Khamis, 2 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (37)-Kursus Haji


Kursus Haji 

September 2014

Saffura meneruskan persekolahannya di Alameen Islamic School walaupun bilangan pelajar Gred 7 hanya seramai 4 orang.  Rumaisa dari England,  Maha dari India dan Farhana dari Malaysia. Alhamdulillah Saffura mendapat kawan senegara yang baru pindah ke Riyadh. Bapa Farhana bertugas di Flynas, sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang popular di Arab Saudi. Rakan-rakan yang lain ada yang pindah ke sekolah lain atau pulang ke negara masing-masing. Saffura dilantik menjadi Head Girl bagi kelas Knight Bridge.

Aku pula tidak dapat meneruskan persekolahan di Dar Al Dzikr kerana suamiku tidak dapat menghantarku ke sekolah disebabkan komitmen terhadap kerja. Tahap 1 mempunyai tiga kelas seminggu jadi sukar bagi suamiku untuk menghantarku apatah lagi dia sendiri mempunyai kelas sehingga malam. Memang aku merasa terlalu sedih kerana tidak dapat belajar apatah lagi kehilangan kawan-kawan yang baru aku kenali. Aku hanya mampu hadir sekali kelas sahaja. Pada masa itu ramai yang masih berada di negara masing-masing seperti Shahana, Sara dan Pranvera.. Hanya aku, Mehrunisa dan Norjan yang hadir ke kelas pada hari pertama sekolah dibuka. 

Entah kenapa selepas kembali ke Riyadh aku menjadi agak sensitif dan asyik terkenang keluarga dan rakan-rakan di tanah air. Keadaan apartmen yang agak tersorok dan cuaca yang panas menjadikan aku mengalami masalah untuk tidur dengan nyenyak. Jika sebelum ini tidur siang menjadi kelazimanku, kita ianya menjadi cabaran pula. Aku mengambil masa yang agak lama untuk tidur di waktu malam dan pada waktu siang terasa segar bugar. Pelbagai usaha aku lakukan untuk mengubati penyakitku supaya cepat sembuh kerana aku akan menunaikan haji tidak berapa lama lagi. Mungkin penyakit ini untuk membasuh dosa-dosaku supaya aku lebih dekat kepada Allah. Aku berubat secara homeopati, bekam dan juga berjumpa doktor di hospital. Pemeriksaan darah mendapati aku berada dalam keadaan normal lalu doktor wanita dari Mesir yang kami temui itu menasihati aku supaya tidak melayan fikiran negatif. Doktor tersebut juga memberitahu aku bahawa ianya adalah perkara biasa di Arab Saudi, ramai yang bermasalah untuk tidur pada waktu malam termasuk suaminya. Aku dinasihati supaya memperbanyakkan senaman dan minum susu.

Kami berkenalan dengan jiran dari Malaysia yang baru pindah ke apartmen yang sama tetapi di Blok A. Dr Abdullah bekerja di Universiti King Saud hampir 8 tahun lamanya. Dr Abdullah berhenti sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Isterinya Pn Hjh Wan Hamidah yang aku panggil Kak Wan juga berhenti sebagai penolong pendaftar di universiti yang sama untuk menemani suaminya.

"Kita perlu masa lebih kurang tiga bulan untuk kembali seperti biasa," Kak Wan memberitahu aku apabila aku menceritakan masalah yang aku alami."Memang kita akan susah tidur dengan keadaan cuaca yang begini."
"Ia ke Kak Wan?" aku terdiam sambil menyuap ke dalam mulutku mee goreng yang dihidangkan untuk kami.
"Fauziah kena sibukkan diri, masak ke, tanam pokok ke, cuba cari aktiviti supaya letih sedikit." Cadang Kak Wan."Sekarang Kak Wan sibuk dengar tafsir al Quran Dr Maza dari Youtube." sambungnya lagi. Syukur kerana bertemu dengan Kak Wan yang banyak membantu memulihkan semangatku yang semakin lemah sedang tarikh untuk ke Mekah semakin hampir.

Israaq , guru mengaji Saffura pula diminta mencari rumah di tempat lain kerana rumah yang didudukinya adalah diperuntukan untuk pensyarah. Suami Israaq adalah pembantu akaun di universiti. Rumah baru Israaq tidak jauh dari apartmen kami, jadi aku dan Saidah akan menghantar dan mengambil Saffura dan anak-anak Saidah setiap hari Jumaat dengan berjalan kaki. Tidak berapa lama kemudian kami mendapat berita bahawa semua penghuni dari universiti yang sama diminta pindah ke apartmen baru yang terletak di Al Yasameen. Aku orang yang paling gembira dengan berita tersebut.
"Keadaan rumah kita ini tidak baik untuk kesihatan." Aku teringat kata-kata Hadeel sewaktu dia memujukku untuk pindah ke rumah lain tahun lepas. Aku terasa agak betul kata-kata Hadeel setelah mendapat ujian penyakit ini. Apa tidaknya begitu sukar untuk aku mendapat cahaya matahari semenjak tidak bersekolah lagi. Kami diminta memilih unit yang ingin kami duduki. Terdapat tiga blok apartmen dan kami akan duduk di Blok C. Kami begitu gembira melihat keadaan rumah yang semuanya lengkap dan serba baru. Lebih mengembirakan aku ialah terdapat banyak tingkap dan aku tidak perlu risau tentang kekurangan cahaya matahari lagi.
Apartmen baru
Rumah Baru
Pemandangan dari depan- pembinaan villa baru

Hari-hari dapat tengok matahari terbenam - indah

Urusan untuk menunaikan haji sudah dilakukan sebelum bulan puasa. Walaupun berada di bumi yang memiliki dua tanah suci, urusan untuk menunaikan haji masih tertakluk kepada kuota dan kelulusan dari kerajaan Arab Saudi. Warga Arab Saudi diberikan keizinan menunaikan haji 5 tahun sekali. Kami menunaikan haji melalui agen yang sudah lama mengendalikan urusan haji. Pemiliknya adalah warga Thailand tapi sangat fasih berbahasa Melayu, Ustaz Dr Hasan Abdul Kader. Kursus haji dijalankan di  kawasan pejabat Kedutaan Malaysia sebanyak dua kali dengan dibantu oleh isteri dan anaknya. Lebih kurang 50 orang bakal haji berkursus bersama kami termasuk warga dari Indonesia, Amerika Syarikat dan China. Kos sebanyak SR7,500 dikenakan bagi setiap individu bagi menunaikan ibadat haji yang akan memakan masa selama 8 hari. Kami diberitahu harga tersebut lebih murah berbanding tahun lepas kerana terdapat penambahan kuota haji pada tahun ini.



                                                                                                                                          zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...