Sabtu, 14 November 2015

Travelog : Oh! Riyadh (74)- Mekah Tanpa Visa Umrah

 Mekah Tanpa Visa Umrah

Selesai ibadah haji, visa umrah akan dibuka semula lebih kurang sebulan kemudian. Visa umrah juga akan dibekukan selepas Ramadhan sehingga musim haji tiba. Suasana di Mekah dan Madinah pada masa visa umrah dibekukan(2 kali setahun) tidak sesak seperti kebiasaannya. Dari siaran langsung yang disiarkan sepanjang 24 jam di kaca televisyen menunjukkan keadaan yang sangat berbeza dari biasa. Pada siang hari minggu bekerja, kelihatan tidak ramai tetamu Allah yang berada di sekitar dataran Kaabah. Namun pada malamnya bilangannya bertambah. Tetamu Allah di saat ini tidak perlu berebut untuk mengucup Hajarulaswad, mereka hanya beratur menunggu giliran masing-masing. Pada masa ini tetamu Allah hanya terdiri dari warga  Arab Saudi, mereka yang menetap di Arab Saudi dan mereka yang datang  dari negara GCC. Kuwait, Bahrain, Qatar, UAE dan Oman juga Arab Saudi merupakan negara-negara yang menjadi anggota GCC- Negara-negara Arab yang kaya raya. Jemaah umrah yang pertama akan tiba pada 22 November 2015 dipetik dari Saudi Gazette.




Warga Malaysia di Riyadh juga ramai yang tidak mahu melepaskan peluang yang amat istimewa ini. Setiap hari Khamis ada sahaja yang akan ke Mekah atau Madinah. Kami juga turut tidak mahu ketinggalan untuk merebut peluang ini setelah dua tahun sekadar menjadi pendengar akan cerita dari rakan-rakan. Minggu lepas kami sekali lagi ke Mekah untuk menunaikan ibadah umrah. Kami bertiga bergerak selepas Solat Maghrib malam Jumaat. Kali ini kami tidur di R&R Start di Al Khasrah yang lebih selesa dan baru. Namun keadaan di sini agak sibuk, rupanya ada stesen bas persiaran di belakangnya yang agak besar. Kelihatan banyak bas yang membawa penumpang untuk ke Mekah. Perjalanan dengan bas ke Mekah menjadi pilihan ramai terutamanya dari warga Pakistan , India dan Bangladesh. Biasanya pakej yang ditawarkan meliputi perjalanan dengan bas dan juga penginapan hotel. Ada rakan Pakistan yang menggunakan perkhidmatan bas persiaran untuk ke Mekah dengan belanja SR200 seorang(termasuk hotel). Kami sempat memerhatikan beberapa buah bas yang datang dari Dubai. 


Pertama kali kami melihat begitu banyak bas di atas lebuh raya. Orang yang agak ramai di Qarnul Manazil juga menjadi petunjuk bahawa orang ramai sedang dalam perjalanan ke Mekah. Pasti suasana di Mekah tidak seperti yang kami nampak di kaca televisyen. Memang benar jangkaan kami, orang agak ramai di sekitar Masjidil Haram namun tidak seramai waktu biasa. Kami terus mengerjakan tawaf setelah pihak hotel tidak bersedia menerima kami untuk masuk ke bilik hotel. Namun para pekerja menawarkan diri untuk menyimpan beg-beg kami. Selesai tawaf di mataf tingkat atas mengambil masa lebih kurang 40 minit. Memang sesak dengan tetamu Allah yang mahu bertawaf. Selesai tawaf kami turut menunaikan Solat Jumaat.
Kami makan tengahari di Felda D'Saji, memang ramai warga Malaysia di situ. Terdapat sedikit kelainan pada kali ini kerana laluan untuk ke mataf tingkat atas boleh dimasuki dari dalam bangunan masjid. Biasanya kita perlu menggunakan jambatan khas dari bahagian luar masjid.

Ketika bersama lautan manusia mengerjakan saie, kami diarahkan untuk bergerak ke tepi. Aku kehairanan lalu menoleh ke belakang, rupanya ada VVIP yang turut juga mengerjakan saie. Rombongan VVIP tersebut dikepung oleh tidak kurang 50 orang berpakaian tentera pelbagai pangkat. Presiden Sudan, Omar Hasan Ahmad al Bashir kelihatan turut diiringi oleh seorang sheikh.

Kadar sewa kebanyakan hotel mahal seperti
hari biasa aje.
Lama kami menunggu untuk masuk ke bilik hotel dengan alasan tetamu yang berada di bilik yang akan kami masuk belum mahu keluar lagi. Akhirnya kami diganti dengan bilik lain. Kecewa namun sedikit lega kerana bilik kami agak luas dengan 4 buah katil single. Aku juga merasa agak teruja dapat melihat wajah Kaabah dari bilik hotel walaupun hanya sebahagian kecil sahaja.

Biliknya sungguh selesa dan sentiasa berbau harum
tetapi tiada buah-buahan free.

Kelihatan bahagian atas Kaabah. Laluan ke Mataf tingkat
atas ditutup

Laluan untuk ke Masjidil Haram, dilihat dari tingkap
hotel.
Malam sebelum subuh kami sudah berada di dataran Kaabah, orang tidak seramai seperti waktu siang tadi. Suasana cukup nyaman dengan angin bertiup lembut, terasa syahdu teramat. Aku dan Saffura mendekati bangunan Kaabah yang sekian lama hanya mampu dipandang dari jauh. Kami makin menghampiri pintu Kaabah, ramai yang bergayut di pintu Kaabah termasuk para wanita. Kami mendekati kawasan sekitar Hajarulaswad yang dipenuhi dengan orang ramai namun tidak sesesak waktu biasa. Yang melegakan aku ialah kaum wanita dan lelaki terpisah kepada dua bahagian jadi agak  mudah untuk kami berdua masuk menghampiri kawasan tersebut. Tidak mampu dielakkan berlaku juga kejadian berebut untuk mengucup Hajarulaswad.
"Haram...haram." Kedengaran suara dari sebelah wanita apabila kaum lelaki semakin agresif. Pengawal yang bertugas sekadar mendiamkan diri sesekali melepaskan pegangan jemaah lelaki yang bergayut di kelambu Kaabah disekitarnya. Sesekali kelihatan sekumpulan jemaah Indonesia datang dalam bentuk kumpulan lelaki dan wanita, terus merempuh sesiapa saja di depannya. Dengan  mudah mereka berjaya mengucup batu dari syurga itu.
"Saffura okay ke?" Tanyaku kepada Saffura sambil tanganku memegang erat tangannya. Saffura mengangguk kepala.
"Kita kena banyak bersabar untuk mendapat sesuatu yang istimewa." Aku sempat memberi nasihat kepada Saffura.
"Kita juga jangan mengambil hak orang lain untuk mendapatkan sesuatu. Kita berdoa sambil berusaha. In Shaa Allah akan tercapai impian." Aku terus berkata-kata kepada Saffura sambil memerhati gelagat mereka ghairah untuk mendapat kebaikan tetapi memotong giliran orang lain. Berbagai cara dibuat untuk menipu orang lain supaya hasratnya tercapai secepat mungkin. Padahal mereka baru selesai mengerjakan umrah dan memohon keampunan dari Allah. Ada yang masih di dalam pakaian ihram.Alangkah bagusnya jika mereka mahu mengikut giliran dan bersabar sedangkan orang tidak seramai mana.Getus hatiku.
"Kalau tak okay cakap kat mama...kita tak payah teruskan."Sambungku. Alhamdulillah Saffura juga tidak berputus asa walau pun sesekali sakit badan kami dihimpit oleh tubuh-tubuh besar di sekeliling kami. 
"Banyakkan berdoa...kita sedang berada di Al Multazam ni.." Pesanku lagi. Bukan senang untuk berada di antara kedudukan Hajarulswad  dan pintu Kaabah. Aku juga menguatkan azam supaya kami mampu mengucup Hajarulaswad kerana Saffura tidak berpeluang melakukannya setakat ini.

 Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta                      diletakkan pipi, dada dan lengan serta dan tapak tangan di Multazam.
Kata Sayidina Abdullah bin Abbas r.a" Al Multazam terletak di antara Rukun Hajarulaswad
dan pintu Kaabah." [Al Silsilah al Sahihah]

Kami hanya memerhatikan kejadian tolak menolak yang berlaku di depan mata. Yang berjaya mengucup Hajarulaswad akan mengucap Alhamdulillah sambil kelopak mata basah, menangis gembira. Kami tidak perlu berjalan ke depan kerana pergerakan manusia dari belakang menolak kami untuk terus mendekati Hajarulaswad. Kami membiarkan sahaja tubuh kami ditolak ke depan dan akhirnya kami berada betul-betul di depan Hajarulaswad. Aku menarik Saffura untuk mengucup Hajarulaswad. Tiba giliran aku pula. Aku terpaku melihat Hajarulaswad yang kini berada di depan mataku. Terasa masa terhenti seketika dan aku berpeluang lagi melakukannya. Alhamdulillah. Sekali lagi kami ditolak keluar dari kumpulan manusia yang berebut untuk mendekati Hajarulaswad. Syukur kepada Allah kerana aurat dan wuduk kami masih terpelihara.

Kelebihan Hajarulaswad.
1.Berasal daripada batu syurga yang mulia
   Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
   " Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan dua biji batu daripada batu syurga. Allah s.w.t           telah menghilangkan cahaya pada kedua-duanya. Jika tidak, nescaya kedua-duanya akan                    menerangi di antara  timur dan barat". [Sunan Al Tirmizi]

2.Kedudukannya berada di penjuru rumah Allah s.w.t yang mulia. Ditambah dengan kucupan                 Rasulullah s.a.w kepadanya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh nabi-nabi sebelumnya.

3. Hajarulaswad akan menjadi saksi
    Hajarulaswad akan menjadi saksi kelak kepada orang yang telah (menyalaminya,menziarah dan         mengusapnya) dengan kebenaran pada hari kiamat. 
    Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud
   " Demi Allah, Allah s.w.t akan membangkitkannya pada hari kiamat kelak, baginya dua mata.               Dia akan melihat dengannya. Baginya lidah yang dia akan berkata-kata dengannya, 
     menjadi saksi kepada  sesiapa saja yang telah mengusapnya dengan kebenaran." 
      [ Sunan Al Tirmizi]

4. Mengucup Hajarulaswad dan mengusap Rukun Yamani dapat menghapuskan dosa.
    Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
    "Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajarulaswad akan menghapuskan kesalahan (dosa)"
     [ Musnad Imam Ahmad]

5. Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat terhadap Hajarulaswad dan memuliakannya. 
    Suwaid bin Ghafalah telah berkata :"Saya lihat Umar r.a mengucup Hajarulaswad dan berada
    berhampiran dengannya sambil berkata.
     Maksudnya  "Aku lihat Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat                                                                                  (menghormati,mengucup,mengusap) engkau" [ Sahih Muslim]

    Umar bin al-Khattab r.a mengucup Hajarulaswad lalu berkata'
    Maksudnya " Aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi musibah mahupun 
    memberi manfaat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan
    melakukannya." [sahih al-Bukhari]

    Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta                     diletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan di Multazam

    *** Pada masa sekarang bukan semua batu yang berada dalam lingkungan perak ialah 
           Hajarulaswad. Hajarulaswad ialah 8 keping batu kecil yang berada di dalamnya. 
           Sesiapa yang ingin mengucup Hajarulaswad maka dia hendaklah meletakkan 
           mukanya ke atas kepingan batu tersebut. Wallahu'alam.
           
    Diambil dari Buku  Makkah al-Mukarramah.Kelebihan dan Sejarah.Ditulis oleh Dr Abdul            Basit Abdul Rahman. Penerbit Telaga Biru.


Suasana di depan pintu Kaabah 

Tidak ramai - aku memerlukan 15 minit untuk selesai
tawaf sunat
Berpeluang juga masuk ke dalam Hijr Ismail.
Boleh duduk lama di kawasan ini, tiada yang menganggu
atau berebut.
Mampu lebih dekat dengan Makam Ibrahim atau
solat di belakangnya.
Berpeluang untuk duduk di bawah mataf sementara
 menunggu masuk waktu solat subuh.


Kami juga berpeluang menyentuh penjuru rukun Yamani yang selama ini padat dengan manusia. Pendek kata mudah  menunaikan hasrat yang tidak terbuat waktu lain. Kelihatan juga kaum lelaki duduk di kerusi masing-masing mengelilingi Kaabah. Mereka sekadar duduk dan memerhati Kaabah dari dekat, sekitar 1 meter dari Kaabah. Mereka duduk dalam bentuk bulatan di sekeliling Kaabah. Kaum wanita diarahkan duduk di bahagian belakang bawah mataf di dataran Kaabah selesai azan subuh yang pertama dilaungkan. Alhamdulillah kami menunaikan  Solat Subuh di dataran Kaabah pada pagi tersebut.

Menu sarapan pagi di Al Safwah Royale Orchid Hotel tidak semewah seperti di Hotel Dar Al Ghufran di bangunan yang sama. Namun koleksi rotinya memang mengancam. Kami meninggalkan Mekah pada pukul 2.00 petang dan tiba di Riyadh pada pukul 11.00 malam. Alhamdulillah




Pemandangan di atas lebuh raya Riyadh menuju Taif. Taif dipenuhi gunung ganang yang luas dan begitu kukuh.







Keesokannya, pintu Kaabah dibuka untuk upacara istimewa yang berlaku dua kali setahun.







                                                                                                                              zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...