Khamis, 29 Oktober 2015

Travelog : Bonjour Paris (6)

Penyeluk Saku Di Paris!

Agak sukar mencari hentian  Metro untuk ke Grand Palais. Akhirnya kami tersadai di sebuah pusat membeli belah , Le Palais Des Congres.  Nyata  kami  tersilap  pilih  Palais kali ini. Kami  keluar dan melihat keadaan sekeliling  ternyata  kami  sudah sesat. Ada hikmahnya juga kami tersesat  di sini  kerana  kami boleh berehat sebentar  sambil  menunaikan  Solat Qasar dan Solat Jamak bagi Solat Zohor dan Asar. Kami masuk semula ke dalam pusat membeli belah yang  tidak ramai pengunjung ketika itu. Maklumlah  musim  panas ramai yang mengambil  kesempatan berjemur  di bawah  terik  matahari. Berbanding kita  yang  akan  mencari  kawasan berhawa   dingin  jika  cuaca  panas. Susun  atur   kedai  kelihatan  amat  berlainan  konsepnya. Moden  dan menarik, sekali pandang kita ternyata ianya pilihan orang berada. 




Kami  mencari  tandas  awam  juga  tempat  yang  sesuai   untuk   menunaikan solat.  Pastinya tiada  surau di sediakan di sini  namun  kewajipan  harus  ditunaikan. Kami  mengambil  keputusan  untuk  menunaikan solat di dalam  salah  sebuah  kedai  makanan  yang  terdapat  di situ.  Kami  memilih  sebuah  kafe  yang  menjual makanan  ringan dan  juga tidak ramai orang di dalamnya. Kelihatan juga  susun  atur  meja yang agak sesuai untuk kami jadikan tempat menunaikan solat.  Jarak  antara  tandas  awam  dengan  kedai tersebut agak jauh namun kami terpaksa juga akur dengan keadaan yang sebegitu. Kami memesan fruit tart bersaiz  besar dan muffin coklat  serta air mineral  sebagai syarat  untuk  menggunakan kemudahan tempat duduk di situ. Jumlah yang  perlu   dibayar   ialah  sebanyak 7 Euro. Kami   merasa   agak  selesa  memandangkan juru jual adalah seorang anak gadis berbangsa Asia dan agak peramah. 

Kami memilih meja  paling hujung, berhampiran  dinding bangunan  kedai. Suamiku menunaikan solat terlebih dahulu kerana beliau sudah pun ke tandas dan berwuduk. Aku dan Saffura menjamu selera sambil menunggu giliran menunaikan solat. Ketika  menunggu suamiku  bersolat, baru  aku  sedar bahawa dinding berhampiran tempat duduk kami  ada  pintu  untuk  ke tandas.  Itu  pun  setelah  aku melihat  sepasang  suami  isteri  yang sudah berusia menggunakan token untuk membuka  pintu  tandas tersebut. Tandas tersebut  disediakan khas untuk  pelanggan  yang  menggunakan  kafe tersebut.  Alhamdulillah urusan untuk mengambil wuduk pastinya menjadi  lebih mudah. Selepas mereka keluar dari tandas aku terus ke juruwang café tersebut untuk meminta token penggunaan tandas. Dengan  senyum  mesra  dia  menyerahkan  token  bersaiz syiling 20 sen. Aku dan Saffura  terus  masuk  ke tandas  tersebut  dengan penuh  rasa kegirangan. Tandasnya  agak  luas, bersih dan mempunyai hiasan. Terdapat  ruang  membasuh  tangan  manakala  mangkuk  tandas lelaki  dan  perempuan diasingkan. Saya  menutup  terus  pintu  tersebut  bagi memudahkan  kami  mengambil wuduk. Apabila pintu ditutup  rapat  memang  tidak  terasa  suasana  di luar, begitu  juga ketika  di luar  kita tidak teras ada tandas kerana tidak  ada langsung  bau  yang tidak  menenangkan. Suamiku  yang  sudah  selesai menunaikan solat mengambil sedikit masa untuk melelapkan mata sementara menunggu kami selesai menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta.

Dalam perjalanan ke stesen Metro kami disapa oleh dua orang anak gadis yang amat peramah. Mereka berdua bertanya kepada suamiku bagaimana hendak membaca peta metro yang ada di tangan salah seorang dari mereka. Mereka berbual dalam Bahasa Inggeris dengan fasih. Suamiku pula tanpa rasa ragu-ragu mahu membantu lalu menunjukkan kepakaranya kepada mereka berdua. Untuk tidak menghalang laluan orang ramai, kami bergerak ke tepi  di laluan jalan menuju ke metro. Pelbagai pertanyaan diajukan berkaitan dengan peta metro tersebut. Aku yang tidak begitu memahaminya boring menanti perbincangan mereka. Mereka mengaku dari negara Itali walaupun suamiku berulang kali  menyangkalnya dan dengan yakin meneka bahawa mereka dari negara Sepanyol berdasarkan loghat bahasa mereka. Tanpa rasa jemu suamiku terus membantu mereka, ternyata mereka masih tidak faham juga. Tiba-tiba mereka berkata sesuatu kepada Saffura yang sentiasa berdiri di sebelah ayahnya.

Setelah mereka pergi barulah kami menyedari taktik menipu yang cuba digunakan kepada kami. Salah seorang dari mereka cuba membuka zip beg kecil  yang berada di pinggang suamiku.
"Ayah!Kakak berdua tadi tu nak cuti dompet ayah tahu tak!" Saffura bersuara separuh menjerit."Sebab itu kita peluk ayah tadi."Sambung Saffura lagi.
Suamiku membelek beg yang terikat di pinggangnya."Haah...memang terbuka sikit ni.Alhamdulillah pandai anak ayah." Suamiku menarik nafas lega.
"Ayah terlupa di Paris ini  memang banyak penyeluk saku." Suamiku seolah baru tersedar.
"Patutlah mereka macam marah dekat Saffura tadi."Aku pula menambah dengan rasa kesal kerana tidak memberi perhatian kepada mereka. Mungkin kami sudah keletihan lalu hilang tumpuan.

Kami bersyukur kepada Allah kerana tiada kejadian buruk berlaku maklumlah di dalam beg kecil yang diikat pada pinggang suamiku itu amat berharga. Di dalamnya bukan sekadar mengandungi wang tunai bahkan juga yang paling bernilai ialah pasport antara bangsa milik kami bertiga. Bayangkan jika kesemuanya hilang tentunya percutian kali ini penuh dengan duka dan rancangan untuk ke Istanbul mungkin bermasalah. Suamiku mengucapkan terima kasih kepada Saffura kerana kebijaksanaannya yang telah menyelamatkan kami semua dengan izin Allah. Suamiku terus member peringatan akan pentingnya kami mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w sepanjang masa seperti doa dan tidak meninggalkan solat. Ini supaya kembara kita mendapat pelindungan dan keredhaan Allah s.w.t.  Memang banyak kejadian kehilangan dompet di Kota Paris ini yang telah kami dengar dari kawan-kawan atau tulisan di blog. Tidak disangka pula gadis-gadis cantik turut terlibat untuk melakukannya.


 Sekitar bangunan Le Palais Des Congres.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...