Rabu, 9 Mac 2016

Dapurku D'Riyadh (142) - Tauhu Sumbat



Bismillahirrahmanirrahim

Tauhu sumbat merupakan hidangan kegemaran keluarga suamiku. Setiap kali balik ke kampung hidangan ini antara yang wajib disediakan oleh emak mentuaku. Masa berlalu begitu cepat dan emak mentuaku tidak lagi bertenaga seperti dahulu untuk menyediakan resepi kegemaran anak-anaknya ini. Kini, tugas tersebut diambil alih oleh para menantunya yang kebanyakannya tahu menyediakan resepi ini. Yang terpenting ialah cara menyediakan sos cili yang menggunakan air asam tanpa setitik pun cuka. Sos cili ini dicipta oleh emak mentuaku kerana anak-anaknya gemar memakannya.

Istimewanya di Melaka terdapat tauhu bersaiz empat segi dan siap digoreng. Rasanya begitu sedap terutama jika ianya masih baru, boleh dimakan begitu sahaja. Biasanya kami akan goreng sekali lagi untuk mendapatkan rasa segarnya. Buat masa sekarang kami sekadar memanaskan sahaja di atas frying pan. Tauhu akan dibelah di bahagian tengahnya tapi jangan sampai putus. Campuran timun yang dihiris nipis dan tauge yang direndam air panas kemudiannya disumbat di dalam tauhu tersebut. Sos cili akan diletakkan di atas bahagian yang disumbat sebelum memakannya. Sedap sangat!

Di Riyadh memanglah tidak ada tauhu goreng. Ada tauhu yang dijual di beberapa mall atau toko Indonesia. Kami selalu juga membelinya terutama dari Tamimi Market. Bersaiz besar dan berwarna putih serta tanpa garam. Biasanya aku akan memotongnya dalam saiz yang lebih kecil lalu aku tabur garam disekelilingnya sebelum digoreng.

Teringat pula tauhu sumbat tetapi bagaimana hendak menyumbatnya kerana bentuknya yang tidak sesuai langsung untuk disumbat. Lalu aku mengubahnya dengan mencampurkan kesemuanya iaitu tauhu, timun dan tauge bersama-sama. Kuah sos cili ditaburkan sebelum memakannya. Teknik ini biasa aku guna jika tidak sempat untuk menyumbat tauhu dengan aksesorinya.


Resepi Tauhu Sumbat

Sos Cili

Bahan2:
3 sudu besar cili kering yang dikisar
3 ulas bawang putih dikisar halus(ditumbuk
dengan lesung batu )
2-3 sudu besar gula pasir (putih)
1/2 sudu besar paste asam jawa jenama Adabi 
1/4 cawan air(anggaran)
Bahan 
Garam

Cara Membuatnya:
1.Masukkan cili kisar ke dalam sebuah bekas.
2.Masukkan gula dan kacau perlahan sehingga
  gula hancur.
3.Masukkan bawang putih,garam dan paste asam
  jawa.Kacau lagi supaya sekata dan cukup rasa.
  Rasa sos cili ini manis dan pedas.



4.Masukkan air secara perlahan-lahan sehingga
   mencapai kepekatan yang dikehendaki. Jangan
   terlalu pekat atau terlalu cair. Biar boleh melekat
   pada tauhu.





Bahan lain:
2 keping tauhu besar - dipotong dan digoreng.
Timun dihiris nipis
Tauge dicelur


Bahan yang disiapkan

Letakkan tauhu , timun dan tauge di atas sebuah bekas.
Tuangkan kuah sos cili ketika hendak makan.

Mahu letak kacang tanah pun sedap juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...