gilir. Sedang kami yang selesa berkereta begitu letih sekali. Pengorbanan merekalah yang telah berjaya menyebarkan Islam ke serata dunia.

Sewaktu kami  keluar dari kawasan masjid bagi meneruskan perjalanan ke Tabuk, tiba-tiba kedengaran bunyi yang kuat di sebelah kiri belakang bahagian kereta. Hampir pasti bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan tayar kereta, suamiku memberhentikan kereta di tepi jalan. 

"Tayar pancit." Terang suamiku selepas membuat pemeriksaan.
"Habis, macam mana?" Soalku risau.
"Terpaksa la ganti sendiri ...tak nampak kedai minyak di sini." Jawab suamiku. Di Arab Saudi, kebanyakan stesen minyak petrol menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti mini market, kedai makan, masjid, kedai tayar dan keperluan kenderaan. Ada juga yang menyediakan kemudahan penginapan. 

Kami pusing untuk kembali ke kawasan masjid yang terang benderang itu. Suamiku memulakan aktiviti dengan mengeluarkan barang-barang dari kereta. Manual dibuka, kerana ini pengalaman pertama menukar tayar kereta di bumi ini. Di kawasan taman kedengaran suara pemuda-pemuda sedang bermain di padang bola. Terdapat juga sebuah kereta sedang beraksi  di mana mereka membawa kereta dengan agak laju lalu menghasilkan bunyi letupan berulang kali. Aku dan Saffura lebih banyak duduk memerhati dari membantu. Tiba-tiba datang dua orang anak muda bertanyakan masalah kami.

"Ana marfi Arabi." Itu sahajalah perkataan yang keluar dari mulut suamiku setiap kali soalan dilontarkan oleh dua orang anak muda tersebut.
Mereka terus mengambil barang-barang yang ada dan mula mahu menolong suamiku. Suamiku agak berhati-hati apabila melihat telatah dua orang anak muda Arab yang begitu gopoh mahu menolong.
"No..no." Bantah suamiku bila melihat agak kasar. Maklum keretanya pun masih baharu. Perlahan-lahan suamiku memberi arahan untuk mengenakan jek bagi menaikkan bahagian belakang supaya tayar yang pancit dapat dikeluarkan.
Tiba-tiba dua orang pemuda lagi muncul. Entah apa yang mereka bincang sesama sendiri lalu proses menukar tayar menjadi lebih cepat. Kami merasa amat lega dengan pertolongan yang datang secara tiba-tiba, hanya kepada Allah kami bersyukur. Selepas menolong kami, mereka mengajak kami untuk singgah di rumah mereka dan bermalam di sana. Kami pun tidak begitu faham apa yang dicakapkan.
"Hotel..Tabuk." Jawabku, membawa maksud kami sudah menempah hotel di Tabuk
Mereka akur dan aku mengambil peluang merakamkan gambar mereka.
"Instagram." tanya salah seorang dari mereka.
"Lak.., Facebook." Jawabku
"Mafi Facebook." Balasnya.
"Syukran." Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka berempat.
"Abang tak bagi upah ke?" Tanyaku semasa kami mahu meneruskan perjalanan.
"Orang Saudi ni tak suka upah-upah." Jawab suamiku yang semakin mengenali budaya di sini.
Kami meninggalkan pekan tersebut untuk meneruskan perjalanan yang berbaki kira-kira sejam lagi. Kelihatan pemuda-pemuda tadi meneruskan aktiviti berkelah sambil menghisap syisya di atas rumput hijau berhampiran kawasan taman.


Pemuda-pemuda Saudi yang sudi membantu.

Pasukan Romawi mendengar kedatangan kaum muslimin lalu rasa takut dan khuatir lalu tidak muncul di perbatasan. Rasulullah s.a.w tinggal selama 20 hari di Tabuk, menyebarkan Islam di sekitar Tabuk dan menerima perjanjian perdamaian dengan beberapa kabilah seperti Yuhanah bin Rubbah dari Ailah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah s.a.w juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan sekitar Tabuk. Tujuannya untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam di samping menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagi pangkalan perang. 

Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka. Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin kukuh. Rasulullah s.a.w berjaya menyekat kemaraan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa sebarang pertumpahan darah sedikit pun. Rasulullah s.a.w kembali ke Madinah dalam bulan Ramadan setelah 50 hari dalam misi ke Tabuk.


Kami tiba di Tabuk pada pukul 1.30 pagi, suasana bandar Tabuk masih sibuk dengan kenderaan yang masih banyak di atas jalan raya. Suasana terasa meriah dan terang benderang. Terus mencari  Zaer Al Fakhama Hotel Apartments (SR280) yang telah di tempah. Menyediakan kemudahan yang paling lengkap walau pun bangunan kelihatan agak lama dan susah mencari kedudukannya. Kami terus tidur kerana keletihan.


Sesuai untuk keluarga besar
Dapur lengkap dengan peralatan memasak dan pingan
mangkuk. Mesin basuh baju turut disediakan


Bandar Tabuk agak besar namun tidak kelihatan bangunan pencakar langit. Awal pagi kami sudah berada di atas jalan raya untuk melihat sekitar bandar Tabuk. Kami mencari sebarang tanda yang memungkinkan kami sampai ke tempat di mana Rasululullah berkhemah ketika di Tabuk. Tiada. 

Sekitar Bandar Tabuk







Akhirnya kami terjumpa jalan menuju ke Jordan yang terletak kira-kira 90 km dari Tabuk. Aku pun membayangkan suasana sibuk di bandar sempadan Jordan-Arab Saudi. Lebih-lebih lagi jalan yang menghubungkan Tabuk dan Halat Ammar begitu cantik dan dihiasi dengan lampu jalan di bahagian tengahnya sepanjang jalan.






Kami terpegun melihat begitu banyak kawasan subur menghijau sepanjang perjalanan. Berbeza dengan kawasan lain, ladang-ladangnya lebih luas dan berderetan  seolah sawah padi di Alor Setar. Kelihatan rumput, pokok gandum, jagung serta buah-buahan. Pokok hiasan juga menghiasi bahagian depan ladang. Sesekali terasa macam di Prairi, Amerika Syarikat. Ada kawasan ladang yang mempunyai stor menyimpan gandum yang tinggi. Binatang ternakan agak berkurangan di sini. Tabuk juga memiliki ratusan ribuk pokok zaitun.

Pokok zaitun ditanam sejauh 20 km sepanjang Lebuh raya. Ladang milik
TADCO (Tabuk Agriculture Development Company)

Kami tiba di sempadan Jordan, Halat Ammar. Ianya salah satu dari beberapa sempadan antara kedua negara ini.  Pekan ini terlalu kecil. Laluan kastam, pejabat kastam, beberapa buah kedai, masjid dan Sasco. Sasco sedang di dalam proses naik taraf dan turut menawarkan bilik penginapan. Jangkaanku ternyata tersasar. Angan-angan untuk membeli sesuatu ternyata kecewa. 







Pukul 11.00 pagi pun kedai belum dibuka

Agak sukar mencari restoran nasi Arab mahu pun kedai makanan segera. Puas kami berpusing mencari kedai yang kebanyakannya ditutup. Berbeza sama sekali dengan suasana di Riyadh yang begitu mewah dengan pelbagai kedai makan yang menyelerakan. Akhirnya kami bertemu dengan kedai menjual nasi Arab yang baru beroperasi dalam perjalanan menuju ke Madinah. Mungkin suasana ini disebabkan musim haji yang sudah bermula.



Sebaik keluar dari bandar Tabuk, sekali lagi kami terpegun dengan kewujudan ladang menghijau sepaanjang jalan. Kilang-kilang kecil dan kedai-kedai berkaitan dengan pertanian juga berderet sepanjang jalan. Tidak sangka bumi Tabuk begitu subur. Tabuk juga memiliki pantai dan pulau yang cantik. Tabuk terkenal dengan turunnya salji di musim sejuk. Namun semuanya tidak dapat kami nikmati semasa kunjungan yang amat singkat ini.

Ladang begitu luas tak bertepi di padang pasir.


Terbaca di dalam buku yang aku rujuk ,

When they drew near Tabuk, the Propet s.a.w said: If Allah wills tomorrow you will arrive at the spring of Tabuk. You will not get there before daytime. So whoever reaches it, should not touch its water:but wait until I come."Mu'adh ra said:"When we reached the spring, it gushed forth some water. We found that two men had already precede us to it. Allah Messenger s.a.w asked them: ''Have you touched its water?'They replied: Yes', He said what Allah inspired him to say, then scooped up a little water of that spring, a thin stream which gathered together, he washed his face and hand with it and poured it back into it: consequently plenty of water spouted out of it so the people could have water."Mu'adh,' said the Messenger of Allah.'if you live long life, you will see fields full of vegetation here." [Sahih Muslim 2/246]

Sepanjang jalan aku tidak jemu untuk memerhatikan suasana padang pasir yang luas. Di manakah laluan Rasulullah s.a.w bersama orang Islam yang datang ke Tabuk.  Batu-batu dan bukit pejal di mana-mana. Kami mengamati jalan yang sama kami lalui malam tadi di dalam kepekatan malam. Sepanjang jalan tersebut tidak kelihatan langsung apa-apa benda hidup atau penginapan manusia mahu pun khemah sang pengembala. Patutlah remaja yang menolong kami malam tadi mencadangkan untuk kami tidak meneruskan perjalanan. Syukur ya Allah yang telah memudahkan perjalanan ini.



Kosong dan sunyi
Nostalgia - tempat tayar kereta pancit.

Meneruskan perjalanan

Kami tiba di Tayma lewat petang seperti semalam dan sempat singgah membeli cappucino untuk menyegarkan mata kerana jarak ke Madinah masih jauh.



Saat matahari mula terbenam



Kami bertemu kembali simpang besar menuju ke Madinah, Tabuk dan Al Ula. Sekali lagi sepanjang ratusan kilometer yang kami lalui hanyalah padang pasir yang luas. Teramat luas, aku tidak pasti di mana penamatnya. Seperti lautan luas terbentang.  Kenderaan juga tidak begitu banyak. Lebuh rayanya agak luas dan selesa. Kami meneruskan perjalanan di dalam kegelapan malam sekali  lagi. Begitu mencabar terasa perjalanan ini. Agak sukar untuk bertemu dengan pekan kecil atau bandar sehingga hampir ke Kaybar, baru suasana agak meriah dengan lampu-lampu di sekitarnya. Melepasi Pekan Kaybar yang kelihatan agak uzur dan tidak membangun, suasana agak berlainan. Kelihatan bukit-bukit berbatu kembali sepanjang jalan. Kami melalui pekan Salsalah dan seterusnya Al Jafoor lalu tiba di Madinah pada pukul 9.00 malam.Alhamdulillah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...