Isnin, 9 November 2015

Travelog : Bonjour Paris (8)


O' De'lices

Budaya berniaga secara kecil-kecilan menjadi begitu popular di bumi Paris ini terutama laluan ke stesen Metro. Kebanyakannya warga asing yang berniaga tanpa izin dengan membawa beg yang berisi barangan ringan yang dicari pelancong. Replika Eiffel Tower sebagai hiasan, pemegang kunci dan sebagainya dijual serendah €1 setiap satu.  Ada kalanya dengan €1 kita mampu mendapat bagi 2 atau 3 item. Ada yang menghamparkan kain dan barang-barang disusun di atas kain, di tengah kesibukan lalu lalang penumpang metro. Terdapat juga peniaga yang turut mempamerkan pelbagai barang permainan untuk menarik minat kanak-kanak. Tidak ketinggalan air minuman yang lebih murah berbanding di kedai-kedai. Kebanyakannya peniaga berbangsa India atau Bangladesh.

Suasana di dalam Metro
Pemain muzik yang terdiri dari pelbagai bangsa dan warna kulit pula sibuk menunjukkan bakat seni melalui nyanyian solo disertai dengan muzik dan mikrofon. Ada pula yang menunjukkan bakat melalui  tarian rock yang menarik perhatian ramai untuk mendekati mereka. Di hadapan mereka tersedia bekas untuk diisi oleh sesiapa yang bermurah hati. Yang merobek hati pula ialah kehadiran peminta sedekah yang terdiri dari pelbagai bangsa termasuk yang beragama Islam. Bertudung sambil menangis menadah cawan plastik. Terdapat juga lelaki berbangsa Eropah bersama anaknya memohon simpati orang ramai. Sepanjang perjalanan melalui Metro begitu banyak adegan suka duka manusia berjuang untuk meneruskan kehidupan. Semuanya tidak akan dilihat melalui televisyen atau majalah-majalah. Inilah Paris, tempat impian kebanyakan orang.
Stesen Gallieni

Tiba di Stesen Gallieni pada pukul 6.00 petang, ayuhai perut terasa lapar bukan kepalang. Maklumlah makannya kurang tetapi berjalannya yang lebih. Kami mengambil keputusan untuk meninjau kawasan berhampiran dengan Stesen Gallieni dan keluar dari bangunan tersebut. Rupanya terdapat banyak bangunan kedai dan hotel budget di kawasan ini. Kami merayau-rayau melalui laluan yang dipenuhi oleh peniaga berbangsa Bangladesh yang menjual buah-buahan yang segar seperti strawberi, pisang, rasberi dan sebagainya. Kami meninjau jika terjumpa kedai halal untuk mengisi perut yang sudah terlalu lapar maklumlah perjalanan ke London masih jauh lagi. Tiba-tiba kami di sapa oleh seorang lelaki berbangsa Bangladesh yang sedang melepak bersama seorang lagi rakannya berhampiran dengan  laluan kami.
"Assalamualaikum". Sapanya dengan senyuman. Kami agak terkejut namun terasa ikatan persaudaraan Islam yang mahu dihulurkan.
"Malaysia?"Tanya lelaki berusia dalam lingkungan awal tiga puluhan itu lagi.
"Waalaikummussalam. Ya Malaysia." Kami menjawab serentak penuh kegembiraan.
Dengan menggunakan Bahasa Melayu yang fasih beliau terus memperkenalkan dirinya.
"Saya Elias, saya pernah tinggal di Malaysia." Elias seolah faham akan persoalan yang sedang bermain di minda kami.
"Ohh..patut la awak boleh berbahasa Melayu dengan baik." Suamiku menyambut salam perkenalan dari Elias. Suamiku yang kelihatan begitu berhati-hati takut tertipu mula menunjukkan riak kemesraan.
"Dulu saya bekerja di Gajah Berang Melaka selama 5 tahun tanpa permit ". Terang Elias selamba.
"Kampung saya tu."Suamiku mengaku dengan rasa bangga.
"Semalam ada satu keluarga dari Malaysia, saya jumpa  di sini juga." sambung Elias lagi.

Setelah rasa agak selesa aku menyuruh suami bertanya tempat makanan halal kerana rasa lapar yang amat sangat.

"Ada restoran halal dekat sini?" Tanya suamiku.
"Ada, dekat saja. Awak ambil jalan ini, terus kemudian jumpa lampu isyarat terus lintas.. dekat aje." Elias memberi penerangan kepada kami.
"Jom bawa kami ke sana, perut dah lapar ni." rayu suamiku.
"Ok."jawab Elias lalu turun melalui anak tangga untuk mendapatkan kami sambil diperhatikan  rakannya

Banyak cerita yang Elias sampaikan kepada kami berkaitan kerjayanya ketika di Malaysia. Kebanyakannya yang baik untuk didengari mengenai pengalaman Elias sepanjang lima tahun bekerja dengan seorang tauke berbangsa Cina di Melaka. Selepas balik ke Negara asal beliau tidak juga beroleh sebarang pekerjaan lalu mendapatkan suaka politik untuk tinggal di Perancis. Elias mendapat elaun sebanyak RM1500 sebulan tanpa pekerjaan. Beliau seronok tinggal di Paris. Memandangkan elaun yang beliau dapat hanya cukup untuk belanja seharian, maka beliau  terpaksa melakukan kerja tanpa izin.  Seperti menjual barang-barang yang dapat dilihat dikebanyakan tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

Dah sampai ke Restoran halal

Beliau berazam untuk memohon menjadi warganegara Perancis dalam masa beberapa tahun lagi. Tidak ketinggalan Elias menujukkan kepada kami permit untuk dia tinggal di Paris dan permit itu perlu dibawa ke mana sahaja. Kerap kali Elias memuji kebaikan Polis Perancis terhadap mereka, kami hanya mengangguk tanda faham. Banyak yang ingin Elias ceritakan namun perjalanan kami menuju ke restoran yang dicari tidak jauh, hanya memerlukan masa lebih kurang5 minit. Kami mengajak Elias untuk makan bersama kami tetapi beliau menolak dengan alasan ada kerja.


Pizza dan Nasi Biryani Kambing

Restoran halal ini agak besar dan ianya begitu sibuk dengan pelanggan yang berbagai bangsa. Terletak di kawasan pejalan kaki untuk ke pusat membeli belah dan stesen pengangkutan yang agak penting di Gallieni. Kami terus meneliti menu yang disediakan di kaunter pesanan dan ruang pamer makanan yang disediakan. Lelaki berjanggut panjang  yang bertugas di kaunter pesanan tersenyum melihat kehadiran kami. Terasa seronok bertemu saudara seagama di bumi asing ini. Mungkin berbangsa Pakistan kerana di depannya terdapat tabung derma untuk Pakistan. Elias meninggalkan kami setelah menyakinkan kami makanan di restoran ini benar-benar halal. Maklumlah pengalaman kawan-kawan yang pernah makan di kedai Arab di Paris, rata-rata meragui kehalalan makanan yang dihidangkan. Ini kerana terdapat minuman keras dan sebagainya. Setelah diteliti tiada minuman keras berada di dalam restoran tersebut maka kami merasa lebih yakin. Pelbagai makanan boleh dipesan termasuk nasi, pizza, burger, spageti dan sandwich.Terliur melihat menu pizza yang menarik dan halal pula, aku  dan Saffura bersetuju untuk memesan pizza. Suamiku pula memilih nasi biryani berlauk kambing. Kami mencari tempat duduk yang agak selesa sambil memerhatikan pelanggan lain yang masuk dan memesan pelbagai jenis makanan.

Memang best!

Alhamdulillah mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk menyediakan makanan  kami. Kami dilayan seperti di restoran ala barat dengan susunan pinggan dan gelasnya beserta pisau dan garpu. Pizza yang dihidangkan amat menarik dan enak sekali, terutama taburan cheese yang banyak dan sangat sedap . Memang hidangan pizza ini tidak dapat diatasi oleh mana-mana pizza yang pernah aku makan sebelum  ini termasuklah dari jenama Domino atau Pizza Hut. Kami berdua berjaya menghabiskan pizza bersaiz  24 cm  itu berdua tanpa banyak bicara. Suamiku pula menghabiskan nasi biryaninya. Memang lapar betul kami kali ini maklumlah seharian hanya mengalas perut 


Sudah kenyang...hepi2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...