Isnin, 1 Februari 2016

Travelog : Oh! Riyadh (89) -Beku Tanpa Salji Di Riyadh


Beku Tanpa Salji Di Riyadh.


Seluruh Arab Saudi kembali mengalami suasana sejuk tetapi kali ini yang agak ekstrem. Bermula pada pertengahan minggu lepas sehingga ke minggu ini. Kawasan utara yang bersempadan dengan Jordan berada di bawah paras beku di mana suhu yang dicatatkan mencapai angka negatif. Salji pun memenuhi kebanyakan kawasan sebelah utara bersama dengan hujan dan ribut bermula pada hari Rabu. Tabuk, Al Jouf, Hail dan bandar-bandar yang hampir dengan sempadan seperti Arar, Turaif  dan Sakaka dipenuhi salji. Ramai yang berkunjung ke sana untuk menikmati percutian ala-ala Switzerland. Di Hail, sekolah-sekolah ditutup kerana suasana yang agak kritikal.


Binatang istimewa, sesuai dalam apa juga keadaan.
Terasa ingin sahaja untuk ke daerah tersebut untuk melihat hamparan salji memutih memenuhi kawasan padang pasir yang luas. Tidak terbayang keindahannya. Pokok-pokok kurma dipenuhi dengan salji-salji pasti bertambah cantik dan menawan.

Muka depan surat khabar Arab News

Apa kan daya, daerah tersebut jauh dari Riyadh. Jarak paling hampir dengan Riyadh ialah Hail yang sekitar 600+ km manakala Al Jouf/ al Jawf pula dalam 900+km dan Tabuk lagilah jauh iaitu 1200+km. Kami pernah sampai di kawasan pergunungan Hail, pasti suasana saat ini bertambah cantik dengan tompokan salji memenuhi seluruh kawasan berbatu tersebut. Aku pasti ramai warga yang tinggal di Riyadh berharap salji turun di Riyadh seperti aku dan Saffura. Namun begitulah realitinya, walaupun suhu di bawah 0°C tidak semestinya salji akan turun. Kami pernah mengalami suhu -12°C ketika berada di Seoul pada tahun 2008 namun tidak ada rezeki untuk melihat salji turun. Kami ke kawasan pergunungan untuk melihat hamparan salji dan bermain ski di sana.


Saudi Arabia Road Map
Peta dari Google

Pada pertengahan bulan Januari lalu telah viral di Fb dan  WhatsApp apabila salji dikatakan turun di lebuh raya menuju Madinah/Mekah. Aku turut diminta jawapan akan kebenaran berita tersebut. Sememangnya aku tidak mempunyai jawapan yang tepat. Walaupun aku pernah melalui laluan tersebut namun aku tidak mampu mengingatinya.

Image result for snow in saudi 2016
Dari Fb

Telefon bimbitku mencatatkan suhu paling sejuk yang pernah kami alami sepanjang tinggal di Riyadh iaitu 1 °C pada pagi hari Sabtu dan Ahad. Suhu tersebut kekal sehingga pada pukul 8.30 pagi. Malah ada yang menyatakan suhu jatuh sehingga -1°C pada pukul 3 pagi hari Sabtu. Kami hanya berada di dalam rumah sepanjang cuti hujung minggu lepas bagi mengelakkan diri dari cuaca yang terlalu sejuk. Kebanyakan kereta yang terletak di ruang parkir aparment kami kekal di ruang parkir masing-masing. Namun pada petang hari Sabtu cuaca kembali nyaman membolehkan ramai yang keluar untuk mencari keperluan. Malamnya suasana kembali sejuk sehingga mencapai 1°C semula di awal pagi Ahad. Sehingga tengahari suhu sekitar 5°C. Kulit mulai terasa kering akibat terdedah kepada heater yang dipasang untuk menahan rasa sejuk. Baju tiga lapis berserta stokin tidak mampu menahan diri dari rasa sejuk.

Surat khabar Arab News melaporkan pada hari Ahad sebanyak sepuluh bandar di Arab Saudi mencatatkan suhu di bawah 0°C. Ianya merupakan suhu paling sejuk untuk winter kali ini. Hail paling sejuk dengan suhu -6°C, Tarif dan Arar pula adalah -3°C. Riyadh mencapai suhu sekitar 1°C pada pukul 6.00 pagi dan menjadikan Riyadh lebih sejuk dibandingkan dengan beberapa ibu negara lain di Eropah. Pada masa yang sama Rome, 8°C; London 5°C ; Istanbul 7°C;Geneva 9°C;Barcelona 12°C ; Warsaw 4°C; Athens 5°C dan Amsterdam 5°C. Tak perlu hendak menikmati winter di Eropah kerana cuaca di Riyadh lebih sejuk...
SubhanaAllah segala yang terjadi dengan izinNya juga.


Di Riyadh

Musim sejuk menyediakan banyak ruang untuk menambah ibadah terutamanya puasa. Ini disebabkan waktu malamnya yang lebih panjang berbanding di musim lain. Waktu solat Subuh sekitar pukul 5.00++ pagi manakala waktu solat Maghrib juga sekitar pukul 5.00 ++ malam. Masa berlalu dengan agak cepat tambahan pula tidak terasa langsung lapar dan dahaga. Situasi ini membuatkan ramai yang berpuasa terutama staf yang terlibat dengan O&G (hihi. ..suri rumah). Malam yang panjang juga menjadikan tidur begitu nyenyak ditambah pula dengan suasana sejuk. Sehingga ada yang menarik selimut  selepas matahari terbit sehingga waktu tengahari. Waktu solat Isyak lebih kurang pukul 6.30 malam (di permulaan winter)sehingga 7.00+ malam membolehkan kita tidur awal dan bangun dalam keadaan yang segar. Jadi inilah masanya untuk melatih diri untuk bangun awal dan beribadah. Dugaan paling kuat ialah untuk berwudhuk di dalam cuaca yang sejuk namun pasti setiap kesulitan akan berganda ganjarannya.InshaAllah.

Di Riyadh


Minggu lepas juga berlangsung Malaysia Fest 2016 yang diadakan di Jubail. Terletak di Eastern Province tidak jauh dari Dammam dan Al Khobar. Ramai warga Riyadh yang berpeluang berkunjung ke sana malah ada yang turut berniaga . Kami tidak dapat ke sana kerana kereta perlu di servis pada hari Sabtu. 



Ohh...ya.Kami menerima tetamu dari Kuala Lumpur. Mereka adalah wakil Telekom Malaysia yang datang ke Riyadh atas urusan rasmi. Rakan sekerja suamiku ketika bekerja di TM, Pn Rafidah bersama dua orang lagi sudi untuk makan malam di rumah kami. Kami rasa seronok meraikan rakan senegara. Teringat ketika aku mengikut suamiku bertugas ke luar negara, kami diraikan jika ada kenalan di tempat tersebut. Aku menyediakan Nasi Kasbah Ayam bersama lauk kambing masak Karahi. Aku turut menyajikan Strawbery Cheesecake sebagai pencuci mulut. Paling gembira aku mendapat stok keropok ikan dan daun pandan dari Pn Rafidah. Mereka bertiga mendapat kebenaran menunaikan umrah dan ziarah ke Madinah pada keesokan harinya. Sebelum ini ada kes di mana mereka yang datang ke Riyadh atas visa bisnes tidak dibenarkan ke Mekah dan Madinah. Begitulah keadaan di sini, undang-undang sentiasa berubah.

Tetamu dari Malaysia

Stok keropok ikan....Alhamdulillah





                                                                                                                                       zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...