Isnin, 23 November 2015

Dapurku D'Riyadh (84) -Bubur Pulut HItam


Bubur pulut hitam memang sedap. Aku amat gemar memakannya tetapi aku agak cerewet sedikit berkaitan dengan jenis beras pulut hitam yang digunakan. Jika di Malaysia aku hanya akan memasak dan makan jika beras pulut hitam yang digunakan adalah benar-benar asli. Tidak dicampur dengan beras dan warnanya betul-betul hitam. Biasanya aku memesannya dari Pekan Rabu, Alor Setar. Ianya memang benar-benar tulen. Walaupun aku jenis yang tidak terlalu memilih bab makanan tetapi dalam hal bubur pulut hitam aku memang memilih.Aku sanggup tidak menjamahnya jika kelihatan bubur pulut hitam tersebut pecah-pecah dan ada campuran berwarna putih. 

Satu hari aku ternampak beras pulut hitam di Toko Indonesia, aduhai sukanya aku. Kenangan ketika menjamah bubur pulut hitam sewaktu sarapan pagi di sebuah hotel di Kota Jakarta. Bubur pulut hitam yang disediakan pekat dan dicurahkan dengan susu segar sewaktu hendak memakannya. Semenjak itu aku tidak lagi menggunakan santan pekat yang dicampur dengan sedikit garam jika mahu makan bubur pulut hitam. Susu menjadi pilihan untuk lebih menyihatkan.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Bubur Pulut Hitam
Bahan2
1 cawan pulut hitam
(dibasuh dan direndam 5 jam ke atas)
Gula pasir
Santan pekat yang dicampur dengan sedikit garam
(gunakan air masak untuk memerah kelapa)
Atau Susu segar (ganti santan)
Air secukupnya

Cara Membuatnya:
1.Masak pulut hitam bersama air rendamannya yang berwarna
   ungu pekat sehingga lembut. Jangan risau kerana pulut hitam
   asli tidak akan pecah walau pun lama merebusnya.
2.Masukkan gula secukupnya dan masak sehingga pekat.
3.Masukkan susu atau santan ketika mahu memakannya.
4.Jika mahu senang boleh dimasukkan terus santan kelapa ke dalam
   pulut hitam yang sudah dimasak. Kacau sehingga agak pekat.
   Boleh dimakan terus.


Bubur pulut hitam yang pekat

Ditambah susu segar @ santan pekat

Kacau rata sebelum memakannya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...