Sabtu, 12 Disember 2015

Travelog : Jom Pi UK (2)


Melintasi Lautan Atlantik

23 Oktober 1996

Pagi yang sibuk dengan kerja-kerja memasukkan barang-barang ke dalam beg. Suamiku terpaksa ke Office Depot yang terletak di hadapan Days Inn, hotel di mana kami menginap. Beg tambahan terpaksa dibeli kerana beg yang sedia ada tidak muat untuk mengisi barang-barang yang telah dibeli. Aku hanya menahan telinga  apabila dileteri suami kerana membeli pelbagai barangan. Mana mampu aku menahan diri melihat pinggan mangkuk jenama Corelle yang dijual dengan harga yang amat murah.

Kenangan di United States Capitol, Washington D.C.

Kami bertolak ke Dulles Washington Airport pada pukul 1.30 tengahari melalui jalan biasa bukan lebuh raya. Kami melewati kawasan yang penuh dengan pokok-pokok seperti hutan. Pemandangan di kiri dan kanan jalan raya begitu indah dengan pokok-pokok pelbagai saiz. Paling menarik ialah warna daun-daun yang sudah berubah warna. Daun yang berwarna hijau hampir tiada sebaliknya diganti dengan daun-daun yang berwarna kuning, oren, merah dan perang. Tidak termampu mengukir kata-kata bagi mengambarkan kecantikannya. Maha Suci Allah yang memiliki segalanya. Aku tersenyum teringat kelakuanku yang melucukan di mana aku telah membawa pulang beberapa helai daun maple bersamaku. Aku mengutip daun-daun maple yang berguguran berdekatan Days Inn. Perjalanan ke lapangan terbang mengambil  masa selama 40 minit.





Di Dulles Washington Airport, aku sempat membeli beberapa barang untuk diingati sebelum check-in. Kami menaiki shuttle untuk ke Gate 24D. Kami menunaikan solat di kawasan lapangan terbang. Ketika itu tidak wujud suasana anti Islam seperti yang dialami ketika ini. Kami tidak langsung merasa curiga untuk terus melaksanakan tugas sebagai seorang Islam di sana. Kami mencari sudut yang sesuai yang jauh dari laluan orang ramai dan bersolat dengan tenang. Solat di bumi asing ini memberi rasa yang lebih nikmat yang sukar untuk dinukilkan. Masa untuk penerbangan tinggal lebih kurang sejam namun kapal terbang yang akan dinaiki tidak muncul lagi. En Malik kawan suamiku yang mewakili Syarikat Celcom sudah lama menaiki British Airways meninggalkan kami untuk penerbangan terus ke London




Kami berdua pula resah menanti ketibaan kapal terbang American Airlines untuk ke New York. Rupanya penerbangan kami dilewatkan sedikit dari masa yang sepatutnya. Kapal terbang yang kami akan naiki muncul juga namun saiznya begitu kecil. Aku merasa agak takut melihatnya ketika kapal terbang tersebut berada di depan mata. Kapal terbang tersebut hanya boleh   memuatkan seramai  lebih kurang 40 orang penumpang dengan 3 buah kerusi setiap baris. Tepat pukul 7.00 malam kami berlepas dan sempat dihidangkan dengan jus dan kerepek kentang oleh paramugari yang bertugas. Kapal terbang terbang dengan lancar dan agak rendah, jadi kami dapat melihat pemandangan waktu malam yang cantik di kawasan bandar.

Alhamdulillah kami tiba di John F Kennedy International Airport pada pukul 8.00 malam. Kami hanya mempunyai sedikit masa sahaja untuk mencari laluan untuk menaiki penerbangan yang berikutnya. Kawasan lapangan terbang tersebut terlalu luas jadi kami terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari situ. Akhirnya kami terpaksa berlari supaya tidak terlepas penerbangan tersebut. Bersama kami adalah sepasang suami isteri dan satu keluarga yang terdiri dari ayah dan anak. Kami berenam sama-sama berlari menuju ke Gate 4X yang agak jauh itu. Sempat sampai dan kami diberi ucapan selamat datang dari petugas yang sedia menunggu. Aku hanya mampu....hai-hai goodbye sahaja kerana tidak sempat membeli apa-apa kenangan dari New York. Moga ada rezeki ke sana lagi.

Kapal tebang Boeing 767-200 milik American Airlines kali ini memang agak besar dan selesa. Kami diberi hidangan khas iaitu pasta dengan udang segar. Ucapan terima kasih untuk Pn Hjh Norlida dari Telekom Malaysia yang membuat tempahan untuk perjalanan kami. Besar jasa beliau kepada kami , tidak jemu melayani pelbagai permintaan kami ketika mahu ke luar negara. Penerbangan dari New York ke London mengambil masa lebih kurang 7 jam dan perbezaan masa antara kedua tempat ini adalah 5 jam. Kami menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh di atas kapal terbang. Pemandangan hijau kelihatan dari atas kapal terbang ketika kapal terbang semakin mendekati Lapangan Terbang Heathrow.




Kapal terbang mendarat pada pukul 9.00 pagi waktu London. Aku teruja melihat suasana di lapangan terbang sewaktu ketibaan. Pengawal dan petugas kebanyakannya berbangsa India, berbeza di Amerika Syarikat yang mana petugas lebih ramai dari bangsa Cina. Arahan dan iklan terdiri dari pelbagai bahasa termasuk Bahasa Arab. Urusan kastam memang mudah dan cepat tambahan pula tidak perlu visa untuk berkunjung ke UK. Kami teus melewati orang ramai yang terdiri dari pelbagai bangsa untuk mencari laluan ke 'Tube' atau 'Underground'. Ketika itu tidak wujud lagi LRT di Malaysia. Di Washington pula dipanggil 'Metro'. Keadaan agak mencabar kerana orang memang ramai untuk menaiki  Tube, akhirnya kami tiba di Padinggton. Namun hotel yang telah ditempah itu tidak kami temui lalu kami menginap di Cardiff Hotel.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...