Isnin, 6 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (51) - Rawdhat Khuraim

Rawdhat Khuraim


Rancangan untuk melihat keindahan bunga dan tumbuhan liar di padang pasir sudah lama dibincang dalam laman WhatsApp Group Haji 1435H. Namun keputusan untuk ke sana dibuat dua hari sebelum tarikh lawatan.Suamiku yang sibuk dengan urusan audit di universitinya tidak memberi apa-apa maklum balas untuk bersetuju lalu aku hanya mendiamkan diri. Aku sekadar membaca perbincangan yang sedang rancak di laman WhatsApp. Wan Salisa berkali-kali mengajak aku untuk bersama hinggalah Kak Zaliah menyebut namaku di dalam WhatsApp barulah aku sekadar menjawab dengan izin Allah aku akan ke sana. Suamiku hanya bersetuju untuk ikut serta pada malamnya jadi aku agak kelibut menyediakan makanan yang akan dibawa pada paginya sehingga terlewat. Akhirnya kami tertinggal apabila semua peserta yang berkumpul di rumah Dr Azlinur bergerak seperti yang dijanjikan pada pukul 7.30 pagi. Telefon bimbitku tidak berhenti berbunyi dan aku menjawab panggilan dari Wan Saliha, Hamidah dan Fauziah dengan rasa lemah sedang suamiku dan Saffura masih sibuk mencari rumah Dr Azlinur.

Luas dan hijau di tengah padang pasir
Aku dengan rasa yakin menyuruh mereka meneruskan perjalanan dan kami akan ikut dari belakang. Aku sudah pun mencari maklumat berkaitan Rawdhat Khuraim yang popular ini melalui blog Blue Abaya. Kami menggunakan laluan lebuh raya ke Dammam. Selepas lebih kurang 40 km  kami keluar melalui exit untuk ke Pekan Rumah yang terletak di sebelah kiri jalan. Sepanjang perjalanan padang pasir luas terbentang tapi tanahnya tidak berpasir seperti biasa,kelihatan agak lembab. Terdapat banyak khemah berwarna putih seperti rumah. Khemahnya kelihatan lebih cantik dengan pintu dan tingkap di depannya seperti rumah biasa. Sepanjang jalan terdapat papan tanda Rawdhat Khuraim jadi amat mudah untuk kami mencarinya. Lebih kurang 50 km kemudian kami sampai ke kawasan berpagar dan terdapat poster tertera gambar King Abdullah menandakan kami sudah sampai ke Ladang Di raja tersebut. Kawasan sekitarnya berpagar dan pintu masuk untuk ke kawasan ladang juga tertutup, terdapat beberapa buah kereta diparkir di tepi jalan.

Bunga ungu yang kecil dan comel
Suamiku menelefon bertanya Tn Hj  Mohd Kamal di mana mereka meletakkan kereta. Lalu kami bergerak mencari jalan masuk di sebelah kanan jalan. Kami melalui jalan berbatu tidak bertar sambil sesekali masuk ke celah-celah pokok renek yang begitu banyak di situ. Dari kejauhan aku ternampak deretan kereta yang diparkirkan tidak jauh dari tempat kami berada, lantas kami pun bergerak ke situ. Kami begitu teruja apabila melihat mereka baru mula mengangkut barang untuk mencari tempat yang sesuai bagi piknik kali ini.
“Rawdhat tu kan hutan!Tengok tu !Betulkan Ma,” Saffura begitu seronok melihat kehijauan di depan mata kami lalu meminta aku mengiyakan kata-katanya.
“Ialah Saffura memang bijak….Cuma kena rajin sikit lagi baru lebih cemerlang,” balasku selamba.
Sepuluh buah kereta termasuk kereta yang kami naiki tersusun sepanjang pagar berkayu yang memisahkan kawasan hutan dengan padang pasir. Beberapa orang lelaki melambaikan tangan kehairanan apabila melihat kami sampai lebih kurang sama dengan mereka. Suamiku tersenyum bangga.
Bunga kuning pun ada

Aku bergerak laju sambil membawa bekalan yang aku sediakan. Kami memilih kawasan yang agak strategik untuk meletakkan barang-barang makanan yang dibawa. Dr Norsharina dan suami sibuk membina khemah khas untuk melepaskan hajat kecil. Khemah yang meninggi bentuknya siap dengan bekas pam berisi air untuk membasuh, menarik sekali. Khemah ini amat berguna sekali terutama di saat akhir , ramai yang menunaikan hajat terutama kanak-kanak.
“Macam mana kak boleh cari tempat ini, sampai sama pula dengan kami,” tanya Wan Salisa sebaik sahaja aku menghampirinya.
“Alhamdulillah, kak dah tengok blog semalam bagaimana mahu datang ke sini,” jawabku sambil keriangan kerana hajat tercapai.  Aku terpaksa mengulangi jawapan yang sama apabila turut disoal oleh beberapa rakan yang lain.
“Brrr…sejuknya,” itulah perkataan yang keluar dari kami yang tidak membawa baju panas. Dr Evi terpaksa membungkuskan dirinya dengan karpet yang dibawa akibat tidak tertahan dengan suhu yang sejuk di bawah 10 °C. Aku baru sedar suhu pagi ini agak sejuk ketika berada di dalam kereta sewaktu  mahu bertolak tadi namun tidak sempat kembali mengambil baju panas sebab kesuntukan masa.
“Jom kita makan dulu supaya tidak sejuk,” Pn Zailah memberi cadangan. Apalagi kami pun menjamu selera dengan pelbagai juadah di depan mata.
“Ini bubur nasi Arab, kawan Arab ajar saya macam mana nak buat,”pelawa Dr Norsharina. Bubur nasi yang dibuat dari beras Mesir, calrose dan ditabur dengan ayam panggang nampak menyelerakan. Terdapat salad dan cili berkicap untuk menambah rasa.

Pokok ini memang banyak di padang pasir , bunganya cantik juga

Nasi putih, sambal belacan, ulam dan kepak ayam tandoori yang di bawa Dr Evi menjadi rebutan ramai. Aku turut menjamah kuih lopes dan kuih lompang yang dibawa oleh Kak Zaliah juga tidak ketinggalan Bingka ubi kayu berwarna kuning yang dibuat oleh Pn Nur. Spageti Wan Salisa juga tidak kurang sedapnya. Terdapat beberapa keluarga dari Prince Sultan Universiti, Siti Rahmah dan Dr Zuhaira turut sama bersama kami. Fauziah dan keluarga berkelah berdekatan dengan tempat letak kereta kerana meraikan kedua ibu dan ayahnya yang tidak boleh bergerak lebih jauh. Rupanya program kali ini merangkumi dua kumpulan WhatsApp iaitu Group Haji 1435 dan Group Seri Harum.
Selepas menjamu selera - rehat sekejap

Selepas mengisi perut kami pun bergerak sekitar kawasan hijau yang luas tanpa penghujung tersebut. Pokok yang pelbagai saiz dan jenis memenuhi kawasan . Rumput hijau terbentang luas dengan taburan pokok daisy dan bunga yang pelbagai jenis dan warna. Bagi mereka yang pernah ke sini tahun lepas menyatakan pokok-pokok bunga tidak begitu tinggi tahun ini akibat kurangnya hujan. Jika pokok bunga daisy tinggi dan banyak pemandangannya setanding seperti yang boleh dilihat di Switzerland, kata mereka yang pernah ke sana. 

Tak jemu bergambar
Apapun pemandangannya memang amat mempersonakan. Daisy putih bertompok kuning mendominasi setiap kawasan. Sesekali bunga berwarna ungu dan kuring turut kelihatan. Masing-masing tidak jemu mengambil gambar dengan pelbagai gaya sehingga ada yang sanggup berbaring dan meniarap. Disebabkan bunga bersaiz kecil maka teknik meletakkan kamera di bawah tanah mampu menghasilkan pemandangan yang amat menarik. Segala yang ada menarik perhatian sehingga bangkai unta yang mati pun menjadi daya tarikan. Burung-burung pun banyak berterbangan sesekali bersembunyi di dalam semak. Malangnya banyak kelihatan sampah di merata-rata hatta di atas pokok. Kelihatan pekerja namun tidak tahu lah apa yang dikutipnya.
Daisy di mana-mana

Kesejukan kurang terasa apabila hari semakin panas dan tiupan angin mulai reda. Kami bersiar-siar sambil berbual manakala kanak-kanak bermain sepuasnya. Golongan lelaki tidak berhenti-henti duduk  di atas hamparan sambil menjamu selera. Pengunjung yang terdiri dari bangsa Arab mula tiba dengan pelbagai barang termasuk kayu api  untuk dibuat bakaran, mungkin mahu berkelah sehingga malam. Dua keluarga yang bertolak lewat sampai  beberapa jam kemudian. Kami terus merayau-rayau dan bergambar sehingga waktu zohor, apabila masing-masing mahu pulang sebab esoknya adalah hari bekerja. Kami sampai di rumah menghampiri pukul satu tengahari. Petangnya kami saling bertukar gambar yang cantik. Hebat ciptaan Allah di tengah padang pasir muncul Hutan yang luas. Subhanallah.

Semua cantik belaka



Ceritaku semalam,
Meraikan musim bunga di Rawdhat Khuraim
Luasnya suajana mata memandang
Di celah padang pasir yang serba kontang
Bersantai bersama rakan yang baik hati
Mengintai bunga tumbuh meliar di dada bumi
Bebas mengaut Vitamin D percuma walau dingin mencengkam diri
Mata pun kembali segar dek hamparan rerumput hijau
Kicauan burung begitu menghiburkan
bersembunyi di pepohonan berduri
Sesekali terbang menampakkan diri
Menjamu selera...alahai kuih lopes, lompang dan bengkang ubi kayu
Alhamdulillah 
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu , 
yang hendak kamu dustakan (Al Rahman)



                                                                                                                                  zias/riyadh/15




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...