Ahad, 5 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (48) Eastern Province @ Teluk Arab


                                                            Eastern Province @ Teluk Arab                                                         

Februari 2015

Suamiku mengajak kami ke Al Khobar pada hujung minggu  dan aku agak terkejut kerana hasrat hati mahu menjejaki  bunga Iris di Diriyah. Tapi aku memberi  respons yang menyeronokkan….yeppi. Rezeki jangan ditolak, bisik hatiku sambil tersenyum meleret.

“Kenapa tak pelan awal, boleh masuk Bahrain,” mulut gatalku memberi pandangan.
“Khobar je…kalau tak, tak payah pergi,” dengan cepat suamiku mematikan angan-anganku.
“Ok la,” jawabku,akur.

Saffura turut member respons yang sama ketika aku memberitahu perancangan kami mahu ke Khobar. Aku juga memesan supaya Saffura tidak menimbulkan persoalan yang sama.

Jarak penglihatan persekitaran rumahku lebih baik dari semalam. Sudah beberapa hari seluruh Arab Saudi dilanda ribut pasir termasuk Riyadh. Suasana berjerebu memang menyukarkan terutama yang membawa kenderaan. Bangunan tinggi tidak kelihatan begitu juga matahari memancar lesu. Keadaan seperti di Malaysia ketika musim jerebu melanda, segalanya kelihatan kelam. Jika di Malaysia suasana menjadi semakin buruk apabila terdapat bau asap yang menyesakkan. Di sini pula rebut pasir akan membawa debu halus yang agak menyakitkan apabila terkena muka dan badan yang terdedah. Oleh itu penutup muka elok untuk dipakai bagi mengatasinya. Kami meneruskan perancangan untuk ke Khobar walaupun kesedihan terasa kerana Malaysia kehilangan tokoh politik unggul iaitu Dato Nik Aziz B Nik Mat yang meninggal pada usia 84 tahun akibat penyakit kanser.

Perjalanan bermula pukul 8.00 pagi dan dalam perjalanan kami sempat berhenti untuk melihat sekumpulan unta yang sedang  merentasi padang pasir. Mengasyikkan. Kami sampai di Hotel Le Meridien pukul 1.00 tengahari dan terus mendaftar masuk ke bilik 6012.  Ruang lobi hotel, para tetamu dijemput menikmati kopi Arab bersama hidangan kurma. Suasana amat relaks maklum hotel lima bintang. Suasana bilik pula amat selesa kerana segalanya masih baharu dan dilengkapi perabot moden berwarna putih dan hitam. Pemandangan arah ke laut, dengan jelas kelihatan taman dan bangunan kedai. Suamiku begitu teruja apabila terpampang namanya di skrin tv yang mengucapkan selamat datang dari ketua eksekutif hotel tersebut. Seolah berbaloi harga hotel yang dibayarnya.Hihi.

Depan hotel


Lobi hotel
Pemandangan dari bilik hotel
Pemandangan dari bilik hotel

Tidak membuang masa sebaik selesai solat kami menuju ke Dammam yang merupakan ibu negeri bagi Pantai Timur juga Bandar ke tiga terbesar di Arab Saudi selepas Riyadh dan Jeddah. Dengan berpandukan brochure yang terdapat di lobi hotel,kami mahu mencari sebanyak mungkin tempat yang menjadi tumpuan pelancong.  Melalui kawasan industri  Dammam seterusnya memasuki Bandar Dammam yang dipenuhi bangunan , kedai dan mall . Selepas Sheraton Hotel kami mencari laluan ke Corniche. Kami singgah di tepi pantai apabila terlihat bot-bot nelayan bertaburan berhampiran pantai. Pondok-pondok yang didirikan sepanjang laluan kebanyakannya dipenuhi dengan keluarga yang berkelah. Dari jauh boleh terhidu bau harum masakan yang dipanggang. Ada yang sedang memasak, ada keluarga yang sedang makan bersama dan ada yang sekadar berbaring sambil melayan telefon bimbit. Suasana santai sebegitu dapat dilihat sepanjang laluan jalan yang dibina berhampiran pantai yang seakan tidak ada penamatnya.

Suasana di taman berhampiran pantai

Kami terus menyusuri jalan dan bertemu taman menghijau yang menjadi tumpuan ramai untuk berkelah di petang yang damai tambahan pula cuaca begitu harmoni sekali. Kami singgah sekali lagi untuk mengambil gambar satu dari beberapa mercu tanda Dammam iaitu Rocky Muraikbat yang terletak di tengah-tengah bulatan jalan yang sibuk. King Abdullah Park yang terletak di sini begitu luas sekali ,dihiasi dengan pohon kurma dan rumput menghijau. Begitu ramai pengunjung menjadikan suasana begitu meriah dengan peniaga kecil menjual makanan ringan, beberapa kumpulan kecil bermain bola, basikal dan buaian. Terdapat juga kedai makanan segera dan kedai kopi dan tidak lupa tandas awam.  Mataku terus melihat keindahan panorama laut yang pastinya tidak kelihatan di Riyadh.

Mercu tanda Dammam

“ AlMorjan Island ada apa dekat situ…” tanyaku sambil melihat papan tanda arah.
“Tak tahu la…” jawab suamiku sambil menumpukan perhatian kepada pemanduan.
“ Eh.. macam boleh pergi saja…haa ada jambatan ke sana, jom,’’ ajakku keriangan.
“Ohh…bangunan berputar tu dekat sana la…” sampuk Saffura dari tempat duduk belakang kereta sambil  menunjukkan gambar yang terpampang atas brosure yang dipegangnya.

Jambatan sepanjang 1.4km panjang itu kami lalui, kelihatan beberapa peminat sedang asyik memancing di atas batu-batu besar yang disusun sepanjang pantai. Hampir dengan pulau tersebut kelihatan dua buah feri yang agak sibuk dengan penumpang. Kami masuk ke dalam kawasan pulau tersebut namun sayang sekali seluruh kawasan pulau kecil itu dipenuhi dengan kereta. Pulau seluas 7000 meter persegi ini dilengkapi dengan kemudahan air, elektrik, tandas, kedai, taman permainan  dan sebagainya. Di tengah pulau berdirinya sebuah menara dengan rekabentuk yang unik. Pulau buatan itu tidak dapat kami terokai kecantikannya kerana tidak ada ruang parkir. Dengan rasa hampa kami meneruskan perjalanan merentasi laluan pantai yang entah di mana akan berakhir. Kelihatan banyak ruang kosong yang sudah di tambak, ada juga bahagian yang sedang rancak dibina.

Marjan Island

Dari kejauhan aku dapat melihat kapal  nelayan yang diperbuat dari kayu (dhow boat) Aku teruja sekali dan pemandangan ini mengembalikan memori persinggahan kami di Oman.

“Macam dekat Oman kan,” aku bersuara memecah keasyikan kami bertiga memandang ke laut.
“Banyaknya kapal, macam kapal perang kot,” sambung Saffura pula.
“Pelabuhan nelayan kot,” suamiku pula berkata.

Berhampiran pantai kelihatan villa yang menarik bentuknya

Semakin lama bilangan kapal kayu semakin banyak , berselerak di atas laut. Dari kejauhan kelihatan pelabuhan nelayan yang agak besar dengan deretan kapal yang serupa saiz dan warna itu.  Kami singgah di kawasan taman hijau yang bertebing tinggi yang terletak di Dareen Corniche. Pelabuhan Dareen amat bersejarah dan menjadi pelabuhan penting bagi kawasan pantai Timur dan Teluk Arab. Dikatakan terdapat lebih 500 buah kapal nelayan tradisional yang masih belayar di Teluk Arab untuk menangkap ikan dan aktiviti menyelam.

Kapal memenuhi laut

Kami sekadar lalu ke Qateef, Bandar yang terkenal dengan penduduknya yang berfahaman Syiah bermukim. Terdapat Thursday Market yang dibuka pada awal pagi yang menawarkan pelbagai barang termasuk kraftangan. Terdapat juga Tarut Fort, Bandar lama yang dibina waktu penjajah Portugis di abad ke 16. Kami meninggalkan kawasan pantai yang panjang itu apabila masuk waktu Maghrib namun kawasan sekitar Corniche semakin didatangi oleh orang ramai.

Malam kami bersantai di Corniche AlKhobar yang luas dan cantik sambil menjamu selera di kawasan yang penuh dengan pelbagai pilihan makanan tempatan atau makanan segera. Kedudukan Hotel Le Meridein yang menjadi pilihan kami berada di Corniche Street amat memudahkan kembara kami pada kali ini, pantai dan segalanya begitu hampir.
  
Kami memerhatikan gelagat orang-orang Arab yang berada di sekitar lobi hotel, tidak kelihatan rupa Asian kecuali kami.  Sesekali wajah kami direnung dari jauh kehairanan mungkin. Memang suasana hotel begitu selesa dan terjaga rapi. Keselamatan terjaga dengan kawalan ketat di pintu pagar masuk hotel dengan beberapa pengawal berpakaian tentera memeriksa kereta dengan alat tertentu dan memeriksa bonet kenderaan yang mahu masuk ke kawasan hotel. Rasanya inilah pengalaman pertama di mana kenderaan kereta diperiksa untuk masuk ke kawasan hotel yang kami alami walau sudah banyak kali menginap di hotel dalam  atau luar Malaysia.
Sekitar hotel berdekatan kolam renang
Kami bangun awal dan bergerak ke pantai yang terletak di seberang jalan hotel. Ada pengunjung yang sudah sampai ke kawasan taman seawal sebelum subuh dan mungkin ada yang bermalam di situ. Pantainya tidak begitu luas dan terdapat batu-batu dipenuhi lumut hijau. Dari sini dapat dilihat dengan jelas mercu tanda Al Khobar yang tinggi menjulang iaitu Tower of Eastern Region. Kami membuat u-turn dan melihat bangunan SciTech atau Scientific Spesialist Centre. Kami terpegun melihat deretan istana kecil yang begitu mewah di sepanjang jalan tersebut menuju ke arah jambatan. Melihat keluasan, rekabentuk dan kehebatan senibinanya, aku pasti harganya mencapai puluhan juta. Pastinya vila-vila mewah di Riyadh tidak mampu menandingi kehebatan rumah di laluan ini. Kami terus ke arah jambatan yang menghubungkan Bahrain dengan Arab Saudi. Suasana pagi begitu nyaman dan indah sekali apalagi bunga-bunga yang berwarna warni sedang disirami air secara automatik. Al Khobar antara Bandar tercantik di Arab Saudi  jadi tidak hairan jika kebanyakan laluan dihiasi dengan landskap yang menarik,bunga pelbagai jenis dan warna. Bunga berwarna putih, ungu, kuning, oren dan merah memeriahkan suasana.

Mercu tanda Al Khobar

Suamiku memecut laju kereta selepas membayar satu-satunya tol di Arab Saudi bernilai 20 rial untuk menaiki jambatan King Fahd atau Jambatan Bahrain.

“Eh…cepat pulak dah nak sampai….first time dulu bukan main jauh lagi terasa,” kataku sambil membetulkan tempat duduk untuk mengambil gambar .
Jerebu yang melanda beberapa hari lalu yang diakibatkan oleh sandstorm sudah berkurangan jadi pemandangan sekitar lebih jelas. Namun segalanya kelihatan kosong, hanya air laut, burung,awan dan langit yang kelihatan.
“ Panjang jambatan ni sampai ke Manama, Bahrain 25 km, dibuka pada tahun 1986,” aku membaca brosure di tanganku.

Jambatan King Fahd bermula dari Al-Aziziyyah,di selatan Khobar ke Border Island. Dari sini bersambung lagi ke Pulau Nasan yang terletak di Bahrain seterusnya dari pulau ini ke al-Jasra, barat Manama di Pulau utama Bahrain.

Kami sampai di Border station  yang terletak di sebuah pulau buatan dikenali sebagai Passport Island atau Middle Island.  Di sini terdapat pejabat kerajaan berkaitan  imigresen kedua-dua Negara. Kami berada di sebelah pihak berkuasa Arab Saudi. Terdapat beberapa kemudahan seperti masjid, coast guard tower dan tower  restoran di kedua belah pihak. Beberapa kedai  makanan segera  seperti McDonald dan Kudu ada di sini selain dari kedai makanan Arab ,Meed, farmasi dan sebagainya. Kawasan parkir kereta agak terhad dan terdapat kereta yang ditinggalkan lama di situ . Parkir percuma selama 72 jam serta kemudahan teksi menyebabkan ramai yang meninggalkan kereta di kawasan tersebut.

Laluan ke Bahrain - Bila boleh masuk ni?

Terdapat kawasan taman untuk duduk berehat dan berkelah yang serba menghijau. Suasana di laluan masuk ke Bahrain menjadi sibuk apabila menghampiri waktu tengahari.  Kami mengisi perut dengan memesan melalui pandu lalu di Kudu. Kami menghampiri taman yang begitu dekat dengan tebing untuk melihat kebiruan air laut yang begitu jernih.

Cantik

Sebahagian besar tempat yang dicatatkan di brosure yang kami ambil di hotel telah kami singgah seterusnya kami mencari laluan ke Half Moon Bay. Selepas melalui kilang penapisan air kami meneruskan perjalanan ke destinasi tersebut yang terletak lebih kurang 40 km dari Al Khobar.  Banyak istana kecil di bina di sepanjang pantai dengan mercu tanda berciri mewah di pintu masuk. Holiday Inn dan Movenpick juga kelihatan di samping beberapa hotel lagi yang sedang dalam pembinaan. Aktiviti berkereta menaiki dan menuruni puncak gurun menggunakan kereta pacuan empat roda kelihatan begitu juga deretan quatbike di mana-mana. Semakin lama semakin kelihatan pantai yang landai bersama lantunan ombak yang tenang. Banyak kawasan berkelah beserta pondok berbumbung di buat sepanjang pantai. Terasa seperti menjejaki pantai Port Dickson. Istimewanya kebanyakan pantainya membolehkan kereta sampai menghampiri air. Pemandangan teramat cantik apabila gurun berpasir putih berada hampir dengan pantai memunculkan kombinasi yang sempurna sekali bersama warna biru air laut. Inilah pemandangan yang ingin sekali aku nikmati. Ramai yang mengambil peluang mandi manda di pantai terutama kanak-kanak kerana pantainya yang begitu landai sekali. Aktiviti sukan laut seperti menyelam, menaiki motor ski dan sebagainya popular di sini.

Gurun dan pantai bergandingan

Kami sekadar singgah melihat air yang jernih dan mengambil gambar. Dalam perjalanan pulang kami singgah di pantai yang agak sibuk dengan orang ramai dan aktiviti menaiki kereta kuda, menunggang kuda,keldai, menunggang kuda dan motor quatbike. Pantai ini agak luas tapi agak kotor kerana di penuhi  dengan sampah. Saffura melepaskan keinginan untuk menaiki kuda dengan harga 20 rial. Sampai di hotel kami berehat dan memulakan perjalanan balik ke Riyadh pad pukul 3.00 petang. Sememangnya perjalanan menuju ke Dammam lebih selesa berbanding Riyadh- Mekah atau Riyadh –Madinah. Keadaan tandas di tempat rehat agak bersih dan selesa begitu juga dengan masjid. Pengalaman kali kedua mengiyakan pendapatku ini. Pemandangan kawasan gurunnya juga cantik dan agak sekata yang kebanyakannya dipenuhi dengan gurun senada warnanya dan keadaan fizikalnya. Lebih mengujakan apabila kelihatan ladang luas dengan pepohon kurma dan lautan rumput menghijau di tengah gurun yang gersang.
Dua kali pusing saja
Menanti rezeki

Sampai di rumah apabila azan Maghrib berkumandang hanya spageti sup menjadi hidangan pada malamnya. Walau singkat perjalanan kami tapi terselit kepuasan.


                                                                                                                                 zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...