Selasa, 7 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (53) - Kisah 5 rial

Kisah 5 rial

Keinginan untuk memasuki bangunan Kingdom Tower atau dikenali juga dengan Mamlaka menjadi kenyataan. Kami ke sana pada hari pertama cuti sempena musim bunga selama lima hari. Sedikit sebanyak ajakan itu meredakan kekecewaan yang kami alami sejak beberapa hari lalu.
Kingdom Tower

“Sepatutnya kita sedang dalam perjalanan ke Qatar kan mama,” kata Saffura sambil menutup pintu kereta di bahagian tempat duduk kereta kami.
“Hiss…diam, nanti Ayah terasa,” balasku sambil mencuri pandang suamiku yang sedang memeriksa bahagian belakang kereta yang masih kemek. Begitulah kelakuan suamiku setiap kali mahu menaiki kereta sejak hari Ahad lepas apabila kereta kami dilanggar oleh kenderaan lain. Kejadian tersebut menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat untuk ke Qatar di saat akhir dengan berkenderaan.

Kami ke sekolah Saffura terlebih dahulu untuk membayar yuran persekolahan bagi sesi depan yang akan bermula pada bulan Ogos. Pembayaran yuran sekolah peringkat pertama dikenakan apabila pelajar membuat pengesahan mahu meneruskan pengajian di sekolah tersebut. Pembayaran kedua pula mesti dibuat sepanjang tempoh cuti pada musim panas dan seterusnya keseluruhan yuran diselesaikan selepas persekolahan bermula. Jumlah yuran persekolahan yang perlu dibayar adalah tinggi  bagi sekolah bertaraf antara bangsa namun kebanyakan majikan menyediakan jumlah bayaran tertentu untuk anak-anak pekerjanya yang berstatus pekerja asing yang sah.

Disebabkan rasa lapar yang tidak tertahan kami singgah ke Panorama Mall terlebih dahulu untuk mengisi perut. Terdapat “Food Court” di sini yang menyediakan pelbagai makanan berbanding di restoran luar yang agak sukar untuk mendapat tempat parkir kereta. Aku dan Saffura menikmati spageti Bolognese yang kami pesan dari Piatto sedang suamiku pula mencuba nasi bersama kebab kambing citarasa Parsi. Kami menunaikan solat di surau yang terletak berdekatan dengan parkir kereta ‘baseman’.
Semasa berada di dalam tandas aku terpandang seorang wanita pekerja pembersihan yang sedang berehat di tepi tempat mengambil wuduk. Aku teringat kata-kata seorang pendakwah bebas yang ada menyarankan untuk kita bersedekah kepada pekerja yang sebegini. Gaji pekerja di tandas amat rendah dan mereka tidak pernah meminta-minta dari kita. Aku pun jarang sekali berpeluang untuk berjumpa dengan pekerja wanita kerana rata-rata pekerja di tandas adalah lelaki. Hanya di tandas-tandas wanita yang terletak di dalam mall sahaja mempunyai pekerja wanita yang kebanyakannya berasal dari Negara India. Aku mengambil wang kertas bernilai satu rial dari dalam dompet.
“Hai nak masuk syurga dengan nilai satu rial je ke,” hatiku berbisik. Lantas aku menukar wang tersebut dengan wang kertas yang lebih cantik berwarna ungu terang bernilai lima rial.
“Bismillah,” sahut wanita tersebut sambil tersenyum menyambut wang lima rial yang aku hulurkan.
Entah kenapa aku terasa begitu puas dengan pemberian yang tidak seberapa itu. Terasa Iebih ikhlas. Hanya kami berdua di dalam tandas yang begitu selesa dan cantik binaannya.  Jangan dibandingkan tandas-tandas di mall dengan tandas-tandas  yang terdapat di sepanjang lebuh raya di Arab Saudi ini. Perbandingannya seperti antara langit dengan bumi.

Kami begitu kecewa apabila mendapati SkyBridge yang ingin kami naiki ditutup sementara disebabkan kerja-kerja baik pulih. Tidak pula ditulis bila tarikh  ianya akan dibuka semula. Kingdom Tower adalah bangunan kedua tertinggi di Riyadh dan merupakan mercu tanda ibu Negara Arab Saudi . Bangunan setinggi 74 tingkat ini mempunyai ruang pejabat, hotel dan kondominium mewah. Di miliki oleh Prince Waleed yang tersenarai sebagai individu bangsa Arab terkaya di dunia juga merupakan cucu kepada King Abdul Aziz, pengasas kerajaan Arab Saudi. Kami mengambil kesempatan untuk melihat sekitar kawasan membeli belah di sebelah Kingdom Tower. Bangunan tiga tingkat bersama dua tingkat lagi di bahagian bawahnya dipenuhi dengan pelbagai kedai berjenama yang kebanyakannya dari negara barat. Seperti di kebanyakan mall lain di sekitar Riyadh, bangunan ini juga turut menyediakan Food Court, kawasan permainan kanak-kanak dan pelbagai kedai lain.
Ruang membeli belah

Namun ada satu keistimewaan Mall ini ialah tingkat tiga dikhaskan untuk golongan wanita sahaja dan dikenali sebagai Ladies Kingdom. Aku dan Saffura mengambil peluang untuk melihat apa yang ada di situ. Terdapat pengawal yang berkawal di situ untuk memastikan kaum Adam tidak menceroboh masuk di samping papan tanda besar tertulis “Ladies Only’. Keseluruhan tingkat tiga itu dikelilingi dengan tembok berkaca  setinggi melebihi satu meter. Tembok berkaca tersebut mampu menghalang pandangan dari luar . Jadi kebanyakan pengunjung di situ tidak perlu mengenakan abaya dan tudung seperti biasa, begitu juga dengan pekerja di kedai-kedai atau pejabat yang terdapat di tingkat tersebut.

Tingkat khas untuk kaum wanita sahaja di Kingdom Tower

Kebanyakan pekerjanya berpakaian agak bebas seperti skirt ,blouse dan sebagainya. Kedai-kedai kebanyakannya menjual barang keperluan wanita yang lebih spesifik seperti pakaian dalam, alat solek, pakaian dan sebagainya tapi lebih kelihatan eksklusif. Susun atur dalam kedai juga menampakkan kemewahan pelanggan yang datang ke situ. Terdapat pusat membeli belah popular di situ bernama Dehenhems. Untuk berehat sambil menikmati makanan dan minuman ringan terdapat dua kafe  di situ. Tidak sampai 10 minit aku dan Saffura sudah selesai membuat satu pusingan. Walaupun ada jualan di kedai pakaian dalam di situ namun harga masih lagi mahal, kami hanya mampu memegang beberapa pakaian dalam di situ. Kesimpulan dari lawatan kami di situ, adalah lebih berbaloi membeli belah di Panorama Mall, Granada Mall atau Hayat Mall.

Kami singgah di Hayat Mall pula selepas menunaikan solat Ashar untuk membeli beg perpustakaan sekolah Saffura yang terletak di Mark & Spencer di Hayat Mall. Begitulah gayanya bersekolah ala-ala British segala keperluan sekolah didatangkan khas dari negara tersebut.  Sekali lagi kami menjamu selera di Food Court di Hayat Mall apabila perut kembali minta diisi. Kali ini Briyani menjadi pilihan suamiku dan Saffura. Aku pula yang selama ini asyik berkongsi makanan mencuba Fish & Chips yang kelihatan begitu menyelerakan. Aku memesan set ikan kod yang berharga 35 rial.  Pekerja berbangsa  Bangladesh itu berdiri di depanku menunggu aku mengira wang untuk diserahkan kepadanya. Tidak kelihatan wang kertas besar, kebanyakannya bernilai lima rial. Aku mengeluarkan sekeping wang kertas bernilai sepuluh rial beserta lima keping wang kertas bernilai lima rial. Aku malas untuk memeriksa semula wang yang aku keluarkan dan dengan rasa yakin aku menyerahkan sejumlah wang tersebut kepada pekerja tersebut. Aku memasukkan semula dompetku ke dalam beg galasku ambil menunggu resit bayaran.
“Puan ini wang 100 rial bukan 5 rial,” tiba-tiba pekerja tadi datang dan menyerahkan wang berwarna ungu tetapi saiz lebih besar kepadaku.
“Ehh…oh ya, sori,”aku agak terkejut lalu mengeluarkan semula dompetku untuk mencari wang kertas lima rial.
“Ini lima rial, terima kasih ...anda begitu baik hati,” itu saja yang aku mampu katakan kepada pekerja yang baik budi itu. Aku tidak tahu apa yang perlu aku buat. Kedua orang rakannya yang berada di sisinya hanya melihat aku tanpa berkata apa-apa.

Selepas selesai makan dan pulang ke rumah, peristiwa di kedai Fish & Chips tadi masih dalam ingatanku. Terasa bersalah kerana aku hanya mampu mengucapkan terima kasih sahaja di atas keikhlasan pekerja tersebut. Ingin aku member hadiah kepadanya namun itu bukanlah sesuatu yang baik aku rasa. Walau bagaimanapun aku bersyukur sangat kepada Allah, mungkinkah itu balasan kebaikan yang aku buat tengahari tadi iaitu memberi sedekah lima rial. Pada petangnya Allah selamatkan 100 rial milikku dek kecuaianku. Sungguhlah balasan ﷲ akan datang tidak kira cepat atau lambat. Terkadang perbuatan baik atau buruk yang kita lakukan ﷲ terus membalasnya…..ﷲ  balas secara ‘cash’, perumpaan yang selalu kita dengar. Oh  semoga aku diberi hidayah untuk sentiasa membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan kerana balasan ﷲ adalah pasti. Ameen.




                                                                                                                                         zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...