Isnin, 16 November 2015

Travelog : Oh!Riyadh (75 )- World Culture Day 2015- Al Alameen International School


World Culture Day 2015- Al Alameen International School

Minggu lepas merupakan minggu yang sangat sibuk bagi Saffura.  Ini disebabkan pelbagai urusan berkaitan dengan acara tahunan yang amat dinanti oleh setiap warga Al Alameen International School. Kesibukan membuat persediaan terganggu sedikit apabila terdapat cuti khas diberi kepada semua sekolah di Riyadh pada hari Selasa. Ianya sempena 4th Summit of Arab and South American Countries yang sedang berlangsung. Guru kelas Mayfair (Gred 8) Teacher Asma berkomunikasi dengan murid-muridnya melalui group WhatsApp yang diwujudkan khas untuk majlis tersebut. Selama seminggu guru dan 7 orang murid-muridnya berbincang dan merancang serta berbalas idea. Semuanya berkaitan dengan persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap orang. Telefon bimbitku menerima ratusan pesanan setiap malam, ini kerana Saffura tidak memiliki telefon bimbit.


Tahun ini merupakan tahun ketiga Saffura melaluinya. Pada tahun 2013, suasana tidak terasa sebab Saffura baru memulakan persekolahan. Dengan berpakaian baju kurung, Saffura bersama rakan-rakannya meraikan tema Palestina. Saffura memuji keenakan juadah grape leaves yang disediakan oleh gurunya Tahun lepas, 2014 dengan tema negara Scotland. Seminggu kami mencari kain sekitar Riyadh yang berciri Scotland untuk dibuat skirt. Mujur sahabatku, Shahana mahu menolongku menjahitkan skirt tersebut untuk Saffura. Ianya siap dalam masa lima hari. Tahun lepas juga aku telah menghadiahkan sepasang baju kurung  milikku kepada Maniya anak jiranku. Ketika itu kelasnya, Gred 8 memilih Malaysia sebagai tema mereka. Alhamdulillah tahun ini, guru kelas Saffura sendiri membeli Kimono Jepun untuk murid-muridnya. Cuma tahun ini, semua murid-muridnya disuruh membawa satu jenis makanan berciri masyarakat Jepun.  

Set Kimono Made in China (SR95)
Program ini sangat baik untuk memberi pendedahan secara langsung berkaitan negara-negara yang wujud di dunia ini. Guru akan memilih tema negara masing-masing mengikut kelas. Guru kelas dan murid-murid akan membuat persediaan untuk dipersembahankan kepada warga sekolah di dalam kelas masing-masing. Antara yang diberi perhatian adalah pakaian dan makanan bercirikan negara tersebut. Mereka juga dikehendaki memaparkan sebanyak maklumat berkaitan negara tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Kelas-kelas juga dihias bagi melambangkan suasana dan budaya negara tersebut.

Asalnya Saffura diminta menyediakan Tempura namun aku tidak yakin untuk menyediakannya. Alhamdulillah rakanku Pn Hjh Hamidah yang juga guru di sekolah tersebut membantuku. Dia mencadangkan supaya menyediakan onigiri atau rice ball. Dia juga memberi kepada aku 2 paket beras calrose dan satu pakej Seaweed. Pn Hjh Hamidah pernah menuntut di Jepun jadi dia lebih mahir hal berkaitan dengan makanan Jepun. Aku mencari di beberapa blog untuk mendapatkan resepinya. Pada hari Rabu, aku cuba membuatnya dan terasa sedap pula, seperti pulut berinti rasanya. Esoknya seawal pukul 3.00 pagi aku sudah bangun untuk menyediakan 30 biji onigiri. Saffura membantu aku menghias onigiri dengan potongan Seaweed.

Hasilnya
Pulang dari sekolah Saffura keletihan dengan aktiviti di sekolah. Saffura menunjukkan pasport Jepunnya yang dibawa ketika melawat kelas-kelas lain. Pasport tersebut akan dicop berdasarkan negara yang dilawatinya di dalam kelas yang berlainan. Ada masanya mereka berpeluang merasa juadah yang disediakan di kelas lain. Rasa penat hilang apabila Teacher Asma memberi tahu bahawa kelas mereka mendapat tempat ketiga terbaik dari lima kelas yang dipilih. Mulanya mereka tidak berpuas hati kerana gagal mendapat tempat pertama. Esoknya mereka menerima keputusan yang penuh dengan kontroversi itu dengan hati terbuka. Tempat pertama dimenangi oleh negara Turki dan kedua pula Morocco. Biasalah di dalam setiap pertandingan mesti ada rasa tidak puas hati sesama sendiri dan berlaku juga kata mengata yang tidak menyenangkan. Semuanya akan mendewasakan mereka. Aku sekadar tersenyum mendengar pelbagai komen yang diluahkan di dalam group WhatsApp mereka. Apa pun semangat kerjasama dan ingin berjaya telah mampu dizahirkan oleh guru kelas mereka.Tahniah semua. Aku pula mendapat dua resepi dari Jepun yang tidak pernah pun aku terfikir untuk mencubanya. Hatiku berbunga gembira apabila Teacher Asma meminta resepi onigiri yang aku sediakan. Begitu juga dengan resepi yang disediakan oleh NurFarhana iaitu Okonomiyaki.

Juadah yang disediakan - Nasi goreng, mee goreng, onigiri kek dan
Okonomiyaki (akan aku cuba buat satu hari nanti)

Sijil Penghargaan dari pihak sekolah




                                                                                                                                               zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...