Ahad, 27 Disember 2015

Travelog : Oh! Riyadh (86)-Musim Peperiksaan.

Musim Peperiksaan.

Semalam merupakan hari terakhir Saffura menduduki peperiksaan akhir semester pertama bagi tahun 2015-2016. Kebanyakan murid-murid yang sedang belajar di sekolah antara bangsa seperti Al Rowad, Al Forsan dan sebagainya turut mengalami situasi yang sama. Jadual peperiksaan pada kali ini agak lama sehingga memakan masa 7 hari. Saffura pulang ke rumah lebih kurang pukul 10.20 pagi setelah selesai peperiksaan pada pukul 9.30 pagi. Merupakan satu peraturan di sini di mana setiap hari maksima hanya dua subjek sahaja dibenarkan. Aku kurang sibuk pada waktu pagi untuk menyediakan bekalan buat Saffura kerana waktu yang agak pendek untuk Saffura berada di sekolah.

Subjek yang terlibat di dalam peperiksaan.
Seperti biasa aku memantau dan membantu Saffura untuk mengulangkaji subjek yang kritikal seperti sains dan matematik. Seminggu sebelum peperiksaan bermula, menjadi amalan juga bagi sekolah untuk menyediakan revision sheets sebagai panduan murid-murid membuat ulangkaji. Amalan ini juga dilakukan untuk peperiksaan di pertengahan semester. Ibubapa hanya perlu mencetak soalan-soalan tersebut. Guru-guru akan berbincang dan memberi jawapan kepada soalan yang diberikan. Ada masanya tidak semua soalan sempat dibincang jadi aku akan menyemak dan menolong Saffura mencari jawapan bagi soalan tersebut. Revision sheets seolah menyediakan soalan bocor kepada pelajar kerana kebanyakan soalan yang ditanya di dalam peperiksaan kerap kali sama seperti soalan yang terdapat di dalam revision sheets.

Jika berbeza pun sekadar angka atau susunan soalan sahaja. Aku dapati guru-guru begitu takut untuk memberi soalan yang lebih mencabar kepada murid-murid mereka. Terutama bagi subjek matematik dan sains. Murid-murid juga begitu fobia dengan soalan yang tidak pernah dibincangkan tetapi terdapat di dalam buku teks. Kerap kali Saffura memberi komen bahawa soalan yang aku berikan kepadanya  sebagai  latihan yakni soalan yang berbentuk penyelesaian masalah tidak ditanya. Kerap kali soalannya lebih mirip kepada latihan yang diberi. Revision sheets begitu besar peranannya kepada para pelajar dan ibubapa. Ibubapa pula yang akan fobia jika revision sheets tidak disediakan oleh pihak sekolah. Murid-murid di sini begitu suka dengan sistem yang ada kerana setiap soalan yang pernah ditanya biasanya tidak akan diulang pada masa depan.

Pada malam sebelum peperiksaan kebanyakan rakan-rakan Saffura di dalam group WhatsApp kelasnya saling meminta jawapan atau salinan revision sheet yang telah diberikan. Aku menggeleng kepala melihat bagaimana mereka kelam kelabut berbincang bagaimana jawapan bagi beberapa soalan matematik didapati. Sehingga ada yang terpaksa meminta tolong dari saudara dan sebagainya. Disebabkan telefon yang digunakan adalah milik aku jadi Saffura tidak begitu sedar akan apa yang berlaku. Pun begitu aku sentiasa menyuruh Saffura membantu rakan-rakannya dengan menghantar salinan revision sheets yang diminta. Setiap pagi aku menerima beratus pesanan yang melibatkan perbincangan di kalangan rakan-rakannya. 


Antara rakan-rakan Saffura.
Minggu peperiksaan bermakna musim cuti akan muncul tidak berapa lama lagi. Walau bagaimana pun kebanyakan sekolah awam milik kerajaan sudah pun bercuti. Begitu juga dengan murid-murid di kelas atau gred yang lebih bawah  termasuk tadika atau kindergarten si sekolah swasta. Ini berikutan dengan jangkaan cuaca yang sejuk akan melanda Riyadh pada minggu ini. Semalam pagi, sekali lagi mencatatkan suhu yang rendah sekitar 4C pada pukul 6.00 pagi. Rasa sejuk berlangsung sepanjang hari. Aku terpaksa memasang heater di bilik tempat aku menyidai baju bagi membantu baju-baju yang dibasuh supaya lebih cepat kering. 

Semester pertama akan berakhir tidak lama lagi.
Setelah bercerita mengenai peperiksaan, ada baiknya aku turut nyatakan sistem penilaian yang dibuat di sekolah Saffura. Penilaian prestasi murid di buat berdasarkan kepada beberapa kriteria untuk setiap semester (Lihat lampiran di bawah). Oleh itu setiap aktiviti akan menyumbang kepada markah keseluruhan seseorang murid. Biasanya perbincangan antara guru-guru dan ibu-ibu berlangsung selepas keputusan peperiksaan pertengahan semester yang pertama. Ianya berlaku setiap semester bagi membolehkan ibu berbincang dengan guru bagaimana membantu anak-anak di dalam proses pembelajaran. Dengan itu diharap penambahbaikan akan dilakukan supaya anak-anak boleh mencapai keputusan yang lebih baik di masa akan datang.


Aspek yang diambil kira untuk penilaian seorang pelajar.

Laporan di akhir semester.
Sekolah juga turut memberi penghargaan kepada murid-murid yang menunjukkan kemajuan atau pencapaian di dalam pelbagai bidang. Setiap bulan  student of the month bagi setiap subjek untuk setiap kelas akan diberi. Sijilnya berlainan bagi setiap subjek bergantung kepada guru subjek berkenaan. Banyak sijil yang dikumpul oleh Saffura  dan ianya amat membanggakan. Beberapa kriteria pasti diambil kira sebelum anugerah tersebut diberikan. Ianya memberikan idea kepada aku bagaimana mahu membantu murid-murid supaya lebih meminati subjek yang dipelajari. Ianya juga boleh menimbulkan semangat ingin bersaing di kalangan murid-murid.

Antara sijil yang diterima Saffura

Sijil juga diberi untuk aktiviti -aktiviti lain di luar kelas.


Selain sijil terdapat pula kertas merit yang membuktikan perkara baik yang telah dilakukan oleh murid-murid.
Aku pernah memegang jawatan sebagai Penyelaras Merit Demerit ketika bertugas di sekolah. Namun apa yang disaksikan di sini memberi lebih banyak idea kepada aku untuk membuat penambahbaikan kepada sistem yang pernah aku terlibat menyediakannya.









Sekolah Al Alameen bermula pada pukul 7.00 pagi, di mana semua pelajar diminta membuat hafazan ayat-ayat Al Quran yang telah ditetapkan. Guru Al Quran akan mendengar bacaan hafazan Al Quran dari murid masing-masing berdasarkan Surah yang telah dipilih. Ianya amat bagus sekali di dalam memastikan  anak dapat  membuat hafazan dengan baik. Hafazan  merupakan  sebahagian  dari  aktiviti  bagi  subjek Al Quran.
Proses Pengajaran dan pembelajaran  bermula pada pukul 7.30 pagi. Murid-murid juga menunaikan Solat Zohor di sekolah bersama rakan-rakan dan guru-guru.




Lebih menarik lagi,  pihak pengurusan sekolah turut memberi penghargaan kepada guru-guru yang terpilih dalam bentuk merit. Pn Hjh Hamidah Helmi adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Sekolah  Al Alameen. Pn Hjh Hamidah aku kenali ketika kami mengerjakan haji pada tahun 2014. Penghargaan sebegini pasti memberi kesa positif kepada seseorang pekerja. Tambahan pula bagi Pn Hjh Hamidah Helmi yang masih baru di dalam bidang pendidikan.




Pn Hjh Hamidah, paling kiri.






                                                                                                                                        zias/riyadh/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...