Isnin, 6 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (50) - 'Decisive Storm'

‘Decisive Storm’

King Salman telah memerintahkan serangan udara ke atas Yaman bagi melindungi negara tersebut dari terus diancam puak Houthi yang berfahaman syiah. Serangan udara dilakukan pada pukul 12.00 pagi khamis malam jumaat 27/3/2015. Arab Saudi  telah menghantar 100 jet pejuang dan beberapa unit tentera laut untuk melumpuhkan pusat operasi puak Houthi. Negara Arab Saudi dibantu oleh beberapa negara teluk lain seperti UAE, Bahrain, Kuwait, Qatar dan Jordan. Turut sama ialah Mesir, Sudan dan Moroko. Manakala Turki akan membantu dari segi logistic dan Pakistan pula akan membantu jika keadaan diperlukan.Sepuluh buah negara ini bersepakat untuk membantu Presiden yang digulingkan iaitu Abd-Rabbu Mansour Hadi  bersama pengikut setianya di selatan Yaman.

King Salman

Dalam masa dua minggu sebelum ini Riyadh dikunjungi oleh ramai pemimpin-pemimpin Negara Islam termasuk negara-negara yang terlibat dalam operasi tersebut. Setiap hari ada saja pemimpin yang tiba untuk berbincang dengan King Salman. Rupa-rupanya serangan inilah yang menjadi topik perbincangan mereka selama ini, barangkali. Presiden Turki , Erdogan ketika menjadi Perdana Menteri dilihat tidak begitu rapat dengan Arab Saudi kini dikatakan sedang membina hubungan yang lebih mesra dengan King Salman. Kehadiran beliau untuk mengerjakan umrah seterusnya berkunjung ke Riyadh mendapat liputan melebihi pemimpin lain.

Pada bulan Oktober tahun lepas keadaan di Yaman menjadi semakin bergolak apabila puak pemberontak Houthi Berjaya menawan beberapa tempat strategik termasuk Universiti Imam. Keadaan menjadi semakin meruncing apabila mereka berjaya menawan sepenuhnya Sana’ seterusnya melumpuhkan pemerintahan Presiden Hadi. Presiden Hadi dan pengikut setianya berjaya melarikan diri ke bahagian selatan Yaman iaitu Aden yang dijadikan Bandar pemerintahan sementara. Kebanyakan kedutaan ditutup dan rakyat dibawa keluar dari Yaman. Keadaan menjadi semakin parah sehingga Presiden Hadi terpaksa diselamatkan ke Riyadh seterusnya meminta bantuan Arab Saudi membantunya menyelamatkan diri dari pengaruh Syiah yang semakin membesar.  Pastinya Negara-negara Teluk tidak mahu Yaman jatuh ke tangan puak Syiah kerana kedudukan Yaman yang begitu strategik dan boleh meluaskan pengaruhnya ke seluruh Negara Teluk yang berfahaman Shuni.

Pada mulanya aku agak kehairanan mengapa pihak tentera tidak mampu melawan kemaraan puak Houthi ini. Pihak kerajaan pastinya memiliki pelbagai kemudahan ketenteraan tidak mungkin boleh jatuh ke tangan puak pemberontak dengan begitu mudah. Meneliti pelbagai tulisan di dada akhbar seperti Arab News dan Saudi Gazette yang menjadi tatapan harian kami telah memahamkan aku tentang apa yang sedang terjadi.
Semasa peristiwa Arab Spring pada tahun 2011, rakyat Yaman turut terlibat  untuk menjatuhkan presidennya iaitu Ali Abdullah Salleh. Tunjuk perasaan berlaku setiap hari dan ramai menjadi korban, akhirnya pada tahun 2012 Ali Abdullah Salleh dipaksa meletakkan jawatan. Ini dilakukan dengan kerjasama dari pihak Negara Teluk. Beliau dimaafkan dibenarkan tinggal di Yaman. Dikatakan kebenaran yang diberi kepadanya untuk berada di negaranya menjadi penyebab kepada apa yang sedang berlaku sekarang ini. Beliau membantu pihak Houthi yang pernah menjadi musuhnya sekitar 2002-2009. Beliau turut menggunakan tentera yang setia dengannya untuk tidak bertindak ke atas puak  Houthi ketika mereka menawan Sanaa pada bulan September 2014 . Senjata berat dan sederhana kini dikuasai oleh pihak pemberontak, jadi tidak hairan kenapa mereka mampu menguasai Yaman dengan begitu cepat sekali.
Beliau juga berterusan menggunakan pengaruh partinya di Parlimen untuk melemahkan kepimpinan Hadi. Hadi adalah naib presiden  Saleh selama 20 tahun pemerintahannya. Saleh juga bercita-cita menjadikan anaknya, Ahmed Ali Saleh sebagai presiden. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila Iran, Syria dan Hizbollah turut member bantuan kepada pihak Houthi.

Operasi ketenteraan ini akan berlangsung sehingga termusnahnya kedudukan puak pemberontak  seterusnya mengembalikan kekuasaan kepada presiden yang dilantik. Beberapa lapangan terbang di sebelah selatan bersempadan dengan Yaman seperti Abha telah ditutup.  King Salman sebagai ketua Negara Teluk berjanji untuk mengembalikan keamanan Yaman dan Negara Teluk yang lain sewaktu Persidangan Negara Teluk (Gulf Cooperation Council states), GCC ke 26 yang diadakan pada 22 /3/2015 di Sharm El-Sheikh, Mesir. Arab Saudi akan meneruskan serangan ke atas puak pemberontak dengan sokongan GCC, seluruh rakyat Arab Saudi dan negara sekutu baratnya yang lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan sebagainya. Kami sebagai rakyat negara asing merasa takut juga jika peperangan merebak ke  Arab Saudi yang selama ini begitu aman dan damai untuk didiami. Tunggu dan lihat apa akan berlaku selepas ini. Allah mudahkanlah.


Ya Allah, berilah kami barakah pada negeri Syam , ya Allah berilah  kami barakah pada negeri Yaman kami. Para sahabat bertanya :Termasuk Nejed? Rasulullah saw berdoa: Ya Allah, berilah kami barakah pada negeri Syam , ya Allah berilah  kami barakah pada negeri Yaman . Para sahabat masih bertanya: Termasuk Nejed?Rasulullah saw menjawab:Di sana Nejed)  terjadi gempa  dan huru hara, dan di sana  muncul dua tanduk syaitan.(HR Bukhari)
Nejed=Iraq
Pada akhirnya umat Islam akan menjadi pasukan perang: satu pasukan di Syam, satu pasukan di Yaman dan satu pasukan lagi  di  Iraq. Ibnu Hawalah bertanya: Wahai Rasulullah saw, pilihkan untukku jika aku mengalaminya. Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam: Hendaklah kalian memilih Syam, kerana ia adalah negeri pilihan Allah, yang Allah kumpulkan di sana hamba-bamba pilihanNya, jika tidak bisa hendaklah kalian memilih Yaman dan berilah minum (haiwan kalian) dari kolam-kolam (lembahnya). Kerana Allah menjamin untukku negeri Syam dan penduduknya.(HR Imam Ahmad)
Dua hadis di atas membuktikan dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. Apa yang berlaku ke atas Yaman membenarkan sabda Rasullullah saw dan sesungguhnya akan pasti berlaku. Ya Allah selamatkan kami semua dari fitnah ini.


                                                                                                                                         zias/riyadh/15



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...