Khamis, 22 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (4)

Anthoney Lavosier di Eiffel Tower


Semasa merenung Eiffel Tower atau Menara Besi itu, aku terpandang nama-nama yang tertulis dengan jelas di sekeliling bahagian bawah Eiffel Tower. Nama-nama yang tidak aku kenali kecuali satu nama yang membuatkan aku tersentak iaitu Anthoney Lavosier. Beliau adalah seorang saintis Kimia berbangsa Perancis yang telah memberi sumbangan kepada penghasilan Jadual Berkala. Asas paling penting dalam pengajian kimia. Lebih daripada 20 tahun aku mengajar subjek kimia di empat buah sekolah. Setiap kali mengajar pelajar Tingkatan 4,  nama tersebut bersama beberapa orang lagi nama ahli kimia lain akan aku perkenalkan. Sebab itulah aku agak teruja apabila terlihat nama tersebut terpampang di Eiffel Tower. Terdapat juga nama-nama saintis Perancis lain sebagai tanda peringatan dan menghargai akan jasa-jasa mereka dalam meningkatkan martabat Perancis dalam bidang sains dan kejuruteraan. Tersenarai juga nama orang yang bertanggungjawab terhadap pembinaan Eiffel Tower iaitu Gustave Eiffel. Eiffel Tower siap dibina pada tahun 1889.

Lif berwarna merah yang membawa pelancong untuk menaiki tingkat atas Eiffel Tower terus bergerak tanpa berhenti. Semuanya aku perhatikan sambil duduk berehat melepaskan penat. Orang semakin ramai, kanak-kanak juga semakin lasak bergerak ke sana ke mari. Setelah puas menatap keunikan Eiffel Tower kami bergerak ke arah bertentangan untuk melihat Eiffel Tower dari sudut sebelah lain pula. Kami menuju ke arah jalan dan di sini terdapat sebuah kedai lagi yang menjual pelbagai cenderahati. Jalan yang memisahkan Eiffel Tower ini agak sibuk dengan kenderaan yang melaluinya. Kelihatan bas dua tingkat seperti yang boleh dilihat di London. Satu lagi cara untuk pelancong  melihat Paris dengan lebih mudah. Namun aku pasti belanja menaikinya mencecah ratusan RM. Konsep yang sama seperti di London, di mana bas akan melalui laluan utama yang menjadi tarikan pelancong dan mereka boleh memilih untuk berhenti di destinasi tertentu dan menaikinya pula untuk ke tempat lain. Bayarannya untuk satu hari sudah pasti memudahkan perjalanan pelancong yang belum biasa dengan kota tersebut.

Tebing Sungai Seine
Di seberang jalan bertentangan dengan Eiffel Tower ialah Sungai  Seine. Di sini terdapat aktiviti belayar menaiki feri bagi mereka yang mahu menikmati pemandangan Eiffel Tower dari arah sungai. Atau melihat beberapa mercu utama di Paris sepanjang laluan sungai. Walau bagaimana pun Sungai Seine  lebih kecil jika dibandingkan dengan Sungai  Thames  di London. Kami tidak berminat untuk belayar kali ini, jadi kami berjalan perlahan-lahan menyusuri tebing sungai yang cantik dan bersih itu. Kami sempat bergambar dan melihat dengan lebih dekat persekitaran yang kurang sibuk sedikit berbanding dengan persekitaran Eiffel Tower. Terdapat beberapa orang pegawai polis bertugas mengawasi persekitaran yang popular dengan pelancong ini.

Siene Cruise Map - lebih menjimatkan masa untuk melihat Paris.
Kesempatan yang ada kami gunakan untuk ke toilet yang terletak di sebuah binaan yang dibuat di atas sungai dan menyerupai sebuah kapal. Di sini juga terdapat kedai menjual pelbagai cenderahati yang banyak dan lebih murah. Saya agak kecewa kerana barang yang djual di sini separuh harga dari yang dijaul di tapak Eiffel Tower. Penjaga kedai tersebut berbangsa Cina yang agak peramah . Dek kerana takut terjumpa kedai yang lebih murah saya tidak berani lagi membeli barangan lain walaupun hati amat berkenan untuk membeli beberapa barangan seperti t-shirt dan beg reakrasi. Setelah masing-masing menunaikan hajat yang penting tadi kami terus  menyeberangi sungai melalui jambatan yang disediakan. Dari sini juga kelihatan Eiffel Tower dan menjadi pilihan ramai untuk bergambar. Disepanjang sungai dapat dilihat dengan jelas deretan bangunan yang unik dengan senibina bumbungnya yang elegen sekali.


Bertentangan dengan Eiffel Tower terdapat bangunan yang  besar tersergam indah bekas istana iaitu Palais Chaillot. Ianya turut menjadi tumpuan orang ramai. Kami melintas jalan sekali lagi untuk ke sana tapi hasrat untuk mendekatinya tidak kesampaian kerana agak jauh .Kami hanya sempat bergambar di taman yang berdekatan untuk mengambil gambar berlatarkan Eiffel Tower. Terdapat banyak lelaki berbangsa Bangladesh dan berkulit hitam yang menjual pelbagai cenderahati dan alat permainan dengan meletakkannya di atas hamparan kain. Suasana seperti di Mekah, mereka menawarkan pelbagai barangan dengan harga yang murah sambil mata liar memerhati persekitaran . Mungkin untuk melihat kehadiran pihak berkuasa.   Kami mencari laluan mudah untuk ke stesen Metro yang seterusnya bagi melawat  mercu tanda popular Paris yang lain pula.


Menyusuri sungai ke stesen Metro kelihatan suasana yang sungguh indah. Segalanya dilatari oleh Eiffel Tower. Sungai dan pelbagai saiz bot dan kapal manakala di sebelah kanan pula adalah bangunan muzium, apartmen, hotel dan kedai-kedai. Agak jauh kami berjalan sehingga kami berjumpa lampu isyarat untuk menyeberangi jalan di sebuah pekan yang dipenuhi dengan bangunan. Di sini kami terlihat contengan tulisan di dalam Bahasa Arab. Saiz tulisan tersebut agak besar, terpampang di dinding jalan menuju ke laluan bawah tanah Metro. Perancis mempunyai penduduk beragama Islam yang agak ramai. Antara yang teramai umat Islam di Eropah. Ketika itu isu yang popular berkaitan Islam yang diperundangkan oleh Presiden Perancis Nicolas Sarkozy ialah larangan memakai niqab. Walau pun bilangan umat Islam di Perancis melebihi umat Islam di England, bilangan umat Islam yang ditemui di Paris agak kurang jika dibandingkan di London. Muslim di Perancis adalah sekitar 5 juta orang atau 8% dari jumlah total penduduk Perancis. Kebanyakannya berketurunan Afrika Utara yang datang dari negara seperti Morocco, Tunisia dan sebagainya. Negara-negara tersebut juga merupakan negara bekas jajahan Perancis.


Di dalam gerabak Metro kali ini kami dihiburkan oleh seorang pemuzik yang mendendangkan beberapa lagu untuk hiburan para penumpang. Selepas berjalan dan memainkan alat muziknya dia akan mengeluarkan bekas untuk diisi dengan wang bagi sesiapa yang ingin berbuat demikian. Aktiviti seperti ini agak biasa di Paris. Sepanjang laluan untuk menaiki Metro akan kelihatan pelbagai cara mereka menunjukkan kreativiti mereka seperti menyanyi secara solo atau berkumpulan, pancaragam dan menunjukkan persembahan permainan sambil meminta derma. Ada yang mendendangkan lagu menggunakan pembesar suara, tiada pula dihalang oleh pihak berkuasa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...