Rabu, 1 Julai 2015

Dapurku D'Riyadh (38) - Pajeri Terung



Pajeri terung paling sedap pernah aku nikmati ialah hasil masakan Arwah En Salleh dan Arwah isterinya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Mereka memasak untuk majlis kenduri kesyukuran untuk aku, suami dan emak mentuaku yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun 1994. Ketika itu kami tinggal di kuarters Stesen Satelit Lendu di Alor Gajah Melaka. Suamiku merupakan Pengurus stesen dan kebanyakan staf tinggal di dalam kawasan stesen. Meriah sungguh majlis tersebut.
Di Riyadh terung dapat diperolehi dengan mudah kerana ianya menjadi kegemaran masyarakat di sini. Terung yang besar dan berwarna ungu gelap terdapat di semua kedai dan harganya murah . Ada yang mencampurkan terung dan nenas untuk menyediakan pajeri...baru aku tahu. Namun dalam bab masakan asli aku tidak berani untuk berinovasi, alamatnya aku seorang yang kena habiskan.

Bismillahirrahmanirrahim

Bahan2

2 biji terung sederhana saiznya (dibelah memanjang)
1- 1 1/2  mangkuk santan yang agak pekat
2 sudu besar rempah kari ayam Adabi
1 inci halia
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
(½ bawang besar dihiris untuk menumis, ½ bawang besar
lagi dikisar bersama bawang putih dan halia)
Sedikit hirisan halia untuk menumis
1/2  sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar kerisik
1 sudu besar udang kering
sedikit gula Melaka
Minyak dan garam
Kulit kayu manis dan bunga lawang untuk menumis

Cara Membuatnya:
1.Campurkan semua bahan kisar, rempah, serbuk lada hitam
   kerisik dan sedikit santan/air dan gaul rata.
2.Panaskan minyak dalam sebuah periuk. Masukkan bunga lawang
   dan kulit kayu manis. Masukkan bawang dan hirisan halia dan
   goreng hingga garing.
3.Masukkan rempah yang sudah digaul dan goreng hingga berbau
    atau naik minyak. Masukkan udang kering dan gula Melaka, 
    kaca seketika.
4. Masukkan santan dan biarkan mendidih baru masukkan
    terung. Apabila terung sudah agak empuk, kecilkan api dan biarkan 
    sehingga agak pekat.





Jumpa Pajeri nenas & terung di Lumut, Perak.
Rasanya lebih kepada pajeri nenas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...