Isnin, 6 Julai 2015

Dapurku D'Riyadh (40) - Samosa



Pertama kali aku makan samosa ialah di Biesmiellah Restaurant yang terletak di Bo Kaap Cape Town, Afrika selatan. Jauhnya...Aku mengikut suamiku yang bertugas di sana selama dua minggu. Bo Kaap terkenal dengan penduduknya yang berketurunan Melayu dan beragama Islam. Kami dibawa oleh dua orang anak muda Islam yang kami kenali di sebuah kedai buku. Peristiwa yang berlaku hampir dua puluh tahun dahulu menyebabkan aku tidak ingat nama mereka. Namun aku ada menyimpan catatan perjalanan yang kini berada di Malayisa. Samosa berisi kambing memanglah sedap.

Selepas itu aku kerap menyediakan samosa dengan menggunakan kulit popia yang aku potong dan sambung dua supaya cukup panjangnya. Intinya pula sama seperti inti karipap. Memang sedap terutama jika dimakan panas-panas.

Di Riyadh, samosa amat popular. Kulit samosa boleh dibeli dengan harga yang murah dan sentiasa dijual di kedai-kedai. Kulit samosa dan kulit popia tidak sama rupanya. Kulit samosa lebih tebal dan lembut. Kali ini aku tukar inti dengan mencuba resepi yang aku ambil dari FB KhanaPakana.

Kulit samosa - ada pelbagai jenama


Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2;
500 g isi ayam/daging (kisar)
1 biji besar kentang(direbus dan dilenyek)
2-3 biji telur rebus(dihiris)
1 sudu besar halia dan bawang putih yang dikisar
3 biji Cili hijau (ikut rasa pedas yang dikehendaki)
(dihiris nipis)
1 sudu besar serbuk rempah 
1 sudu besar kicap (tak letak)
1/4 cawan susu
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar garam masala
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu besar garam
Daun ketumbar/bawang
Minyak
Kulit samosa
Tepung gandum + air untuk buat pelekat.

Cara Membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan halia dan 
    bawang putih, garam, rempah, cili hijau dan ayam.
2. Apabila ayam sudah masak masukkan kentang, telur, lada
    hitam dan garam masala.Kacau sehingga rata.
3. Susu dicampurkan dengan tepung dan kicap. 
4. Masukkan ke dalam inti dan kacau hingga sebati.
5. Sejukkan dan taburkan dengan daun ketumbar yang
    dipotong halus.
6. Masukkan inti ke dalam kulit samosa, kemaskan dan
    gunakan campuran tepung dan air untuk melekatkannya.
7. Goreng dalam minyak yang banyak tetapi minyak 
    terlalu panas.
    
Hidangan berbuka puasa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...