Isnin, 7 Mac 2016

Travelog : Oh! Riyadh (94) - Jogging di Wadi Namar


Jogging di Wadi Namar


Musim sejuk tahun ini sudah pun berlalu. Baju-baju tebal yang aku pakai sepanjang tiga bulan sudah pun aku simpan. Cuaca begitu selesa namun ada kalanya kembali sejuk apabila berlaku sandstorm atau turunnya hujan terutama di awal pagi. Suhu di awal pagi biasanya di bawah 20°C dan keseluruhannya belum lagi mencecah angka 30. Pun begitu, nyamuk-nyamuk kembali mengganggu tidur kami terutama di waktu malam.


Selamat datang musim bunga - pohon kurma kembali berbunga.

Semalam Riaydh menerima hujan yang lebat. Kebanyakan kawasan termasuk Al Yasameen menyaksikan hujan yang datang bersama ais batu tatkala menghampiri waktu senja. Aku yang sedang berada di dapur segera ke ruang tamu apabila mendengar bunyi hujan yang lebih kuat dari biasa. Sedang Saffura sudah mula menjerit kesukaan sambil mengutip ketul-ketul ais batu bersiaz kecil yang bertaburan di atas tebing tingkap yang dibuka. Aku turut sama mengeluarkan tangan ke arah hujan konon mahu menangkap ais batu, tapi sakit juga rupanya apabila dihentam dengan ais batu tersebut. Ais batu yang dikutip segera cair di tangan sebelum sempat diambil gambar.

Saffura sempat membuat rakaman video dengan telefon bimbit namun ianya tidak boleh ditayangkan di blog ini. Tidak tahu kenapa sudah beberapa kali aku cuba memasukkan rakaman video ke dalam entri namun tidak boleh berfungsi. Ketulan ais batu jatuh di atas bumbung kereta lalu menghasilkan bunyi yang agak kuat. Kami mengambil gambar namun tidak pula kelihatan ais batunya. Tahun lepas kami mengalami situasi yang sama tetapi tahun ini bilangan ais batunya lebih banyak

Ini gambar ais batu yang dikirim oleh sahabat dari WhatsApp Family Riyadh.
Ianya diambil beberapa tahun dahulu.

Kereta milik jiran


Hujan kerap turun sejak dua minggu yang lalu, petanda berlaku perubahan musim. Ketika aku menulis entri ini pun suasana gelap masih menyelubungi kawasan kediamanku. Awal pagi tadi hujan bersama guruh dan petir turut kedengaran. Hujan begitu istimewa di Arab Saudi dan kerap menajdi perbualan. Ini kerana musim hujan yang singkat hanya berlaku dua kali setahun. Iaitu pada bulan November ketika musim panas (walaupun Fall season) diganti dengan musim sejuk. Dan bulan Februari/Mac ketika perubahan dari musim sejuk ke musim bunga. Selepas itu tiada hujan langsung. Tahun ini rasanya hujan lebih kerap dan agak lebat berbanding dengan tahun lepas namun tidak sampai berlaku banjir teruk seperti pada tahun 2013. Solat Istisqa' memohon turunnya hujan dilakukan setiap tahun di kebanyakan masjid seluruh Arab Saudi menunjukkan kebergantungan manusia kepada Sang Pencipta, Allah SWT. Tahun ini solat sunat tersebut dilakukan lebih awal. Hujan merupakan sumber air yang amat penting untuk membolehkan tanaman terutama pokok-pokok kurma menghasilkan buah yang banyak dan berkualiti. Ini membolehkan kurma terus dihasilkan di negara pengeluar kurma terbesar di dunia ini. Alhamdulillah.


Tiadanya sistem perparitan di jalan raya menyebabkan air bertakung.
Lori dihantar untuk menyedut air. Jalan di depan rumah kami.

Pada hari Sabtu minggu lepas kami ke Wadi Namar. Sudah kami tidak beriadah di taman sekitar Riyadh dengan alasan cuaca yang sejuk. Ketika musim panas, cuaca yang panas pula dijadikan alasan. Sudah beberapa kali aku mengajak suamiku ke wadi ini buat kali kedua tapi gagal kerana Wadi Namar terletak di tempat yang agak jauh dari rumah kami. Jalan untuk ke sana adalah sama dengan jalan untuk ke Batha dan Dherah. Pertama kali kami sampai di sini ialah pada awal musim sejuk, tiga bulan lepas. Kami tersekat di dalam kesesakan di dalam kawasan wadi yang memakan masa yang agak lama. Ruang meletak kereta tidak kelihatan lagi malah kereta diletakkan berlapis-lapis menyebabkan laluan kereta menjadi sempit. Kami pulang begitu sahaja tanpa berpeluang mendekati kawasan empangan tersebut. Beribu orang berkunjung ke situ selepas Solat Jumaat, menjadikan suasana begitu meriah dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga atau kenalan. Seperti di kawasan piknik yang lain, mereka akan makan, minum, bbq dan berbual sehingga lewat malam. Ada juga yang menghisap shisha. Kanak-kanak pula akan bermain tanpa henti. Pelbagai barangan turut dijual bagi memenuhi permintaan ramai.

Belum ramai lagi. Kawasan parkir memang banyak di sepanjang jalan.

Aku memang gembira berada di Wadi Namar namun kami agak terkejut apabila melihat keadaan sekitarnya yang dipenuhi dengan sampah sarap. Para pekerja berpakaian oren sedang mengutip sampah yang berselerakan dan memasukkannya ke dalam beg plastik hitam. Lori sampah juga berjalan perlahan-lahan bagi memudahkan proses mengangkut sampah dijalankan. Terdapat pula sejenis jentera di dalam air yang digunakan untuk mengambil sampah di permukaan empangan. Aku tidak pasti bagaimana sampah yang banyak boleh berada di dalam kawasn berair. Mungkin diterbangkan ribut malam tadi agaknya?? Kami berjalan  melalui tebing bertangga berdekatan empangan Wadi Namar yang berukuran kira-kira 2 kilometer panjangnya.

Jernih sehingga nampak bayang-bayang
Sendirian
Banyak itik rupanya
Tenang.
Kerja pembersihan sedang dilaksanakan

Sudah pun bersih.
Semakin ramai yang tiba.


Sebelum dibersihkan
Kedalamannya mencapai 50 meter
Tidak dibenarkan masuk ke kawasan berair

Sesuai untuk jogging dan riadah
Kemudahan bbq ada disediakan
Pokok kurma dijadikan hiasan

Binaan tangga menambah keindahan


Pokok kurma mula berbunga

Kawasan berbukit dengan batu pejal. Terdapat gua-gua kecil di sekitarnya.

Pasti pemandangan empangan dari atas bukit lebih menawan
Luas

Banyak ikan di dalamnya termasuk ikan keli. Cuba lah tengok kalau nampak!





Wadi Namar berada di celah kawasan berbukit yang memanjang. Terdapat kerja-kerja pembinaan bagi meluaskan lagi kawasan rekriasi ini di penghujung empangan.










Hanya satu bangunan tandas. Satu lagi tandas sedang dibina di penghujung empangan

Kawasan berniaga untuk kemudahan orang ramai.

Suasana yang tenang kerana belum ramai pengunjung membolehkan kami mengambil gambar sebanyaknya. Tidak jemu rasanya berjalan-jalan di situ. Kami terpaksa pulang setelah satu jam berada di Wadi Namar kerana Saffura perlu meneruskan ulangkaji untuk menghadapi ujian yang sedang berlangsung selama seminggu.


Apabila kerja-kerja memperluaskan kawasan siap, pasti Wadi Namar bertambah cantik.


Begitu jinak itik-itik di sini.


Selamat tinggal, belum pasti bila lagi akan kembali.

Kawasan sekitarnya begitu subur.


                                                                                                               zias / riyadh / 16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...