Selasa, 7 Julai 2015

Travelog : Oh! Riyadh (52) - Sandstorm

Sandstorm

Petang hari Rabu 1 April 2015 selepas solat Ashar aku agak keletihan dan terus berbaring di ruang rehat. Sempat terlelap seketika namun terkejut apabila suamiku kelihatan meninjau sesuatu dari tingkap.
“Ambil kamera Saffura, tengok ni ada ribut pasir,” suamiku bersuara agak lantang. Aku agak terkejut dan melihat ke arah tingkap.
“Ehh  warna oren…ya Allah.” Aku pun menghampiri  tingkap dengan membawa telefon bimbitku. Aku berlari ke ruang tetamu yang satu lagi untuk melihat suasana persekitaran dengan lebih jelas. Hanya warna oren yang kelihatan dan menjadi semakin merah. Jarak pemandangan menjadi teramat kabur, semua objek yang berada di seberang jalan rumahku tidak kelihatan.
Saffura pula sibuk membuat rakaman video menggunakan kamera digitalnya.
Aku menghantar gambar yang diambil ke WhatsApp kumpulan Haji 1435. Rupanya rakan-rakan di dalam kumpulan tersebut sedang berbicara berkaitan ribut  pasir tersebut. Dr Rosmah turut menaik muat rakaman video berkaitan ribut pasir yang berlaku sekitar Riyadh. AllahuAkhbar kejadian ribut pasir tersebut berlaku agak dahsyat, kelihatan kepulan pasir berwarna merah bergerak dengan agak laju dan begitu tinggi sekali. Ini menyebabkan seluruh kawasan Riyadh diselubungi dengan debu berwarna merah. Angin pula memang terlalu kuat sehingga aku tidak boleh membuka tingkap. Kelihatan sampah sarap berterbangan di udara. Pasir halus berwarna oren mula kelihatan masuk di dalam rumah memenuhi lantai dan perabot di dalam. Keadaan menjadi gelap walaupun belum tiba  masanya.
Pemandangan pada hari biasa

Pemandangan pada hari sandstorm dahsyat melanda

Tidak kelihatan kereta melalui jalan di hadapan rumahku yang biasanya begitu sibuk sekali.  Suasana begitu sunyi dan agak sejuk. Hidung kami menjadi agak perit kerana terhidu bau yang agak tajam seperti bau minyak atau jerebu. Keadaan ini menjadikan kami agak tidak selesa dan sukar melelapkan mata pada malamnya.

Kami pernah beberapa kali berhadapan dengan ribut pasir yang agak sederhana. Pertama kali aku melihatnya ketika berada Al Khobar pada bulan Februari 2014. Ketika itu kami berada di dalam kereta untuk menaiki Jambatan yang menghubungkan Al Khobar dengan Negara Bahrain. Tiba-tiba kelihatan kepulan berwarna putih seperti asap bergerak menyelubungi seluruh kawasan tepi pantai tidak jauh dari tempat kami berada. Kali kedua ketika kami berada di atas Lebuh Raya Riyadh-Madinah. Pusaran ribut membawa pasir dari kawasan gurun yang luas di sepanjang lebuh raya bergerak ke atas lebuh raya. Pemandangan agak kabur buat sementara, kenderaan menyalakan lampu dan pergerakan kereta diperlahankan. Keadaan seperti ini adalah satu kebiasaan di lebuh raya dan terdapat papan tanda amaran yang menunjukkan kejadian ribut pasir mungkin berlaku di kawasan tersebut. Terdapat juga kereta yang akan meletakkan bahan khas pada badan kereta untuk mengelak kereta dari terjejas apabila berlaku kejadian ribut pasir sewaktu di dalam perjalanan. Jadi tidak perlu merasa hairan jika bertemu dengan kereta yang mempunyai dua warna yang berlainan di bahagian  tertentu kereta tersebut.
Sandstorm biasa -  masih boleh melakukan aktiviti
seharian.

Pernah juga ribut pasir terjadi secara tiba-tiba ketika kami keluar dari kedai Mark & Spencer di Jalan Olaya. Ketika itu waktu malam setelah selesai aku dan Saffura membeli baju nasyid untuk dipakai pada hari persembahan sebelum cuti Musim Bunga bermula pada tahun 2014. Angin agak kuat bertiup, segala-galanya berterbangan. Muka kami menjadi pedih akibat pasir yang berterbangan singgah di muka kami yang terdedah. Kelihatan beberapa orang di jalan raya turut mengenakan penutup mulut dan hidung untuk mengelakkan diri dari pasir yang berterbangan. Baru aku memahami akan pentingnya niqab ketika menghadapi waktu genting seperti ini. Aku dan Saffura terpaksa menahan rasa pedih di muka buat seketika sambil berlari mendapatkan kereta yang diparkir agak jauh dari kedai tersebut.
Sandstorm kerap berlaku - pemandangan biasa

Kebiasaannya ribut pasir berlaku dengan kerap apabila akan berlaku perubahan musim. Sebelum dan selepas musim sejuk merupakan jarak waktu yang kerap berlakunya ribut pasir begitu juga dengan kejadian hujan. Aku masih ingat lagi kejadian ribut pasir yang berlaku pada tahun lepas di Mekah yang mengundang rasa takut kepada jemaah Malaysia. Video tersebut menjadi viral di tanah air sehingga aku perlu menjawapnya di dalam kumpulan Whatsapp. Tiba-tiba ribut pasir melanda sekitar Kaabah yang menyebabkan suasana menjadi gelap dan kelihatan warna merah menyelubungi sekitarnya. Ianya menimbulkan keadaan panik bagi mereka yang melihatnya buat kali pertama. Kami pula sudah menjadi agak biasa dengan kejadian tersebut . Namun kejadian hari ini agak kritikal sehingga menyebabkan kapal terbang tidak mampu mendarat kerana jarak penglihatan terjejas dengan teruk. Kapal terbang terpaksa mendarat di lapangan terbang yang jauh dari Riyadh seperti Damman atau luar negara.  Lapangan terbang Antara bangsa King Khalid terpaksa ditutup selama tujuh jam akibat ribut pasir yang melanda selama lapan jam itu.

Terdapat 354 kemalangan pada malam kejadian yang melibatkan lapan kecederaan. Keesokannya seluruh sekolah dan universiti diberi cuti satu hari untuk mengelakkan diri dari debu yang berterbangan yang boleh memudaratkan kesihatan. Kejadian ribut pasir ini juga turut melanda beberapa Bandar lain di bahagian timur Arab Saudi dan turut dialami oleh Qatar dan Dubai.

Melihat kejadian ribut pasir yang berlaku aku tertanya-tanya apakah nasib penghuni yang tinggal berselerak di padang pasir seluruh Riyadh. Mungkinkah khemah dan binatang peliharaan mereka habis terbang dibawa ribut. Tidak kelihatan pula laporan seperti itu di dalam sebarang berita di surat khabar atau siaran televisyen. Mungkinkah dibantu dengan doa yang Rasulullah    ﷺ  yang menyuruh  kita baca ketika ribut berlaku. Doa ini dihantar oleh Sumaira melalui Whatsapp kumpulan Dhar Friends.
“Oh  ﷲ I ask You for it’s goodness,the good within it, and the good it was sent with, and I take refuge with You from it’s evil, the evil within it, and from the evil it was sent with”
Uzma turut mengingatkan kami akan kejadian yang berlaku adalah permulaan musim debu atau ribut pasir.
“Ibnu Khaldon mentioned:The Earth in its trasition from winter to summer produces diseases and insects(bugs/creatures) that if left to their devices would destroy the world, so  ﷲ sends the dust to destroy them. All praise is due to , an abundant praise. Subhan Rabbi, how(Lateef) Subtle and Gentle You are.”
Rupanya dalam kekerasan tiupan ribut pasir yang melanda membawa rahmat yang tidak terduga dari Pencipta ﷲ Rabbul Jalil. Sesungguhnya begitu besar kasih sayang  ﷲ kepada hambaNya. Ya ﷲ kuatkanlah iman kami, izinkan kami teguh dalam pegangan iman kami terhadapMu Ya  ﷲ Ampun kami di atas kelalaian kami Ya ﷲ . Ameen.

Doa ketika sandstorm/ribut pasir


                                                                                                                                 zias/riyadh/15



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...