Rabu, 10 Februari 2016

Travelog : Lambaian Qatar (5) - Souq Waqif , Doha

Souq Waqif, Doha.

Berusia melebihi seratus tahun,  souq atau pasar ini adalah salah satu pasar tradisional tertua yang ada di Qatar. Souq Waqif diperbaiki dan siap pada tahun 2008. Terletak berdekatan dengan Corniche Doha dan menjadi tumpuan pelancong serta penduduk tempatan. Bangunan-bangunan di dalam dan sekitarnya memiliki reka bentuk kuno Arab yang unik justeru menjadi daya tarikan untuk semua. Mudah untuk ke souq ini kerana ianya terletak di seberang jalan berhampiran bangunan Parlimen Qatar atau kawasan Corniche. 

Terdapat kawasan parkir kereta di bahagian bawah tanah untuk memudahkan para pengunjung yang berkereta. Bayaran adalah sebanyak QAR3.00 sekali masuk dengan tambahan QAR1 bagi setiap jam. Namun terdapat juga kawasan meletak kereta secara percuma di sekitar kawasan ini.



Laluan di dalam bangunan meletak kereta.

Di bahagian atas kawasan meletak kereta terdapat taman yang luas dengan pemandangan sekitar Corniche. Taman ini menyediakan tempat berehat dan beriadah kerana ada beberapa peralatan untuk riadah secara ringan. Juga tempat permainan kanak-kanak.

Taman yang cantik dan bersih.
Ada juga hiasan air yang berwarna-warni.

Sekitar kawasan bahagian depan Souq Waqif. Reka bentuknya memang mengagumkan seperti yang kita lihat di dalam filem2 lama. Bangunan diperbuat dari batu yang begitu tradisional dengan deretan kedai-kedai yang tidak terkira banyaknya.


Burung-burung yang jinak menjadi kesukaan kepada kanak-kanak.
Asalnya souq ini merupakan tempat menjual mutiara di zaman dahulu sebelum minyak dan gas ditemui. Pasar ini menawarkan banyak perkara yang tidak pernah aku jumpa di tempat lain. Ianya bukan sahaja menawarkan pelbagai keperluan seharian seperti rempah-ratus, makanan ringan, pakaian, kain, juga turut ada perhiasan rumah, makanan sunnah, barangan perak, jubah, tulisan khat, barang tradisional orang Arab, wangian, peralatan dapur, peralatan bertani, souvenir, mainan kanak-kanak, dan banyak lagi. Yang lebih penting ialah harga yang ditawarkan di souq ini agak murah terutama souvenir. Terdapat juga money changer namun kami tidak perlu menukar wang kepada mata wang Qatar kerana nilainya hampir sama. Jadi kami membeli barang-barang menggunakan mata wang Arab Saudi tanpa sebarang masalah.

Kedai-kedai di lorong-lorong yang tidak terkira bilangannya

Macam-macam ada
Pelbagai jenis haiwan peliharaan turut ditawarkan termasuk burung helang. Saffura begitu berminat dengan burung helang jadi kami masuk ke kawasan kedai-kedai yang hanya menjual burung helang dan keperluannya. Burung helang begitu terkenal negara-negara Arab terutama di musim sejuk. Pelbagai kegiatan berkaitan burung helang di negara Timur Tengah ini. Harganya pula sekitar QAR9000 ke atas untuk seekor burung helang. Di Malaysia amat sukar untuk bertemu dengan burung ini di zaman sekarang kerana ancaman kepupusan.


Puluhan ekor burung dipamerkan untuk dijual.


Penutup muka burung dikenakan. 
solo

Sebuah kedai kecil menawarkan perkhidmatan memperbaiki
barangan kecil seperti kasut dan sebagainya. Entah berapa
lama usianya jika dilihat keadaan fizikal binaan bangunannya.

Tidak ketinggalan hotel, kafe dan restoran yang memenuhi sebahagian besar pasar ini. Kerusi dan meja melimpah di luar bangunan sehingga ke laluan orang ramai. Shisha menjadi tarikan untuk dinikmati termasuk kaum hawa. Pelbagai tawaran makanan termasuk western, kebab, steamboat, Turki dan dikatakan ada Restoran Malaysia, Sri Kebaya di kawasan ini. Kami tidak berminat untuk mencarinya. Walau bagaimana pun kami ada mencuba shawarma berharga QAR15.00 satu. Sebenarnya kami tidak banyak makan di luar bagi perjalanan kami kali ini kerana aku sudah menyiapkan beberapa lauk yang disejukbekukan.  Ayam masak karahi, sup kambing, acar rempah timun dan sambal ikan bilis yang dibawa menjadi hidangan kami bersama nasi putih yang dimasak setiap hari.
Pelbagai hidangan disediakan.
Ais krim tradisi Turki menjadi pilihan walaupun
agak sejuk cuaca sekitarnya.

Souq Waqif beroperasi sepenuhnya selepas pukul 4 petang sehingga ke malam. Suasana di waktu lebih meriah terutama di hujung minggu kerana terdapat show.


Nyanyian dihidangkan untuk menghiburkan para pengunjung
Terdapat beberapa masjid di sekitar souq namun sewaktu azan berkumandang dan selepasnya kedai-kedai yang ada meneruskan operasinya tidak seperti di Arab Saudi. Di sini terasa benar perbezaannya. Bertuah rasanya tinggal di Arab Saudi, waktu solat terjaga dengan suasana yang diwujudkan oleh pemerintah. Semua kedai ditutup dan para pekerja akan menunaikan solat di masjid berdekatan. Tidak ada suasana tersebut di negara ini yang lain walaupun Qatar antara negara yang turut melaksana undang-undang Islam. Begitu juga dari segi pakaian, tidak bermimpi untuk melihat wanita membuka aurat sewenang-wenangnya termasuk yang bukan Islam. Ini kerana semua wanita diwajibkan memakai abaya semasa berada di tempat awam. Kecuali di lapangan terbang antara bangsa atau sekitar kediaman yang dipanggil compound.

Kami sempat berkunjung ke souq ini sebanyak dua kali. Terdapat juga galeri seni yang elegan di dalam banguan yang berusia dan unik. Pelbagai hasil karya di pamerkan termasuk lukisan dan hasil kerja tangan pelajar sekolah. Beberapa orang artis juga menunjukkan kemahiran melukis di laluan yang terdapat di dalam bangunan galeri seni ini.

Lampu-lampu dari Turki yang memenuhi bangunan ini amat menarik
minat aku.

Di kawasan luar souq terdapat satu tempat yang menempatkan kuda dan unta. Tidak pasti apa kegunaannya sama ada untuk ditayangkan atau untuk dijual. Ianya terletak di seberang jalan Parlimen Qatar .

Rumah kuda dan sekitarnya.

Berdekatan bangunan terdapat khemah hitam yang biasanya diduduki kaum Badwi. Beberapa alatan termasuk 'Majlis' di letakkan untuk dilihat oleh orang ramai bagi merasai kehidupan orang Badwi. Kuda-kudanya begitu jinak dan boleh disentuh. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi dengan unta-unta di sebelah kandang kuda.




Souq Waqif menawarkan pelbagai sourvenir yang berpatutan harganya. Kedai-kedai menjual lampu-lampu dekorasi dari Turki juga banyak menawarkan pelbagai jenis dan saiz lampu dengan harga yang berbaloi untuk dibeli. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...