Ahad, 18 Oktober 2015

Travelog: Bonjour Paris (2)

                                                                Selat Inggeris

Bas mula bergerak melalui kawasan checkpoint, Pelabuhan Dover. Di sini kami turun untuk pemeriksaan kastam. Kami beratur dan menunjukkan pasport masing-masing di sebelah England kemudian bergerak ke sebelah Perancis pula. Kedudukannya yang tidak jauh memudahkan urusan. Semasa pasport kami disemak kami menjawab beberapa soalan mudah. Seperti berapa lama akan tinggal di Paris dan sebagainya.Perjalanan rakyat Malaysia dari England ke Perancis tidak memerlukan visa. Akhirnya pasport kami dicop. Urusan amat mudah dan tidak memerlukan masa yang lama maklumlah orang tidak ramai dan waktu di tengah malam pula.  Kami menaiki bas semula dan bas berhenti sekali lagi.  Kami diberi 30minit untuk berehat.

Kebanyakan penumpang berpusu-pusu ke tandas yang disediakan di kawasan rehat tetapi keadaannya agak kotor. Maklumlah dah lewat malam dan tandas digunakan oleh ramai pengunjung. Ada juga yang mengambil kesempatan merokok dan minum kopi sementara menunggu . Di ruang parkir, kelihatan banyak lori dan bas menunggu giliran untuk menaiki feri. Bas meninggalkan Perlabuhan Dover tepat pukul 2.00 pagi untuk menaiki Feri di bahagian letak kereta Dek 5. Kami diarahkan untuk keluar dari bas dan menuju ke bahagian atas tempat duduk Feri setinggi 7 tingkat  itu. Kami menaiki tangga untuk ke tingkat atas bersama penumpang-penumpang lain. P & O Ferries menawarkan suasana yang amat selesa , susunan tempat duduknya agak santai dan luas .

Atas feri bahagian parkir 

Terdapat juga kafe yang menawarkan pelbagai minuman dan makanan ringan. Kami mencari tempat duduk di satu sudut yang sesuai supaya kami boleh bersendirian untuk tidur dan solat nanti. Keluarga Korea tadi turut mengambil tempat duduk berhampiran kami. Suasana agak bising dengan sekumpulan remaja yang begitu sibuk dengan perbualan masing-masing memecah suasana malam. Remaja dalam kumpulan yang begitu ramai pastinya sedang mengikuti rombongan percutian musim panas, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris pastinya rombongan dari United Kingdom. Penumpang dewasa kebanyakannya mula melelapkan mata sementara menunggu feri sampai ke pelabuhan. Walaupun letih kami tidak boleh melelapkan mata lagi kerana waktu solat subuh sudah hampir tiba. Feri bergerak meninggalkan Pelabuhan Dover. Feri yang besar tidak terasa pergerakannya walaupun agak laju, kelihatan kerdipan lampu hilang perlahan demi perlahan. Kami mengambil wuduk menggunakan air yang tersedia di dalam botol air minuman apabila waktu subuh tiba pada pukul 2.40 pagi. Kami menunaikan kewajipan solat ikhlas kerana Allah. Selepas menentukan kedudukan kiblat kami solat bergilir-gilir sambil duduk di sofa dan meja yang disediakan,  suasana bising  golongan remaja  tadi tidak kami hiraukan.

Suasana di atas feri

Pertama kali menaiki Feri sebesar dan sejauh ini (35 km) , tidak terasa pergerakannya. Tidak hairanlah begitu ramai orang suka bercuti menaiki feri  untuk bercuti. Saya pernah menaiki Feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi, Pulau Labuan ke Kota Kinabalu dan Pulau Labuan ke Brunei. Gelap malam kami tempuhi menuju ke pelabuhan dan suasana mulai cerah. Feri tiba di Pelabuhan Calais pada pukul 4.00 pagi Bas bergerak perlahan keluar dari pelabuhan menuju ke daratan. Siang mulai muncul, suasana kelihatan terang walau pun baru pukul 4.00 pagi. Bas kemudiannya bergerak lebih  laju melepasi Pelabuhan Calais, Perancis dan terus menuju ke Highway dua lorong. Bas bergerak agak laju namun tidak terasa pergerakannya. Pemandu bas merupakan lelaki berbangsa Inggeris berusia melebihi separuh abad. Dia memandu dengan cermat dan kelihatan begitu berpengalaman.

Aku berusaha untuk tidak melelapkan mata sedangkan kebanyakan penumpang sudah dibuai mimpi termasuk suamiku dan Saffura. Aku terus merakamkan pemandangan sepanjang perjalanan yang bukan senang untuk dilihat. Ladang-ladang  begitu luas, saujana mata memandang dan tiada batasan keluasannya. Terdapat bahagian yang berwarna hijau menunjukkan pokok-pokok yang ditanam sedang tumbuh membesar. Ada pula kelompok pokok-pokok berwarna kuning keemasan menandakan pokok-pokok sedang mengeluarkan hasil untuk dituai. Aku terus memandang ke luar dari cermin bas yang besar sekali sekala memandang kepada pemandu bas yang memandu dengan begitu berhemah. Walau pun bas bergerak dengan laju tetapi tidak terasa goyang langsung. Kami terus melalui kawasan ladang yang luas sekali sekala ternampak kawasan perumahan berciri Eropah kebanyakannya sesebuah dan besar-besar belaka. 

Aku mengambil gambar video apabila melihat pemandangan yang indah dan cantik , terasa semuanya cantik. Ada masanya kami melalui ladang kuda yang luas dan dipenuhi dengan kuda-kuda yang bersinar dan cantik warnanya. Tidak berapa lama kemudian kami melalui kawasan ladang di mana terdapat kipas angin raksaksa yang dibina dan dalam keadaan tersusun. Selama ini saya hanya membaca perihal kipas raksaksa yang begitu besar melalui media. Ianya berfungsi untuk mendapatkan sumber tenaga alternatif bagi menggantikan kuasa elektrik. Kemudian, matahari mula terbit, cahaya mula menjadi semakin terang. Pergerakan bas menjadi perlahan kerana kami mula memasuki kawasan Bandar. Bas terus bergerak mengikut anak panah bertanda Gallieni, salah sebuah perhentian bas yang dilalui oleh bas Euroline. Suasana masih pagi jadi keadaan agak lenggang. kami terus ke bahagian menunggu stesen bas setelah turun dari bas tersebut.

Jam baru menunjukkan pukul 7.00 pagi jadi kebanyakan kedai belum dibuka terutama kedai makan, begitu juga dengan perkhidmatan Metro Paris. Terdapat ruang untuk menunggu yang agak selesa dan sebahagiannya telah diduduki oleh beberapa penumpang.  Mungkin  mereka menunggu bas untuk  ke destinasi masing-masing. Aku  dan Saffura terus ke tandas untuk melepaskan hajat dan membersihkan diri. Bayaran  €0.40 dikenakan, suasana tandas agak bersih dan seorang lelaki sedang membersihkannya. Aku dikejutkan dengan ucapan salam oleh lelaki berbangsa Arab tersebut, mungkin berbangsa Morocco atau Algeria. Saya sekadar tersenyum dan menjawab dalam hati  maklumlah dalam tandas. Penjaga toilet itu amat teruja apabila melihat Saffura yang masih belum baligh mengenakan jilbab. Sebelum keluar kami terserempak pula dengan seorang remaja perempuan berseluar jeans dan berjilbab. Saya amat berbangga bertemu dengan orang-orang Islam di bumi Perancis ini. Sama seperti United Kingdom penduduk Islam kian bertambah setiap tahun walau pun pelbagai tekanan terpaksa mereka terima . Perancis antara negara yang banyak dihuni oleh umat Islam. Setelah berehat beberapa ketika kami menaiki escalator dan mencari kedai untuk minum pagi. Tidak ada banyak pilihan di kafe tersebut, kami sekadar mengisi perut dengan kopi dan roti. Selepas makan kami meninjau  mencari pusat penerangan namun tidak kelihatan.

Minum pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...