Isnin, 2 November 2015

Travelog : Bonjour Paris (7)

Les Invalides bukan Grand Palais

Kami meneruskan perjalanan mencari  bangunan Grand Palais, kali ini kami berada di stesen yang dipenuhi dengan orang ramai. Keluar dari laluan bawah tanah kami melalui sebuah muzium. Orang ramai beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalamnya. Kami kehairanan melihat orang begitu ramai dan persoalan kami terjawab apabila kami melihat iklan besar yang tergantung merentasi sisi bangunan muzium. Kehadiran artis bernama Ashim Kapoor rupanya. Namun aku tidak mengenali artis tersebut. Kiri kanan laluan kelihatan bangunan seni bina Perancis dengan bumbungnya yang berwarna hitam. Kami melihat dari jauh binaan berupa istana, jaraknya lebih kurang 2 km dari muzium tersebut. Cuaca ketika ini agak panas, sesekali angin sejuk menyapa.  Deretan kedai di sebelah kiri tersusun rapi dengan gagah tertulis Air France. Sebelah kanan pula kawasan padang hijau yang luas dipenuhi dengan orang ramai sedang berjemur, ada yang membawa rakan atau keluarga.  Ramai juga yang membawa binatang peliharaan berjalan-jalan.

Pelbagai binaan berukir sekitar jalan



Ukiran dengan objek bersalut emas begitu popular.
Lambang kekayaan Perancis zaman dahulu.

Seperti suasana berkelah di tepi pantai mereka bersantai tanpa memperdulikan orang lain. Ada yang berbaring sambil membaca buku, ada yang berbual kosong dengan botol air di tangan manakala kanak-kanak bermain dengan pelbagai alat permainan. Suasana begitu ceria dan tenang. Kami melalui jambatan dan terdapat binaan berwarna emas di sekitarnya. Kami tiba di bangunan yang kami sangka istana, rupa-rupanya ia adalah bangunan bekas kem tentera. Di bahagian depan dipenuhi pokok-pokok yang dijaga rapi di kiri dan kanan. Sebelum memasuki pintu utama terdapat pemisah berupa parit yang besar. Mungkin untuk menghalang kuda atau tentera memasuki kawasan tersebut pada zaman dahulu. Terdapat meriam yang berusia di sekitarnya.

Les Invalides - Kompleks Muzium Tentera

Laluan masuk dipenuhi dengan batu-batu pejal berbentuk empat segi berukuran 1 kaki persegi. Kami terus masuk ke dalam bangunan. Terdapat kawasan lapang yang luas di tengah-tengahnya dengan deretan meriam lama yang sama saiz dan bentuknya. Bangunan tersebut dihias dengan pelbagai patung dan ukiran. Semuanya kelihatan sudah berusia kerana bangunan ini dibina sekitar abad ke 17. Bangunan ini dikenali sebagai Les Invalides. Ianya dibina pada tahun 1670 pada zaman Louis XIV sebagai tempat merawat tentera juga sebagai tempat tinggal tentera veteran.

Kami terus melangkah ke bahagian belakang bangunan dan terpandang petunjuk yang tertulis Tombeau De Napoleon dan Musee de I'Armee. Baru kami tahu di sini rupanya jasad pemimpin Perancis yang telah menghapuskan pemerintahan beraja diletakkan. Kami terus melangkah mengikut petunjuk melalui lorong-lorong bangunan yang antik dan cantik menuju ke bahagian belakang bangunan. Terdapat bangunan hospital di kawasan ini untuk  kegunaan tentera pada zaman dahulu.

Makam Napoleon Bonaparte(1769-1821) berada di dalam sebuah bangunan khas yang memiliki kubah besar berwarna emas. Kami sekadar meninjau suasana sekeliling, ramai yang beratur untuk masuk ke dalamnya dengan bayaran €10. Kelihatan dua orang pengawal berbangsa Bangladesh  sedang berkawal di pintu masuk. Kami tidak berhasrat untuk masuk sekadar meninjau dari luar. Kelihatan ruang yang sangat luas di bahagian dalamnya. Terdapat dua tangga berlainan arah dan bertemu di keranda Napoleon I yang diperbuat dari kayu kukuh dan tidak ditanam. Terdapat makam pemimpin-pemimpin Perancis yang lain termasuk anak Napoleon I iaitu Napoleon II di dalam bangunan ini. Bangunan ini menjadi bangunan utama kompleks muzium ini.


Bangunan yang menempatkan Makam Napoleon 
Kubah disalut emas.

Kami ke kedai cenderahati yang kebanyakannya menjual buku dan pelbagai replika berbentuk askar, pakaian raja dan alat peperangan. Aku sempat membeli buku Paris €5.95, sebelum ini aku melihat buku yang sama dijual di  Stesen Galellio  berharga  €20. Orang masih ramai ketika kami sampai ke stesen metro, hasrat untuk ke Grand Palais terus hilang. Aku dan Saffura sudah keletihan yang amat sangat setelah seharian berjalan sedangkan hari sudah makin petang. Jadi kami mengambil keputusan untuk balik ke Stesen Galileo ketika jam menunjukkan pukul 5.00 petang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...