Rabu, 8 Julai 2015

Travelog : Nasilsin Istanbul?


Dari London  ke Istanbul

Luton London Airport
Kapal terbang Easyjet yang kami naiki mulai meredah gumpulan awan  yang terakhir lalu terserlahlah muka bumi Turki yang ingin kami datangi. Warna biru langit dan warna putih bersih tompokan awan berselerakan memayungi bumi kami tinggalkan. Para penumpang mulai sibuk melihat panorama bumi Turki dari atas udara yang nampak begitu indah sekali. Kelihatan deretan pulau-pulau kecil yang berpenghuni bertaburan di perairan laut manakala kapal-kapal pelbagai saiz  belayar menghampiri pantai tanah besar Turki.

Bermalam di Holiday Inn Express berdekatan Luton London Airport
Kebiruan Laut Marmara yang tenang seolah-olah menggamit kedatangan kami yang begitu teruja untuk mengenali Istanbul dengan lebih dekat. Lalu mengabadikannya sebagai sebahagian daripada perjalanan yang pasti mengasyikkan lantaran kehebatan sejarahnya yang terbilang. Istanbul adalah satu-satunya Bandar yang merentasi dua benua iaitu Asia dan Eropah dengan perjalanan sejarahnya yang terkenal seluruh dunia. Selat yang memisahkan dua bahagian kota ini ialah Selat Bosphorus manakala Tanduk Emas pula memisahkan bahagian Eropah kepada dua. Kota ini dikelilingi oleh tiga laut, iaitu Selat Bosphorus, Laut Marmara dan Tanduk Emas. Tidak hairanlah Istanbul menjadi rebutan pelbagai kerajaan dan empayar kerana kedudukannya yang strategik. Bandaraya yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia ini menduduki carta 10 tempat terbaik dunia yang ingin dikunjungi. Istanbul adalah kota terbesar dan juga yang terpenting bagi Turki kerana ia adalah pusat kebudayaan dan kewangan negara ini.

Kota tercantik dan paling unik di seluruh dunia ini pernah menjadi ibu kota Empayar Turki Uthmaniyah selama 470 tahun. Bacaan dari Majalah dalam penerbangan menjelaskan kekuatan ekonomi Turki sedang Eropah dibelenggu masalah ekonomi yang kian kritikal. Turki menjadi pilihan untuk ahli perniagaan membuat pelaburan dan memiliki hartanah. Turki kian mendapat tempat di kalangan warga Eropah walaupun masih belum diterima menjadi ahli Kesatuan Eropah.

Saffura turut menyibukkan diri melihat panorama indah bumi Istanbul melalui tingkap kecil yang terdapat di sisinya, sekali sekala mencuit tangan saya untuk melihat sama apa yang dilihatnya. ”Mama... tengok tu...cantikkan .”
Saya menegakkan sedikit badan saya untuk melihat pemandangan di luar sambil berkata,” Istanbul memang cantik... sebab itulah mama mahu datang ke sini.”
”Apa ada dekat Istanbul  mama ?” Soal Saffura  lagi.
Saya menjawab sambil menunjukkan buku yang sedang saya pegang, ”Saffura sudah baca kisah Sultan Muhammad Al-Fateh yang terdapat di dalam novel ini bukan? Pastilah tempat ini penuh dengan Sejarah Tamadun Islam...itu yang mama mahu tengok .”
” Sultan Muhammad Al-Fateh  masih hidup ke mama?” Saffura terus menyoal.
Saya menarik nafas seketika sambil berkata,” Sultan Muhammad Al-Fateh sudah meninggal ratusan tahun dahulu tapi kesan kebaikan yang dibuat olehnya masih ada sehingga kini. Nanti kita pergi tengok istana dan masjid, baru kita boleh rasa kesan sejarah yang telah terjadi pada zaman dahulu.
” Syoknye...nak masuk dalam istana....,” Saffura tersenyum sambil bertepuk tangan perlahan.

Bumi Istanbul padat dengan bangunan dan banyak masjid-masjid yang sama bentuk dan saiz. Istimewanya setiap masjid tersebut memiliki sebuah menara di sisinya. Bilangan masjid begitu banyak dan dibina dalam jarak yang dekat, ini dapat dilihat dengan jelas ketika kapal terbang Easyjet mulai menyentuh bumi Istanbul. Saya dan suami berlumba-lumba mengira bilangan masjid yang tidak terhitung banyaknya sehinggalah kapal terbang menyentuh bumi.

Alhamdulillah kami mendarat di Sabiha Gokcen International Airport setelah 3 jam 40 minit penerbangan dari Luton London Airport. Syukur ke hadrat Ilahi yang mengizinkan kami sampai ke bumi ini. Semoga hasrat kami untuk mendapat pahala sebanyaknya melalui kembara kami kali ini dapat diperolehi.
 
Sabiha  Gokcen International Airport - tunggu dijemput
Justeru rasa yakin dan cinta kepada Rasulullah s.a.w terus berkembang sepanjang hayat ini. Melalui kembara ini diharap kami tergolong dalam lingkungan umat Rasulullah s.a.w yang memberi sumbangan kepada Islam walau tidak sehebat Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah menjadi pilihan Allah untuk membenarkan Sabda Rasulullah s.a.w mengenai penaklukan Konstantinopel.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...