Ahad, 27 Mac 2016

Travelog : Kuwait Dihatiku (2) - Perjalanan Ke Khafji

Cantiknya Pemandangan Menuju Ke Khafji.


Di dalam perjalanan, kami melihat tanda arah ke Hafar Al Batin. Kawasan yang menjadi tempat latihan ketenteraan bagi 20  negara Islam di bawah kepimpinan King Salman. Latihan secara besar-besaran ini  adalah yang pertama pernah diadakan di rantau ini. Dikenali sebagai "Thunder of the North" melibatkan pasukan tentera darat, udara dan laut. Ianya sebagai mesej bahawa Riyadh dan sekutunya bersatu dalam menghadapi semua cabaran dan memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

Satu perkara yang memeningkan kepala kami di Arab Saudi ialah perkataan bagi bandar atau daerah di papan tanda di jalan raya atau lebuh raya. Misalnya Hafr al Batin @ Hafar Al Batin. Rumah @ Ramah. Jadi jika ada kesalahan ejaan bagi bandar atau daerah di dalam entri Travelog : Oh!Riyadh, ianya bukanlah disengajakan. Kerana aku memang tidak pasti yang mana betul, biasanya aku merujuk Google.



Selepas berehat dan makan-makan, kami meneruskan perjalanan menuju ke Qaryat al Ulya. Pemandangan di seberang jalan yang kami lalui berubah di mana padang pasir yang luas dipenuhi pula dengan ladang-ladang menghijau. Bilangan ladang-ladangnya lebih luas dan banyak jika dibandingkan dengan apa yang pernah kami lihat sebelum ini. Misalnya di Tabuk atau Qassim. Ladang-ladang dipenuhi dengan tanaman rumput dan gandum. Kelihatan juga tangkai gandum yang dipenuhi dengan butir-butir gandum yang semakin mengguning. Puas rasanya melihat suasana kehijauan dan Saffura tidak henti-henti merakamkan gambar pemandangan memukau tersebut.
















Kami tiba di bandar Qarya Al Ulya yang agak besar dan sekali lagi mencari laluan untuk ke Khafji.
Bandar pertanian ini merupakan pengeluar gandum terbesar di Arab Saudi. Ladang-ladang luas terus memenuhi kebanyakan kawasan selepas bandar ini menuju ke Khafji. Ada juga ladang-ladang kurma yang bersaiz kecil namun ladang gandum lebih menguasai suasana.














Setelah kawasan ladang kami tinggalkan, kawasan penternakan pula muncul. Kawasan padang pasir yang luas dipenuhi dengan rumput-rumput yang rendah. Pemandanganya sangat cantik dan terasa mahu duduk di padang yang luas itu. Atau berlari-lari di tengahnya sambil menyentuh unta dan kambing yang kelihatan begitu jinak. Kambing-kambing dan unta-unta yang tidak terhitung banyaknya terdiri dari beberapa warna. Semuanya sibuk meragut rumput yang kelihatan begitu subur di tengah padng pasir. Aku tertanya-tanya adakah rumput-rumput itu di tanam atau tumbuh sendiri! Cuaca yang nyaman membolehkan pengembala binatang ternakan turut berada di sekitarnya. Teringat akan kisah Rasulullah SAW yang pernah bekerja sebagai pengembala kambing.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud

"Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Mekah dengan 
 upahnya beberapa karat sahaja." [Riwayat Bukhari]









Pemilik binatang ternakan ini tinggal di kawasan yang luas tersebut. Golongan Badwi ini tidak tinggal di  khemah-khemah seperti yang dilihat ditempat lain. Sebaliknya mereka tinggal di dalam rumah berbentuk kontena yang boleh dipindahkan. Mungkin mereka berpindah ke kawasan yang subur ini di musim sejuk dan musim bunga untuk menternak binatang ternakan mereka. Selepas itu mereka berpindah ke kawasn lain pula. Kedudukan kawasan tempat tinggal mereka berada agak jauh dari jalan raya. Ianya terletak di tengah-tengah padang pasir dan berjauhan antara satu sama lain.



Pindah rumah!







Kawasan penternakan ini berada di sepanjang jalan menuju ke Khafji. Sungguh luas dan memang puas kami melihatnya. Tidak aku menduga adanya pemandangan secantik ini di bumi Arab Saudi yang dikenali sebagai tandus dan kering. Terasa seperti berada di Laluan Sutera.






Menghampiri kawasan simpang untuk ke Khafji atau Dammam, kelihatan kawasan untuk menjual binatang ternakan. Kandang-kandang unta dan kambing kelihatan dengan banyaknya. Di sinilah berlangsung aktiviti jual beli.






Kami tersalah ambil simpang kerana tidak ada sebarang papan tanda di simpang ini. Kami mengambil laluan ke sebelah kanan yang menuju ke Dammam kerana terlihat kawasan luas seolah lautan. Tambahan pula terdapat banyak kawasan yang ditakungi air berdekatan jalan yang sedang kami lalui. Projek pembesaran jalan juga menjadikan kawasan tersebut tidak terurus dengan baik. Sekali lagi kami berhenti di kawasan rehat untuk solat dan makan tengahari.





Bersambung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...