Ahad, 6 Disember 2015

Travelog : Oh! Riyadh (80)-Jagung Oh Jagung


Jagung Oh Jagung


Tiba-tiba suamiku mengajak kami untuk ke The Edge Of The World. Aku memang mahu ke sana namun aku simpan sahaja keinginan tersebut. Dari pembacaanku, tempat itu memerlukan kenderaan 4X4 lagi pula laluannya terpaksa melalui kawasan hutan di kawasan gurun. Untuk ke sana lebih sesuai dalam berkumpulan, walaupun tempatnya tidak jauh dari Riyadh.
"Saifudin pernah pergi dengan kereta biasa sahaja, boleh aje." Jawab suamiku bila aku bertanya.
"Tak apa kita pergi tengok dulu ." Suamiku mahu juga ke sana.
Aku memang suka berjalan-jalan terutama di dalam keadaan cuaca yang nyaman seperti sekarang. Kami terus bertolak selepas bersarapan pagi, tidak lupa teh susu panas  yang diisi di dalam termos sebagai bekalan dalam perjalanan. Kami mengikut arahan yang diberi  seperti yang dicatatkan melalui Blog Blueabaya. Kami mengambil jalan 535 (King Khaled Road) menuju ke Salbouk. Lebih  kurang 30 km kami keluar dari lebuh raya dan mengambil jalan ke kiri menuju Jubayla. Sepanjang perjalanan kelihatan pekan kecil kemudian ladang-ladang kurma. Juga kawasan penanaman jagung dan sayur-sayuran. Kesan hujan masih kelihatan di mana-mana. Ada kawasan yang masih digenangi air atau tanah yang masih basah. Berbeza dengan kawasan lain, tanah kosong di kebun kurma yang kebiasaannya ditumbuhi rumput ditanam dengan berbagai tanaman di sini. Kelihatan pokok anggur turut ditanam di celah-celah  pokok kurma.

Pastinya kami tidak boleh singgah di mana-mana walaupun pelbagai pemandangan menarik perhatianku. Pekan berubah menjadi lebih kecil di mana rumah jarang-jarang kelihatan sehingga kami melalui satu kawasan yang di tanda dengan papan tanda berwarna perang. Kelihatan banyak kereta di celah-celah pokok yang bertaburan di situ. Ada juga pokok-pokok yang berbaris memanjang. Ramai orang berpiknik di situ rupanya. Kelihatan kanak-kanak bermain sambil menaiki basikal atau menendang bola. Meriah sungguh. Laluan yang sedang kami lalui menuju ke Sadus. Tidak ada jalan spesifik di situ lalu kami merujuk kepada Map. Kami membuat U-turn untuk ke sebelah kiri jalan seperti yang diarahkan. Banyak kereta di hadapan kami yang melalui jalan yang sama. Suasana jalan agak mudah untuk dilalui tambahan pula ada banyak kesan tayar di atas jalan yang tidak bertar lagi itu. Kebanyakan kereta dipandu laju, ianya merupakan salah satu cara untuk mengelak dari tersangkut di jalan berpasir.

Suasana di kawasan tersebut begitu nyaman. Banyak pokok acacia di kawasan tersebut. Beredekatan deretan pokok terdapat dengan aliran air yang masih berbekas. Tidak hairanlah kenapa ramai yang berpiknik di situ. Kami memasuki kawassan yang agak lapang, tiba-tiba kami kehilangan arah mahu mengikut jalan yang mana. Akhirnya kejadian yang amat menakutkan kami berlaku juga. Kami tersangkut di tengah jalan. Tayar kereta terbenam semakin dalam apabila suamiku menekan enjin untuk memaksa kereta kami bergerak.
"Awak bawa kereta, saya tolak." Arah suamiku setelah usahanya tidak berhasil.
Aku terkial-kial mencari pedal minyak atau pedal untuk brek. Maklumlah aku tidak pernah duduk di kerusi pemandu kereta sepanjang berada di Arab Saudi. Aku melihat dengan jelas dua lelaki yang sedang berpiknik tidak jauh dari tempat kami bangun dari tempat duduk masing-masing. Mereka kelihatan agak terkejut bila melihat aku memegang stering kereta dan menekan minyak. Namun mereka kekal di situ tidak membantu. Usaha kami sia-sia sahaja. Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pemuda warga tempatan berhenti di belakang kereta kami. Dia dengan rela hati melihat keadaan kereta kami lalu terus mengambil tali dari dalam keretanya. Alhamdulillah dia fasih berbahasa Inggeris. Dengan mudah kereta kami ditarik keluar. Malang sekali lagi kereta kami terbenam buat kali kedua dan ketiga. Suamiku belum pandai mengimbangi kereta di dalam keadaan tanah yang seperti itu. Abdul Aziz nama pemuda tersebut, akhirnya cuba memandu keluar kereta kami dan berjaya.

Beberapa orang berbangsa Arab lain datang kepada kami apabila masalah kami masih tidak dapat diselesaikan termasuk lelaki yang memandangku tadi. Akhirnya Abdul Aziz menarik kereta kami keluar dari kawasan tersebut menggunakan tali tadi. Abdul Aziz turut mengiringi kami sehingga hampir ke kawasan jalan bertar untuk memastikan kami selamat keluar dari kawasan tersebut. Kami mengucapkan terima kasih kepada Abdul Aziz yang merupakan penduduk di situ. Dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah dua malam bermalam di kawasan tersebut. Dia menyuruh kami ke The Edge Of The World pada masa lain apabila tanah tidak begitu basah lagi. Kami akur dan terus bergerak balik.



Tersangkut kali ke 3



Kesan tayar kami 
Akhirnya kereta kami ditarik keluar

Abdul Aziz, penolong kami - terlupa minta no hp!

Kawasan yang amat sesuai untuk berpiknik.

Air, kesan dari hujan yang turun kelihatan di mana-mana.

Dalam perjalanan balik berjumpa gerai menjual sayur-sayuran berdekatan sebuah ladang. Apa lagi singgah sebentar....oh tidak...singgah lama cuci mata.

Harga murah sangat. Sempat beli jagung segar.
Pemandangan ladang sayur yang luas dari tepi jalan
Aku mengajak Saffura meninjau kawasan belakang kedai, sementara suamiku sibuk memilih sayur.

 Ada seekor keldai sedang berehat rupanya.
Kawasan berpagar di sekelilingnya namun ada laluan untuk ke belakang dari kedai tersebut. Kami terus berjalan, kelihatan rumah dan kenderaan tidak jauh dari kedai. Namun kawasan rumah dan ladang dipisahkan oleh pagar. Kelihatan dua orang pekerja sedang mengambil sayur kubis dan sayur bunga kubis dari kebunnya. Kami mendekati pagar tersebut namun pintu pagarnya dikunci rapat. Ketika kami mahu berpatah balik, salah seorang dari pekerja tersebut yang kelihatan seperti orang Mesir menunjukkan kami pintu di bahagian paling tepi berdekatan rumah. Ada laluan kecil di situ yang membolehkan kami masuk ke kawasan ladang yang luas itu. Aku agak ragu-ragu untuk masuk sehinggalah aku melihat kereta suamiku bergerak mendekati kami. Dengan suka hati kami masuk ke dalam kawasan kebun dan diikuti oleh suamiku kemudiannya. Jom tengok apa yang ada di situ

Serba hijau pemandangan yang cantik

Pokok kubis@ bunga kubis

Pokok jagung sedang mengeluarkan hasil


Suka2
Air dimasukkan ke dalam kawasan penanaman melalui saliran yang dibina
sekitar kawasan tanaman.

Air mata air ini dipam dari tanah (boleh mencapai 100 kaki di bawah tanah)
 Airnya sangat jernih.

Laluan utama air dilalukan ke kawasan penanaman

Jadi anak-anak pokok ditanam dengan kehadiran air yang banyak

Jagung ditanam secara meluas di sini

Kawasan yang belum ditanam....digembur tanah terlebih dahulu

Pokok ketumbar

Daun Arugula - ulam yang biasa dihidangkan bersama Nasi Bhukari


Pokok dill - sedap dibuat ulam

Tak pasti daun apa?


Kami berjalan sehingga ke sempadan ladang tersebut.
Terdapat laluan kenderaan di sini.

Ladang yang amat luas

Di kawasan ladang yang luas tersebut, terdapat beberapa peringkat aktiviti pertanian.  Ada plot hasil sedang diambil, ada plot yang sudah selesai dituai, ada pula plot lain yang baru ditanam pokok dan kawasan tanah yang dibiarkan berehat. Sayur-sayuran yang ditanam juga dipelbagaikan. Puas dapat melihat dari dekat bagaimana tanah gurun yang kering kontang ditukar menjadi subur. Sumber air pula datang dari mata air semata-mata. MasyaAllah.

Dalam perjalanan pulang, sempat singgah tengok kawasan  pokok kurma yang dipenuhi oleh air banjir.



Kambing menunggu pembeli

Kesan hujan masih kelihatan

Laluan yang kami ikuti

Bahagian depan sebuah ladang yang besar dan mewah

Kembali ke Riyadh, sekitar 50 km sahaja.

SR 40 sahaja.

25 biji jagung untuk satu bekas - 2 hari dah habis.
Sedap makan jagung rebus sejuk2 ni



                                                                                                                                         zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...