Jumaat, 25 Disember 2015

Travelog : Jom Pi UK (4)


Memori Sunderland


26/10/1996 (Sabtu)

Kami tiba di Newcastle setelah berada di atas bas selama 6-7 jam. Bas yang agak penuh dengan penumpang itu bergerak merentasi kegelapan malam tanpa sebarang masalah. Kami berhenti di Newcastle Upon Tyne yang lebih besar bandarnya berbanding dengan Sunderland. Jadi pada jangkaan kami adalah ebih mudah bagi kami untuk mendapatkan kereta sewa di sini. Selepas minum pagi kami mencari stesen keretapi, itu pun dengan bantuan seorang jururawat yang begitu baik hati. Seawal pukul 7.00 pagi, keadaan sekitar begitu kosong, kedai-kedai masih ditutup, susah untuk bertembung dengan orang ramai dan cuacanya pula SubhanaAllah terlalu sejuk. Puas merayau-rayau, akhirnya kami berjumpa kedai menyewa kereta Hertz. Agak malang kerana mereka tidak mempunyai kereta untuk disewa lagi. Ini disebabkan hari tersebut adalah hari cuti hujung minggu bagi UK.

Sunderland terletak di utara UK

Mujurlah petugas di Hertz memberikan idea kepada kami untuk bertanya di AVIS pula yang terletak tidak jauh dari situ. Aku sudah agak keletihan, jadi kami mengambil teksi dengan tambang 5 paun. Alhamdulillah kami dapat menyewa kereta yang kadarnya lebih murah berbanding di Hertz. Fiat Punto berwarna hijau yang begitu comel menjadi milik kami untuk dua hari. Suamiku terus memandu kereta menuju ke Sunderland tanpa membuang masa. Mudah untuk memandu di UK kerana tempat duduk pemandu berada di sebelah kanan sama seperti di Malaysia. Kami juga dibekalkan dengan peta sebagai panduan perjalanan. Kami menuju ke Sunderland yang terletak di sebelah selatan Newcastle. Kami hanya memerlukan masa tidak sampai setengah jam untuk sampai ke situ.

Kembali mengamit memori suamiku
Tiba di Sunderland, kami terus mengelilingi kawasan kampus Universiti Sunderland yang terletak betul-betul di tengah bandar Sunderland. Kami juga melihat kawasan perumahan dan rumah sewa yang pernah suamiku tinggal semasa belajar di sana. Sepanjang perjalanan aku mendengar cerita tentang kehidupan suamiku ketika belajar di situ yang pada masa dahulu dikenali dengan politeknik. Sekarang sudah dinaik taraf menjadi universiti. Walaupun bertaraf politeknik ianya menawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Kebanyakan graduan di politeknik tersebut adalah dalam bidang kejuruteraan. Suamiku tidak berhenti-henti menyatakan rasa syukur kerana dapat kembali semula ke situ.

Sekitar kawasan perumahan tersebut juga terdapat kedai-kedai milik warga Pakistan yang menjual daging halal dan juga makanan halal seperti tandoori. Tidak puas sekadar berpusing-pusing dengan kereta, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki pula. Di pusat bandar Sunderland kami menuju ke Shopping Centre yang agak luas. Sempat juga kami membeli Fish & Chips yang panas dan enak untuk dinikmati. Makanan yang begitu sinonim dengan UK, pastinya aku tidak mahu melepaskannya.

Rumah yang pernah menjadi tempat tinggal selama
suamiku belajar .
Kami menaiki kereta kembali untuk mengelilingi kawasan lain di bandar tersebut. Melalui kawasan taman yang dipenuhi dengan pokok-pokok bunga ros. Kemudian kami menyusuri jalan yang terletak berhampiran pantai dan menikmati keindahan lautnya. Terdapat sebuah rumah api di situ. Sekitar kawasan tersebut juga dipenuhi dengan rumah-rumah dan hotel. Kami mula mencari hotel untuk tinggal pada waktu malam nanti. Alhamdulillah, kami mendapat bilik di Hotel Roker. Roker merupakan sebuah pekan yang terletak berhampiran kawasan laut. Hotel kami pula terletak betul-betul berhadapan dengan laut dan begitu cantik . Bilik hotel pula memang amat memuaskan berpadanan dengan harganya  42.50 tanpa sarapan pagi.

 Hotel Roker
Selepas berehat sebentar, kami keluar kembali sekitar pukul 6.00 malam untuk mencari makan malam. Pastinya kedai tandoori menjadi pilihan kami. Kami membeli nasi pilau dengan tiga jenis lauk. Pastinya kambing menjadi salah satu darinya. Begitu enak rasa lauk yang dirasai olehku, tidak pernah pula aku merasa lauk sesedap itu. Puas aku mencari nama masakan tersebut dan tidak pula aku jumpa di kedai-kedai mamak yang pernah kami masuk. Setelah keletihan dan kekenyangan , kami terus tidur kerana pada hari esoknya kami akan berjalan lebih jauh.


Macam-macam ada...yummy





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...